Kanser…mendengarnya sahaja sudah mengerunkan. Seperti yang kita ketahui, kanser payudara merupakan kanser yang menjadi pembunuh ramai kaum wanita. Dunia seakan-akan terhenti dan si penghidapnya mula memikirkan keluarga terutama anak-anak.
Menghidap kanser payudara tahap empat memang dugaan yang maha hebat. Namun begitu bagi Aimi Yusoff, 34, wanita ini cukup kuat dan tabah. Mula didiagnos menghidap kanser payudara sejak 2015, semangat wanita ini tidak pernah padam untuk melawan penyakit yang dihidapinya.
ANGGAP SEBAGAI ‘RAHMAT’ DARIPADA ALLAH
Menganggap penyakit yang dihidapinya itu sebagai satu ujian buat dirinya, dia sentiasa berfikiran positif. Jika orang lain menganggap sesuatu penyakit itu sebagai suatu musibah namun tidak bagi Aimi sebaliknya penyakit yang dialaminya dianggap sebagai satu rahmat yang bukan semua orang mampu ‘melaluinya.’
Ya! Kanser tahap empat. Ramai yang beranggapan bahawa ia adalah tahap terakhir untuk pesakit kanser. Namun bagi Aimi, dia benar-benar seorang yang positif. Tiada riak putus asa pada wajahnya malah dia kelihatan cukup bersemangat.
“Jika dahulu saya dan suami menjalani kehidupan biasa-biasa namun selepas saya disahkan menghidap kanser, hubungan kami sangat rapat. Kami jadi lebih menghargai momen perhubungan kami dan menikmati setiap detik dalam kehidupan secara berkualiti.
“Saya juga lebih menghargai hubungan dengan kawan-kawan. Ada yang datang dari jauh untuk bertemu dengan saya. Jika bukan kerana kanser mungkin sampai bila-bila pun saya tak jumpa mereka,”ungkap Aimi.
Tambah Aimi lagi, belajarlah untuk terima kenyataan. Memang sukar untuk menerima kenyataan namun siapalah kita untuk menidakkan takdir yang telah ditentukan oleh Allah. Buat mereka yang belum mampu menerima kenyataan bahawa mereka menghidap penyakit yang amat digeruni ramai ini, istighfar banyak-banyak.
Ads
DEKATKAN DIRI DENGAN ALLAH
Hanya dengan cara ini sahajalah dapat membuatkan diri kita lebih tenang. Selepas istighfar, jika sesuai dengan tempat (ketika anda berada) bawa-bawalah untuk solat. Jika belum solat fardhu, tunaikanlah solat fardhu dahulu. Kemudian lanjutkan dengan solat sunat.
“Jika pada waktu siang, saya juga akan melakukan solat sunat Dhuha. Kadang-kadang dua rakaat dan adakalanya lebih daripada itu bergantung kepada keadaan dan suasana. Solat sunat Dhuha jangan sesekali tinggal. Dengan cara mendekatkan diri kepada Allah jiwa akan terasa lebih tenang dan kita jadi lebih positif.
“Jika susah hendak tidur, banyakkan melakukan solat sunat. Solat sunat sebenarnya lebih fleksibel. Seelok-eloknya, perbaiki dahulu solat fardhu. Selain itu juga saya turut amalkan puasa sunat setiap hari Isnin dan Khamis. Banyak manfaatnya bila kita puasa sunat ni. Bila kita puasa sunat, secara tidak langsung ia mengajar kita untuk lebih bersabar. Jiwa pun rasa lebih tenang,”ungkap Aimi.
JANGAN FIKIR PERKARA BURUK
Ungkap Aimi lagi, salah satu sebab mengapa sukar untuk menerima kenyataan yang sudah tersurat pada diri kita ialah apabila kita hanya memikirkan hanya perkara buruk sahaja.
“Jangan hanya fikirkan yang buruk sahaja sebaliknya fikirkan tentang hikmah di sebalik ujian yang didatangkan itu kepada kita. Anggap ia satu perkara yang positif yang berlaku dalam hidup kita. Jika kita hanya fokus dugaan itu sahaja memang susahlah untuk kita terima kenyataan sebaliknya jika kita fikirkan daripada sudut lain/sudut positif maka secara automatik kita akan terima kenyataan itu dengan hati yang terbuka.
“Contohnya jika kita tidak sakit, kita tiada inisiatif untuk jalani gaya hidup sihat. Bila dah sakit begini, kita akan lebih menghargai kesihatan selain lebih menjaga hubungan dan kualiti masa bersama keluarga. Saya tak nak fikir tentang penyakit yang saya hidapi.
Ads
“Anak-anak memang tahu saya sakit. Saya terangkan kepada mereka jika saya di dalam bilik, itu bermakna saya sedang sakit, jangan diganggu. Alhamdulillah mereka boleh faham dengan keadaan saya,” kata Aimi.
MASA UNTUK BERSAMA INSAN TERSAYANG
Masih dalam ‘mood’ bercuti selepas rawatan kemoterapi yang dijalaninya, Aimi menggunakan baki cuti untuk menghabiskan masa bersama suami, anak-anak, keluarga dan rakan-rakan dengan sebaik mungkin.
Sebenarnya sel kanser yang dihidapi oleh Aimi sudah merebak ke tulang belakang, tulang pinggul dan paru-paru. Malah pada usia awal 30, Aimi sudah pun menopaus. Aimi perlu ke hospital untuk mendapatkan suntikan hormon setiap bulan.
Dalam keadaan begini, tipulah jika Aimi tidak pernah rasa ‘down.’ Salah satu cara yang dipraktikkan oleh Aimi ialah dengan menggunakan rawatan alternatif untuk menenangkan jiwa. Aimi akan menggunakan rawatan minyak terapi yang disapukan pada tubuhnya agar dia berasa tenang, rilekskan minda dan memperbaiki mood. Selain itu setiap kali selepas rawatan kemoterapi, Aimi akan pastikan yang dia mendapat rehat yang cukup.
MUNGKINKAH ADA KEAJAIBAN YANG AKAN BERLAKU
Ads
Ditanya tentang keajaiban yang diharapkan dalam hidupnya, tenang Aimi memberi jawapan.
“Tiada perkara lain yang menjadi impian saya selain mengharapkan keajaiban daripada Allah agar sembuh dan bebas daripada penyakit kanser. Malah setiap malam, sebelum melelapkan mata, pernah terlintas difikiran saya, masihkah ada hari esok untuk saya.
“Oleh itu, saya akan pastikan sebelum saya masuk tidur, saya akan solat dahulu. Saya akan ‘shut down’ semuanya selepas solat malam. Maafkan semua orang dan mohon maaf dengan semua orang sebelum tidur.
“Saya elakkan fikiran menerawang mengenang nasib kerana jika saya buat begitu, macam-macamlah perkara akan datang dalam fikiran. Saya juga berdoa agar Allah memanjangkan umur saya kerana saya ingin menikmati hidup bahagia dengan suami dan anak-anak,” kata Aimi yang cukup aktif berkongsi pengalamannya di majlis ilmu dan juga sesi sharing.
Bagi menghindari stres secara semula jadi, selain amalan kerohanian seperti sentiasa berada dalam keadaan wuduk, banyakkan solat sunat dan Dhuha, dia juga sering berbincang apabila ada masalah serta mengelakkan diri daripada memendam perasaan.
PESANAN BUAT RAKAN SENASIB
Pesanan Aimi kepada pesakit-pesakit kanser sepertinya:
“Jika kita rasa tertekan dan tak boleh nak handle rasa kecewa itu, kalau rasa nak menangis, menangislah dengan sepuas-puasnya. Lepaskan semuanya. Jangan ditahan-tahan. Sambil itu, mulut jangan putus-putus untuk beristighfar. Jangan salahkan apa yang telah berlaku. Percayalah dengan cara itu kita akan lebih tenang dan reda dengan apa yang telah ditakdirkan,” akhiri Aimi.
Kredit gambar: Facebook Aimi Yusoff
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Ramai wanita yang bergelar isteri berasa takut untuk berpisah dengan suami kononnya bimbang akan kehilangan hak penjagaan anak-anak. Sebenarnya sangkaan ini meleset sama sekali. Seorang ibu masih berhak untuk hak penjagaan anak-anak.
Ini perkongsian daripada perunding keluarga Islam, Mohamad. Peguam Syarie di Tetuan Mohamad Azlin & Suriati Associates.
Dalam banyak perjumpaan untuk sesi consultation yang saya handle, satu perkara yang sering menjadi dilema pada wanita yang selalu saya jumpa adalah memilih antara rumahtangga dan anak.
Kebanyakan wanita yang diuji dengan masalah rumah tangga terpaksa memilih antara meneruskan rumahtangga, berpisah. bukan setakat itu sahaja wanita atau ibu terpaksa juga memikirkan tentang penjagaan anak.
Mengapa jadi begitu? Honestly wanita kebanyakan akan stuck untuk memilih antara rumahtangga dan anak. Wanita yang diuji dengan rumahtangga yang goyah bimbang untuk membuat permohonan untuk bercerai kerana takut dan bimbang akan kehilangan penjagaan anak.
Ramai wanita yang rela hidup tidak aman dalam rumahtangga walaupun dianiaya, dipukul, dicaci kerana takut jika bercerai akan hilang hak jagaan anak-anak.
Banyak tak alami dilema sebegini?
“Nak teruskan perkahwinan, hati tidak ada lagi rasa sayang, tubuh badan pula sakit akibat dipukul.”
“Nak mohon berpisah/bercerai, sayang pula pada anak-anak. Takut jika bercerai tak dapat nak jaga anak atau hilang hak jagaan anak sebab memfailkan perceraian.”
Tahukah anda dilema ini adalah berpunca dari salah faham dan salah maklumat. Ketakutan dan kebimbangan yang dihadapi wanita adalah terhadap sesuatu yang tidak betul.
Saya kongsikan ayat ini supaya anda semua dapat faham dan hadamkan:
“Tidak pernah ada undang-undang yang mengatakan jika seorang wanita memohon cerai maka hak untuk mendapat jagaan anak akan hilang”
Banyak sesi consultation yang saya buat, membetulkan semula apa yang menjadi salah faham akan perkara ini. Setelah diterangkan dan dijelaskan barulah ramai yang lega. Hilang serabut dan ketakutan yang membuat mereka tekanan sebelum ini.
Timbullah soalan sebegini:
Jadi apa statement yang kata ibu yang mohon cerai tidak dapat hak jagaan anak adalah tidak betul la? Ye tidak betul.
Dari mana datangnya statement macam tu? Saya sendiri tak pasti. Mungkin rekaan yang bertujuan untuk menakut-nakutkan.
Sebetulnya bukan sebab bercerai hak jagaan akan hilang tetapi ada beberapa sebab lain yang jelas dinyatakan dalam undang-undang. Apa-apa pun nasihat saya, ambil tahu hak anda, ambil tahu info dan maklumat yang tepat.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Menerusi Harian Metro, Ella memberitahu hatinya terdetik untuk menyertai misi ini selepas menonton satu video kanak-kanak mengutip makanan dengan hanya berbaju nipis ketika waktu sejuk pada tahun 2013
Niat untuk menyertai misi kemanusiaan sudah lama dipendam Ella. Harapan itu mulai tersimpan sejak lapan tahun lalu, namun kekangan masa dan jadual padat membuatkan penyanyi popular ini sering terlepas peluang berkenaan.
IKON KEMANUSIAAN
Ella dan suaminya, Azhar Ghazali telah dilantik sebagai Ikon Kemanusiaan oleh Kedamaian Kemanusiaan Berhad (KKB). Ella akhirnya berpeluang memenuhi impian berkenaan hujung bulan ini bersama suaminya.
Pasangan itu bakal mengikuti misi melawat kem pelarian warga Palestin dan Syria di Lubnan pada 26 sehingga 30 April ini.
Dalam satu posting di Instagramnya, Ella mengajak para peminatnya dan seluruh netizen untuk menderma.
As salam .. jom sama sama kita menderma 1 ringgit atau seikhlas kita untuk saudara mara kita, moga bekalan kita berkat di sana nanti .. Insyaallah amin yra .. thank you everyone.
Ella berkata, misi kemanusiaan KKB untuk pelarian Palestin dan Syria kali ini membabitkan beberapa kem antaranya di Beqaa, Aakar (kem Syria) dan Beirut (kem Palestin).
“Kami ingin berkongsi kebahagiaan yang ada di Malaysia dengan mereka. Sudah lama saya mahu melihat sendiri kesengsaraan mereka dan datang ke tempat mereka memberikan sumbangan, tetapi belum ada rezeki.
TERSENTUH LIHAT NASIB ANAK-ANAK KECIL
“Niat itu timbul apabila terlihat sebuah video mengenai kanak-kanak yang mengutip makanan dan kesejukan kerana hanya memakai pakaian nipis kira-kira lapan tahun lalu.
“Saya terus bungkus baju sejuk saya tanpa mengira jenama dan kemudian dermakan pada 2013. Saya terfikir, kalau itu keluarga kita pasti kita akan tolong sehabis baik dan walau apa jua cara sekalipun,” katanya.
Sebagai selebriti, Ella menyeru rakyat Malaysia untuk memberikan sumbangan bagi meringankan beban insan yang memerlukan di kem pelarian berkenaan.
Sementara itu, Azhar berkata, sebelum melawat kem berkenaan, mereka harus kuat tidak hanya pada fizikal, tetapi juga mental dan emosi.
“Apabila kita bercakap mengenai kem pelarian, sudah pastilah keadaan di sana teruk. Tanpa tempat tinggal yang sempurna, kekurangan makanan serta perubatan. Tahap kebersihan juga pastinya tidak berada pada tahap yang baik.
SUDAH BERSEDIA HADAPI CABARAN
“Jadi, kami harus dalam keadaan sihat ketika berada di sana. Mental dan emosi juga perlu kuat. Saya yakin, kehidupan mereka dalam serba kekurangan mampu meruntun jiwa mana-mana individu,” katanya.
Sedang merangka aktiviti yang boleh dilakukan bagi menghiburkan pelarian di sana, kata Ella, dia sempat bertemu dengan Fara Fauzana, Jihan Muse dan Zara Zya bagi berkongi tip dan pengalaman mereka sepanjang berada di Palu, Indonesia.
“Saya sempat lepak dengan mereka dan pastinya isi perbualan kami adalah mengenai misi kemanusiaan. Saya ada meminta nasihat dan tip daripada mereka apa yang perlu saya lakukan.
“Mereka memang banyak membantu dan memberikan maklumat serta berkongsi pengalaman. Saya teruja dan pada masa sama berdebar untuk menyertai misi kemanusiaan berkenaan,” katanya.
Menurut Ella, peranannya bukan sekadar menarik orang ramai menyumbang, tetapi juga memberikan kesedaran agar lebih ramai menjiwai dengan pergolakan dunia yang berlaku pada masa kini.
“Mungkin ada yang rasa cuma tidak ramai kerana kesedaran itu kurang. Mungkin ini salah satu cara saya untuk membantu iaitu dengan menyebarkan maklumat, sekali gus menyuntik rasa tanggungjawab,” katanya.
Selain Indonesia atau Vietnam, Korea juga menjadi destinasi pilihan untuk kaki travel. Bukan saja kerana promosi tiket murah, tetapi kerana keindahan tempat berkenaan terutama buat kaki selfie.
Biarpun bukan negara Muslim, tetapi pengunjung ke Korea mudah untuk mendapatkan makanan halal. Walau pun begitu, ada juga beberapa tempat yang perlu kita pastikan makanan dijual adalah ‘halalan tayyiban’.
Salah satu tempat yang dikatakan agak meragukan status halal makanan dijual adalah di Myeongdong Street. Walaupun banyak menjual makanan ‘halal’ di kawasan yang popular ini.
Myeongdang Street.
Baru-baru ini viral di media sosial apabila seorang netizen mempersoalkan mengenai status kehalalan makanan di sana.
Dalam posting dimuat naik di laman twitter, dia ternampak ‘taktik’ licik salah seorang penjual sebuan stall yang telah menyalah guna label halal ini.
Menerusia satu perkongsian video, pemilik akaun menggunakan nama @Najib_Ayub telah merakam gelagat seorang penjual yang katanya telah menaikkan signboard halal apabila ternampak ramai wanita bertudung di kawasan kedainya.
Namun begitu, peniaga ini kemudiannya bertindak turunkan semula signboard berkenaan apabila melihat pelancong dari Filipina yang datang ke kedai berkenaan.
Dekat Myeondong Street, penjual dekat stall ni bila dia nampak ramai orang pakai tudung jalan dekat situ dia tukar signboard yang ada halal tapi bila dah ramai tourist dari tempat lain *(time ni ramai orang Filipina dtg stall) dia turunkan signboard tu letak dekat tepi. pic.twitter.com/cNIL8n7Z6o
Dalam postingnya juga dia sempat menasihatkan kepada mereka yang mahu berkunjung ke Korea supaya berhati-hatri dalam mencuba street food di sana kerana bimbang terkena dengan sikap peniaga yang mengambil kesempatan.
Malah ada antara salah satu kedai yang turut menyediakan daging khinzir namun meletakkan tanda halal di sana.
Ternyata posting ini menarik perhatian ramai warganet dan turut bersetuju bahawa makanan di Myeongdong Street tidak semuanya halal dan kebanyakannya scam pelancon Muslim.
Jadi bagi sesiapa ‘kaki travel’ yang mahu ke sana, agar lebih-lebih berhati-hati dengan soal makanan. Kita perlu peka dengan bahan-bahan dalam makanan berkenaan adakah benar-benar halal dan boleh dimakan.
Ambil berat soal makanan diambil sebab jadi darah daging kita
Ini boleh dipraktikkan bagi sesiapa yang melawat ke Korea
Banyak makanan halal tapi mencabar untuk dicari. Key di sana cari orang middle east yang jual
Dalam pada itu, Najib ketika dihubungi oleh Harian Metro memberitahu bukan niat untuk memburukkan peniaga di situ (Korea Selatan), tetapi video dikongsi sebagai peringatan kepada rakyat Malaysia yang mahu mencari makanan halal di sana.
Menurutnya juga, video berkenaan dirakam secara spontan oleh isterinya, Nurul Nadiah Abd Aris, 28, ketika berjalan sekitar kawasan berkenaan pada waktu malam.
“Ketika berjalan di Myeongdong, saya terkejut apabila melihat papan tanda dengan logo halal diletakkan di bawah meja niaga ketika kunjungan pelancong Filipina sedangkan ia digantung di hadapan gerai sebelum itu.
“Situasi itu seolah-olah menunjukkan peniaga terbabit hanya menggantung papan tanda berlogo halal ketika kunjungan kumpulan pelancong Muslim saja sebagai taktik untuk menarik kehadiran mereka.
“Namun, tidak semua peniaga di situ bersikap begitu kerana ada juga yang jujur,” katanya lagi yang turut memberitahu ada juga segelintir warganet salah tafsir dengan perkongsian video berkenaan.
Namun dia tidak peduli kata-kata negatif berkenaan kerana hanya menjalankan tanggungjawab berkongsi pengalaman ketika melancong. Malah terserlah pada mereka yang menonton untuk buat penilaian sendiri.
“Saya selalu melancong dan pernah menetap selama tiga tahun di Dublin, Ireland sebelum pulang ke tanah air.
“Apa yang saya perhatikan, terdapat satu persamaan dalam kalangan segelintir pelancong Muslim iaitu mudah tertarik untuk membeli makanan di gerai atau restoran yang mempamerkan logo halal.
“Selain itu, ramai juga yang menaruh keyakinan tanpa was-was terhadap makanan laut dijual sedangkan sos dan minyak digunakan untuk menggorengnya belum dijamin status halalnya.
“Ada juga yang memberi alasan tidak salah memakannya kerana darurat sedangkan pilihan di tangan kita.
“Apa salahnya jika kita memeriksa terlebih dulu bahan yang digunakan, memasak sendiri dan atau membeli peralatan seperti sudu, garpu serta periuk jika ragu-ragu.
“Dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan peniaga saja sebaliknya perlu berusaha mencari maklumat sebelum melancong kerana segelintir peniaga menganggap hidangan bebas alkohol dan daging khinzir termasuk dalam kategori makanan halal,” katanya.
Najib bersama isteri dan anaknya.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Bayar Deposit Beli Barang Tapi Tak Jadi Ambil, Duit Pendahuluan Ini Hak Pembeli Atau Penjual?Dalam urusan jual beli hari ini, bayaran pendahuluan atau deposit...