Berjimat Itu Bagus, Tapi Jangan Sampai Kedekut Dengan Diri Sendiri

Share

Setiap kali menerima gaji pada hujung atau awal bulan, sudah tentu kita akan mula menyusun perbelanjaan dengan sebaiknya. Komitmen seperti bil, hutang, keperluan rumah dan simpanan biasanya menjadi perkara utama yang perlu diberi perhatian.

Menguruskan kewangan dengan bijak sememangnya satu amalan yang baik. Namun, ada kalanya seseorang terlalu berjimat sehingga sanggup berkira walaupun hanya RM1 untuk dibelanjakan bagi keperluan diri sendiri. Setiap wang yang ada mahu disimpan kerana terlalu takut duit akan berkurangan.

BACA JUGA: Self-Care atau Pembaziran? Dilema Muslimah Antara Gaya High Maintenance & Hidup Zuhud

Sebagai seorang Muslim, kita perlu bijak membezakan antara berjimat dan menguruskan wang secara berhemah dengan sikap terlalu berkira sehingga menyusahkan diri sendiri.

Sikap sebegini boleh berlaku apabila seseorang mempunyai ketakutan berlebihan terhadap kekurangan serta terlalu cemas memikirkan masa hadapan. 

Walaupun simpanan semakin bertambah dan pendapatan sebenarnya mencukupi, hati masih berasa tidak tenang dan sentiasa takut tidak mempunyai wang yang cukup.

Perasaan takut kehilangan harta juga merupakan  tipu daya syaitan terhadap manusia. Allah SWT telah mengingatkan perkara ini menerusi Surah al-Baqarah, ayat 268:

Maksudnya: “Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa Meliputi Pengetahuan-Nya.”

Ayat ini mengingatkan kita bahawa ketakutan melampau terhadap kemiskinan boleh menyebabkan seseorang menjadi bakhil dan terlalu sayangkan harta.

Dalam menguruskan kewangan, jangan lupa bahawa diri sendiri juga mempunyai hak terhadap harta dan pendapatan yang diperoleh.

Tubuh badan memerlukan makanan yang berkhasiat, rehat yang mencukupi, pakaian yang baik serta kehidupan yang selesa mengikut kemampuan. Berbelanja untuk keperluan diri bukanlah satu pembaziran selagi dilakukan secara sederhana dan tidak melampaui batas.

Kerana itu, jangan terlalu berkira dengan diri sendiri sehingga mengabaikan keperluan asas semata-mata mahu melihat angka simpanan terus bertambah.

Sikap terlalu kedekut juga boleh menyebabkan seseorang sukar menikmati dan mensyukuri nikmat yang telah Allah SWT kurniakan. Walaupun mempunyai wang yang mencukupi, hati tetap berasa tidak cukup dan sentiasa dibelenggu kerisauan.

Malah, sikap ini boleh memberi kesan kepada hubungan sosial. Seseorang yang terlalu berkira terhadap dirinya sendiri berkemungkinan membawa sikap yang sama ketika berurusan dengan pasangan, keluarga atau rakan-rakan.

Islam tidak mengajar umatnya untuk boros, tetapi dalam masa yang sama tidak menggalakkan sikap bakhil. Yang terbaik adalah bersederhana dan menguruskan rezeki dengan penuh tanggungjawab.

Simpanlah sebahagian pendapatan untuk masa hadapan, tunaikan komitmen, bersedekah mengikut kemampuan dan jangan lupa menyediakan sebahagian untuk keperluan serta kesejahteraan diri sendiri.

Kesimpulannya, sebagai seorang Muslim kita perlu membina sifat tawakal dan syukur dalam menguruskan harta. Wang yang dibelanjakan untuk keperluan diri dan keluarga dengan niat yang baik serta tidak berlebihan juga boleh menjadi sebahagian daripada ibadah.

Rezeki bukan sekadar untuk disimpan, tetapi perlu diurus dengan bijaksana agar membawa ketenangan dan keberkatan dalam kehidupan.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah