Meski mendambakan ibu bapa yang menyayangi tapi realiti kehidupan tak semuanya begitu. Ada anak yang ditakdirnya berdepan dengan sikap ibu yang membenci anak sendiri.
Ia mungkin berlaku akibat dari sesuatu perkara atau peristiwa dan boleh jadi perasaan amarah dan benci ini berlarutan dalam tempoh yang lama.
Dalam situasi ini adalah seseorang anak ini akan menerima balasan neraka kerana Allah menuntut seseorang anak itu berbuat baik kepada ibunya.
Perkara ini sebenarnya adalah dilema yang dihadapi oleh seorang anak yang ditanyakan kepada Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri.
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya adalah anak lelaki kepada mak ayah saya dan saya sentiasa berusaha dan mencuba menjaga hati ibu saya sejak dari kecil lagi sehingga sekarang yang berumur 34 tahun. Namun, ibu saya tetap membenci saya dan sentiasa marah saya. Syurga saya dibawah tapak kaki ibu saya dan walaupun saya berusaha untuk menjaga hati ibu. Ibu saya tetap benci saya dan sentiasa tidak puas hati dgn saya. Soalan saya adalah, adakah saya akan masuk neraka walaupun saya atas dasar benci dan kemarahan ibu saya walaupun saya tidak ada menyakitkan hati ibu saya?
Seorang anak hendaklah berbuat baik kepada ibu bapanya
Seorang anak itu hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada kedua ibu bapanya kerana inilah arahan Allah SWT:
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’: 23)
Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Keredhaan Allah pada keredhaan kedua ibu bapa, kemurkaan Allah pada kemurkaan kedua ibu bapa.”
Riwayat al-Tirmizi (1900), Ibn Hibban (2026). Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (3424) menyatakan bahawa sanadnya sahih.
Ads
Ibu bapa merupakan dua insan yang wajib ditaati oleh anak-anak selagi mana mereka tidak menyeru kepada perkara-perkara maksiat. Anak-anak wajib berbuat baik terhadap kedua ibu bapa mereka walaupun mereka tidak beriman dan menyeru kepada kekufuran. Hubungan ibu bapa dan anak-anak akan kekal walaupun berlainan agama. Allah SWT telah berfirman:
Maksudnya: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan-Ku atas sesuatu yang engkau tidak mengetahuinya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” (Surah Luqman: 15)
Ibn Kathir berkata: “Jika kedua orang tuamu memaksa kamu kepada agama mereka, maka janganlah kamu mengikutnya dan dalam pada masa yang sama ia tidaklah menjadi penghalang bagimu untuk berbakti kepada keduanya di dunia dengan cara yang baik.
Ads
Ambillah iktibar daripada kisah Sa’ad bin Abi Waqqas yang berbakti kepada ibunya dan bagaimana cara penyelesaian yang dilakukan oleh Sa’ad yang penuh berhikmah sehingga akhirnya ia telah menyebabkan ibunya dapat menerimanya.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 6/402)
Meski ibu marah namun ia tidaklah menyebabkan masuk neraka
Menjawab persoalan di atas, walaupun ibu marah dan benci, namun ia tidaklah menyebabkan saudara masuk neraka.
Benar, redha Allah adalah pada keredhaan ibu bapa, namun ia adalah perkara yang ketaatan dan juga dalam perkara yang harus sahaja. Hal ini kerana sekiranya ibu bapa yang tidak meredhai anak yang melakukan kebaikan dan ketaatan, ia tidaklah menjadikan seorang itu anak derhaka.
Oleh itu, banyakkan berdoa kepada Allah SWT supaya melembutkan hati ibu saudara kerana Allah SWT sahaja yang memegang hati seseorang itu dan Dia sahaja yang boleh melembutkan hati seseorang itu.
Di samping itu, teruskan melakukan kebaikan dan ketaatan kepada ibu bapa walaupun dalam keadaan mereka tidak menyukai kita. Semoga Allah SWT melembutkan hati mereka untuk terus menyayangi anak mereka.
Beberapa hari lagi kita bakal menyambut bulan Ramadhan. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkahan, AIlah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu, kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmat Allah di bulan ini.” (HR At-Thabrani)
Menjelangnya tibanya Ramadhan, perkara paling penting diselesaikan ialah menggantikan puasa selain membayar fidyah bagi yang tidak boleh menggantikan puasa ditinggalkan (menurut syarat dibenarkan).
Namun selain itu, ada beberapa persoalan-persoalan yang mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat berikutan penggunaan pelbagai alatan perubatan moden. Justeru itu Jabatan Mufti Negeri Perak berpandangan sepertimana yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berkenaan penggunaan alatan yang boleh dan tidak membatalkan puasa, seperti berikut:
Penggunaan Alatan Yang Boleh Membatalkan Puasa :-
Penggunaan alat sedutan (inhaler) untuk rawatan lelah (athma) atau untuk penyakit paru-paru kronik.
Memasukkan sebarang tiub kecil (pessary) atau ubat ke dalam faraj (vaginal suppository) termasuk prosedur cucian (wash), pemeriksaan dalaman vaginal (vaginoscope), atau pegawai perubatan memasukkan jari untuk melakukan pemeriksaan dalaman vagina wanita;
Memasukkan sebarang tiub catheter, alat pemeriksaan dalam saluran kencing (urethroscope), barium atau ubat pencuci yang dimasukkan sama ke dalam saluran kencing bagi lelaki atau wanita (contohnya memasukkan ‘urinary catheter’ untuk rawatan sumbatan salur kencing).
Penggunaan alat seperti enema, tiup suppository, teropong perut (gasteroscope) untuk tujuan pemeriksaan system penghadaman; dan
Penggunaan bius menyeluruh yang melibatkan penggunaan gas.
Penggunaan Alatan Yang Tidak Membatalkan Puasa :-
Menggunakan ubat titis mata, titis telinga dan cucian telinga (dengan syarat tidak sampai batas gegendang telinga);
Pil tablet nitroglycerin (GTN) atau ubat yang menyamainya yang diambil secara meletakkannya di bawah lidah tanpa ditelan bagi merawat kesakitan dada (angina pectoris) bagi pesakit jantung;
Melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan, pemeriksaan gigi atau memberus gigi dengan syarat individu yang berpuasa tidak menelan apa-apa bahan semasa prosedur rawatan tersebut;
Semua bentuk suntikan sama ada melalui lapisan kulit, otot, sendi atau salur darah;
Pendermaan atau pemindahan darah;
Penggunaan ubat-ubatan dalam bentuk sapuan, balutan dan plaster pada permukaan kulit;
Pengambilan sampel darah untuk ujian makmal;
Memasukkan tiub kecil (catheter) melalui salur darah tujuan pemeriksaan untuk prosedur angiogram untuk pemeriksaan jantung;
Pemeriksaan laparoscop, iaitu pemeriksaan dalaman dengan menggunakan alat yang dimasukkan melalui dinding abdomen untuk pemeriksaan bahagian dalaman pesakit;
Berkumur-kumur termasuk berkumur-kumur secara gargle (sehingga air sampai ke tekak) dan ubat teraputik semburan ke mulut yang tidak melibatkan proses menelan;
Menjalani biopsy iaitu pengambilan spesimen atau cebisan yan diambil daripada hati atau organ-oran lain untuk tujuan analisa makmal;
Penggunaan ubat semburan (spray) hidung tanpa disedut;
Rawatan dialisis untuk masalah pesakit buah pinggang sama ada hemodialisis atau peritonealdialisis;
Menjalani rawatan bius setempat atau separuh (local) dengan semburan atau suntikan setempat;
Penggunaan ubat buasir dengan memasukkan semula kawasan buasir pada tempatnya tanpa melibatkan kawasan rongga yang dalam.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Tular baru-baru ini sejenis makanan berbentuk ular di Pantai Timur hingga mendatangkan pelbagai tanggapan pada masyarakat.
Hidangan berkenaan disediakan oleh seorang peniaga Che Harun Ali, 46 tahun yang sudah hampir 30 tahun menebar roti canai.
Biarpun sudah menghasilkan adunan berbentuk ular itu sejak setahun lalu tetapi jadi viral apabila video menghasilkan roti canai berkenaan tersebar di media sosial.
Walaupun hanya roti canai basa tetapi ramai mempersoalkan hüküm makan makanan menyerupai haiwan berbisa seperti itu.
Dalam pada itu Menteri Kelantan Datuk Mohamad Shuri Mohamad tampil menjelaskan hukum membeli dan memakan makanan berbentuk haiwan berbisa berkenaan.
Menurut beliau hukum membeli dan memakan makanan berbentuk haiwan berbisa seperti roti canai ular yang tular baru-baru ini adalah tidak haram, selagi bahan yang digunakan untuk membuat makanan itu adalah daripada sumber yang halal.
Katanya lagi ini kerana tujuan pembelian itu adalah semata-mata untuk dimakan dan bukan untuk diagungkan.
“Kita semua sedia maklum, bahawa kandungan roti canai itu hanyalah tepung gandum sahaja dan ia datang daripada sumber yang halal. Jadi tidak timbul sekalipun isu haram jika memakan roti canai berbentuk ular.
“Bagaimanapun, hukum memakan ular tetap haram kerana ia mengandungi bisa yang akan memudaratkan manusia namun roti canai ular ini cuma menyerupai bentuk sahaja, bukan kandungannya yang memudaratkan manusia,” katanya yang turut mengingatkan umat Islam agar tiada unsur mempersendakan agama ketika memakan roti canai ular berkenaan.
“Seperti contoh, jika kita minum air kosong namun kita menyamakan air itu dengan arak adalah tidak dibenarkan, sama juga jika memakan roti canai ular ini namun dibanggakan seperti memakan ular yang betul adalah tidak dibenarkan kerana seolah-olah mempermainkan hukum Islam.
“Malah, masyarakat juga diingatkan agar tidak menggembar-gemburkan dan cepat menghukum sesuatu perkara yang tidak pasti. Seboleh-bolehnya pandanglah sesuatu perkara daripada sudut yang lebih positif,” katanya kepada Harian Metro.
Ramai di kalangan kita mengambil mudah untuk mandi telanjang tanpa memakai kain sebagai alas badan. Alasannya lebih selesa dan tiada orang melihat. Apakah hukumnya mandi telanjang dan melihat aurat sendiri. Berdasarkan Irsyad Al Fatwa #179, Mufi Wilayah memberikan penjelasan berkaitan hukum bertelanjang dan melihat aurat sendiri.
Jawapan :-
بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله
Aurat lelaki bila apabila berada berseorangan adalah qubul dan duburnya. Manakala wanita aurat mereka ketika berseorangan adalah antara pusat dan lutut. Walaupun dalam keadaan berseorangan, seseorang itu tidak boleh bertelanjang atau membuka auratnya tanpa ada sebarang keperluan atau hajat.
Termaktub dalam Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (24/176):
“Seperti mana wajib untuk menutup aurat daripada pandangan manusia, maka wajib juga menutup aurat ke atas seseorang yang bersendirian, yakni ketika berada di tempat yang sunyi daripada pandangan manusia. Para ulama yang berpendapat dengan hukum wajib ini adalah ulama mazhab Hanafi mengikut pendapat yang sahih, ulama Syafiiyyah dan Hanabilah. Manakala berkata ulama mazhab Maliki: “Sunat hukumnya menutup aurat sendiri ketika bersunyian, menutup ini adalah dituntut sebagai sikap malu kepada Allah Taala dan para malaikat-Nya.” Mereka yang berpendapat wajib pula berkata: “Sesungguhnya diwajibkan menutup aurat (walaupun ketika bersendirian) itu berdasarkan arahan untuk menutup aurat itu bersifat mutlak, dan juga kerana Allah Taala itu lebih layak seseorang itu malu terhadap-Nya, seperti hadis Bahz bin Hakim daripada ayahnya, daripada atuknya, berkata: Aku bertanya: “Wahai Utusan Allah! Aurat kami ini siapa yang boleh lihat dan siapa yang perlu kami awasi?” Sabda Rasulullah SAW: “Peliharalah aurat kamu, melainkan daripada isterimu atau hamba sahayamu.” Sahabat itu bertanya lagi: “Jika lelaki ketika bersama dengan lelaki?” Baginda menjawab: “Jika engkau mampu agar tidak dilihat aurat oleh seorang pun, maka hendaklah engkau lakukan.” Sahabat itu bertanya lagi: “Jika seorang lelaki itu bersendirian?” Sabda baginda: “Maka Allah lebih berhak untuk seseorang itu malu terhadap-Nya.” Justeru menutup aurat ketika bersendirian itu adalah dituntut melainkan jika terdapat hajat, seperti mandi, menyejukkan badan dan seumpamanya.
NABI MUSA AS MANDI DALAM KEADAAN TIDAK BERPAKAIAN DI TEMPAT YANG JAUH DARIPADA ORANG RAMAI
Rasulullah SAW bersabda:- Mafhumnya, “Dahulu Bani Israel mandi telanjang, mereka saling melihat satu sama lain. Sementara Nabi Musa alayhissalam mandi seorang diri. Orang-orang Bani Israel berkata : ’Demi Allah, tidak ada yang mencegah Musa mandi bersama kita kecuali kerana dia mengidap penyaki aadar.’ Suatu ketika Nabi Musa pergi mandi, baginda meletakkan pakaiannya di atas batu, lalu batu itu membawa lari pakaiannya. Maka Musa pun mengejarnya (batu itu), seraya berkata : ‘Hai batu, pakaianku!’. Akhirnya, orang-orang Bani Israel pun melihat Musa. Lalu mereka berkata : ‘Demi Allah, ternyata Musa tidak mengidap penyakit apa pun.’ Musa berjaya mengambil pakaiannya, lalu memukul batu tersebut dengan satu pukulan. Abu Hurairah berkata : “Demi Allah, bekas (pukulan) Nabi Musa pada batu itu sama dengan pukulan enam atau tujuh batu”. HR al-Bukhari Ibn al-Batthal mengatakan dalam syarah Sahih al-Bukhari jilid 1 halaman 392:
“ Adapun mandian yang dilakukan Bani Israel dalam keadaan telanjang dengan melihat di antara satu dengan yang lain, maka ia menunjukkan mereka menderhakai Musa pada perkara tersebut, tidak mengikut sunnahnya kerana baginda mandi sekira-kira tiada orang yang melihat kepada baginda dan mencari kawasan yang tiada orang. Padahal wajib mereka mengikutnya pada perbuatan tersebut. Walaupun perbuatan mereka mandi telanjang ketika berseorangan di bawah pengetahuan Musa dan dia memperakuinya. Namun tidak wajib kita mengikutinya kerana dalam syariat kita hendaklah menutup aurat daripada ditonjolkan aurat pada mata-mata manusia. Ia adalah fardhu ke atas kita. Manakala menutupnya (aurat) dalam keadaan berseorangan adalah baik bukan wajib”.
NABI AYUB AS MANDI TANPA SEURAT BENANG
Sabda Nabi SAW: Mafhumnya, “Sewaktu Nabi Ayyub alayhissalam mandi dalam keadaan telanjang, tiba-tiba jatuhlah di depannya seekor belalang emas. Ayyub pun segera hendak mengambil kainnya, maka baginda pun dipanggil oleh Tuhannya, “Wahai Ayyub, bukankah engkau telah cukup kaya hingga tidak memerlukan lagi barang (belalang emas) yang kau lihat itu?” Ujur Ayyab, “Benar wahai Tuhanku, tetapi aku tidak boleh mengabaikan keberkatan pemberianMu.” HR al-Bukhari
Ibn al-Muhallab berkata : “ Dalam hadith Musa dan Ayub adalah dalil keharusan bertelanjang ketika berseorangan untuk tujuan mandi dan sebagainya , sekira-kira tenteram daripada mata-mata manusia kerana Ayub dan Musa adalah antara manusia yang diperintahkan kita agar mengikut petunjuk mereka” lihat Syarah Sahih al-Bukhari karangan ibn al-Batthal. Dalil keharusan di atas adalah berdasarkan syarak umat sebelum kita (بشرع من قبلنا).
Ibn Hajar mengatakan : “Kesimpulannya, hukum sesiapa yang mandi tanpa sebenang urat (telanjang) sekiranya dia berada di tempat yang tersembunyi dan tidak dilihat oleh sesiapapun yang diharamkan ke atasnya melihat aurat orang tersebut, maka halal baginya untuk melakukannya. Tetapi yang afdhal adalah menutup auratnya kerana segan atau malu dengan Allah taala. Jika dia mandi sekira-kira dapat dilihat oleh seseorang maka haram orang tersebut melihat auratnya dan wajib ke atasnya menutup auratnya daripada orang tersebut secara ijmak sebagaimana diriwayatkan”. Lihat dalam Mirqaat al-Mafatih Syarah li Misykaat al-Masabiih, jilid 2 halaman 368. Imam al-Nawawi dalm kitabnya al-Majmu`, jilid 2 halaman 197:
“ Inilah mazhab kita (harus mandi telanjang). Dan Qadhi ^Iyadh menukilkan daripada mejoriti ulama tentang keharusan mandi dalam keadaan telanjang ketika berseorangan”. Antara adab yang perlu dijaga oleh seorang yang ingin mandi tanpa sebenang urat pun adalah sebagaimana disarankan oleh sebahagian fuqaha: “ Sesiapa yang mandi tanpa sebarang pakaian (telanjang) disunatkan ketika menanggalkan pakaian mengucapkan “ Dengan nama Allah, tiada yang berhak disembah melainkannya” kerana ia mampu menutup seseorang daripada terkena panahan mata-mata jin”. Perkara ini disebut oleh al-Dimyathi dalam kitabnya I`anah al-Talibin, jilid 1 halaman 97.
Kesimpulan:- Berdasarkan keterengan di atas jelaslah bahawa membuka aurat dalam keadaan berseorangan adalah :
Haram : jika tiada keperluan atau hajat tertentu.
Harus : jika ada keperluan seperti seseorang itu ingin melakukan qadha hajat, mandi, tabarrud (mengilangkan suasana panas), berubat, dan menukar pakaian.
والله أعلم وأحكم
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Seakan menjadi kebiasaan bagi ramai baik lelaki mahu pun wanita, waktu malam selesai Isyak kita duduk berkumpul, melepak dan bersembang kosong. Sama ada di...