Sudah hampir tiga hari pelawak Abam Bocey meninggalkan dunia ini. Walaupun dua hari telah berlalu, namun masih ramai yang memperkatakan tentang kematiannya yang sangat dicemburui.
Ternyata ramai yang menyayangi pelawak ini hinggakan solat jenazahnya seperti orang solat Jumaat. Betapa ramai yang menyayangi arwah yang baru berusia 32 tahun.
Solat jenazah seperti solat Jumaat.
Ramai yang membicarakan kebaikan dilakukan Abam Bocey ketika hayatnya dan salah satunya dari Khairul Hakimin Muhammad yang memberitahu isi hati dari ibu arwah, Puan Sabariah Arshat.
Ternyata semasa hayatnya Abam sangat menyayangi ibunya ini dan insan istimewa ini dilayan bagai menatang minyak yang penuh.
Menurut ibunya memberitahu bahawa arwah seorang anak yang baik, jaga dirinya dengan baik, sangat bersabar dan tidak pernah meninggi suara. Malah Abam sangat menghormati ibunya yang dianggap syurga di bawah telapak kaki ibunya ini.
Begitu menghormati ibunya ketika hayat.
Walaupun sering menghiburkan orang di luar tetapi apabila balik ke rumah arwah akan menghiburkan hati ibunya dengan layanan anak soleh.
Malah dia menyempurnakan tanggungjawab menjaga ibunya itu dengan penuh keikhlasan. Semoga syurga juga menjadi tempat buat arwah Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mukhtar Syed Mohd ini.
Ads
Ibu Abam ditenangkan adiknya, Ali Puteh.
Dalam banyak-banyak berita semalam, saya membaca satu demi satu luahan Puan Sabariah Arshad. Termasuk video yang dimuat naik wartawan dan rakan artis. Ianya memang luahan sempurna seorang ibu.
Semalam, anak yang dikandung 9 bulan, dijaga rapi kemudiannya dewasa dan menjaga beliau dengan paling selesa, menghembuskan nafas terakhir di dalam tidur. Dikejutkan isteri namun tidak lagi bergerak dan bernafas. Maka pulanglah dia ke negeri abadi tanpa sedikit pun pesanan atau nasihat kepada yang tinggal.
Si ibu ini, setiap kali membuka mulut, keluarlah ayat,
“dia sabar dengan saya.” “dia baik sangat dengan saya.” “dia jaga saya baik-baik.” “saya ni sakit, susah berjalan, susah nak buat itu nak buat ini, tapi dia sangat sabar dengan saya, tak pernah tinggi suara, semua dia buat ja.”
Ads
Maka inilah yang kita selalu dengar, anak lelaki, syurganya di bawah tapak kaki ibu. Bagaimana rumitnya nak menjaga, nak melayan dan menuruti kehendak ibu, tetap perlu disantuni dengan sebaiknya.
Disebalik gelak ketawa yang kita sering lihat dan terhibur, di luar sana, apabila dia pulang ke rumah, dia menghiburkan ibunya sendiri dengan layanan anak soleh.
Tak ada diberitahu sesiapa, tidak ada selfie sambil membantu ibu, semuanya penuh keikhlasan dan tanggungjawab. Itulah Abam Bocey yang kita kenal.
Syurga tempatmu insya-Allah. Banyak saya belajar dari kematian almarhum. Semoga kita yang masih berpeluang melihat, sentuhlah hati sendiri dan belajar lihat dan pandang bagaimana seorang ibu menghulurkan kunci syurga dari tangannya sendiri kepada anaknya.
Ads
Itulah kejayaan paling besar buat ibu. Nanti berpelukan di sana, anak dah tunggu.
Ya Rabb. Doa kami, semoga Puan terus kuat dan tabah. Kami juga tidak setabah dan sekuat Puan, kehilangan anak adalah kehilangan paling besar buat seorang ibu, namun, bahu kami tetap ada untuk tahan sekejap tangisan, legakan sebentar keresahan. Semoga hal kecil ini dapat menenangkan puan.
Kawan-kawan, santuni emak kita sebaik-baiknya. Mereka sahaja ada kunci pintu syurga kita semua.
Sejak semalam, ramai yang membuat simpanan dan pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) mengeluh kerana menerima dividen paling rendah sejak saham itu diperkenalkan. Dengan 4.25 peratus serta ehsan 0.75 peratus, pastinya mereka yang membuat pinjaman ASBF paling mengeluh kerana dividen tidak berbaloi dengan bayaran mereka perlu keluarkan.
Ramai yang berura-ura mahu membatalkan pinjaman ASB tersebut kerana mahukan pulangan lebih berbaloi. Namun sebelum membuat sebarang keputusan mengenai ASB, bacalah pandangan dari pakar kewangan, Afyan Mat Rawi yang dikongsikan di fbnya semalam.
Ada 2 soalan popular yang sedang berlegar berikutan pulangan ASB paling rendah dalam sejarah.
Soalan pertama: “Afyan, pulangan ASB tahun ini paling rendah, apa nak buat?”
Soalan kedua: “Saya buat ASB Financing Maksima RM200,000 tahun lepas. Pulangan ASB tak cukup nak cover installment. Apa nak buat?
Al-Jawab;
Kalau tanya ejen ABCTakaful, “Masuk takaful 3 Dalam 1 la. Ada perlindungan, ada medical card, ada simpanan”
Kalau tanya ejen unit trust ZZZ Asset Management, “Masuk unit trust la. Boleh bagi return 15% ke 20% setiap tahun, patuh syariah lagi.”
Kalau tanya ejen XXX Gold, “Beli emas, harga emas meningkat setiap tahun”.
Kalau tanya geng scam, “Masuk skim Bingo la, boleh dapat duit bulan-bulan”.
Kalau tanya ejen XXX Bank, “Batal loan lama, buat baru. Sekarang ada promosi 3.5%. Lagi untung maaaaa…. “.
Kalau tanya ejen syarikat MLM XYZ, “Join pelaburan kami RN100 – RM200 sebulan, ROI RM200K setahun”.
Kalau tanya ejen Telco ABCD pula, “Meh buat duit dengan handphone”.
Kalau tanya Norsham; “Beli tanah kemudian pecah lot supaya duit tidak diganggu oleh lembaga”.
Kalau tanya Tok Belagak; “Beli emas, kemudian pajak dekat ar-rahnu utk dapat cash. Lepas tu beli lagi dan pajak lagi. Rolling sampai habis”
Kalau tanya geng ARBA Kopi Pak Belalang, “Meh beli kopi dengan ana. Ente boleh dapat untung tiap-tiap bulan. Ini MLM cara baru. Tak payah simpan stok”.
Kalau tanya jurujual buku Bijak Merancang Wang, meraka akan jawab "Beli la Buku Bijak Merancang Wang harga Palestin RM37 ni di www.bukuBMW.com"
Nota; Jangan tanya si tukang gunting sama ada kita perlu gunting rambut atau tak. Kalau tanya saya?
Maintain sahaja di ASB. Bukan tempat duit itu yang kita kena ubah, tapi mindset kita. Hartanah, saham, unit trust, takaful, ASB financing – semua ini adalah alat, instrumen dan produk dalam kewangan.
Ia tidak memberi sebarang jaminan terhadap pelanggan atau penggunanya.
Ada orang boleh untung besar dengan hartanah. Ada orang rugi besar disebabkan hartanah. Ada orang dapat wang besar selepas melabur dalam saham. Ada orang jatuh bankrap sebab silap melabur dalam saham.
Ada juga orang yang boleh dapat untung dengan unit trust. Ada orang yang tak pernah untung dalam pelaburan unit trust.
Begitu juga dalam ASB. Ada orang kata "rugi" sebab pulangan lagi rendah berbanding tahun lepas dan paling rendah dalam sejarah. Dalam masa sama ada orang yang tak kisah seban ia lebih tinggi daripada fix deposit (FD) atau simpanan tetap.
ASB financing pun begitu. Ada orang yang tetap dapat untung melalui produk ini. Ada juga orang yang rugi.
Kena jadi begitu? Baca selanjutnya.
Ketahuilah bahawasanya, dalam mana-mana pelaburan, orang yang untung adalah golongan minoriti. Majoriti hanya balik modal atau lebih teruk, rugi.
Apa yang membezakan antara mereka yang rugi dan mereka yang untung dan mereka yang untung besar?
ILMU!
Ya, ilmu.
Itulah yang disebut oleh Allah dalam Al-Quran (konteks berbeza daripada tulisan ini); "Adakah sama orang yang berilmu dengan orang tidak berilmu?".
Ia juga disebut oleh Saidina Ali:
"Andai engkau ingin mencari dunia, carilah dengan ilmu. Andai ingin mencari akhirat, carilah dengan ilmu. Andai ingin kedua-duanya, carilah juga dengan ilmu".
Ilmu inilah yang akan menentukan MINDSET. Dengan ilmu jugalah yang akan mengubah mindset kita. Apabila mindset berubah, tindakan kita akan turut berubah. Akhir sekali, hasil pun akan berubah!
Dalam banyak situasi, saya berani katakan, sebenarnya kekal wang anda di ASB (atau Tabung Haji) adalah lebih baik berbanding kita keluarkan ke mana-mana instrumen lain, tanpa persediaan ilmu.
Majoriti rakyat Malaysia, masih rendah literasi kewangan.
Buktinya boleh lihat statistik jumlah simpanan rakyat Malaysia, jumlah KWSP rakyat Malaysia, kadar muflis di kalangan orang muda Malaysia dan sebagainya.
75% rakyat Malaysia tak ada simpanan, hatta RM1,000 jika berlaku kecemasan.
60% pencarum KWSP habiskan wang tabungan KWSP dalam masa 3 tahun selepas pencen. 60% orang yang diisytiharkan muflis adalah dari golongan muda.
80% yang keluarkan duit KWSP untuk pelaburan, dapat pulangan sama atau lebih rendah dari pulangan KWSP.
Itu hanya sebahagian statistik tentang literasi kewangan rakyat Malaysia.
Tak masuk lagi statistik rakyat Malaysia kena sontot.
Kita tak mampu pun nak ubah pulangan ASB supaya jadi 10‰ ke atas macam dulu-dulu. Ubah kerajaan pun kita dah buat, tapi nampaknya macam lompat dari mulut Hela , masuk ke mulut Thanos pula. Takkan nak tukar Thanos balik yang sedang berpakat dengan Loki? Nak tak nak, kena tambah ilmu. Ia perkara yang kita boleh kawal. Bukan tukar dari ASB atau Tabung Haji ke instrumen lain dulu. Bukan tanya nak invest dekat mana.
Analogi mudah macam ni la. Antara kereta Viva dan kereta racing, mana lagi laju? Sudah tentu kereta racing. Nama pun racing. Tapi kalau kereta racing tu diberi kepada orang yang baru belajar naik basikal, berapa jauh dia ia boleh pergi? Berbanding dengan kereta Viva, dibawa oleh Michael Schumacher, berapa jauh ia boleh pergi?
Agak-agak kalau Viva diberi kepada Michael Schumacher, lumba dengan kereta racing dipandu oleh budak yang baru belajar naik basikal, siapa menang?
Tuan-Puan boleh agak apa jawapannya
Sama la juga macam instrumen-instrumen kewangan yang ada di Malaysia. Ada ASB, ada unit trust, ada saham, ada hartanah, dan macam-macam jenis pelaburan yang lebih kompleks seperti ETF, sukuk, deriavatif dan segala macam mak nenak jenis pelaburan yang kalau sebut pun mungkin ada yang tak pernah dengar. Setiap satu ada risiko dan kos tersendiri.
Jadi, bukan instrumen / produk / alat kewangan yang kita kena ubah dahulu.
Dulu kita salahkan Najib. Najib dah jatuh. Sekali dengan ASB terus jatuh lepas beliau jatuh. Nak salahkan siapa pula selepas ini? Kalau kerajaan lepas, kita boleh salahkan Lim Guan Eng atau Azmin?
Muhyiddin, sebab tak pandai urus kewangan negara? Tun M? Anwar? Hj Hadi? Trump?
Neelofa? Hydra?
Kalau betul mereka bersalah, apa boleh kita buat? Nak ubah?
Ya, perubahan perlu dibuat. Tapi siapa?
Sebenarnya, ada satu benda yang kita boleh ubah dengan segara.
Ubah tabiat dan Habit kewangan kita.
Kita boleh ubah buku yang kita baca. Kita boleh ubah akaun FB siapa yang kita nak follow dan see first. Antaranya FB ini. Ehem, ehem.
Semua tu tak perlu modal dan kos besar pun. Saya tulis panjang-panjang ni, baca sampai habis gak? Kalau malas baca semua, baca summary tulisan saya ni; 1. Nak ubah pulangan ASB? Tak boleh. 2. Jadi, kita kena ubah mindset dengan tambah ilmu kewangan. 3. Lepas mindset berubah, maka tindakan pun akan berubah. 4. Apabila tindakan berubah, maka hasil pun akan berbeza. 5. Kita tak boleh nak ubah pulangan ASB, tapi kita ada peluang utk dapatkan pulangan yang lebih tinggi dari ASB. Mulakan dengan ILMU.
Kalau ada yang baru nak belajar ilmu pelaburan dan kewangan, boleh mulakan dengan belajar ilmu kewangan secara bermodul menggunakan buku Bijak Merancang Wang #BukuBMW di www.bukuBMW.com. Harga terlalu Palestin, RM37 sahaja. Dan janganlah expect, hari ni belajar ilmu, esok lusa dapat untung riban-riban? Takkanlah hari ini kahwin, esok dapat anak? Eh…
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hari ini merupakan hari ke 23 umat Islam berpuasa. Bermakna kurang dari beberapa hari lagi umat Islam akan meninggalkan Ramadhan, bulan penuh keberkatan, bulan penuh kemuliaan dan bulan penuh keampunan.
Mungkin bagi yang tidak merasai “manisnya” Ramadhan akan mula memburu baju raya, kuih raya dan sebagainya dan tidak merasakan pentingnya memburu lailatulqadar (malam 1000 bulan) yang Allah hanya beri kepada umat akhir zaman ini kerana usia kita pendek, sekitar 60-70 tahun sahaja, tidak seperti umat terdahulu yang usia mereka lama. Kenapa malam lailatulqadar sangat penting dalam kehidupan umat Islam dan apa kelebihannya jika dapat bertemunya? Dipetik dari pejabat Mutfi Wilayah Persekutuan yang pernah ditulis oleh Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, diceritakan kelebihan malam lailatulqadar ini.
Lailatulqadar…Carilah
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, kita telah melalui fasa puasa hampir 2/3. Justeru yang berbakinya sudah hampir kepada akhir Ramadan yang disangkakan terdapat padanya malam al-Qadar. Justeru, Bayan Linnas pada kali ini mengemukakan tajuk “Lailatulqadar…Carilah”.
Semoga kita dapat mengisi 10 malam terakhir dengan acara ibadat dan InsyaAllah dengannya kita memperolehi malam Lailatulqadar.
Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”(Surah al-Qadr: 1-3)
Perkataan Lailatulqadar adalah daripada dua kalimah:
Lailah yang memberi maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar atau berlawanan dengan siang hari.
Sedangkan al-Qadar pula memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan.
Para ulama berbeza pendapat apabila Qadar disandarkan kepada malam. Ada ulama berpendapat ianya kerana kemuliaan dan terdapat juga pendapat-pendapat lain. Ibn Qudamah berpendapat malam qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan. Lihat al-Mughni 3/178. Ibn al-Jauzi mengemukakan 5 pendapat berkenaan dengan nama malam qadar itu:
Sayid Qutub berkata: Terdapat ayat-ayat al-Quran yang menyebut peristiwa malam ini berkilauan memancarkan cahaya, ia melimpahkan cahaya yang tenang, indah dan mesra iaitu cahaya Allah yang gemilang di dalam al-Quran-Nya.
Syeikh al-Maraghi berkata: Malam itu ialah saat kemunculan sinar petunjuk dan hari permulaan bagi agama baru yang diturunkan kepada seseorang yang terbaik dalam kalangan seluruh manusia.
Malam ini dikira sebagai batu asas agama Islam yang menjadi penutup kepada seluruh agama para Nabi. Penurunannya adalah sesuai dengan tuntutan zaman dan tempat. Malam ini lebih baik daripada seribu bulan. Selama ini, mereka hidup dalam kegelapan syirik dan menyembah berhala. Mereka meraba-raba tanpa petunjuk dan tidak mengikut jalan kehidupan dan acuan yang sebenar.
Angka seribu mengikut kebiasaan bangsa Arab dikira sebagai suatu jumlah yang besar. Oleh itu, sebutan seribu di sini bukanlah seribu yang sebenarnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap seorang daripada mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun.” Pemilihan tempat dan waktu yang tertentu untuk diberikan keutamaan mempunyai hikmah tersendiri yang tinggi. Kemuliaan apa lagi yang lebih agung dari suatu malam yang menjadi permulaan turunnya cahaya dan petunjuk kepada seluruh manusia setelah berlalunya beberapa abad kaum Quraisy yang berada dalam kesesatan menyembah berhala.
Tiada lagi keagungan yang lebih tinggi dari suatu malam yang menjadi saat bersinarnya cahaya pengetahuan Ilahi ke hati Rasulullah SAW sebagai bukti rahmat kepada hamba-hambaNya. Seterusnya Nabi yang memberi khabar gembira dan buruk serta memimpin manusia ke jalan yang lurus. Baginda mendidik umat yang akhirnya dapat membebaskan diri sendiri dari belenggu perhambaan para pemerintah yang zalim. Baginda berusaha menyatukan perpecahan yang berlaku serta menyatukan mereka yang setelah sekian lama hidup berkelompok dan berpuak.
Sepatutnya umat Islam menjadikan malam kemuliaan ini sebagai malam perayaan! Malam inilah permulaan turunnya perundangan samawi (langit), yang membimbing umat Islam ke arah yang baik. Pada malam ini, mereka dapat memperbaharui janji di hadapan Tuhan mereka. Malam ini adalah pernyataan syukur terhadap segala nikmat-Nya serta mengharap pahala-Nya.
Maksudnya:“Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin TuhanNya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr: 4-5)
Ibn Kathir berkata: Zahir ayat menunjukkan bahawa malam Qadar lebih afdal daripada malam Jumaat. Walaupun begitu, ada juga pendapat yang mengatakan malam Jumaat lebih afdal. Inilah pendapat kebanyakan ulama Hanbali seperti Abil Hasan al-Jazari, Abdullah bin Battah, Abu Hafs al-Barmaki dan ramai lagi. Al-Mawardi menafsirkan maksud roh dengan menukilkan 4 pendapat:
Pada malam itu, para malaikat turun dari alam rohani sehingga diri mereka dapat dilihat oleh Nabi SAW. Jibril AS menampakkan dirinya kepada Nabi SAW bertujuan menyampaikan wahyu. Para malaikat dapat dilihat oleh jiwa yang sempurna ini dengan keizinan Allah SWT setelah Baginda sudah dipersiapkan bagi menerima wahyu dan menyampaikan ajaran yang mengandungi kebaikan kepada mereka.
Turunnya para malaikat ke bumi adalah salah satu urusan Allah SWT. Kita tidak perlu membahaskan tentang bagaimana cara mereka turun. Cukuplah kita meyakini perkara ini dan tidak perlu kita berusaha ingin tahu bagaimana selok-belok rahsia itu. Apa yang diketahui oleh orang yang berilmu hanyalah sebahagian kecil sahaja dari alam wujud ini. Malam itu merupakan perayaan bagi umat Islam di mana telah turunnya al-Quran dan merupakan malam kesyukuran, kebajikan dan kenikmatan. Malaikat menyertai manusia pada malam itu dan mereka mengetahui kelebihan malam tersebut dan betapa besarnya kelebihan manusia atas diri mereka. Seterusnya, Allah SWT menjadikan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi.
Kelebihan Malam Qadar
Para ulama berpendapat, sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Hal ini, berdasarkan nas yang terdahulu. Antara kelebihan malam ini ialah:
Waktu Atau Bilakah Berlakunya Lailatulqadar?
Diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, Baginda menghidupkan malam tersebut dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.
Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan yang bermaksud: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadan malebihi usahanya daripada malam-malam lain.”
Lailatulqadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil di bulan Ramadan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Carilah Lailatulqadar pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil.”
Adapun mereka yang menentukan malam Lailatulqadar ada banyak pendapat, antaranya:
Pertama:
Pendapat yang terkuat mengikut para ulama bahawa Lailatulqadar berlaku pada malam 27 Ramadan. Hujah mereka amat banyak, antaranya:
Kedua:
Pada malam 23 Ramadan. Inilah pendapat Imam Syafie. Inilah juga pendapat Malik, Ibn Khuzaimah, Abu Awanah dan al-Tahawi berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Unais bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada malam 23 Ramadan.”
Ketiga: Pada malam 21 Ramadan. Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Imam Shafie. Dia berdalilkan pada riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi daripada Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada akhir malam Ramadan.” Riwayat Ibn Nasr
Rahsia Menyembunyikan Lailatulqadar
Antara rahsia menyembunyikan Lailatulqadar ialah supaya menjadi pendorong kepada orang ramai untuk mencarinya. Juga supaya mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam menunaikan ibadah demi untuk mencari Lailatulqadar, seperti disembunyikan masa yang diperkenankan doa pada hari Lailatulqadar, disembunyikan masa yang diperkenan doa pada hari Jumaat dan namanya yang agung daripada segala nama serta keredhaan-Nya. Begitulah seterusnya. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita Lailatulqadar yang diisi dengan amal kebajikan dengan menghidupkan malam tersebut, seterusnya melayakkan kita mendapat keampunan daripada-Nya. Amin.
Alamat Malam Qadar
Sebahagian para ulama telah menyebut dalam kitab masing-masing berkenaan dengan sebahagian tanda dan alamat yang mungkin dapat dilihat oleh sebahagian hamba Allah yang diizinkannya pada setiap tahun daripada bulan Ramadan. Ini kerana, banyak hadis dan pengkhabaran orang soleh serta riwayat mereka yang telah membincangkan alamat tersebut, antaranya:
Seperkara yang penting ialah, jika seseorang mengetahui dan memanjangkan malam itu adalah Lailatulqadar adakah perlu diwarwarkan atau disembunyikannya? Dalam hal ini, jumhur ulama bersepakat bahawa sunat bagi siapa yang melihat pada malam qadar untuk menyembunyikannya. Lihat Fath al-Bari 4/268 dan al-Majmu’ 6/461. Antara hikmah disembunyikan malam Lailatulqadar adalah seperti yang disebut oleh Ibn Hajar. Beliau menukilkannya daripada Kitab al-Hawi: “Bahawa ia merupakan Karamah (kemuliaan). Hendaklah disembunyikannya (malam Lailatulqadar) tanpa khilaf antara ahli Tariq (orang yang menemui Lailatulqadar) dari memandang kepada jiwa kerana dibimbangi akan dibuang nikmat, lebih besar daripada itu akan berlaku riyak kepada ahli Tariq. Mengikut adabnya pula, janganlah ia sibuk menceritakan nikmat Allah iaitu pertemuan malam Lailatulqadar untuk diwar-warkan kepada manusia kerana dibimbangi berlaku hasad dengki.”
Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Diambil hak tersebut berdasarkan ucapan Yaaqub kepada anaknya Yusuf, tatkala bermimpi melihat bintang matahari dan bulan sujud kepadanya.” Firman Allah SWT:
Maksudnya:Bapanya berkata: “Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”(Surah Yusuf: 5)
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Berdasarkan perbincangan di atas, jelas menunjukkan kepada kita betapa mulia dan agungnya malam Lailatulqadar sehingga melebihi daripada 1000 bulan. Justeru, hendaklah kita lakukan amalan ibadat dengan bersungguh-sungguh tanpa sebarang pengabaian. Isikanlah dengan qiamullail, bacaan al-Quran, zikrullah, munajat dan doa. Terutamanya doa keampunan dan kerahmatan daripada-Nya.
Kami nyatakan di sini bagaimana Rasulullah SAW dan salaf as-soleh beribadat:
Maksudnya:“Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri-isterinya)” Riwayat Muslim: 2015
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh (beribadah) pada sepuluh akhir (Ramadan) melebihi kesungguhannya pada bulan-bulan yang lain”
Riwayat Ahmad
أحب إلي إذا دخل العشر الأواخر أن يتهجد بالليل و يجتهد فيه و ينهض أهله و ولده إلى الصلاة إن أطاقوا ذلك
Maksudnya:“Apabila masuknya sepuluh akhir Ramadan, aku lebih suka untuk melakukan tahajjud pada waktu malam dan bersungguh-sungguh melakukannya. Sufyan al-Thauri Rahimahullah juga akan mengejutkan ahli keluarganya untuk mendirikan solat seandainya mereka mampu melakukannya.” Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 160). Paling kurang pastikan solat fardhu kita dilakukan secara berjemaah.
يصلي العشاء في جماعة و يعزم على أن يصلي الصبح في جماعة و قال مالك في الموطأ بلغني أن ابن المسيب قال : من شهد ليلة القدر ـ يعني في جماعة فقد أخذ بحظه منها و كذا قال الشافعي في القديم : من شهد العشاء و الصبح ليلة القدر فقد أخذ بحظه منها Maksudnya: “Menghidupkan malam Lailatul Qadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat ‘Isya’ secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah jua. Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: Sesiapa yang bertemu dengan Lailatul Qadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperolehi kebaikan malam itu. Begitu jualah yang dikatakan oleh Imam asy-Syafie rahimahullah dalam pendapat lamanya: Sesiapa yang mendirikan solat Isya’ dan Subuh pada malam Lailatul Qadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya.” Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 159). Semoga kita semua meraih malam Lailatulqadar. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Rentetan serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza, Palestin, kita diseru membuat solat hajat dan membaca Qunut Nazilah bagi kesejahteraan dan keselamatan saudara seagama kita.
Namun kalangan kita mungkin masih ada yang belum memahami tentang apa itu qunut nazilah yang dimaksudkan ini.
Menurut mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, qunut pada asasnya merupakan suatu doa.
Terdapat dua jenis bacaan doa qunut iaitu Qunut Ratibah yang sering dibaca ketika solat Subuh pada iktidal rakaat kedua dan semasa solat sunat witir bermula pertengahan bulan Ramadan, ungkapnya.
“Satu lagi dikenali sebagai Qunut Nazilah. Inilah doa yang disunatkan untuk dibaca di dalam solat ketika berlaku sesuatu musibah atau bencana khususnya melibatkan Muslim,” katanya dipetik menerusi laman web maktabahalbakri.com.
Dr Zulkifli kemudian mengemukakan sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW membaca Qunut Nazilah ketika berlaku perkhianatan dan pembunuhan ke atas beberapa sahabat Baginda SAW.
Antaranya Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa: “Bahawasanya Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan meminta bantuan daripada Nabi Muhammad SAW untuk menyediakan kepada mereka beberapa orang lelaki untuk memerangi musuh mereka.
Maka Baginda SAW menghantarkan kepada mereka 70 orang lelaki dari golongan Ansar yang dikenali sebagai al-Qura’ (penghafaz al-Quran). Maka mereka ini membantu untuk mengumpul katu api pada siang dan bermunajat kepada ALLAH pada waktu malam. Ketika mana mereka (golongan Ansar) sedang berada di lembah Ma’una, mereka dibunuh dan dikhianati. Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah, Baginda membaca Qunut (Nazilah) selama sebulan dalam solat Subuh mendoakan (kecelakaan) ke atas puak Arab, Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan nas dan perbahasan para ulama, Dr Zulkifli menjelaskan, diharuskan untuk kita membaca Qunut Nazilah ketika umat Islam ditimpa musibah besar yang boleh memudaratkan agama suci itu dan Muslim secara keseluruhan sama ada diperangi secara nyata atau dikhianati musuh.
Qunut Nazilah boleh dibaca pada setiap solat fardhu: Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Ia dibaca pada rakaat terakhir selepas bangun dari Rukuk untuk iktidal. Doa dibaca ketika berdiri untuk Iktidal.
Ada tiga cara membaca doa tersebut, iaitu kita boleh memilih salah satu dari cara-cara berikut: -Membaca doa Qunut sepertimana yang biasa dibaca ketika solat Subuh. -Membaca Qunut Nazilah sahaja -Membaca Qunut subuh dan diikuti dengan Nazilah