Di media sosial, sering terlintas keperibadian seseorang melalui zodiak kelahirannya. Antara sengaja atau tak, sebagai manusia yang masih tercari-cari ilmu, tanpa sedar kita mungkin mempercayai ramai bintang ini. Hati-hati dengan pemikiran sebegini kerana membaca zodiak hukumnya harus walau tak digalakkan tapi mempercayainya, hukumnya syirik.
Baca pandangan Mufti Wilayah mengenai aplikasi zodiak yang mudah dimuat turun hari ini.
Jawapan:- Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, zodiak adalah garisan melengkung khayalan di langit yang terbahagi kepada 12 bahagian, dan tiap-tiap satunya dinamakan mengikut nama gugusan bintang dua belas. Salah satu cabang ilmu astrologi adalah berkaitan dengan zodiak (bintang 12).
Zodiak merupakan garisan yang dilalui oleh matahari dalam masa setahun. Garisan ini merupakan satu garisan melengkung khayalan (imaginary line). Dalam proses itu matahari dipercayai melalui 12 bahagian dan setiap bahagian akhirnya dinamakan mengikut nama gugusan bintang dua belas (Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagitarius, Capricorn, Aquarius dan Pisces).
Setiap bintang ini mempunyai kekuatan dan kelemahan, sifat-sifat yang tersendiri yang mempengaruhi kehidupan dan seseorang individu. Dengan melihat kepada kedudukan planet, kedudukan matahari dan bulan pada waktu kelahiran, karakter seseorang dapat diketahui dengan terperinci.
Maksudnya: “Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui.” (Surah al-An’am: 97)
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.” (Surah al-Mulk: 5)
Berkata Qatadah: Allah SWT menciptakan bintang-bintang ini dengan tiga fungsi:
IKLAN
Hiasan bagi langit-langit
Alat-alat pelempar syaitan
Panduan atau penunjuk arah
Barangsiapa yang mentakwilkannya kepada selain daripada 3 fungsi di atas, maka itu adalah pendapatnya sendiri yang keliru serta memberatkan dirinya terhadap apa yang dia tidak tahu. (Lihat Tafsir al-Tabari, 12/166)
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengambl bagian dari ilmu bintang maka ia telah mengambil bagian dari ilmu sihir.” (Riwayat Abu Daud, no. 3905)
Menurut Ibn Ruslan, apa yang dilarang adalah berhubung ilmu berkenaan alam semesta yang tidak berlaku atau bakal berlaku di masa hadapan. Mereka mendakwa memperolehnya pengetahuan tentangnya daripada rahsia bintang-bintang pada peredarannya, perhimpunannya dan perpisahannya. Hal ini berkait rapat dengan ilmu yang menjadi hak milik-Nya.
Ada pun ilmu bintang-bintang yang dengannya dikenali gelinciran matahari dan arah kiblat, berapa hari yang telah berlalu, berapa pula baki yang tinggal, tidak termasuk dalam larangan di atas. Apa yang dilarang adalah perbincangan tentang kedatangan hujan, turunnya salji, bertiupnya angin (ini tidak berkaitan dengan ramalan cuaca) dan berubahnya harga barang. (Lihat Nail al-Autar, 7/152)
Membaca zodiak
Hukum sekadar membaca tanpa mempercayainya adalah harus. Pun begitu, ianya tidak digalakkan kecuali atas keperluan, misalnya kajian.
Mempercayai zodiak
Hukum mempercayainya adalah syirik. Perbuatan syirik kepada Allah SWT antara dosa-dosa besar yang Allah SWT memberikan ancaman azab kepada pelakunya. Allah SWT berfirman:-
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”,(Surah al-Nisa: 48)
Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa ia bermaksud Allah SWT tidak mengampun dosa sesiapa yang bertemu denganNya dalam keadaan melakukan syirik kepadaNya (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 1/86). Pun begitu, Allah SWT mengampunkan dosa orang musyrik apabila dia sempat bertaubat kepada Allah SWT sebelum dia meninggal dunia dan bertemu denganNya dalam keadaan yang beriman.
Perbuatan yang zahirnya menunjukkan bahawa seseorang itu mensyirikkan Allah SWT itu merupakan perbuatan yang berdosa. Walaubagaimanapun ia tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam secara pasti, kerana masih terdapat keraguan padanya sama ada dia melakukannya dalam keadaan jahil, tidak sedar dan tidak beriktikad seperti yang disangka.
Imam al-Sanusi dalam al-Muqaddimat membahagikan syirik kepada enam jenis:
Syirik istiqlal: Menetapkan adanya dua tuhan atau lebih yang berlainan seperti akidah Majusi seperti Hormazd dan Yazdan (Ahura Mazdan dan Aingra Mainyu)
Syirik tab’id: Menyatukan tuhan daripada beberapa oknum seperti akidah Triniti agama Kristian.
Syirik taqrib: Beribadah kepada sesuatu selain daripada Allah SWT dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ianya seperti menyembah malaikat, bulan, bintang, matahari dan lain-lain.
Syirik taqlid: Beribadah kepada Allah kerana mengikut orang lain sebagaimana yang disebutkan dalam Surah al-Zukhruf ayat 23.
Syirik asbab: Menyandarkan satu kesan terhadap sebab tertentu yang bersifat adat seperti berpegang bahawa manusia kenyang kerana makan, dan bukan Allah SWT yang mengenyangkannya. Ini seperti syiriknya ahli falsafah dan naturalis
Syirik aghrad: Beramal kerana selain daripada Allah SWT untuk mendapat pujian dan sanjungan manusia iaitu riak.
Bagi no. 1 – 4, seseorang itu dikira kufur secara ijmak. Bagi no. 6, ianya dikira maksiat dan tidak kufur secara ijmak. Adapun bagi no. 5, ia memerlukan perincian. Jika ianya disandarkan kepada sebab tertentu semata-mata, maka dia dikira kufur secara ijmak. Jika dia meyakini bahawa ianya memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk, dia dikira fasik dan ahli bid’ah. (Lihat al-Nasamat al-Quddusiyyah Syarh al-Muqaddimat al-Sanusiyyah, m. 50-55).
Dalam hal ini, kami cenderung menyatakan Muslim yang mempercayai zodiak termasuk dalam syirik asbab kerana mereka umumnya mempercayai ianya memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk. Maka, mereka dikira fasik dan ahli bid’ah dan sudah pasti berdosa.
Bertemu dengan peramal
Diriwayatkan oleh Safiyyah R.Anha, daripada para isteri Nabi SAW, bahawa Baginda pernah bersabda:-
Maksudnya: “Barangsiapa mendatangi ‘arraaf (dukun) dan bertanya kepadanya akan sesuatu, tidak akan diterima salatnya selama empat puluh malam”. (Riwayat Muslim, no. 125)
Pada riwayat yang lain Baginda SAW bersabda,
مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ عَرَّافًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ Maksudnya: “Barangsiapa mendatangi kahin atau arraaf (dukun) dan dia membenarkan ucapannya maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad (Al Qur’an)”.(Riwayat Ahmad, no. 9536).
IKLAN
Ibnul Athir menjelaskan bahawa ‘arraaf (peramal) adalah ahli nujum yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib padahal hanya Allah SWT yang mengetahui persoalan ghaib. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 3/442) Tukang ramal ini termasuk dalam kategori kahin (dukun).
Al-Baghawi pula menerangkan: ‘Arraaf adalah orang yang mengaku mengetahui perkara-perkara tertentu dengan cara-cara tertentu yang dipakai sebagai petunjuk akan barang hilang atau tempat hilangnya barang dan semisalnya. Sedangkan kahin adalah orang yang memberitahu akan peristiwa-peristiwa yang akan terjadi pada masa akan datang. Dan pendapat lain mengatakan kahin adalah orang yang mengetahui apa yang ada di dalam hati (mengetahui isi hati/membaca fikiran). (Lihat Syarh al-Sunnah, 12/182)
Kedua-dua hadith ini terkandung ancaman Nabi SAW terhadap dua jenis manusia. Pertama, mereka yang datang kepada bomoh atau dukun dengan niat hanya untuk bertanya. Kedua, mereka yang datang kepada bomoh atau dukun untuk bertanya lalu mempercayainya. Masing-masing berada dalam keadaan yang berbeza dan baginda Rasulullah SAW juga menjelaskan tentang akibatnya yang juga berbeza.
Dalam konteks moden, hal ini mungkin hampir tidak berlaku lagi. Namun, ianya boleh diqiyaskan dengan memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar dengan niat untuk mengetahui nasib. Mereka yang sengaja memuat turun atau melanggan dengan niat untuk mengetahui nasib ini dikhuatiri menyamai maksud hadith “mendatangi ´arraf” yang sudah pasti tidak diterima solatnya selama 40 malam.
Menurut Imam al-Nawawi, “Maksud tidak diterima solatnya adalah orang tersebut tidak mendapatkan pahala. Namun solat yang dia lakukan tetap dianggap dapat menggugurkan kewajiban solatnya dan dia tidak perlu untuk mengulangi solatnya.” (Syarh Shahih Muslim, 14/227). Ini bermakna, solatnya adalah sia-sia.
Bagi mereka yang memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar dengan niat untuk mengetahui nasib dan mempercayainya, hal ini secara jelasnya adalah haram dan berdosa besar.
Manakala, bagi mereka yang memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar bagi tujuan kajian semata-mata tanpa mempercayainya, ianya adalah diharuskan.
Kesimpulan
Tiada seorangpun yang mengetahui perkara ghaib, melainkan Allah ‘Azza wa Jalla. Firman-Nya di dalam al-Qur’an al-Azim:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah, hanya miliknya bilakah berlakunya kiamat, dan Dia Mengetahui apa yang ada di dalam rahim-rahim. Tiada seorangpun yang tahu apa yang dia akan lakukan pada hari esok, dan tiada seorangpun tahu di mana dia akan menemui kematian. (Surah Luqman: 34)
Firman Allah SWT lagi:-
قُلْ لا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ
Maksudnya: Katakanlah, tidak ada satupun di langit dan dibumi yang mengetahui hal ghaib, kecuali Allah. (Surah al-Naml: 65)
Jelas daripada dalil-dalil di atas, bahawa kepercayaan berhubung astrologi, mengetahui sifat seseorang melalui tarikh atau nombor tertentu melalui ilmu numerologi adalah berdosa dan dilarang di sisi Islam. Kami lampirkan di sini beberapa keadaan dan hukumnya:
Meyakini zodiak boleh menentukan nasib baik dan buruk seseorang boleh membawa kepada kekufuran.
Memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya dengan niat untuk menggunakannya bagi mengetahui nasib dengan tujuan hobi atau sekadar suka-suka, dikira fasik dan berdosa besar.
Memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar dengan niat untuk menggunakannya bagi mengetahui nasib dan meyakininya tetapi masih beriman bahawa ianya berlaku dengan daya yang dijadikan oleh Allah SWT, ia adalah diharamkan. Mereka dikira fasik dan ahli bid’ah dan sudah pasti berdosa besar kerana melibatkan syirik.
Memuat turun aplikasi zodiak atau melanggannya di telefon pintar bagi tujuan kajian semata-mata (khusus bagi tujuan penyelidikan) tanpa mempercayainya, ianya adalah diharuskan.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Soalan saya berkaitan dengan ungkapan yang mana satu yang sesuai untuk diucapkan pada seseorang yang akan mengerjakan haji/umrah, (Mabrur atau Makbul).
Jawapan
Ucapan bagi seseorang yang ingin menunaikan haji atau umrah, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW berkata:
Maksudnya: Rasulullah SAW apabila menghantarkan seseorang baginda akan bersalaman dengannya dan tidak melepaskannya hingga orang tersebut yang melepaskan tangan Nabi SAW, dan beliau mengatakan:
“Serahkanlah kepada Allah agamamu, amanahmu dan pengakhiran amalanmu”.
Ini merupakan amalan Rasulullah SAW yang direkodkan di dalam Sunan al-Tirmizi apabila ada dalam kalangan para sahabat ingin bermusafir.
Secara umumnya, mendoakan seseorang adalah perbuatan yang mulia dan kita digalakkan berdoa sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, pada waktu yang sama sebarang bentuk lafaz doa bagi mendoakan kebaikan terhadap seseorang boleh dilakukan.
Selain dari doa di atas berdoalah dengan mana-mana doa yang sesuai seperti mendoakan agar amalannya diterima, dipermudahkan segala urusan, dikurniakan kesihatan dan lain-lain doa yang membawa maksud kebaikan kepada seseorang.
Dari sudut makna doa sama ada maqbul atau mabur pula: Maqbul ( مقبول) membawa bermaksud : Diterima Mabrur (مبرور ) membawa maksud : Amalan yang tidak bercampur dengan perkara-perkara yang merosakkan ibadah Haji atau umrah tersebut.
Kedua-duanya sesuai digunakan tetapi yang lebih menepati konteks haji dan umrah adalah Mabrur.
Solat merupakan salah satu Rukun Islam yang perlu setiap orang Islam lakukan dengan solat fardu 5 kali setiap hari. Ia wajib dilakukan tanpa gagal kecuali bagi mereka yang dalam keuzuran seperti mana yang dibenarkan syarak.
Sering kali kita dengar bahawa solat itu adalah tiang agama. Dengan solat kehidupan seharian kita akan lebih aman, teratur dan diberkati oleh Allah SWT.
Setiap umat Islam pasti mengharapkan agar ibadah yang dilakukan diterima sebaiknya oleh Allah SWT untuk mencari keredaan-Nya.
Walaupun kadangkala ibadah sudah dilakukan namun berapa pastikah anda bahawa ia diterima oleh ALLAH SWT?
Terdapat banyak sebab mengapa solat itu tidak diterima, antaranya tidak sempurna rukun dan pergerakan dalam solatnya.
Tapi bagaimana kita nak tahu solat yang dilakukan selama ini diterima atau tidak?
KASHOORGA tertarik dengan perkongsian dilakukan oleh pendakwah Ustaz Mohd Fahmi Rusli. Beliau menjelaskan antara tanda ibadah berkenaan diterima apabila solat berkenaan mampu menghalang kita daripada melakukan perkara keji dan mungkar.
Jelas beliau lagi, ALLAH SWT menyifatkan solat sebagai benteng yang menjadi penghalang kita daripada melakukan perbuatan yang tidak disukai-NYA.
Ini kerana, dalam menyifatkan solat Allah S.W.T menyatakan :
Maksudnya : Sesungguhnya solat menghalang kita dari melakukan perkara keji dan mungkar.
Surah Al-Ankabūt (45)
Manakala meninggalkan perkara keji dan mungkar adalah termasuk dalam ketakwaan.
Demikian Allah S.W.T menyatakan :
إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ
Ustaz Mohd Fahmi menambah, ALLAH SWT turut menyatakan perihal amalan orang yang bertakwa menerusi kalam-NYA.
ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya ALLAH hanya menerima (amalan) daripada orang yang bertakwa.” (Surah al-Ma’idah, ayat 27)
“Maka, gabungan dua ayat ini menatijahkan kenyataan: ‘Antara tanda solat kita diterima adalah saat ia menghalang kita daripada melakukan perkara keji dan mungkar’ di atas,” katanya.
Di dalam kitab al-Targhib wa Tarhib, Zakiyuddin al-Mundziri ada menjelaskan tentang sebuah hadis qudsi berkaitan tanda-tanda yang mengisyaratkan solat seorang hamba diterima oleh-NYA.
Antaranya adalah:
1. ALLAH SWT menerima solat seseorang yang tawaduk ketika menunaikan ibadah itu di hadapan kebesaran-NYA. Sifat tawaduk itulah akan memunculkan kekhusyukan dalam solat seseorang berkenaan.
2. Orang yang tidak menyombongkan diri.
3. Orang yang tidak terus-menerus berada dalam kemaksiatan.
4. Orang yang menggunakan waktu siang untuk terus mengingati ALLAH SWT dan merasakan ALLAH selalu berada dekat dalam hidupnya. Bahkan, dirinya selalu merasakan ALLAH sentiasa memerhati setiap inci gerak-gerinya.
5. Mereka yang cintakan kepada fakir miskin, ibnu sabil (orang yang bermusafir) dan mengambil berat mereka yang ditimpa musibah.
Esok, mereka yang beragama Kristian akan meraikan sambutan Merry Christmas yang jatuh setiap 25 Disember saban tahun.
Sebagai negara berbilang kaum dan hidup majmuk kerana ada kalangan kawan-kawan menganut agama yang berbeza, tentunya bila setiap kali perayaan mereka tiba, kita berhasrat mengucapkan ucapan tahniah.
Namun apakah hukumnya mengucapkan Merry Christmas kepada yang beragama Kristian ini. Ikuti penjelasan dari Mufti Wilayah Persekutuan mengenai ucapan tahniah ini.
Alhamdulillah, pujian yang mutlak kepada-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarganya, sahabatnya dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan. Sehari dua ini, banyak persoalan yang sampai ke meja kami berkaitan isu mengucapkan Merry Christmas kepada penganut Kristian. Sebenarnya, isu ini telah kami ulas dengan panjang lebar pada 19 Disember 2016. Isu ini sering menimbulkan polemik dan salahfaham baik dalam kalangan bukan Muslim, malah umat Islam sendiri. Kami menerima beberapa persoalan berkaitan ini daripada mereka yang mempunyai hubungan secara langsung dengan bukan Muslim baik secara kekeluargaan, kerjaya, mahupun kerana tinggal dalam kawasan kejiranan yang sama seperti sebahagian masyarakat Malaysia di Sabah dan Sarawak, mahupun Semenanjung.
Apabila isu ini masih berulang lagi saban tahun, kami terpanggil untuk menekuni semula isu ini dan membuat sedikit kajian ilmiahdalam kerangka fiqh kontemporari yang diistinbatkan daripada teks-teks agama, maslahah, sirah umat Islam, dan fiqh realiti. Justeru, Tahqiq Masail pada kali ini kami namakan dengan Hukum Seseorang Muslim Mengucapkan “Merry Christmas” Kepada Mereka Yang Beragama Kristian.
Semoga dengan penjelasan ini dapat menutup pintu-pintu perselisihan kerana pada hakikatnya, isu ini adalah isu ijtihadi dan tidak mutlak keharaman dan keharusannya. Ianya bergantung kepada keadaan dan situasi semasa seseorang.
Islam Agama Rahmat
Sesungguhnya Rasulullah SAW itu sendiri datang untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
(Surah al-Anbiya’: 107)
Dr. ‘Aidh al-Qarni dalam bukunya, Rahmatan li al-‘Alamin menyebut beberapa tafsiran, antaranya:
Baginda SAW merupakan seorang manusia utusan Allah SWT.
Baginda SAW datang untuk membela nasib umat yang lemah, tertindas, terkebelakang dan terpenjara dengan pelbagai kezaliman.
Baginda SAW datang untuk mengangkat maruah mereka sehingga setaraf dengan bangsa lain.
Baginda SAW membina satu tamadun baru di antara sekalian tamadun yang sedia ada dan ia menjadi tamadun yang paling tinggi nilainya.
Rasulullah SAW telah mengeluarkan kita dari Semenanjung Arab yang tandus tanpa wujudnya sungai, kebun, mahupun tumbuh-tumbuhan, menjelajahi seluruh pelusuk bumi.
Islam adalah agama yang membawa rahmat, keamanan dan segala kebaikan. Allah SWT telah memerintahkan kepada kita untuk berlaku baik kepada semua manusia, tanpa sebarang perbezaan dengan dalil yang umum dan jelas:
وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا Maksudnya: “…dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik.”
(Surah al-Baqarah: 83)
Syeikh Al-Maraghi berkata: “Oleh sebab itu, dalam memenuhi hak setiap anggota umat atau seluruh manusia memadailah dengan pergaulan dan perkataan yang baik, menyuruh berbuat baik, mencegah perbuatan mungkar dan perbuatan lain bermanfaat di dunia dan akhirat.” (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 1/174)
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan…”
(Surah al-Nahl: 90)
Sayyid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Ihsan mempunyai pengertian yang amat luas. Setiap perbuatan yang baik adalah ihsan belaka. Perintah berbuat ihsan dalam ayat itu merangkumi segala perbuatan dan muamalah. Ia merangkumi segala ruang kehidupan yang berkaitan dengan hubungan-hubungan seorang hamba dengan Allah, hubungan dengan keluarganya, hubungan dengan masyarakatnya dan hubungan dengan seluruh manusia yang lain. (Rujuk Fi Zilal al-Qur’an, 10/102)
Definisi Merry Christmas
Merry menurut English Oxford Living Dictionaries adalah “cheerful and lively” (ceria dan meriah). Ia berasal daripada Bahasa Inggeris klasik – myrige – iaitu “pleasing, delightful” (menyenangkan, menggembirakan).[1]
Christmas pula bermaksud “The annual Christian festival celebrating Christ’s birth, held on 25 December in the Western Church” (Festival tahunan penganut Kristian bagi menyambut kelahiran Christ, diadakan pada 25 Disember di Gereja Roman Katolik).[2] Ia berasal daripada Bahasa Inggeris klasik – Crīstes yang merujuk kepada Jesus Chris[3] dan mæsse iaitu sambutan jamuan suci (eucharist) bagi penganut Kristian khususnya gereja Roman Katolik.[4]Mass juga merujuk kepada upacara mingguan pada hari Ahad di gereja-gerja Katolik, begitu juga upacara pada Holy Days of Obligation. Ia berasal daripada Bahasa Latin; missa. Ia digunapakai pada penghujung liturgy apabila paderi berkata: Ite missa est ataupun boleh difahami dengan maksud “Upacara ini telah tamat. Bersurailah dalam keamanan (The Mass is ended. Go in peace).”[5]
Oleh itu, Crīstesmæsse dapat difahami sebagai Christ’s Mass iaitu sambutan kelahiran Jesus Christ, walaupun terdapat beberapa perbezaan pandangan tentang tarikh kelahiran Jesus Christ. Sambutan ini ditonjolkan dengan menzahirkan kegembiraan dan majlis keraian bagi kelahiran Jesus bagi menggantikan tradisi Roman Saturnalia dan perayaan-perayaan pagan yang lain sebelumnya.
Sambutan ini mula berubah bentuk di England pada abad ke-19 melalui kemasukan budaya German (pokok Krismas) oleh Prince Consort dan pengaruh Charles Dickens menerusi novella beliau yang terkenal, A Christmas Carol.[6] Lihat juga kupasan yang lebih terperinci dalam Religious Celebration: An Encyclopedia Of Holidays, Festivals, Solemn Observances, And Spiritual Commemorations, 1/211.
Populasi Penganut Kristian di Malaysia
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penganut Kristian di Malaysia adalah ketiga terbesar di Malaysia iaitu mencapai 9.2% daripada keseluruhan rakyat Malaysia.[7] Ia meliputi beberapa aliran dalam Kristian di Malaysia sama ada yang ramai pengikut atau amat sedikit iaitu Roman Catholic, Protestant, Anglican, Baptist, gereja-gereja tanpa aliran khusus, gereja-gereja Karismatik, Lutheran, Methodist, Presbyterian dan Brethren.[8] Melihat kepada hal ini, keberadaan dan hak mereka untuk hidup bersama-sama sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia perlu diraikan dengan sewajarnya.
Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”
(Surah al-Hujurat: 13)
Al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita semua diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah dan tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan. (Rujuk Al-Kasysyaf,4/374)
Kita perlu sedar bahawa hubungan dan kesatuan antara kita sesama manusia adalah bertaut pada semangat kemanusiaan (insaniyyah/humanity) dan bukannya pada faham creedal nation (al-ummah al-‘aqidiyyah). Fitrah kemanusiaan yang menginginkan keamanan, kebersamaan dan keadilan inilah yang boleh memandu kita dalam menghargai fiqh kewujudan bersama dalam kepelbagaian ini. Adalah menjadi satu keperluan bagi seluruh manusia untuk sedar bahawa sejauh mana perbezaan warna kulit, bangsa, politik dan agama, mereka adalah tetap bersaudara.
Terlalu banyak contoh-contoh dalam al-Qur’an, bagaimana para Nabi dinamakan kepada kaum masing-masing oleh Allah SWT sebagai “saudara” walaupun bagi kaum yang menentang Nabi mereka:
وَإِلَى ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا
Maksudnya: “Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh.”
Maksudnya: Mereka berkata: “Tangguhkanlah dahulu (sebarang tindakan) terhadapnya dan terhadap saudaranya, serta hantarkanlah ke bandar-bandar (negeri Mesir) orang-orang yang mengumpulkan (ahli-ahli sihir).”
Surah al-Syu’ara (36)
وَإِلَى عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا
Maksudnya: “Dan kepada kaum ‘Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Hud…”
Surah Hud (50)
وَإِلَى مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا
Maksudnya: “Dan kepada penduduk Madyan, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Syuaib.
Surah Hud (84)
Hatta, dalam sejarah jelas menukilkan kata-kata Ibn ‘Abbas:
Maksudnya: “Sekiranya Fir’aun berkata kepadaku: ‘Semoga Allah memberkati kamu.’ Nescaya aku akan menjawab: ‘Kepada kamu jua.”
Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (1113)
Diriwayatkan bahawa seorang Majusi berkata kepada Ibn Abbas: Assalamualaikum. Maka jawab Ibn Abbas: Wa’alaikummussalam warahmatullah. Lantas sahabatnya bertanya kepadanya: “Adakah kamu kata kepadanya warahmatullah?” Maka jawab Ibn Abbas: “Tidakkah dalam rahmat Allah lah dia dapat hidup?”
Dr Yusuf al-Qaradhawi membuat komentar dengan menyatakan: “Ini jelas menunjukkan kepada kita, jika kita mahu menyeru mereka kepada Islam, mendekatkan mereka kepada Islam dan kita mengasihi mereka kepada orang-orang Islam, maka tidak akan tercapai hasrat tersebut dengan menjauhkan jurang antara mereka dengan kita.” (Lihat Fatawa Mu’asirah, 3/672)
Ini bermakna, perbezaan fahaman apatah lagi pegangan tidak menjadi masalah bagi Muslim untuk menerima dan menanggapi bukan Muslim sebagai seorang saudara, yang bersusurgalurkan daripada Adam dan Hawa.
Hukum Mengucapkan Tahniah Atas Sambutan Krismas
Para ulama’ berbeza pandangan dalam menyatakan hukum mengucapkan tahniah bagi perayaan bukan Muslim atau dalam konteks soalan, Hari Krismas. Ini kerana, sebahagian ulama’ yang mengharamkannya melihat ucapan “tahniah” ini membawa konotasi mengiktiraf agama lain, dan menyebarkan syiar mereka. Manakala, bagi ulama’ yang membenarkannya pula melihat ia adalah harapan bagi keselamatan dan keamanan, atau simbol hubungan sosial dengan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, tanpa berniat untuk mengiktiraf kebenaran agama lain. Kami nyatakan di bawah, pandangan kedua-dua golongan tersebut.
Pertama: Diharamkan Mengucap Tahniah
Secara umumnya, jumhur ulama’ keempat-empat mazhab mengharamkan ucapan tahniah kepada orang bukan Islam sempena perayaan mereka.
Mazhab Syafie: Menurut Imam al-Damiri ketika mensyarahkan perkataan Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj, dihukum ta’zir bagi sesiapa yang mengikuti orang-orang kafir dalam perayaan-perayaan mereka, siapa yang memegang ular, sesiapa yang memasuki api, sesiapa yang berkata keada seorang kafir zimmi: “Wahai Haji”, sesiapa yang mengucap tahniah kepadanya dalam satu perayaan, dan sesiapa yang menamakan penziarah kubur orang-orang soleh (atas tujuan yang syirik) sebagai ” Haji “. ” (Lihat al-Najm al-Wahhaj, 9/244)
Hujah yang sama juga dibawakan oleh Imam al-Ramli dalam Hasyiah al-Ramli ‘ala Asna al-Matalib, al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj, 4/255 dan al-Iqna’ fi Halli Alfazh Abi Syuja’, 2/526. Maksud muwafaqah orang-orang kafir adalah “melakukan apa yang mereka lakukan di hari perayaan mereka, dan ini haram.” (Lihat al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 5/21). Begitu juga penegasan Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj, 9/181; Syeikh Zakaria al-Ansari (Asna al-Mathalib, 4/162), Ibn Hajar al-Haitami (Tuhfah al-Muhtaj, 9/181) dan Hasyiah Qalyubi wa ‘Umairah, 4/206.
Mazhab Hanafi: Menurut Abu Hafs al-Kabir dari mazhab Hanafi, jika seorang lelaki beribadah kepada Allah 50 tahun lamanya, kemudian datangnya Hari Nairuz dan dia menghadiahkan telur kepada sebahagian musyrikin dengan tujuan mengagungkan hari tersebut, maka telah jatuh kafir dan terhapus amalannya. (Lihat Al-Bahr al-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq, 8/555).
Mazhab Maliki: Ibn al-Haj al-Maliki secara ringkasnya melarang orang Islam melakukan apa yang orang bukan Islam lakukan di hari perayaan mereka. (Lihat al-Madkhal, 2/46-48).
Mazhab Hanbali: Imam al-Buhuti menjelaskan bahawa hukum mengucapkan tahniah kepada bukan Islam sewaktu perayaan mereka adalah diharamkan kerana ia merupakan satu bentuk pengagungan kepada mereka. (Lihat Kasyf al-Qina’, 3/131)
Ibn Taimiyyah menegaskan bahawa tidak halal bagi umat Islam untuk menyerupai mereka (orang-orang bukan Islam) pada sesuatu pun dari perkara-perkara yang terkait secara khusus dengan perayaan mereka. Tidak menyerupai dari sudut makanan, pakaian, mandian, menyalakan api, serta tidak pula menyerupai mereka pada perkara yang membatalkan adat dari sudut kehidupan atau ibadah, atau selainnya. Demikian juga tidak halal melakukan perkahwinan, pemberian hadiah, dan menjual perkara-perkara yang digunakan untuk membantu hal tersebut. Begitu juga tidak membiasakan kanak-kanak dan seumpamanya untuk bermain permainan yang terdapat di dalam perayaan tersebut, serta tidak menzahirkan perhiasan.
Secara keseluruhan, tidak boleh bagi mereka (umat Islam) untuk mengkhususkan perayaan-perayaan orang bukan Islam dengan perbuatan yang merupakan syiar agama mereka. Bahkan hari perayaan mereka di sisi umat Islam adalah sama seperti hari-hari lain yang tidak dikhususkan oleh orang-orang Islam.
Adapun sekiranya umat Islam melakukannya kerana ditimpa satu keperluan, maka sebahagian ulama salaf dan khalaf telah memakruhkan hal tersebut. Adapun mengkhususkannya dengan perkara yang telah disebutkan sebelum ini maka tidak ada sebarang perbezaan pandangan di sisi para ulama. Bahkan ada sekumpulan ulama yang berpendapat kepada kekufuran mereka yang melakukan perbuatan-perbuatan seperti ini. Ini kerana terdapat pada perbuatan tersebut mengagungkan syiar-syiar yang kufur. Berkata sebahagian ulama: Sesiapa yang menyembelih nathihah (haiwan) pada hari perayaan mereka seakan-akan dia menyembelih seekor khinzir.
Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘Ash telah berkata: Sesiapa yang mencontohi negara-negara ‘ajam dan melakukan Nairuz dan mahrajan (perayaan) mereka serta menyerupai perbuatan mereka sehinggalah dia meninggal dunia dalam keadaan tersebut, maka dia akan dibangkitkan bersama-sama mereka pada Hari Kiamat.
Amirul Mu’minin Umar bin al-Khattab, para sahabat, dan keseluruhan para pemimpin umat Islam telah mensyaratkan supaya mereka tidak menzahirkan perayaan-perayaan mereka di negara umat Islam. Bahkan merek (orang bukan Islam) hanyalah melakukannya (perayaan tersebut) di rumah-rumah mereka secara sembunyi.
Beberapa orang dari kalangan ulama salaf dalam menafsirkan firman Allah S.W.T :
وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ
Maksudnya: Dan golongan yang tidak menyaksikan perkara dusta.
Mereka berkata: (Iaitu tidak menyaksikan) perayaan-perayaan kufur. Sekiranya ia merupakan suatu penyaksian dari kita tanpa sebarang perbuatan, maka bagaimakah pula dengan perbuatan-perbuatan yang menjadi khususiat (ciri keistimewaan) mereka ?
Begitu juga telah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W di dalam Al-Musnad dan juga Al-Sunan baginda bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: Sesiapa yang bertasyabbuh dengan sesuatu kaum maka dia sebahagian dari mereka.
Dalam lafaz yang lain Nabi S.A.W bersabda:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَشَبَّهَ بِغَيْرِنَا
Maksudnya: Bukan dari kalangan kami mereka yang menyerupai selain kami.
Ia merupakan hadis yang Jayyid.
Sekiranya ini merupakan kesan perbuatan menyerupai mereka (orang bukan Islam), sekalipun ia merupakan perbuatan adat, bagaimanakah dengan menyerupai mereka pada perkara yang lebih daripada itu.
Jumhur para ulama telah memakruhkan – sama ada makruh tahrim atau makruh tanzih – perbuatan memakan sembelihan orang bukan Islam untuk perayaan mereka serta korban mereka. Kerana termasuknya ia ke dalam perkara yang disembelih kerana selain Allah.
Demikian juga mereka (para ulama) melarang dari perbuatan membantu mereka (orang bukan Islam) dalam perayaan mereka seperti memberi hadiah atau berjual beli. Kata mereka: Sesungguhnya tidak halal bagi umat Islam untuk menjual sesuatupun perkara untuk keperluan perayaan mereka kepada orang-orang Nasrani. Tidak (dijual) daging, darah, pakaian, serta tidak memberi pinjam haiwan tunggangan, dan tidak membantu sedikitpun untuk perayaan mereka. Ini kerana, yang demikian itu merupakan perbuatan mengagungkan kesyirikan mereka serta membantu kekufuran mereka.
Para pemerintah juga hendaklah melarang umat Islam dari melakukan perkara tersebut. Ini kerana Allah S.W.T berfirman:
Maksudnya: Dan saling membantulah ke atas perkara kebaikan dan ketakwaan dan jangan saling membantu atas perkara dosa dan permusuhan.
Kemudian umat Islam tidak halal baginya untuk membantu mereka di atas perbuatan minum arak serta memerahnya, atau seumpamanya. Bagaimanakah pula ke atas perbuatan yang merupakan syiar-syiar kufur ? Sekiranya membantu sahajapun tidak dihalalkan buat dirinya, bagaimanakah dengan dia sendiri yang melakukannya ? (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 2/487-489)
Kesepakatan ini juga dinyatakan oleh Ibn al-Qayyim. Katanya: “…dan adapun memberi tahniah kepada syiar-syiar bukan Islam yang khusus dengannya maka adalah haram dengan disepakati para ulama’ seperti memberi tahniah pada perayaan-perayaan mereka dan puasa mereka seperti dikata: ” ‘Eid Mubarak” (Selamat Hari Raya”) atau “Tahniah dengan perayaan ini” dan seumpamanya. Dan hukum ini (haram) jika selamat pengucapnya daripada kufur maka ia adalah haram seumpama memberi tahniah kepada kafir atas sujudnya pada salib bahkan itu lebih besar dosanya di sisi Allah daripada memberi tahniah kepada peminum arak dan pembunuh dan penzina dan seumpamanya.” (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, 1/441)
Maksudnya: dan (hamba-hamba Ar-Rahman itu) mereka tidak menghadiri Az-Zur dan apabila mereka melintas dengan perkara yang sia-sia mereka lalu dengan penuh kemuliaan.
Surah al-Furqan (72)
Abu al-‘Aliyah, Tawus, Ibn Sirin, al-Dahhak, al-Rabi’ bin Anas dan lain-lain berkata: “makna al-Zur ialah ‘Perayaan-perayaan Musyrikin”. Ulama’ lain menyatakan ia adalah majlis yang terdapat padanya nyanyian dan muzik. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 3/309)
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah daripada kalangan mereka.
Riwayat Abu Daud (4031) dan al-Tabarani (8327)
Syeikh Nasiruddin menyebutkan: “Agama Islam telah pun menggariskan suatu ketetapan bahawa seseorang penganut Islam daripada kalangan lelaki dan wanitanya tidak harus meniru atau mencontohi orang-orang bukan Muslim seluruhnya sama ada dari segi peribadatan, perayaan dan perhiasan yang khusus yang tertentu hanya kepada kalangan mereka sahaja.
Maksudnya: “Bukanlah daripada kami sesiapa yang meniru dengan selain kami. Janganlah meniru Yahudi dan Nasrani dan sesungguhnya salam Yahudi itu dengan isyarat jari dan salam Nasrani itu dengan tapak tangan.”
Riwayat al-Tirmizi (2695)
Bagi para ulama’ yang mengharamkannya, perbuatan mengucapkan tahniah itu adalah bercanggah dengan firman Allah SWT:
إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلام Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”
Surah Ali ‘Imran (19)
Abu Hayyan berkata: Maksud agama adalah ikutan dan syariat di mana maknanya agama yang diterima yang memberi manfaat dan yang diiqrarkan di sisi Allah adalah Islam. Ini kerana Islam agama dengan penuh keadilan dan agama tauhid. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 3/171)
Kedua: Diharuskan Mengucap Tahniah
Antara mereka yang mengharuskannya ialah:
Ulama Silam
Syeikh Muhammad Ahmad ‘Ulaisy al-Maliki ketika ditanya: “Sekiranya seorang Muslim pergi ke rumah zimmi pada hari perayaannya dan mengucapkan ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’. Adakah ia dikira sebagai terkeluar daripada Islam atau tidak? Jawab beliau: “Tidak terkeluar daripada Islam seseorang Muslim yang berkata kepada seorang Kristian ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’ di mana beliau tidak bermaksud untuk membesarkan kekufuran dan tidak meredhai kekufuran. (Rujuk Fath al-‘Ali al-Malik fi al-Fatwa ‘ala Mazhab al-Imam Malik, 2/350)
Disebutkan oleh al-Hattab al-Rauyani bahawa Sultan al-Ulama’ al-Imam al-‘Izz Abd al-Salam al-Syafie telah ditanya telah hukum mengucapkan “Semoga hari sambutan ini diberkati untuk kamu.” kepada dhimmi semasa perayaan mereka. Jawabnya: “Sekiranya Muslim tersebut mengucapkan sedemikian kepada dhimmi dengan niat mengagungkan agama mereka dan perayaan mereka, sesungguhnya dia telah terkeluar daripada Islam. Adapun sekiranya beliau tidak bermaksud sedemikian dan ucapan itu sekadar terlontar di mulutnya, beliau tidak terkeluar daripada Islam kerana ucapannya adalah tanpa niat.” (Rujuk Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil, 6/289)
Menurut Imam al-Mardawi, salah satu qaul mazhab Imam Ahmad mengharuskan ucapan tahniah kepada non-Muslim sempena perayaan mereka jika ada maslahah yang rajih, seperti untuk mengharapkan mereka menerima hidayah Islam. Manakala menurut Imam Abu Daud, harus sekiranya kita ingin mengajak mereka kepada Islam (Rujuk Al-Insaf fi Ma’rifati al-Rajih min al-Khilaf, 4/234-235).
Menurut Imam al-Bulqini, jika seseorang itu mengucapkan dengan niat mengagungkan agama mereka, maka dia telah kafir. Adapun jika sekadar menyatakan dengan lisan tanpa niat yang demikian, maka dia tidak jatuh kafir. (Rujuk Fatawa al-Bulqini, hal. 986)
Ulama Kontemporari
Syeikh Muhammad Rashid Redha
Syeikh Dr. Ahmad al-Syarbasi
Syeikh Dr. Mustafa al-Zarqa
Syeikh Dr.. Ahmad al-Thayyib
Syeikh Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthi
Syeikh Abdullah bin Bayyah
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi
Syeikh Syauqi Ibrahim Abdul Karim ‘Allam
Syeikh Dr. Muhammad Sayyid Dasuqi
Syeikh Dr. Ali Jum’ah
Syeikh Prof Dr Muhammad bin Ibrahim al-Hifnawi
Syeikh Dr. Syarif Hatim ‘Arif al-‘Auni
Syeikh Abdul Sattar Fathullah Said
Syeikh Dr. Musthafa Abu Sulaiman al-Nadwi
Syeikh Ikrima Sabri
Syeikh Hamza Yusuf
Dr Mohamed Fatris Bakaram
Perkara pertama yang perlu kita fahami ialah tiada ijmak yang jelas mengharamkan perkara ini. Syeikh al-Syarif Hatim al-Awni menyebut bahawa asas bagi keharusan berserta garis panduan ini adalah kerana:
Tidak ada dalil yang jelas secara khusus dalam al-Qur’an dan al-Sunnah berkenaan larangan atau keharusan mengucapkan tahniah kepada mereka.
Tidak ada diriwayatkan teks-teks secara khusus daripada salafussoleh dalam kalangan sahabat, tabi’ dan tabi’al-tabi’in juga imam-imam mazhab (Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafie dan Imam Ahmad) berkenaan hukum mengucapkan tahniah kepada bukan Islam sempenan perayaan mereka.
Apabila tidak ada dalil yang jelas daripada al-Qur’an, al-Sunnah dan salafussoleh, maka kenyataan yang menegaskan haramnya mengucapkan tahniah sebagai ijma’, masih boleh diperbahaskan akan ketepatannya.
Syeikh Muhammad Rasyid Redha menulis bahawa maslahah rakyat sesebuah negara tertakluk kepada hubungan sesama mereka. Akhlak yang buruk jka disandarkan kepada agama merupakan sebesar-besar fitnah dan tohmahan terhadap agama. Maka hendaklah kaum Muslimin menziarahi orang Kristian sewaktu perayaan mereka dan bergaul dengan mereka dengan akhlak yang baik. (Rujuk Majallah al-Manar, 7/24) Daripada fatwa ini kita fahami, jika beliau mengharuskan menziarahi mereka sewaktu perayaan mereka, maka sekadar mengucapkan tahniah pastinya lebih ringan hukumnya.
Syeikh Musthafa Zarqa’ mengharuskannya atas dasar mujamalah dan pergaulan baik sesama manusia, dan Islam tidak pernah melarang hal ini. (Rujuk Fatawa Musthafa al-Zarqa’, hal. 357)
Syeikh Yusuf al-Qaradhawi pula mengharuskan ucapan tahniah kepada non-Muslim yang tidak memerangi dan memusuhi orang Islam. Menurut beliau, Nabi SAW sendiri sentiasa melazimi perbuatan baik dan akhlak mulia bersama non-Muslim, dan ini termasuk di bawah perintah ayat kelapan surah al-Mumtahanah.
أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِم
Maksudnya: “…hendaklah kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka (non-Muslim).”
Surah al-Mumtahanah (8)
Dalam komentar beliau terhadap fatwa Ibn Taimiyyah dan Ibnul Qayyim pula, beliau menyatakan persetujuan bahawa Muslim tidak boleh sama-sama merayakan perayaan non-Muslim, tapi ini berbeza dengan sekadar mengucapkan tahniah sempena hari kegembiraan mereka. Sesungguhnya Ibn Taimiyyah berfatwa untuk zaman beliau yang mempunyai konteks yang tersendiri. Bahkan jika beliau hidup pada zaman ini dan melihat konteks hubungan manusiawi pada zaman sekarang yang amat rapat, nescaya beliau akan mengubah fatwa beliau, atau berlembut sedikit daripada pendirian tegas beliau dalam isu ini. Bahkan perayaan Krismas juga telah berubah menjadi satu perayaan bersifat adat. Pun begitu keharusannya adalah dengan syarat tidak ada sebarang bentuk pengagungan syiar agama lain seperti salib atau meredhainya. Ianya diucapkan semata-mata menyantuni mereka sahaja. (Lihat Fiqh Mu’asirah, 1/669-673)
Menurut Syeikh Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthi, harus untuk mengucapkan tahniah kepada ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) atas kegembiraan mereka dan ucapan takziah atas kedukaan mereka, bahkan disunatkan demikian itu sebagaimana dinaskan oleh para fuqaha’. Dan harus masuk ke tempat ibadat mereka atas tujuan tertentu dengan syarat tidak menyertai aktiviti keagamaan mereka.
Syeikh Ali Jumu’ah pula mengharuskannya atas dasar berbuat baik kepada jiran, dan ini menepati saranan Nabi SAW:
Maksudnya: Jibril AS tidak henti-henti berpesan kepadaku agar berbuat baik kepada jiran, hingga aku menyangka dia akan memberi hak kepada jiran sebagai ahli waris.
Riawayat al-Bukhari (6015) dan Muslim (2625)
Tambah beliau lagi, ucapan tahniah ini juga hendaklah disertai dengan penghormatan kepada Nabi Isa AS sebagai seorang Nabi, dan hendaklah juga dijelaskan kepada mereka pegangan kita ini yang tidak menganggap Baginda sebagai anak Tuhan seperti yang diyakini oleh orang Kristian. [10]
Menurut Syeikh Abdullah bin Bayyah, adalah diharuskan untuk kita mengucapkan tahniah kepada non-Muslim sempena perayaan mereka sama ada melalui lisan ataupun bertulis, selagimana tidak mengandungi syiar-syiar keagamaan mereka yang bercanggah dengan Islam seperti salib.
Ucapan tahniah sempena perayaan ini tidak menunjukkan sebarang pengakuan atau keredhaan ke atas kebenaran agama mereka, bahkan ia hanya satu bentuk mujamalah (perkataan yang baik dan penuh hormat) sesama manusia. Hal ini lebih-lebih lagi sekiranya kita mempunyai hubungan kekerabatan, persahabatan dan kemasyarakatan dengan mereka. Namun, beliau tetap menegaskan akan keharaman orang Muslim menyambut sebarang perayaan orang bukan Islam sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian Muslim pada hari ini. (Rujuk Sina’ah al-Fatwa wa Fiqh al-Aqalliyyat, hal. 430-435)
Selain itu, Dr. Syarif Hatim ‘Arif al-‘Auni juga menyatakan bahawa dakwaan berlakunya ijmak atas haramnya mengucapkan tahniah kepada non-Muslim sempena perayaan juga merupakan satu dakwaan yang ganjil, memandangkan tiada satupun dalil khusus daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang menyatakan hal demikian. Beliau juga menyatakan bahawa ucapan tahniah yang diucapkan bukanlah ditujukan kepada ritual-ritual keagamaan dan i’tiqad orang Kristian, tapi tahniah ke atas kegembiraan sempena hari perayaan mereka.[11]
Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Surah al-Mumtahanah (8)
Al-Maraghi berkata: “Allah SWT tidak melarang kamu daripada melakukan perbuatan baik kepada bukan Muslim yang tidak memerangi kamu atas dasar agama, tidak mengusir kamu dari kampung halaman dan tidak membantu orang lain untuk mengusir kamu.” (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 14/6969)
Menurut Imam al-Qurthubi, ayat ini menjadi dalil bahawa harus memulakan salam kepada non-Muslim kerana ia termasuk di bawah perbuatan baik, dan ini juga pandangan Imam al-Nawawi. (Lihat Tafsir al-Qurthubi, 11/103 dan Syarh Sahih Muslim, 14/145)
Maksudnya: Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.
Surah al-Nisa’ (86)
Imam al-Fakhr al-Razi berkata: “Ketahuilah lafaz tahiyyah (تَحِيَّةٍ) sebagai mana yang kami nyatakan merupakan kiasan kepada perbuatan memuliakan sesuatu. Justeru semua bentuk jenis perbuatan memuliakan boleh dimasukkan di bawah lafaz berkenaan.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 5/221)
Apabila ada rakan-rakan bukan Muslim mengucapkan Selamat Hari Raya kepada kita, maka kita membalasnya dengan ucapan tahniah yang sama. Tujuannya jelas, iaitu memuliakan beliau sebagai seorang saudara, sebagai penghargaan atas ucapan beliau dan tidak bermaksud menerima dan mengagungkan agamanya. Perihal pengagungan agama itu sudah masuk kepada perbahasan yang lain daripada perkara ini.
Maksudnya: “Telah datang ibuku untuk menziarahiku pada masa perjanjian dalam keadaan musyrik dan dia begitu berhajat untuk bertemuku, lantas aku bertanya Rasulullah SAW seraya berkata; “Sesungguhnya ibuku datang mengziarahiku sedangkan dia musyrik tetapi berkeinginan menemuiku, adakah aku menyambungnya? Sabda Rasulullah SAW: “Sambungkanlah silaturrahim dengan ibumu.”
Maksudnya: “Ada seorang budak Yahudi yang bekerja membantu Nabi SAW telah menderita sakit. Maka Nabi SAW menziarahinya dan baginda duduk di sisi kepalanya lalu menyeru: “Masuklah Islam”. Budak itu memandang kepada bapanya yang berada berdekatannya, lalu bapanya berkata,: “Taatilah Abu al-Qasim SAW”. Lantas budak itu memeluk Islam. Kemudian Nabi SAW keluar sambil bersabda: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan budak itu dari neraka.”
Riwayat al-Bukhari (1356)
Abu Dzar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya:
Maksudnya: Bertaqwalah kepada Allah SWT dimana jua kamu berada, dan balaslah kejahatan dengan kebaikan untuk menghapuskan kejahatan itu. Dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.
Riwayat Tirmizi (1987)
Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, Nabi SAW tidak berkata “berakhlaklah dengan Muslim dengan akhlak yang mulia” tapi dengan seluruh manusia. Namun beliau mensyaratkan agar ucapan tahniah itu tidak mengandungi pengakuan terhadap kebenaran agama mereka atau meredhai kekufuran mereka, dan tidak menyanggahi prinsip-prinsip Islam. (Rujuk Fiqh Mu’asirah, 3/668)
Tarjih
Selepas melihat dua pandangan dan juga situasi semasa di Malaysia, kami berpendapat ucapan Merry Christmas kepada penganut Kristian dan seumpamanya adalah diharuskan dengan syarat-syarat dan garis panduan yang khusus.
Adakah ucapan tersebut dikiranya penyerupaan (tasyabbuh) dengan mereka yang mengucapkannya sesama mereka? Kami katakan tidak, kerana ucapan tahniah dan selamat itu bukanlah suatu yang eksklusif, sebaliknya adalah suatu ucapan adat, seperti Selamat Pagi dan Selamat Menyambut Kelahiran. Sekiranya seorang Kristian mengucapkan kepada kita Selamat Menyambut Maulidurrasul, adakah ia bermaksud, daripada semua sudut, bererti dia mengiktiraf aqidah orang Islam? Pastinya tidak.
Perlu membezakan antara penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah). Syeikh Abdullah bin Mahfudh Ibn Bayyah menyatakan bahawa perlu ada perbezaan antara memahami istilah penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah). Menurut beliau, bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Ia menjadi haram jika menyamai mereka dengan niat (tashabbuh) bukannya semata-mata dengan wujudnya persamaan (musyabahah).[12]
Hal ini adalah sebagaimana komentar Ibn ‘Abidin terhadap Durr al-Mukhtar pada perbahasan hukum membaca mushaf dalam solat yang dikatakan menyerupai ahli kitab, katanya:
Maksudnya: “Hisham berkata: Aku melihat Abu Yusuf (memakai) sepasang sandal yang dijahit dengan paku-paku. dan berkata: ‘Adakah kamu merasa susah memakai ini? Dia menjawab, ‘Tidak’. Aku berkata, ‘Sufyan dan Thaur bin Yazid tidak suka kepada sandal ini kerana ia menyerupai rahib. Beliau menyatakan, ‘Nabi SAW memakai sandal yang mempunyai bulu di atasnya.’ (Ibn ‘Abidin menyatakan) Sesungguhnya ia (sandal itu) adalah daripada pakaian rahib. Maka ini menunjukkan bahawa apa-apa persamaan / penyerupaan yang berkaitan dengan kebaikan manusia adalah tidak bermasalah … dan ini juga menunjukkan mengenai asal perbuatan meniru itu – ia adalah bentuk persamaan tanpa niat.” (Rujuk Radd al-Muhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar, 1/622)
Oleh sebab itu, penyerupaan, kadang-kadang bermaksud haram dan kadang-kadang bermaksud makruh. Berkata Imam Ibn Salah (w.643H) Rahimahullah dalam Fatawa-nya (2/473): “Maka sesungguhnya barangsiapa yang menyerupai satu kaum itu maka dia seakan-akan sebahagian daripada mereka. Penyerupaan dengan orang kafir, terkadang menjadi makruh, dan terkadang menjadi haram. Perkara tersebut kembali kepada keketaraan yang ada pada penyerupaan itu, sama ada sedikit atau banyak. Wallahua`lam.”
Jika penyerupaan itu sedikit, atau daripada sudut yang kecil sahaja, penyerupaan itu bersifat makruh. Contohnya seperti:
Melakukan qaza` (memotong atau bercukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain). Rujuk al-Minhaj Syarh Muslim (10/101).
Melumurkan kepala bayi selepas bercukur dengan darah aqiqah kerana mengikut adat Jahiliyyah. Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (8/427).
Puasa secara tunggal pada hari Jumaat kerana orang Nasrani dan Yahudi mengkhususkan ibadah pada hari Khamis dan Jumaat. Rujuk al-Iqna` (1/245).
Ada pengecualian bagi larangan ini apabila suatu pakaian itu tidak lagi melambang kaum yang bukan Islam dan fasiq. Sebaliknya, ia berubah menjadi adat suatu kawasan atau negara. Kesannya, suatu perlambangan itu boleh berubah menjadi harus. Berkata Imam al-Bujairimi (w.1221H) Rahimahullahdalam Tuhfah al-Habib (4/366) dalam isu membayar kafarah dengan memberikan kain tailasan/tiyalisah : “Dan disebabkan pemakaian al-tiyalisah pada masa kini bukan lagi menjadi syiar mereka (Nasrani dan Yahudi), bahkan sudah diangkat pada zaman kita dan berubah menjadi salah satu yang termasuk dalam perkara umum yang diharuskan. Betapa perkara ini telah disebut oleh Ibn Abd al-Salam dalam bid’ah-bid’ah yang dibenarkan. Berkata Ibn Hajar: Apabila sudah menjadi simbol bagi suatu kaum (yakni golongan yang baik-baik seperti ulama) maka dengan meninggalkannya pula akan menghilangkan maruah.”
Daripada sudut sejarah, pemakaian tiyalisah, atau kain penutup kepala ini, adalah syiar kaum Yahudi dan Nasrani. Maka hukum asalnya adalah makruh, seperti kata Syeikh al-Samhudi al-Syafie. Namun apabila kebanyakan mereka sudah meninggalkan pakaian ini sebagai simbol agama, ia berubah menjadi pakaian yang umum sehingga sebahagian ulama menjadikannya sebagai simbol mereka yang boleh mengajar dan berfatwa, dan diijazahkan pemakaiannya. Pakaian jenis ini adalah harus dan tidak termasuk dalam larangan syarak meniru kaum lain. Pada hari ini, contohnya pemakaian baju berkot dan tali leher tidak dianggap sebagai peniruan bersifat agama atau kefasikan. Hukum memakainya adalah harus.
Kami juga melihat bahawa perlunya untuk memahami hukum fiqhi dan fatwa. Ini kerana, hukum fiqhi ada yang bersifat thabit dan tidak thabit. Berlainan pula dengan fatwa yang boleh menerima perubahan berdasarkan kemaslahatan zaman. Oleh kerana itulah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: Ini yang menyebabkan aku menyalahi pandangan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkenaan pengharaman ucapan tahniah kepada orang Kristian.
Selain itu, apa yang wajar diberi perhatian adalah isi kandungan ucapan berkenaan yang menzahirkan sifat toleransi dan muhibbah, bukannya zahir ucapannya semata-mata. Ini berdasarkan kaedah (العبرة بالمسميات لا بالاسماء).
Kami melihat, perbezaan pandangan yang timbul adalah pada memahami definisi yang tepat bagi perkataan “tahniah” dan “selamat” yang menyebabkan hukumnya terbahagi kepada dua seperti di atas. Bagi menjelaskan hal ini, kita perlu melihat definisi “tahniah” dalam konteks bahasa dan pemahaman yang sebenar. Dalam Bahasa Melayu, “tahniah” bermaksud: “ucapan yang ditujukan kepada seseorang untuk menyatakan rasa gembira kerana kejayaannya dll; ucapan selamat”.[13] Maka, tahniah juga tidak semestinya menzahirkan rasa redha dan pengagungan kepada sesuatu hal.
Bahkan pada 22 Disember 2007, seramai 138 cendekiawan Islam telah menandatangani satu surat terbuka sempena sambutan Hari Krismas kepada pimpinan gereja sedunia termasuklah Pope Benedict XVI. Antara mesej surat tersebut ialah mengucapkan Merry Christmas kepada masyarakat Kristian yang menyambutnya, serta menzahirkan penghargaan atas respon positif kepada pimpinan agama Kristian terhadap usaha dialog antara agama yang dimulakan oleh pimpinan kaum Muslimin. Antara ulama yang menandatangani surat terbuka ini termasuklah Syeikh ‘Ali Jum’ah, Syeikh Hamza Yusuf dan Syeikh Ikrima Sabri (Mufti al-Quds).[14]
Keputusan Institusi Fatwa
Bagi menyokong keharusan yang kami tarjihkan, kami kemukakan di sini sebahagian pendapat Institusi Fatwa:
Dar al-Ifta’ al-Misriyyah. Harus mengucapkan tahniah kepada orang bukan Muslim merayakan perayaan mereka itu dengan lafaz yang tidak bertentangan dengan akidah Islamiyyah dan perbuatan ini termasuk di bawah bab Ihsan.
Dar al-Ifta’ juga menjelaskan bahawa ucapan Merry Christmas ini tidak termasuk di bawah penyerupaan dengan bukan Islam yang dilarang, kerana larangan tasyabbuh itu meliputi perbuatan dan iktiqad yang bercanggah dengan perkara-perkara thawabit (prinsip-prinsip tetap yang qath’ie) dalam Islam. [15]
Majlis Fatwa Eropah. Mereka juga mengharuskannya sesuai dengan Fiqh al-Aqaliyyat, dan ia boleh diucapkan oleh individu Muslim atau organisasi Islam kepada saudara mereka yang bukan Islam, dan ini bertujuan memelihara masyarakat minoriti Muslim itu sendiri (Minoriti Muslim di negara bukan Muslim).[16]
Garis Panduan Umum
Kami kemukakan di sini Garis Panduan Umum yang perlu difahami:
Diharuskan untuk mengucapkan Merry Christmas apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Apatah lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk, kaum keluarga yang memiliki anggota Islam dan bukan Islam, kejiranan dan rakan sekerja. Sekiranya tidak ada keperluan seperti yang disebutkan, kami cenderung kepada makruhnya ucapan tersebut kerana ia boleh menimbulkan fitnah atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Penyertaan orang Islam dalam majlis sambutan Krismas hanyalah pada kadar yang diperlukan sahaja seperti jamuan makan atau bergambar. Adapun memakai pakaian tertentu yang lazim dipakai semasa sambutan Krismas, kami melihat tidak ada keperluannya dan tidak boleh dilakukan.
Ucapan tersebut hanya sebagai tanda menjaga hubungan baik, tiada paksaan dalam agama dan tidak bertujuan mengagungkan dan memuliakan agama lain.
Dibolehkan untuk menerima atau memberi hadiah kerana Rasulullah SAW sendiri pernah menerima hadiah daripada Raja al-Muqawqis yang tidak beragama Islam. Saidina Umar juga pernah menghadiahkan baju kepada saudaranya yang bukan Muslim. Ia ada terdapat dalam hadis yang panjang dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim. Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan: “Dibolehkan seorang Muslim menghadiahkan orang Musyrik pakaian dan selainnya.” Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/38. Diharamkan untuk memberi hadiah berupa arak dan perkara yang tidak diizinkan syarak. Kami telah mengulas hukum menghadiahkan arak kepada non Muslim di sini [http://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2653-al-kafi-838-hukum-menghadiahkan-arak-kepada-non-muslim]. Namun tidak boleh diniatkan pemberian itu sempena perayaan mereka, untuk mengeluarkan diri daripada larangan memberi hadiah kepada orang kafir semasa perayaan mereka. Niatkanlah secara umum untuk memberikan hadiah. Sesungguhnya amalan itu berdasarkan niat.
Dibolehkan untuk hadir ke majilis orang bukan Islam sekiranya ianya diadakan di luar rumah ibadat seperti di dewan orang ramai, padang, pejabat atau rumah, untuk tujuan yang berkait dengan adat seperti jamuan makan yang dihidangkan makanan yang halal. Sekiranya majlis tersebut diadakan dalam rumah ibadat pada hari perayaan, maka makruh bagi orang Islam untuk menghadirkan diri. Diriwayatkan bahawa Umar RA berkata:
لا تدخلوا على المشركين في كنائسهم يوم عيدهم فإن السخطة تنزل عليهم
Maksudnya: Janganlah kalian menemui orang-orang musyrik di gereja-gereja (tempat ibadah) mereka pada hari raya mereka, karena kemurkaan (Allah) turun kepada mereka.
Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan (9/234) dan Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (1609)
Tegahan ini menurut Ibn Muflih bersifat makruh dan bukannya haram. (Rujuk al-Adab al-Syar’iyyah, 3/432)
Kenyataan Mufti Wilayah
Setelah kami amati dan tekuni isu ini dengan berhemah, di samping membincangkan dengan pakar serta kembali kepada rujukan yang muktabar sebagaimana yang telah dilampirkan kesemuanya di atas, maka kami berpendapat hukum mengucapkan Merry Christmas, dan ucapan-ucapan lain yang bermaksud tahniah dan selamat, adalah harus dengan meraikan garis panduan yang telah kami nyatakan. Ini juga selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007’: “Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.”
Kami menguatkan hujah ini melalui kenyataan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fil Islam antara lain menyebut: “Jika kita hendak menyimpulkan ajaran-ajaran Islam dalam tindakannya terhadap orang-orang yang menyalahinya dalam lingkungan apa yang halal dan apa yang haram, maka memadailah kita berpegang kepada dua ayat daripada al-Quran al-Karim yang boleh dianggap sebagai prinsip yang menyeluruh, sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: Allah SWT tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah SWT hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
Surah al-Mumtahanah (8-9)
Ayat yang pertama di atas tidak hanya menggalakkan seseorang berlaku adil dan saksama kepada orang-orang yang bukan Muslim, yang tidak memerangi, iaitu tidak menunjukkan permusuhan kepada kaum Muslimin dalam agamanya.
Tegasnya, mereka itu tidak menaruh niat permusuhan atau peperangan terhadap kaum Muslimin, malah ayat itu juga menggalakkan supaya berbuat baik dan memberikan layanan yang sempurna kepada mereka. Perkataan “al-birr” iaitu “baik” merupakan kalimah yang meliputi segala pengertian dan maksud yang baik umumnya dalam sebarang maksud, dan ianya adalah suatu perkara yang melebihi “keadilan”. Kalimah al-bir tersebut pernah digunakan oleh kaum Muslimin untuk menunjukkan kewajipan yang utama tentang hak-hak kemanusiaan ke atas diri mereka, ketika menggunakan perkataan itu untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa (birr al-walidain).
Kami menyatakan di sini bahawa ayat itu menggalakkan apa yang kami nyatakan kerana firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah SWT menyukai orang-orang yang berlaku adil. Seseorang Mukmin itu mestilah berusaha dengan sepenuh daya upaya untuk merealisasikan apa yang disukai oleh Allah SWT, dengan tidak sama sekali menafikan atau menolak pengertian “menggalakkan dan menuntut” yang terdapat di dalam ayat ini, kerana ianya berbunyi dengan ungkapan “Allah SWT tidak melarang kamu…” Ini kerana ungkapan seumpama ini adalah untuk menolak apa yang terlekat di dalam pemikiran Muslim, yang mana masih lagi berlaku sehingga ke hari ini.
Sesiapa sahaja yang memusuhi ajaran Islam tidak berhak baginya mendapat kebaikan, keadilan dan pergaulan yang baik. Lantaran itu, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia tidak melarang orang Islam untuk melakukan sedemikian, meskipun orang-orang itu menyalahi agama mereka, bahkan sekalipun mereka memeranginya dan bermusuhan terhadapnya.”
Sudah sampai masanya bagi para ulama’ menginterpretasikan apa yang didapati daripada teks-teks klasik ulama’ silam supaya meraikan kerangka cabaran masa kini tanpa meninggalkan batasan syarak. Tidak cukup hanya sekadar menukilkan apa yang dicatatkan pada lembaran kertas daripada kitab-kitab silam (fiqh al-awraq), bahkan para ulama’ perlu turun ke lapangan bagi memahami kitab al-waqi’ (‘membaca’ realiti semasa). Kemampuan untuk berinteraksi dengan teks-teks klasik inilah yang akan membawa umat Islam ke satu paradigma yang jauh ke hadapan dan lebih berpijak kepada realiti sebenar pada zaman sekarang serta tidak ketinggalan dalam arus perdana. Dengan itu, akan terzahirlah Islam sebagai agama yang bersifat rahmatan li al-‘alamin (memberi rahmat ke seluruh alam jagat).
Semoga dengan pencerahan ini menjadikan kita sentiasa berada di landasan yang sebenarnya mengikut neraca syariah.
Akhukum Fillah,
Mufti Wilayah Persekutuan
Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
24 Disember 2018
Pada hari Jumaat ini marilah kita melakukan sunnah yang paling mudah tapi ramai yang tidak melakukannya iaitu memotong kuku.
Indahnya agama Islam ini kerana setiap...