Dewasa ini ramai wanita yang bersolat dengan hanya mengenakan tudung labuh, jubah panjang dan stoking sehingga menimbulkan tanda tanya sama ada solat mereka sah mahupun tidak. Adakah ketika bersolat, wajib mengenakan telekung atau ia sekadar syarat sahaja? Entri kali ini menjelaskan untuk anda.
Telekung bukanlah wajib ketika bersolat. Yang penting seorang wanita itu mengenakan pakaian yang menutup aurat untuk mendirikan solat. Ummu Salamah r.a berkata, pernah dia bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang perkara ini. “Bolehkah wanita mengerjakan solat dengan memakai pakaian panjang dan menutup kepala tanpa memakai kain sarung (izar). Baginda menjawab: “Boleh selagi mana pakaian panjangnya itu (dar’u) dapat menutupi kedua telapak kakinya.” (Riwayat Abu Dawud). Dalam hadis lain Aisyah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Tidak diterima solat wanita yang telah baligh kecuali dengan memakai kain tudung.” (Riwayat Tirmizi).
Ads
Maka melalui dua hadis ini, fuqaha membahaskan syarat pakaian solat untuk wanita. Pertamanya kain tudung menutupi kepala dan dada mereka serta kainnya perlu cukup panjang sehingga dapat menutup tapak kaki wanita tadi. Kedua, pakaian yang dipakai haruslah longgar dan tidak berbayang (iaitu tidak jarang).
Ads
Ads
Dengan pakaian seperti jubah, asalkan syarat menutup auratnya dipenuhi, maka solat boleh didirikan dengan mudah, tidak kira di mana. Tidak perlu khuatir solat lewat kerana terpaksa menunggu giliran menggunakan telekung dan sebagainya. Seandainya pakaian yang dipakai sudah cukup menutup aurat dan bebas daripada najis, maka solat itu sah.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Ada orang kata bulu kucing daripada kucing hidup dan sudah mati itu najis. Kadang-kadang si pencinta kucing ragu-ragu sama ada sah atau tidak solat mereka jika ada bulu kucing telah melekat pada pakaian ketika mereka sedang bersolat. Entri ini boleh membantu untuk mengetahui solat mereka sah atau sebaliknya.
Merujuk pada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi, Nasaie dan Ibnu Majah daripada Kabsyah Binti Ka’ab bin Malik, bahawa suatu saat Abu Qatadah memasuki rumah dan disediakan minuman olehnya. Tiba-tiba datang seekor kucing meminum daripada air minuman itu dan Abu Qatadah mencondongkan mangkuk itu sehingga dapat diminum oleh kucing itu.
Ketika Abu Qatadah melihat Kabsyah memperhatikannya maka dia bertanya : “Apakah kau terkejut wahai anak saudara perempuanku?” Dia menjawab : “Benar”. Berkatalah Abu Qatadah sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda : “Kucing itu tidak najis, ia termasuk binatang yang berkeliaran di sekelilingmu”(Sahih Abi Daud dan lain-lain)
Berdasarkan hadis sahih ini para sahabat, tabi’in dan kebanyakan daripada ulama seperti Imam Syafie, Imam Ahmad dan Ishaq bin Abdullah mengatakan bahawa ianya tidak dikira najis. Bahkan jumhur ‘ulama mengatakan bahawa bulu kucing tidak najis kerana ia adalah daripada haiwan yang bukan daripada kategori haiwan najis. Malah jika jilatan kucing bukan najis maka bulu kucing adalah lebih utama untuk dikatakan tidak najis.
Pendapat yang paling rajah (benar) pula mengatakan bahawa setiap rambut, bulu, bulu pelepah dan benang bulu daripada kulit haiwan yang boleh dimakan atau tidak boleh dimakan adalah tidak najis sama ada ia masih hidup atau pun tidak. (Majmu’ Fatawa 38/21).
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Solat Jenazah hukumnya adalah fardu kifayah yang mana sekira ianya telah dikerjakan oleh sebahagian daripada umat Islam maka ianya telah memadai. Berbeza dengan solat yang lain, cara solat Jenazah ada sedikit keunikan di mana ia tidak perlu rukuk, iktidal, sujud, atau tahiyyat.
Baru-baru ini Mufti Wilayah ada berkongsikan gambar beliau melakukan solat Jenazah ketika menziarahi sebuah kubur.
Ramai yang bertanya pada saya tentang gambar Datuk Mufti Wilayah Persekutuan -hafizhahullah- yang menyolatkan jenazah di sebuah kubur yang diziarahi beliau baru-baru ini.
Saya kongsikan secara ringkas sebagai ilmu sunnah yang belum diketahui ramai.
1. Harus melakukan solat jenazah di kubur si mati bagi yang terlepas menyolatkannya sebelum ditanam menurut majoriti ulama.
Ini berdasarkan sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, bahawa seorang wanita yang sering mengemas masjid meninggal dunia. Selepas beberapa tempoh, Nabi SAW menyedari kehilangannya, lalu bertanya akan khabarnya.
Setelah diberitahu akan kewafatannya, baginda berasa kesal kerana tidak dikhabarkan dari awal seolah-olah wanita itu kecil peranannya. Lalu baginda meminta ditunjukkan kuburnya, dan baginda pergi menyolatkan wanita tersebut di kuburnya.
2. Hadis mengenai solat jenazah di kubur bagi yang terlepas ada diriwayatkan dalam beberapa hadis lain seperti hadis Ibn ‘Abbas RA [riwayat al-Bukhari dan Muslim], hadis Anas RA [riwayat Muslim], dan hadis mursal Sa’id bin al-Musayyib [riwayat al-Tirmidzi, Ibn Abi Syaybah dan al-Bayhaqi].
3. Bagaimana posisi solat tersebut?
Penyolat hendaklah menghadap ke arah kiblat seperti posisi solat jenazah. Jika si mati lelaki, penyolat berdiri di bahagian kepalanya, manakala jika wanita, penyolat berdiri di tengah kubur.
4. Berapa tempoh kematian yang diharuskan solat jenazah di kuburnya?
a. Ramai ulama mazhab Hanbali dan sebahagian ulama mazhab Syafi’i mengharuskan sehingga sebulan selepas kematian berdasarkan hadis mursal Sa’id bin al-Musayyib bahawa Ummu Sa’d RA meninggal ketika Nabi SAW keluar kawasan, kemudian tatkala baginda pulang dan mendengar khabar akan kewafatannya, baginda terus ke kuburnya dan menyolatkannya walaupun telah sebulan tempoh pemergian Ummu Sa’d RA.
b. Ramai ulama mazhab Syafi’i yang tidak meletakkan sebarang tempoh dengan syarat si mati cukup kriteria untuk solat seperti baligh dan berakal.
Mereka melihat hadis mursal Sa’id tersebut tiada sebarang penetapan tempoh, namun hanya sekadar kebetulan yang menceritakan peristiwa.
5. Bolehkah orang yang telah menyolatkan si mati sebelum ditanam menyolatkan si mati kembali di kuburnya?
Ada beberapa riwayat hadis yang membenarkan [rujuk Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari karangan Ibn Hajar al-‘Asqalani].
6. Hukum asal bagi solat di kubur adalah haram. Hanya solat jenazah sahaja yang dibenarkan dan mendapat pengecualian dari hadis:
لا تجلسوا على القبور ولا تصلّوا إليها
“Janganlah kalian duduk di atas kubur dan jangan pula solat menghadapnya” [riwayat Muslim].
Manakala solat lain yang mengandungi rukuk dan sujud tidak dibenarkan dan tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabatnya RA, kerana ia boleh mengundang ke arah syirik.
Justeru dapat difahami pelbagai ritual di kubur yang dilakukan sebahagian masyarakat seperti bermajlis zikir, memohon hajat dan seumpamanya merupakan perbuatan yang sama sekali bertentangan dengan syarak.
7. Semua hadis menunjukkan bahawa hanya insan yang kita kenali atau yang ada kaitan sahaja yang disolatkan di kubur seandainya terlepas sebelum ditanam. Selain itu hanya disyariatkan untuk berdoa memohon pengampunan dan keselamatan buat mereka.
Moga Allah mengampuni, merahmati dan menempatkan semua umat Islam yang telah pergi di sebaik-baik tempat.
Apakah hukum kita mengambil wuduk dalam keadaan tidak berpakaian?
JAWAPAN:
Suruhan untuk menutup aurat ketika mengambil wuduk tidak ada dinyatakan sebagai satu perkara wajib atau sunat untuk dilakukan. Akan tetapi, di dalam bab mandi ada dinyatakan bahawa menutup aurat adalah satu daripada perkara sunat.
Namun begitu, ia berlainan pada keadaan mengambil wuduk atau mandi tanpa berpakaian di tempat awam, maka hukumnya jelas wajib untuk menutup aurat. Ini berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW:
Maksudnya: Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah, aurat kita manakah yang harus kita tutup dan manakah yang boleh kita nampakkan?” Nabi menjawab: “Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba wanitamu.” Saya bertanya: “Jika lelaki bersama lelaki?” Nabi menjawab: “Jika engkau mampu agar auratmu tidak dilihat oleh sesiapa maka (usahakan) jangan sampai ada orang yang boleh melihatnya.” Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah, jika berada dalam keadaan sendirian?” Nabi menjawab: “Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadapNya daripada (malu) terhadap manusia”.
Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769)
Menurut mazhab Syafie, wajib kepada seseorang muslim yang berada di dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup untuk menutup aurat. Pandangan ini juga disokong oleh ulamak dari kalangan Hanafi dan Hanbali. Adapun begitu, dari kalangan Ulamak mazhab Maliki mereka menyatakan sunat untuk menutup aurat ketika berada dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup (rujuk kitab Mausuah Fiqhiyah Quwaitiyah, 24/176)
Namun begitu, dibenarkan seseorang itu untuk tidak menutup aurat ketika bersendirian dengan syarat ia perlu disertakan dengan hajat seperti mandi atau untuk menyejukkan badan (rujuk kitab Mughni Muhtaj, m/s 185).
Justeru dalam keadaan tidak memakai pakaian ketika wuduk adalah sah tetapi tidaklah dilakukan di tempat terbuka atau dilihat oleh orang lain. Begitu juga sepatutnya seseorang Muslim hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain. Walaupun sah wuduknya tetapi dia berdosa kerana mendedahkan aurat kepada orang yang haram melihatnya.
Bahkan Rasulullah SAW bersabda:
الحَيَاءُ مِن الإِيمَان
Maksudnya: “Malu itu sebahagian daripada Iman.”
Hadis Riwayat Bukhari (no. 24)
فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ
Maksudnya: “Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadapNya daripada (malu) terhadap manusia”
Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769)
Walaupun tidak dinyatakan sebagai perkara sunat atau wajib menutup aurat ketika mengambil wuduk tetapi adalah lebih baik dan utama untuk menutup aurat sepertimana yang disunatkan ketika mandi.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?