Soal pemberian nama adalah satu perkara yang dititikberatkan oleh syarak. Ini kerana, penamaan nama yang baik merupakan antara faktor dalam membentuk peribadi yang soleh pada diri seseorang itu.

Berikut merupakan beberapa nas nabawi yang menunjukkan kepada hal tersebut:

Daripada Abu al-Darda’ RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ إنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. maka perelokkanlah nama kamu.

PETIKAN ANTARA NAMA DAN KEPERIBADIAN

Sebahagian para ulama menjelaskan bahawa terdapat kaitan yang ketara di antara nama dengan seseorang yang dinamakan dengan nama tersebut.

Imam Ibnul Qayyim rahimahullah berkata: Secara kesimpulannya, akhlak serta perbuatan-perbuatan yang buruk itu ada hubungkaitnya dengan nama. Demikianlah nama-nama yang baik akan mendorong kepada akhlak dan perbuatan yang baik. Dan tidaklah Rasulullah SAW itu dinamakan dengan Muhammad melainkan kerana banyaknya ciri-ciri dan sifat terpuji pada diri baginda SAW. Dan sesungguhnya pemilik nama yang baik kadangkala malu dengan namanya, dan kadangkala disebabkan namanya itulah yang mendorong seseorang melakukan perbuatan yang sesuai dengan namanya serta meninggalkan apa yang bercanggahan dengannya.

Disebabkan perkaitan inilah para ulamak membahaskan hukum menukar nama, perinciannya dibahaskan oleh imam Ibnul Qayyim di dalam fasal ketiga pada kitab beliau Tufhatul Maudud ketika membahaskan galakan menukar nama kepada nama yang lain disebabkan maslahah.

Antara dalil yang menunjukkan kepada galakan menukar nama yang kurang elok ialah hadis riwayat Abu Hurairah RA:

عَن أبي هُرَيْرَة أَن زَيْنَب كَانَ اسْمهَا برة فَقيل تزكي نَفسهَا فسماها رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم

Maksudnya: Bahawasanya pada asalnya nama Zainab ialah Barrah, maka dikatakan kepadanya “engkau memuji diri sendiri” maka rasulullah SAW pun menukarkan namanya kepada Zainab. Riwayat Al-Bukhari [6192]

IKLAN

Selain itu, terdapat juga hadis lain yang berbunyi:

عَنِ ابْنِ المُسَيِّبِ، عَنْ أَبِيهِ: أَنَّ أَبَاهُ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «مَا اسْمُكَ» قَالَ: حَزْنٌ، قَالَ: «أَنْتَ سَهْلٌ» قَالَ: لاَ أُغَيِّرُ اسْمًا سَمَّانِيهِ أَبِي قَالَ ابْنُ المُسَيِّبِ: «فَمَا زَالَتِ الحُزُونَةُ فِينَا بَعْدُ

Maksudnya: Dari Ibn al-Musayyib dari bapanya bahawa atuknya bertemu dengan nabi SAW, lalu nabi SAW bertanya kepadanya, apa nama kamu, maka dia menjawab Hazan, lalu kata Nabi SAW nama awak sekarang ialah Sahl, maka dia berkata saya tidak akan menukar nama yang telah diberikan kepada saya oleh ayah saya. Kata Ibn al-Musayyib: Maka sejak itu, kesedihan sentiasa menimpa kami. Riwayat al-Bukhari [6190]

Berdasarkan hadis-hadis di atas dan juga hadis-hadis lain yang berkait tentang pemberian nama ini, para ulamak telah mencapai kepada beberapa konklusi:

1) Kita dituntut untuk menukarkan nama seseorang kerana kejelekannya dan keburukannya. Contohnya ialah nama Abdul Ka’abah, kerana nama tersebut terdapat unsur syirik padanya.

2) Begitu juga kita dituntut untuk menukarkan nama kerana maslahah tertentu walaupun nama itu baik pada asalnya. Seperti nama Barrah dan Kharunnisa’. Ini kerana Barrah bermaksud yang banyak membuat baik manakala Khairunnisa’ bermaksud sebaik-baik wanita.

3) Kita dituntut untuk mengelakkan nama yang boleh membawa kepada mempercayai sial. Contohnya seperti nama hazan yang bermaksud kesedihan, nama sebegini boleh membawa kepada mempercayai bahawa segala musibah yang ditimpa insan yang bernama hazan ini ialah kerana namanya yang membawa kepada kesedihan. [Lihat Syarh Muntaha al-Iradat, 1/615]

IKLAN

Atas dasar ini Imam al-Nawawi memakruhkan untuk menamakan anak dengan nama yang jelek dan nama yang terdapat padanya unsur kecelakaan [Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 417/8]

PERSOALAN NAMA TERLALU BERAT UNTUK DITANGGUNG

Berkaitan isu anak tidak mampu menanggung nama kerana nama tersebut berat dan sebagainya, tidak jumpai apa-apa penjelasan yang berasas di sebalik dakwaan tersebut.

Dikhuatiri kepercayaan tersebut mempunyai unsur-unsur khurafat. Ini kerana para ulamak telah mentakrifkan khurafat sebagai:

الاعتقاد بما لا ينفع ولا يضر ولا يلتئم مع المنطق السليم والواقع الصحيح

Maksudnya: Khurafat ialah sebuah kepercayaan kepada perkara yang tidak bermanfaat, tidak memudharatkan dan tidak bersesuaian dengan akal yang sejahtera dan realiti semasa.

Kepercayaan ini juga dikhuatiri bercanggah dengan aqidah yang sejahtera yang wajib diimani kesemua muslim iaitu hanya Allah SWT sahaja yang boleh beri manfaat atau mudarat

IKLAN

Firman Allah SWT:

وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّـهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ ۚ يُصِيبُ بِهِ مَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۚ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Surah Yunus (107)

Kata imam Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat ini:

“Sesungguhnya kebaikan, keburukan, manfaat dan bahaya hanyalah milik Allah SWT sahaja. Tidak ada sesuatu pun menyekutui-Nya dalam hal yang demikian. Maka hanya Allah sahajalah yang berhak diibadahi. Tidak ada sekutu bagi-Nya.”

Kepercayaan ini juga mempunyai unsur mempercayai perkara-perkara sial yang telah jelas dilarang hadis baginda SAW:

لاَ طِيَرَةَ

Maksudnya: Tiada thiyarah/kepercayaan sial di dalam Islam.

Pandangan bahawa mempercayai sesuatu nama itu sebagai berat dan tidak mampu ditanggung oleh seseorang adalah kepercayaan yang tidak didasari dengan bukti-bukti yang jelas. Seeloknya jauhkan diri daripada kepercayaan ini.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI