Masuk sahaja ke surau atau bilik solat wanita pada hari ini, akan terlihatlah pelbagai jenis kain dan rekaan telekung yang digayakan oleh jemaah wanita. Ada yang berenda, kain jenis lycra, berwarna-warni dan bermacam lagi. Namun persoalan yang sering ditimbulkan ialah hukum solat orang yang memakai telekung yang kita anggap ‘berfesyen’ ini.
Perkara pertama tentang pakaian solat adalah ia perlu menutup aurat secara sempurna. Antara ciri-ciri pakaian yang menutup aurat ketika solat adalah pakaian yang tidak memperlihatkan atau menggambarkan apa di sebalik kain yang menutupi tubuh. Bahkan seharusnya tidak memperlihatkan rupa bentuk atas sebab ketatnya pakaian itu atau jarang serta nipisnya pakaian tersebut sehingga boleh menampakkan warna kulit.
Maka pakaian yang menutup aurat seseorang itu haruslah menutupi keseluruhan tubuh (kecuali muka dan kedua tangan) dan tidak menampakkan anggota tubuh atau warna kulit atas sebab longgar mahupun nipisnya kain. Tidaklah longgar itu dimaksudkan dengan selonggar-longgarnya namun apa yang penting adalah tidak menjelaskan rupa bentuk tubuh terutama pada bahagian tertentu seperti dada dan lain-lain.
Ads
Di samping tidak dibolehkan juga memakai pakaian compang-camping (tidak sempurna) yang boleh menampakkan aurat.
Imam Nawawi turut menyatakan bahawa wajib untuk menutupi tubuh daripada penglihatan yang boleh melihat pada warna kulit. Tidak mencukupi hanya dengan kain yang menutup tubuh tetapi dapat pula dilihat warna kulit sama ada putih (cerah) atau hitam (gelap).
Ads
Begitu juga dengan pandangan dari Ibnu Qudamah, yang mengatakan wajib untuk menutup aurat dan jika disebabkan kain yang nipis itu menampakkan warna kulit di sebaliknya sama ada putih atau merah maka tidak harus untuk bersolat dengannya. Ini kerana ia tidak mencapai maksud asal tujuan menutup aurat itu.
Imam Saffarini al-Hanbali juga menyatakan di dalam Syarah Manzumah al-Adab bahawa makruh bagi lelaki dan wanita yang memakai pakaian yang menjelaskan warna kulit dan juga yang menampakkan saiz atau bentuk tubuh . Manakala, Imam Dusuqi al-Maliki di dalam hashiyahnya berpendapat bahawa pakaian seperti itu jelas makruh melainkan terdapat pakaian luar maka ia menjadi tidak makruh.
Maka melihatkan perkara-perkara ini, adalah SAH solat orang yang memakai telekung berfesyen, selagi ia menutup aurat seseorang itu dengan sempurna.
Nota: Jawapan diberikan oleh USTAZ KHAIRUL NAIM MANSOR, Penyunting Al-Quran di Jabatan Penerbitan AlQuran Karangkraf dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab Dan Kesusasteraan, Universiti Yarmouk, Jordan.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Siapa yang bangun solat tahajud, mati nanti kuburnya terang-benderang seperti matahari baru terbit. Begitulah kata-kata allahyarham Dato’ Ismail Kamus tentang betapa hebatnya ganjarannya buat mereka yang menunaikan tahajud.
Memang tidak dinafikan, ramai yang menanam niat untuk bangun tahajud setiap pagi, namun ada saja halangan. Di peringkat permulaan memang agak payah untuk sesuaikan diri, namun lama-kelamaan berkat istiqamah insyallah segalanya menjadi mudah.
Dalam solat sunat Hajat, minta satu saja:
“Ya Allah makbulkan permintaan aku yang aku minta pada bila-bila masa, ke arah kebaikan.”
Akhir sekali, witir 3 rakaat.
Semuanya 21 rakaat.
Kalau tak boleh atau tidak mampu lakukan solat tahajud 21 rakaat. Buat satu rakaat sajalah, kemudian diikuti witir 1 rakaat. Kalau tak boleh, tak payah. Tidur sajalah.
1. “Di waktu malam Tahajudlah, semoga Allah utuskan bagi mu makam yang terpuji.”
2. Nanti kubur kita terang-benderang seperti matahari baru terbit.
Dalam kegelapan kubur, siapa nak teman kita?
Amalan kita. Oleh itu, amalan kenalah sentiasa tambah.
Saya selalu pesan supaya kita sama-sama senang dalam kubur.
Mati kita, tak tahu bila. Senang-senang boleh mati.
Tak semestinya orang sakit itu mati. Dan tak semestinya orang sihat tak mati.
Silap-silap orang sihat mati dulu sebelum orang sakit.
Orang sakit di hospital bertahun-tahun, tak mati-mati. Tiba-tiba, orang sihat pula mati.
Itu sebabnya orang mati kadang-kadang senyum sebab sudah nampak balasan, Allah Taala telah tunjukkan.
Ada orang berkerut mukanya sebab Malaikat sudah tunjukkan tempat dia di neraka. Kita esok bila mati, biar senyum.
Solat tarawih merupakan ibadah yang dinanti-nantikan setiap kali tibanya Ramadan. Umat Islam di seluruh dunia tidak melepaskan peluang menunaikan ibadah solat tarawih dan menghidupkan rumah-rumah Allah dalam usaha mendapatkan gandaan pahala yang diberikan kepada mereka yang beriman.
Tidak hanya kaum lelaki, kaum wanita juga berlumba-lumba untuk menunaikan solat tarawih di masjid. Tahukah anda bahawa solat wanita afdhal di rumahnya bukan di masjid. Tapi ramai wanita suka solat di masjid atau surau. Wanita nak pahala banyak ke nak pahala kurang?
Setiap kali ketibaan tetamu Ramadan yang mulia ini, pelbagai persoalan timbul dari kalangan wanita berkaitan hukum-hakam khususnya yang berkaitan ibadah.
Antaranya adalah persoalan berkaitan dengan amalan manakah yang lebih baik, sama ada seorang wanita itu solat tarawih berjemaah di masjid atau solat bersendirian di rumah?
Sememangnya solat seorang wanita Muslimah itu lebih afdal dan lebh baik di rumahnya.
Rasulullah telah bersabda:
Maksudnya: “Solat seorang wanita di rumahnya adalah lebih baik daripada solat di biliknya, dan solat di tempat tidurnya lebih baik daripada solat di rumahnya.”
Terdapat juga hadis yang diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad bahawa Ummu Humaid Al-Sai’idi, isteri kepada Abu Humaid RA datang bertemu Nabi SAW dan berkata:
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku suka solat bersamamu. Baginda menjawab: “Sungguh aku mengetahui bahawa engkau suka menunaikan solat bersamaku, akan tetapi solatmu di tempat tidurmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di bilikmu, dan solatmu di bilikmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di rumahmu, dan solatmu di rumahmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di masjid kaummu, dan solatmu di masjid kaummu lebih baik dibandingkan solatmu di masjidku”
Kemudian Ummu Humaid meminta dibangunkan baginya masjid (tempat solat) di tempat paling tersorok dan paling gelap di bilik tidurnya. Maka, beliau solat di sana sampai bertemu dengan Allah Azza Wa Jalla.
Kedua-dua hadis ini menunjukkan bahawa semakin tertutup tempat solat wanita itu dan semakin jauh dari percampuran dengan lelaki, maka tempat tersebut adalah tempat yang afdal untuk wanita menunaikan solat.
Walaubagaimanapun, ini bukan bermakna suatu larangan untuk wanita pergi ke masjid. Bahkan terdapat hadis lain yang melarang para lelaki daripada menghalang isteri-isteri mereka keluar ke masjid. Rasulullah SAW bersabda daripada Ibnu Umar RA:
Maksudnya: “Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah dari kalangan wanita pergi ke masjid-Nya” (Muttafaq Alaih)
Dan hadis ini terdapat sambungannya yang diriwayatkan oleh Abu Daud: “…dan rumah-rumah mereka adalah lebih baik untuk mereka”
Tempat yang terbaik bagi wanita adalah di rumah namun dalam masa yang sama, Islam tidak menghalang wanita untuk ke masjid.
Walaubagaimanapun, perlu diingatkan bahawa terdapat garis panduan atau syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh wanita Muslimah untuk keluar menghadiri solat tarawih di masjid.
Antaranya adalah:
1. Menjaga aurat, tidak berhias-hias (tabarruj) dan memelihara pandangan.
Allah SWT berfirman: “Dan katakanlah kepada paraperempuan yang beriman agar mereka menjaga pandangannya, memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya…” (Surah An-Nur: 31)
2. Tidak memakai wangi-wangian
“Janganlah kamu menegah wanita-wanitamu pergi ke masjid Allah. Dan hendaklah mereka keluar ke masjid tidak memakai wangi-wangian.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)
3. Mendapat keizinan suami
4. Tiada percampuran lelaki dan perempuan serta segera pulang ke rumah setelah selesai solat
Ummu Salamah RA menceritakan:para wanita yang hadir solat berjemaah apabila selesai salam, mereka segera bangkit meninggalkan masjid dan pulang ke rumah sementara Rasulullah dan para jemaah lelaki duduk sebentar (untuk memberi laluan kepada jemaah wanita beredar). Apabila Rasulullah bangkit, maka bangkit pula jemaah lelaki tersebut. (Riwayat Bukhari).
Sekiranya syarat-syarat ini dipatuhi dan kehadiran seseorang wanita tersebut tidak menimbulkan fitnah, maka dibolehkan untuk mereka ke masjid dan berlumba-lumba mengumpul pahala lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.
ISLAM AGAMA YANG MEMUDAHKAN
Dalam situasi tertentu, adalah digalakkan untuk wanita itu ke masjid sekiranya solat di masjid itu lebih meningkatkan kekhusyukan dan menambahkan penghayatan melalui bacaan imam apabila solat berjemaah berbanding apabila seseorang itu solat bersendirian di rumah.
Selain itu, apabila wanita ke masjid, banyak manfaat yang diperoleh jika mereka mengikuti pengisian dan ceramah agama. Perlu dipastikan juga agar ketiadaannya di rumah kerana pergi ke masjid tidak memberi kesan terhadap tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu.
Betapa indahnya Islam apabila agama ini tidak memberatkan wanita untuk ke masjid kerana solatnya di rumah sudah cukup untuk mendapatkan ganjaran.
IBU ADA ANAK KECIL LEBIH BAIK SOLAT DI RUMAH
Bagi wanita yang mempunyai anak-anak kecil, pastinya solat di rumah lebih memberi keselesaan. Wanita juga tetap mendapat pahala seperti ke masjid walaupun tidak berkesempatan ke sana sekiranya mereka mendorong dan mempersiapkan para suami untuk ke masjid. Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa menunjukkan kepada kebaikan, ia mendapatkan pahala seperti orang yang mengerjakannya.” (Riwayat Muslim)
Dalam masa yang sama, tiada larangan untuk wanita ke masjid namun syarat-syarat yang telah ditetapkan perlulah dipatuhi. Hakikatnya, solat tarawih adalah amalan sunat yang boleh dilakukan di mana sahaja dan tidak semestinya dilakukan di masjid terutamanya bagi wanita.
Selamat merebut ganjaran kebaikan di bulan pesta ibadah yang bakal tiba!
Wallahua’lam.
Ustazah Nur Fatin Halil
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Mohon baca. Ustazah kata afdhal bagi perempuan solat di rumah. Bukan halang perempuan ke masjid. Nak ke masjid silakan.
Solat Tahajud adalah solat malam yang dilaksanakan setelah bangun tidur. Solat ini lebih afdal dibuat secara bersendirian waktu selepas tengah malam. Solat sunat ini amat dituntut dan sangat baik dilakukan sebagai ibadah tambahan. Rasulullah SAW dan para sahabat tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.
Banyak kelebihan melakukakn solat tahajud. Dr. Zaharuddin Abd Rahman berkongsi tentang keajaiban solat Tahajud yang mampu mendekatkan diri kita kepada pencipta.
Subuh masuk lewat ketika ini (iaitu jam 6:03 ketika status ini ditulis – waktu Putrajaya), nescaya jika kita terbangun dari tidur pada jam 5:50 pagi hatta jam 6 am sekalipun, kita masih berpeluang mendirikan Solat tahajud dua rakaat dan ditutup dengan 3 atau 1 rakaat solat witir (kecuali jika telah witir sebelum tidur – tidak perlu witir lagi kerana Nabi sebut tiada dua witir dalam satu malam)
Waktu solat Tahajud bermula selepas Isyak, kemudian tidur dan mujahadah bangun sebelum subuh untuk solat menurut majoriti ulama berdasar athar sahabat nabi bernama Hajjaj Bin al- Amru yang hasan sanadnya menurut Ibn Hajar dalam Talkhis al-Habir.
Tamat waktunya adalah ketika masuk waktu Subuh atau fajar sebagaimana hadis:
إن الله أمدكم بصلاة هي خير لكم من حمر النعم ، وهي الوتر فجعلها الله لكم فيما بين العشاء إلى طلوع الفجر
Ertinya: Sesungguhnya Allah mengurniakan bagimu solat yang lebih baik dari unta merah (barang paling berharga di dunia) iaitulah solat witir dan dijadikan baginya waktu selepas solat Isyak sehingga naik Fajar. (Riwayat Abu Daud & Tirmidzi)
AMBIL PELUANG
JANGAN juga pandang rendah jika hanya mampu laksana DUA rakaat Tahajud sahaja, asalkan konsisten kerana ibadah yang konsisten lebih dicintai Allah SWT berbanding yang banyak tetapi terputus.
Solat Tahajud dua rakaat yang tidak melahirkan bongkak dan ujub JAUH LEBIH MULIA dari berbelas rakaat tetapi ujub, bongkak dan memandang rendah ibadah orang lain.
KASHOORGA:
Tip memudahkan bangun solat malam:
*Sebelum masuk tidur, berniat ingin melakukan Solat Tahajud. *Menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat. *Bersederhana makan dan minum pada waktu siang. *Membaca ayat-ayat al-Quran.
Kirim doa kepada jemaah umrah atau haji merupakan amalan yang harus dalam Islam. Ketahui hukum, dalil hadis serta adab mengirim doa tanpa membebankan para jemaah.