Keibubapaan

Adab Bawa Anak Ke Masjid, Ibu Bapa Perlu Tahu Cara Kawal Mereka

Share

Kehadiran anak-anak kecil di masjid sering menjadi perdebatan dalam kalangan jemaah. Ada yang meminta mereka berdiri di saf belakang kerana bimbang kedudukan kanak-kanak di celah saf orang dewasa boleh menyebabkan saf terputus.

Akibatnya, anak-anak dikumpulkan bersama-sama di bahagian belakang tanpa pengawasan ibu bapa. Keadaan ini sebenarnya boleh meningkatkan kecenderungan mereka untuk bermain, berlari dan membuat bising sehingga mengganggu jemaah lain yang sedang beribadah.

Namun, benarkah kehadiran kanak-kanak dalam saf boleh memutuskan saf dan menjejaskan syarat sah solat berjemaah?

Dari sudut hukum fiqh, kanak-kanak yang telah mencapai usia mumayyiz, iaitu mampu membezakan perkara baik dan buruk serta memahami arahan, boleh berdiri bersama orang dewasa dalam saf.

BACA JUGA: Imam, Jemaah Rebah & Meninggal Di Masjid, Sudah Tiba Astizah Bincang Fiqh Kecemasan Di Masjid, Surau

Kehadiran mereka tidak memutuskan saf dan solat berjemaah tetap sah.

Malah dari sudut praktikal, meletakkan anak-anak di belakang tanpa pengawasan boleh menyebabkan suasana masjid menjadi lebih bising. Apabila mereka berada berdekatan ibu atau bapa, tingkah laku mereka lebih mudah dipantau dan dikawal.

Membawa anak-anak ke masjid juga merupakan satu amalan yang baik, terutama dengan tujuan mendidik mereka supaya mencintai masjid serta membiasakan diri dengan solat berjemaah.

Atas dasar pendidikan dan bimbingan, para ulama membenarkan anak-anak berdiri di sebelah ibu bapa agar mereka dapat dipantau sepanjang solat.

Sebelum membawa anak ke masjid, ibu bapa perlu memberikan penerangan lebih awal tentang adab yang mesti dijaga.

Pesan kepada mereka supaya tidak berlari, bercakap kuat, bermain atau mengganggu jemaah lain. Arahan yang diberikan secara konsisten akan membantu anak memahami bahawa masjid ialah tempat untuk beribadah dan perlu dihormati.

Ibu bapa juga boleh menggunakan teknik ‘kepung anak’ dengan meletakkan mereka di antara ibu atau bapa dengan seorang lagi jemaah dewasa.

Anak juga boleh ditempatkan di bahagian hujung saf, berhampiran dinding atau tiang supaya mereka tidak mudah berlari keluar atau bergerak meninggalkan saf.

Bagi anak yang masih kecil dan belum mumayyiz, ibu bapa boleh menyediakan sejadah sendiri untuk mereka.

Mainan kecil yang tidak berbunyi atau buku aktiviti ringkas juga boleh dibawa bagi membantu mereka duduk dengan tenang. Namun, pastikan barangan tersebut tidak mengganggu ruang dan kekhusyukan jemaah lain.

Ibu bapa juga perlu bersedia untuk membawa anak keluar seketika sekiranya mereka menangis, meragam atau terlalu sukar dikawal.

Bagi ibu bapa yang baru mahu membiasakan anak ke masjid, pilih waktu solat yang lebih pendek seperti Maghrib atau Subuh.

Elakkan terus membawa mereka menghadiri solat atau program yang mengambil masa panjang seperti solat tarawih, kuliah atau ceramah selama sejam sekiranya mereka masih belum terbiasa.

Latihan secara berperingkat dapat membantu anak memahami rutin dan adab berada di masjid tanpa membuatkan mereka berasa tertekan atau bosan.

Selepas selesai solat, berikan pujian sekiranya anak berjaya menjaga tingkah laku dengan baik.

Ibu bapa juga boleh memberi ganjaran kecil seperti membelikan aiskrim atau makanan kegemaran sebagai tanda penghargaan. Namun, jelaskan bahawa ganjaran tersebut diberikan kerana mereka telah menunjukkan adab yang baik ketika berada di masjid.

Kaedah ini boleh membentuk pengalaman yang positif dalam diri anak-anak dan membuatkan mereka lebih teruja untuk kembali ke masjid.

Jemaah juga perlu lebih terbuka dan memberikan ruang kepada ibu bapa yang sedang mendidik anak-anak mencintai masjid.

Elakkan memberikan jelingan tajam, teguran kasar atau membuatkan ibu bapa berasa malu apabila anak mereka melakukan kesilapan kecil. Sebaliknya, tegurlah dengan penuh hikmah dan bantu mewujudkan suasana yang mesra keluarga.

Dalam masa yang sama, ibu bapa tidak seharusnya membiarkan anak-anak bebas berlari dan bermain tanpa kawalan. 

Kehadiran mereka perlu disertai dengan persediaan, pemantauan serta pendidikan yang berterusan.

Jangan serik membawa anak-anak ke masjid. Datanglah dengan persediaan dan ajarkan mereka adab sejak kecil. Masjid bukan hanya untuk orang dewasa, tetapi juga tempat anak-anak belajar mengenal ibadah, membina disiplin dan mencintai rumah Allah.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah