Sebagai seorang Islam wajib percaya bahawa setiap penyakit ada ubatnya berdasarkan Al-Quran dan Hadis di bawah.
Firman Allah SWT:
“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. (Al-Israa’ 17:82)
Ikuti perkongsian wanita ini yang merupakan penghidap kanser.
Seram juga baca penulisan doktor doktor sekarang yang menulis dengan bahasa yang agak kasar! Sentap! Padu! Hentam!
Kemudian mereka seakan akan serang satu persatu bidang bidang tertentu terutamanya bidang alternatif selain dari perubatan hospital.
Bercakap dari pengalaman sendiri.
Saya adalah pesakit kanser. Selepas rawatan kimoterapi, saya bergantung kepada antibiotik jika diserang batuk. Tanpa antibiotik batuk saya tidak akan baik.
Saya mudah dijangkiti batuk kerana kanser saya menyerang paru paru sebelah kiri saya. Kanser Lymphoma. Hodgkin Disease.
Ads
CULAS BUAT RAWATAN KEMOTERAPI
Cerita tentang rawatan chemo, saya adalah pesakit yang acah acah melarikan diri dari meneruskan rawatan chemo. Tetapi ‘cair’ serah diri balik ke hospital selepas dipujuk baik oleh Staff Nurse yang baik lagi syantek, Kak Yati nama dia. Dahulu dia bertugas di Daycare Hospital Ampang. Dia jer yang selalu dapat cucuk tangan saya untuk masukkan branular. Nurse lain tak berani cucuk saya sebab vein saya halus dan tegang macam dawai ampai jemur kain lepas kena chemo.
Berbalik cerita asal, saya adalah seorang yang mudah dijangkiti batuk. Setiap kali batuk kena serah diri di hospital untuk minta doktor prescribed antibiotik. Tak boleh beli sembarang di farmasi.
Saya jadi takut nak dekat dengan orang. Kalau ada yang batuk, mesti saya ‘kena’. Batuk teruk sampai terkencing kencing! Sampai kering tekak! Sampai berdarah kahak.
DOKTOR CADANG AMAL MAKAN MADU
Ads
Perkara ini berterusan sehingga saya mengandung anak yang ke dua kira kira 4 tahun selepas rawatan chemo.
Semasa follow up pregnancy dengan doktor pakar di Klinik Ibu & Anak, saya minta doktor prescribed antibiotik sebab saya batuk ketika itu. Doktor tersebut enggan dan berasa tak berapa happy dengan keadaan saya yang bergantung kepada antibiotik. Lagi lagi saya mengandung, ianya tidak baik untuk janin dalam kandungan.
Doktor beri cadangan untuk saya cuba amalkan makan ‘madu’ untuk rawat batuk saya. Saya frust dengan keputusan doktor tersebut.
Sebagai langkah protes, memang saya makan madu setiap kali batuk. Saya dapatkan madu tualang dari kiosk madu tualang yang hanya menjual madu tersebut sahaja.
Batuk! Telan madu! Asal batuk, telan madu. Protes! Protes sebab doktor tak bagi ubat antibiotik. Batuk lagi! Telan lagi! Tengah malam terbatuk! Bangun makan madu. Pagi pagi berkahak, lari pergi dapur telan madu.
Lama juga saya buat amalan makan madu. Sehinggalah saya mengandung anak ke tiga dua tahun kemudian. Tiba tiba saya teringat saya pernah protes dengan doktor yang sama ketika beliau tak nak bagi ubat antibiotik.
Ads
GABUNG RAWATAN MODEN & ALTERNATIF
Saya baru perasan yang saya dah tak batuk lagi. Dah tak merentan sibuk nak makan antibiotik setiap kali batuk.
Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya dapat pulihkan paru paru saya yang mungkin rosak ketika kanser dahulu.
Ada dua peringkat di sini, saya rawat dengan chemo dan pulihkan organ tersebut dengan madu iaitu sumber dari alam yang Allah jadikan penuh manfaat.
Bagi saya, rawatan hospital rawatan juga, tetapi pengambilan alternatif seperti makanan sunnah, minyak bau bauan semulajadi mungkin adalah usaha untuk memulihkan kembali organ atau anggota yang telah mengalami sakit.
Sebilangan doktor doktor mungkin kendurkan sedikit bahasa atau penulisan yang agak keras bunyinya kerana semua berlaku atas izin Allah. Jika Allah kata baik dengan rawatan hospital, baiklah dia. Jika Allah kata baik dengan ‘do nothing’, baiklah dia. Jika Allah kata baik dengan rawatan homepathi, baiklah dia. Hatta jika dengan izin Allah, sakit pun boleh baik dengan air yang hanya dibaca dengan Alfatihah oleh insan insan biasa yang dipilih Allah.
Jauhkan sikap sombong dan melabel. Kerana syaitan yang pernah duduk di syurga pun akhirnya terkeluar dari sana kerana sifat sombong dan melabel.
Sumber kredit: FB: Rafiza Idayu
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Banyak makanan yang membantu dalam penjagaan rahim. Antaranya ialah nanas. Nanas mengandungi enjim bromalin. Selain Nanas, betik juga elok diamalkan dan ia bagus untuk rahim. Ini kerana betik mengadungi enzim papase. Kedua-dua enzim berperanan untuk membersih darah kotor di belakang rahim.
Selain itu, amalkan juga makan keledek merah. Keledek merah membekalkan sedikit hormon progesterone. Amalkan juga makan keladi kerana ia ada sedikit estrogen. Ubi kayu pula ada sedikit B17 (anti kanser). Makanan tersebut membantu penjagaan rahim.
Kunyit, bawang merah, bawang putih, halia dan serai juga bagus kerana bahan-bahan ini ada kesan-kesan anti inflammatory juga berperanan menjaga rahim. Perbanyakkan juga makan sayur-sayuran khususnya yang berwarna hijau saperti bayam, sawi, pucuk paku, kubis, kacang, lobak merah, brokoli, taugeh dan lain-lain.
Selain sayur-sayuran, buah-buahan juga baik untuk menjaga rahim. Banyakkan makan buah-buahan seperti jambu, oren, mangga, epal dan buah naga. Kekacang juga mengandungi khasiat untuk penjagaan rahim. Makanlah pelbagai kekacang seperti kacang tanah, gajus, badam, walnut dan lain-lain. Baik juga dimakan bersama-sama kismis dan kurma.
Makan lebih ikan seperti ikan kembung, tenggiri, bawal, tuna dan tongkol. Amalkan minum teh hijau yang mengandungi anti okidant yang boleh mencegah penyakit. Amalkan minum susu segar (lembu atau kambing) setiap hari. Amalkan juga pengambilan suplement multivitamin, vitamin C (1GM) dan vitamin E (400 IU), logam kalsium dan minyak ikan (1-2000 GM) setiap hari.
Sering juga haid tidak lancar keluar dan adakala haid tumpah/melimpah ke belakang rahim. Fenomena tersebut dikaitkan dengan rahim retroverted dan saluran pintu rahim sempit. Tanda utama ialah senggugut dan terdapat sistem pembersih darah haid.
Bila sistem ini gagal akibat penurunan imuniti ekoran daripada pemakanan kurang berzat dan tinggi tahap racun serta peningkatan stres, darah haid menimbulkan penyakit endometriosis dan adenomyosis. Ketumbuhan yang paling sering berlaku pada rahim ialah fibroid. Walaupun ia boleh menimbulkan gejala-gejala yang sama tetapi ia boleh dibuang melalui pembedahan dan dipulihkan kemampuan untuk hamil.
Dipercayai darah haid yang tidak lancar dan bertakung di belakang rahim menggalakkan gangguan jin dan syaitan terhadap rahim. Oleh sebab itu ketika haid wanita tidak boleh solat dan baca Al-Quran, sebaiknya banyakkan zikir dan selawat sebagai langkah mencegah gangguan jin dan syaitan.
Sumber: Facebook: Dr Hamid Arshat
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Dalam mendepani dan menyantuni pesakit, peranan penjaga pesakit (caretaker) adalah sangat penting. Boleh dikatakan penjaga pesakit adalah orang ketiga terpenting selepas doktor pakar, dan jururawat yang ditugaskan merawat pesakit. Penjaga pesakit akan berada di sisi pesakit hampir setiap masa, siang dan malam.
Perbezaan yang ketara antara pesakit dan penjaga pesakit adalah, pesakit akan dicucuk badan mereka dengan segala ubatan manakala penjaga pesakit tidak melalui prosedur perubatan tersebut. Penjaga pesakit akan mengalami dan merasai sendiri first-hand experience apabila melihat prosedur perubatan yang dijalankan ke atas pesakit.
Perkongsian saya kali ini adalah mengenai peranan penjaga pesakit (caretaker), apa yang perlu anda tahu? Berpeluang untuk menjaga pesakit kanser iaitu emak saya sendiri sepanjang tempoh rawatan dan chemotherapy selama 6 bulan di Hospital Pulau Pinang, sedikit sebanyak membuatkan saya ingin berkongsi apa yang saya lalui sepanjang tempoh tersebut.
Berikut merupakan beberapa perkara yang perlu anda ketahui sebagai penjaga pesakit:
1) Terima ujian dengan hati yang terbuka dan ikhlas
– Saat diuji, kita akan merasakan beratnya ujian ini. Serabut, sedih, dan tertekan. Kita menangis semahunya. Bengkak mata, bengak emosi. Ada masa kita akan bertanya, kenapa aku Ya Allah, kenapa Kau uji emak/ayah/isteri/suami aku. Apa salah mereka? Allah Maha Mengetahui. Selagi mana kita bernyawa, kita akan sentiasa diuji. Berhenti menyoalkan aturan Allah. Sesuatu perkara yang Allah aturkan itu adalah yang terbaik, cari hikmah disebalik ujian yang diberikan. Terima dengan hati yang terbuka dan ikhlas. Antara ayat Quran yang sentiasa saya baca saat menerima ujian, “Innarabbillatifun limayasha’, innahu huwal ‘alimulhakim (Surah Yusuf, ayat 100) yang bermaksud Sesungguhnya Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya, Dia Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
2) Sokongan spiritual dan moral
– Dalam menjaga pesakit, sokongan spiritual dan moral kepada pesakit sangat penting. Pesakit akan merasakan mereka ini sebagai “bebanan” kepada orang disekeliling. Adalah menjadi tanggungjawab penjaga pesakit untuk memberi sokongan moral kepada pesakit. Berikan mereka kata-kata yang positif. Kata-kata penguat semangat ini akan membantu membina kekuatan dalaman pesakit. Kekuatan dalaman ini akan menjadi semangat untuk pesakit melawan dan berjuang dengan kesakitan yang sedang dihidapi.
– Pada masa yang sama, sebagai peneman pesakit, bantu pesakit untuk terus berkomunikasi dengan Tuhan. Ajarkan pesakit cara bersolat dalam keadaan uzur, galakkan pesakit untuk sentiasa berzikir mengingati Tuhan yang Esa, dengarkan bacaan Al-Quran kepada pesakit. Sampaikan kepada pesakit bahawa ujian yang diterima ini adalah hadiah dari Allah yang sayang kepada hamba-Nya. Walau terbaring di atas katil, tidak dapat bergerak, jangan jadikan alasan untuk memberhentikan komunikasi pesakit dengan Pencipta-Nya. Bantulah pesakit untuk berkomunikasi dengan Allah SWT.
Gambar sekadar hiasan.
3) Kekuatan mental dan fizikal
– Penting untuk penjaga pesakit untuk mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang tinggi. Uruskan keperluan pesakit, kurang waktu tidur, waktu makan tak menentu, badan yang letih, ulang-alik antara rumah dan hospital adalah perkara yang perlu dihadapi oleh penjaga pesakit. Perkara ini akan membuatkan penjaga pesakit berada dalam keadaan tertekan, emosi tak stabil, cepat meradang dan sebagainya. Andai kata letih, cari jalan dan ambil masa untuk dapatkan rehat secukupnya. Kalau penjaga pesakit jatuh sakit, ini akan membuatkan pesakit lebih tertekan kerana mereka seolah hilang tempat bergantung.
4) Sumber kewangan
– Sumber kewangan ketika menjaga pesakit antara perkara yang tidak boleh diambil mudah. Ini kerana, kita memerlukan peruntukan untuk berulang-alik ke hospital, kos makanan dan minuman kita sepanjang menemani pesakit, kos untuk membeli barang keperluan pesakit seperti lampin pakai buang dan lain-lain lagi. Pastikan kita mempunyai sumber kewangan yang mencukupi. Dalam keadaan ini, cuba elakkan yang kita sedang menghadapi masalah kewangan di hadapan pesakit. Kalau pesakit tahu, ini akan buatkan pesakit menjadi lebih tertekan dan semangatnya untuk pulih akan terbantut.
5) Sokongan ahli keluarga
– Ketika menghadapi situasi yang getir ini, sokongan dari ahli keluarga teramatlah penting. Komunikasi dan interaksi sesama ahli keluarga adalah perlu. Bincangkan strategi bagaimana untuk menjaga pesakit, bergilir-gilir menjaga pesakit, rebut peluang untuk menjaga dan berbakti kepada pesakit. Tolong, tolong, dan tolong jangan bergaduh sesama ahli keluarga dalam situasi ini. Jangan menyalahkan antara satu sama lain, jangan mengungkit apa yang telah dibuat/ diberikan, jangan merendahkan adik beradik. Sebaliknya, dalam keadaan ini, ahli keluarga bersatu, bekerjasama, dan bincang dengan elok apa langkahan yang patut dibuat. Setkan priority. Buang ego jauh jauh. Selagi mana ada perkataan “ego” dalam diri, selagi tu lah masalah tidak selesai.
6) Kemahiran sosial dan komunikasi
– Apabila anda menjaga pesakit, anda akan berada dalam suasana yang memerlukan kemahiran sosial dan komunikasi. Ini kerana, anda akan berjumpa dengan pelbagai jenis ragam dan perangai manusia di hospital. Berlapang dada apabila berhadapan dengan situasi yang mungkin anda tidak pernah alaminya sebelum ini. Ringankan mulut untuk bertanya khabar kepada doktor, jururawat, pembantu doktor, pembantu jururawat, pesakit sebelah katil, hatta tukang cuci sekalipun. Ini kerana akan ada masa kita akan meminta pertolongan daripada mereka. Tak salah untuk kita berbuat baik sesama insan. Biasakan diri untuk ucapkan perkataan “terima kasih” kerana dua perkataan ini nampak mudah, tapi…susah untuk diucapkan. Jangan berlagak sombong ya. Orang sombong ni selalunya rugi.
7) Pengurusan stress dan emosi
– Sebagai penjaga pesakit, kita tak dapat lari daripada stress dan emosi tak stabil. Nasihat saya, carilah cara untuk mengurusankan stress dan emosi. Sembang dengan orang sekeliling dan sembang dengan Tuhan dapat membantu mengurangkan stress dan meredakan tekanan emosi yang dihadapi. Selain itu, lakukan aktiviti seperti senaman ringan, regangan, dan berjalan sekitar kawasan hospital. Ini juga dapat membantu menangani stress tersebut.
– Selain itu, kongsi masalah dan tekanan yang dihadapi dengan orang yang anda percayai seperti kawan baik, pasangan, dan lain-lain. Believe me, Allah will send some of His angle to you at the right time for you to cry on.
8)Keceriaan dalam kesulitan
– Walau sedang bertarung dengan kesakitan, itu tidak menjadi penghalang kepada pesakit dan penjaga pesakit untuk terus senyum dan bergelak-ketawa. Masa ini adalah momen yang bermakna untuk bergurau, ceriakan pesakit. Cuba untuk bersembang dengan pesakit apa yang pesakit suka, throwback peristiwa dulu yang lawak / boleh buatkan pesakit ketawa, selfie, wefie, video dan apa juga yang boleh dibuat untuk menceriakan pesakit. Ini penting kerana dapat buatkan pesakit melupakan seketika kesakitan yang dihadapi.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan sekiranya ada kebaikan, mohon untuk kongsikan (share), saya niatkan pahala kebaikan tersebut kepada emak dan ayah saya, Hasnah binti Taib dan Mohd Noor bin Wahab. Semoga kedua mereka dipanjangkan umur, sihat tubuh badan dan berada dalam rahmat Allah SWT.
Sebenarnya amalan perbomohan memainkan peranan yang sangat penting dalam masyarakat Melayu sejak dahulu lagi. Perkara ini sememangnya tidak dapat dinafikan. Pada tahun-tahun sebelum datangnya peradaban serta pendidikan barat khususnya Inggeris, peranan atau fungsi bomoh begitu menonjol sekali di kalangan masyarakat Melayu.
Dalam perkataan lain, peranannya di sini tidaklah terhad pada bidang mengubati dan menyembuhkan penyakit sahaja, bomoh juga terlibat dalam kegiatan harian masyarakat Melayu. Aktiviti-aktiviti ini termasuklah mendirikan rumah baru, upacara perkahwinan, berpindah rumah, meneroka hutan, memilih jodoh, hal-hal mengenai kelahiran bayi, bersunat, mengubati penyakit dan lain-lain lagi.
Dan sehingga ke hari ini juga amalan ini masih lagi diteruskan oleh masyarakat Melayu khususnya umat Islam. Menariknya lagi, kini mungkin nama bomoh itu tidak digunakan lagi tetapi telah ditukar dengan gelaran-gelaran yang lain termasuklah ada di antara mereka yang mengaku sebagai Ustaz. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku? Mengapakah masyarakat kita lebih-lebih lagi yang beragama Islam sanggup mengambil keputusan untuk berjumpa dengan bomoh bagi mengubati penyakitnya? Dan adakah menggunakan jin Islam itu dibenarkan?.
Menurut Ustaz Mohd Fickri Che Hussain menggunakan jin dalam perubatan merupakan sesuatu perkara yang tidak dianjurkan sama ada jin itu Islam atau pun tidak kerana kelemahan manusia untuk mengenalinya. Biasanya hubungan dengan jin boleh berlaku melalui beberapa amalan khurafat oleh golongan yang ingin bersahabat dengan jin. Antara amalan tersebut seperti menjamu pulut semangat, tepung tawar, puja pantai dan puja semangat padi. Satu lagi unsur penting yang terlibat dalam proses ini adalah pemujaan termasuk menyembelih binatang dengan bacaan mantera tertentu.
Maka perbuatan sebegini akan membawa kepada dosa syirik. Jin sebenarnya takut kepada manusia. Ini berdasarkan daripada beberapa keterangan Al-Quran berhubung dengan tunduknya jin kepada manusia.
“Dan Kami telah tundukkan (kepada Sulaiman) segolongan syaitan-syaitan yang menyelam (ke dasar laut) untuk mengerjakan perintahnya; dan adalah Kami memelihara (mengawal) mereka itu.” (Al-Anbiya’: 82).
“Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya daripada jin, manusia dan burung, lalu mereka itu berbaris dengan tertib.” (An-Naml: 7).
“Dan sebahagian daripada jin ada yang bekerja di bawah kekuasaan (Sulaiman) dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa yang menyimpang di antara mereka daripada perintah Kami, Kami rasakan kepadanya azab neraka yang apinya menyala-nyala. Jin-jin itu membuat untuk Sulaiman apa yang dikehendakinya dari bangunan-bangunan yang tinggi dan patung-patung dan periuk yang tetap (berada di atas tungku). Bekerjalah wahai keluarga Daud untuk bersyukur.” (Saba: 12-13).
Membela atau bersahabat dengan jin untuk mendapatkan sesuatu daripadanya adalah salah dalam Islam. Apa yang berlaku pada zaman Nabi Sulaiman, baginda telah diperintahkan melalui wahyu Allah kepadanya di mana dengan menggunakan khidmat jin, beliau memindahkan istana Puteri Balqis.
Islam melarang bersahabat dengan jin walaupun untuk mendapat maklumat atau menggunakan khidmatnya untuk masyarakat atau untuk membantu kita mengatasi masalah perbuatan sihir dan sebagainya. Perkara ini boleh berlaku tetapi ia masih memerlukan kepada aspek pemujaan sebagai penghubung untuk memanggil jin-jin dan kaedah pemujaan beginilah yang dibimbangkan boleh membawa kepada syirik.
Apabila kita memuja jin, mereka akan menjadi lebih sombong dengan kesesatannya lebih-lebih lagi apabila sampai ke tahap jin disembah sebagai Tuhan kerana manusia mencari perlindungan daripada mereka. Firman Allah: “Bahawa ada beberapa orang lelaki dari kalangan manusia yang meminta perlindungan kepada beberapa lelaki dari kalangan jin, maka jin-jin itu (yang diminta pertolongan daripadanya) hanya menambah dosa dan kesalahan (pada diri mereka).” (Surah Al-Jin: 6).
Bagaimana pula dengan bomoh yang bertopengkan gelaran ustaz. Apakah pandangan Ustaz?
Kegiatan bomoh, dukun, pawang, ahli nujum dan sesetengah bomoh jin yang mengubati pesakit melalui bantuan jin adalah sebahagian amalan yang menyesatkan hidup manusia sendiri. Ada golongan yang menggunakan gelaran ustaz tetapi masih menggunakan khidmat jin dan ini sebenarnya merosakkan akidah mereka.
Perbuatan bertemu dengan dukun itu juga adalah ditegah sebagaimana Nabi s.a.w bersabda: “Barang siapa mendatangi peramal lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama 40 hari”. (Hadis Riwayat Muslim)
Menurut Ibnu Taimiyyah dalam kitab Al-bayan al-Mubin fi Akhbar al-Jinni wa al-Syayathin, “Jin dan syaitan yang dijadikan sekutu atau sahabat akan berasa bangga apabila diminta bantuan dan mereka akan segera datang. Jin dan syaitan sangat mengetahui bahawa manusia itu lebih mulia dan lebih berkuasa daripada mereka. Maka apabila manusia tunduk kepada jin dan meminta perlindungan daripada mereka, ia ibarat seorang raja yang melutut di kaki seorang hamba untuk meminta ditunaikan hajatnya.”
Mengapakah perlu dijauhi perubatan menggunakan jin?
Ada beberapa sebab yang mana di antaranya:
1. Jin akan mengelirukan manusia dengan bisikan kepada bomoh tersebut bahawa itu merupakan roh para wali yang datang berdampingan dengannya. Amalan seumpama ini dinamakan juga sebagai amalan ’menurun’. Sekiranya didapati pengamal perubatan itu boleh bertukar ‘suara’ atau menggunakan kaedah ‘menurun’ dan seumpamanya maka hendaklah dijauhi daripadanya agar terselamat daripada syirik.
2. Timbulnya segala kemudaratan akibat meminta pertolongan jin antaranya ialah balasan neraka sebagaimana firman Allah SWT: “Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): “Wahai sekalian jin! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut daripada manusia”. Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: “Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat pertolongan) dengan sebahagian yang lain (jin-jin), dan telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami”. (Allah berfirman): “Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah.” (surah Al-An’am : 128)
3. Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat tidak pernah meminta pertolongan jin sama ada daripada aspek rawatan atau pun dalam isu darurat seperti peperangan dan sebagainya.
4. Menguasai atau melihat jin merupakan mukjizat khusus untuk para Nabi dan manusia biasa mustahil boleh melihat jin dalam bentuk yang asal, apatah lagi menguasainya sebagai khadam suruhan. Firman Allah: “Sesungguhnya ia (jin) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari satu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka”. [surah Al A’raf, 27] Kecuali jika ia menyerupai haiwan seperti anjing, ular hitam dan sebagainya seperti yang dinyatakan dalam hadis Nabi s.a.w.
5. Tipu muslihat jin sangat licik dalam usaha untuk menyesatkan manusia. Allah berfirman: “Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) telah menyesatkan aku, maka aku akan menghalang anak-anak Adam dari melalui jalanMu yang benar. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka, dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati melainkan hanya sedikit sahaja daripada mereka yang bersyukur.” (surah Al A’raf, ayat 16-17)
6. Hanya orang yang jahil dalam urusan beragama yang ingin bersahabat dengan jin. Maka mereka tidak lagi peduli soal pahala dan dosa kerana mementingkan soal keduniaan semata-mata.
7. Perlu dijauhi dari bersahabat dengan jin agar diri tidak dikuasai olehnya secara sedar mahupun tidak kerana ia akan menjauhkan seseorang itu dari Allah Taala dan petunjuk-Nya.
8. Jin tidak rela melakukan kerja-kerja khadam kerana pekerjaan tersebut adalah suatu yang menghinakan. Hal ini telah diterangkan oleh Allah SWT dalam surah Saba ayat 14: “Maka tatkala Kami telah menetapkan kematian Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu kecuali anai-anai yang memakan tongkatnya. Maka tatkala ia telah tersungkur, tahulah jin itu bahawa kalau sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak tetap dalam seksa yang menghinakan.” Ayat ini menyatakan khidmat jin dan syaitan kepada Nabi Sulaiman dalam keadaan terpaksa. Bila Nabi Sulaiman wafat, mereka merasakan baru sahaja terlepas daripada perhambaan yang menghinakan. Jadi jika suruhan Nabi Sulaiman mereka buat dalam keadaan terpaksa, apatah lagi suruhan dari manusia biasa .
9. Bersahabat dengan jin boleh membawa kepada upacara ‘menurun’ dengan mengilhamkan sesuatu melalui bisikan, memperlihatkan sesuatu yang terselindung dan yang ghaib daripada pandangan, serta pelbagai lagi perkara-perkara luar biasa. Firman Allah: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan yang terdiri dari kalangan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain dengan kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.” (surah Al An’am : 112)
10. Bersahabat dengan jin akan memudahkan ia merasuk dalam diri seseorang itu dan kerasukan itu mampu membawanya jauh daripada rahmat Allah dan ia akan melakukan segala bentuk kesyirikan demi memuaskan kehendak jin tersebut seperti ‘menjamu’ pulut semangat, tepung tawar, memuja pantai dan sebagainya.
TIP JAUHI DIRI DARIPADA KESYIRIKAN
*Memurnikan tauhid dan beramal dengan akidah yang sahih
*Mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w. dalam setiap keadaan
*Menjaga solat dan amalan kebajikan yang lain
*Memperbanyakkan membaca al-Quran dan mentaddabur isi kandungannya
*Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
*Menjauhi maksiat dan meninggalkan perbuatan dosa
*Memperbanyakkan amalan-amalan kebajikan bagi mendekatkan diri kepada Allah
Berkata Ibn al-Qayyim: Kebanyakan manusia yang mudah dirasuk adalah disebabkan kurangnya amalan agama mereka. Kosongnya hati dan lidah mereka daripada hakikat zikir, berta’awwuz, membentengi diri dengan selawat dan sebagainya. Keadaan itu menjadikan jiwa kosong tanpa sebarang senjata yang dapat mempertahankannya dan ia berkemungkinan tanpa sebarang pakaian yang dapat melindunginya.
Kebanyakan jiwa manusia cepat diserang dengan rasukan ini yang mudah dapat menguasainya, memerangkap dan merasuk di mana sahaja yang diingininya. Sudah pasti jiwa yang kosong tadi tidak dapat menghalang dan melepaskan diri daripada rasukan tersebut dan jika ia kian kuat, pastinya mereka yang terkena rasukan tersebut tidak mampu sedar dan menjadi gila, maka itulah rasukan yang sebenar. Semoga Allah memberikan pertolonganNya.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Selepas Syawal ramai yang berkira-kira untuk melakukan ibadah korban Setiap kali tibanya musim ibadah korban untuk Aidiladha nanti.Boleh jadi terdetik juga keinginan untuk melakukan...