
Berada di tempat kerja baharu bukanlah perkara mudah bagi kebanyakan orang. Persekitaran yang belum dikenali, rakan sekerja yang masih asing serta tanggapan orang lain terhadap diri kita sering menimbulkan rasa gemuruh, bimbang dan tidak yakin.
Namun bersempena dengan kedatangan tahun hijrah baharu, kita sebagai umat Islam boleh mengambil semangat Maal Hijrah sebagai titik permulaan untuk berubah ke arah yang lebih baik.
Hijrah bukan sekadar perubahan tarikh pada kalendar, tetapi satu peralihan daripada zon selesa kepada fasa hidup baharu yang menuntut kekuatan mental, emosi dan rohani.
BACA JUGA: ‘Dulu Dah Puas Bergaya.’ Sudah Tiba Masanya Berhijrah, Jadi Hamba Allah Yang Lebih Baik
Perasaan bercampur baur ketika memulakan kerja di tempat baharu adalah sesuatu yang normal. Setiap manusia mempunyai emosi dan perasaan masing-masing dan semua itu adalah sebahagian daripada fitrah kehidupan.
Oleh itu, antara hijrah atau perubahan yang boleh diamalkan apabila berada di tempat kerja baharu adalah seperti berikut.
1. Hijrah Mindset
Niatkan dalam diri bahawa pekerjaan yang dilakukan adalah satu bentuk ibadah. Apabila kerja dilihat sebagai ibadah, kita akan lebih terdorong untuk meningkatkan integriti, amanah dan tanggungjawab dalam setiap tugasan.
Jangan melihat perubahan sebagai beban, sebaliknya anggaplah ia sebagai peluang rezeki baharu yang dikurniakan oleh Allah SWT. Tempat kerja baharu juga boleh menjadi ruang untuk kita belajar, berkembang dan memperbaiki diri sebagai hamba Allah yang berusaha mencari rezeki di muka bumi ini.
Hal ini bertepatan dengan hadis daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab RA, katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin diperolehnya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.”
Hadis ini mengingatkan kita bahawa niat menjadi asas dalam setiap tindakan. Maka, apabila melangkah ke tempat kerja baharu, betulkan niat agar setiap usaha yang dilakukan mendapat keberkatan.

2. Hijrah Sosial
Di tempat baharu, kita juga perlu membina hubungan sosial yang baik. Rasulullah SAW pernah menyelesaikan cabaran orang Mekah yang berhijrah ke Madinah dengan mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar.
Begitu juga dalam realiti hari ini. Sebagai orang baharu, rajinkan diri untuk bertegur sapa, mengenali rakan sekerja dan membina hubungan yang positif. Jangan terlalu menyendiri sehingga menyukarkan orang lain untuk mendekati kita.
Mulakan dengan perkara kecil seperti memberi salam, senyum, bertanya khabar atau menawarkan bantuan apabila sesuai. Daripada perkenalan kecil inilah boleh lahir suasana kerja yang lebih harmoni dan menyenangkan.
3. Menjaga Prinsip Di Tempat Baharu
Setiap tempat kerja pasti mempunyai cabaran tersendiri. Ada kalanya, tempat kerja baharu mungkin mempunyai budaya yang kurang sihat seperti suka mengumpat, membawang, persaingan tidak sihat atau pergaulan yang tidak menjaga batas.
Sebagai seorang Muslim, kita perlu kekal istiqamah dan tidak mudah terikut-ikut dengan budaya yang bertentangan dengan nilai agama. Mesra dengan rakan sekerja itu penting, tetapi menjaga prinsip, adab dan batas pergaulan juga tidak boleh diabaikan.
Kekalkan identiti diri sebagai Muslim yang berakhlak baik. Jangan kerana ingin diterima oleh orang sekeliling, kita mengorbankan nilai yang selama ini menjadi pegangan.
Sesungguhnya, setiap perubahan yang berlaku dalam hidup boleh menjadi “Madinah” baharu untuk kita terokai. Tempat kerja baharu mungkin pada awalnya terasa asing, tetapi daripada keasingan itulah kita belajar menjadi lebih kuat, matang dan berani.
Jangan takut untuk menjadi orang baharu. Jadikan setiap langkah sebagai peluang untuk berhijrah, memperbaiki diri dan menjadi versi yang lebih baik daripada sebelumnya.
Semoga hijrah kali ini membawa kita kepada kehidupan, pekerjaan dan keperibadian yang lebih diberkati Allah SWT.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







