
Kecederaan atau kemalangan kadangkala menyebabkan anggota tubuh terpaksa dirawat, dibalut atau disimen untuk tempoh tertentu. Keadaan ini mungkin menimbulkan persoalan, terutama apabila balutan tersebut menghalang air daripada sampai ke anggota wuduk.
Walaupun sedang sakit atau mengalami kecederaan, solat fardu tetap menjadi kewajipan bagi setiap Muslim mengikut kemampuan masing-masing. Namun, Islam tidak pernah membebankan umatnya di luar batas kemampuan.
BACA JUGA: Di Sebalik Label ‘Mesra-Wuduk’, Apa Yang Pengguna Perlu Tahu?
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya agama itu mudah. Tidaklah seseorang mempersulitkan agama melainkan dia akan dikalahkan olehnya.”
[Riwayat al-Bukhari (39)]
Justeru, terdapat beberapa kemudahan yang diberikan kepada individu yang anggota badannya berbalut, bertampal atau bersimen.
Kaedah bersuci bergantung pada keadaan kecederaan dan tahap kemudaratan sekiranya anggota tersebut terkena air.
Antara keadaan yang boleh dilakukan ialah:
Menurut penjelasan Jabatan Mufti Negeri Selangor, individu yang memakai balutan atau simen boleh memulakan wuduk seperti biasa.
Mulakan dengan membasuh muka berserta niat, kemudian basuh kedua-dua tangan hingga ke siku. Seterusnya, sapu sebahagian kepala dan basuh kaki hingga ke buku lali.
Pada anggota yang berbalut atau bersimen, memadai dengan menyapu air di atas balutan tersebut sekiranya tindakan itu tidak mendatangkan kemudaratan.
Namun, jika sapuan air pada balutan boleh menyebabkan kesakitan, melambatkan proses penyembuhan atau memburukkan kecederaan, langkah tersebut boleh ditinggalkan.
Wuduk yang dilakukan mengikut kemampuan adalah sah dan solat yang ditunaikan tidak perlu diulang.
Kemudahan yang diberikan ini menunjukkan bahawa Islam sangat menjaga kebajikan umatnya. Seseorang tidak diwajibkan melakukan sesuatu yang boleh membahayakan kesihatan atau memburukkan kecederaannya.
Namun, kemudahan tersebut bukan bermaksud kewajipan solat boleh ditinggalkan. Sebaliknya, solat tetap perlu ditunaikan mengikut kemampuan, sama ada secara berdiri, duduk, berbaring atau menggunakan isyarat.
Oleh itu, memahami cara berwuduk dan bersolat ketika sakit bukan sekadar penting untuk memenuhi syarat sah ibadah, malah menjadi bukti ketaatan seorang Muslim kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan.
Semoga Allah SWT memberikan kesembuhan, mempermudah segala urusan dan mengangkat darjat hamba-Nya yang terus menjaga solat walaupun sedang diuji dengan kesakitan.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.