Ibadah korban adalah ibadat yang dituntut pada 10 Zul­hijjah dan juga hari-hari tasyriq. Antara fadhilat melaksanakan ibadat korban ialah sebagai penebus dosa kecuali dosa besar, mendapat hasanah (kebajikan) bagi setiap bulu binatang korban dan mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah Ta‘ala.

Bilakah waktu terbaik untuk seseorang melakukan sembelihan korban?

Allah SWT telah berfirman:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ

Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (Surah al-Kauthar: 2)

Al-Imam al-Qurtubi Rahimahullah dalam al-Jami’ li Ahkam al-Quran berkata: “Dimulakan dengan solat (Solat Hari Raya Adha) sebelum melakukan ibadat korban”.

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji berkata: “Waktunya bermula selepas terbit matahari pada Hari Raya Haji (Hari Raya Korban) iaitu sekadar sempat ditunaikan dua rakaat sembahyang dan dua khutbah. Kemudian berterusan waktunya hingga terbenam matahari pada akhir hari-hari Tasyrik iaitu 11,12, dan 13 Zulhijah. Waktu afdhal untuk menyembelih ialah selepas selesai solat sunat hari raya”.

Penting Kena Tahu Waktu Terbaik Buat Korban

Di dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

IKLAN

إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ بِهِ فِي يَوْمِنَا هَذَا نُصَلِّي ثُمَّ نَرْجِعُ فَنَنْحَرُ فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدْ أَصَابَ سُنَّتَنَا وَمَنْ ذَبَحَ فَإِنَّمَا هُوَ لَحْمٌ قَدَّمَهُ لأَهْلِهِ لَيْسَ مِنَ النُّسُكِ فِي شَىْءٍ

Maksudnya: “Perkara pertama yang kami mulakan pada hari ini, ( hari raya ) ialah kami bersembahyang. Kemudian kami pulang dan menyembelih korban. Oleh itu, sesiapa yang melakukan perkara tersebut maka dia telah melaksanakan sunah kami. Dan sesiapa telah menyembelih sebelum itu, maka ia adalah daging untuk ahli keluarganya, bukan untuk ibadat korban sedikit pun”. Riwayat al-Bukhari (965) dan Muslim (1961)

Makna perkataan: “Sesiapa yang telah menyembelih sebelum itu” ialah sebelum masuk waktu sembahyang hari raya dan sebelum berlalu waktu sekadar yang sempat didirikan sembahyang.

Jubair bin Mut’im RA meriwayatkan, katanya:

وَكُلُّ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ ذَبْحٌ

Maksudnya: “Setiap Hari Tasyrik adalah sembelihan (waktu untuk menyembelih)”.

IKLAN

Penting Kena Tahu Waktu Terbaik Buat Korban

Riwayat al-Imam Ahmad di dalam Musnadnya (16751). Syeikh Syu’aib al-Arnout mengatakan bahawa sanadnya lemah.

KESIMPULAN

Persoalan mengenai waktu terbaik untuk dilakukan sembelihan korban dapat dinyatakan seperti berikut:

Bermulanya waktu sembelihan itu selepas timbulnya matahari pada hari sembelihan iaitu hari ke-10 Zulhijjah. Kadar timbulnya matahari itu boleh di kira selepas selesainya solat dua rakaat (solat sunat hari raya) dan juga dua khutbah yang ringan (tidak terlampau panjang berjela).

IKLAN

Barangsiapa yang melakukan sembelihan sebelum waktu yang disebutkan di atas, maka sembelihannya itu tidak dikira sebagai korban. Ia hanya dikira sebagai sedekah sahaja (iaitu sembelihan untuk mendapat daging semata-mata).

Berpanjanganlah waktu sembelihan itu sehinggalah berakhirnya hari tasyriq dan ini menjadikan waktu sembelihan korban itu selama 4 hari. Iaitu 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Sekiranya berakhir hari tasyriq, maka tidak dilakukan sembelihan. Jika dilakukan sembelihan juga maka ianya tidak dikira sebagai sembelihan korban dan dikira hanya untuk mendapatkan daging semata-mata.

Sekiranya seseorang telah bernazar untuk melakukan sembelihan namun telah berakhirnya hari tasyriq, maka ke atasnya untuk melakukan sembelihan tersebut dan ianya di kira sebagai qadha’ dan qadha’ tidak gugur dengan berlalunya waktu.

Kesimpulan di atas dipetik dari kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e karangan Prof. Dr. Muhammad al-Zuhayli Hafizahullah pada jilid ke-2, halaman 483-484. Wallahua’lam.

Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

VIDEO KASHOORGA:

https://www.youtube.com/watch?v=7Nfw7jxG6CY

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI