Keibubapaan

Jangan Tampar Muka Anak, Islam Melarang Perbuatan Ini

Share

Membesarkan anak-anak dalam dunia hari ini bukanlah tugas yang mudah. Ia memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan kawalan emosi yang tinggi daripada ibu bapa.

Namun, apabila terlalu mengikut perasaan, ada ibu bapa yang bertindak melayangkan tangan kepada anak yang meragam atau melakukan kesalahan dengan alasan mahu mendidik mereka.

Niat untuk mendidik mungkin betul, tetapi cara yang digunakan boleh bertentangan dengan panduan syarak.

BACA JUGA: Anak Berlainan Jantina Memandikan Jenazah Ibu Bapa, Boleh Atau Haram?

Islam melarang seseorang memukul atau menampar bahagian muka, sama ada terhadap anak-anak mahupun individu lain.

Hal ini kerana muka merupakan anggota tubuh yang Allah SWT muliakan. Perbuatan menampar muka bukan sahaja boleh mencederakan, malah mengandungi unsur penghinaan serta merendahkan maruah seseorang.

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu memukul, maka jauhilah muka.”


Riwayat Ahmad (7323)

Selain larangan dari sudut syarak, tamparan pada muka juga boleh memberi kesan terhadap kesihatan fizikal. Muka mempunyai urat saraf serta pancaindera yang sensitif seperti mata, telinga dan hidung.

Tamparan yang kuat dikhuatiri boleh menyebabkan kecederaan, menjejaskan pendengaran, penglihatan atau fungsi deria yang lain.

Dari sudut psikologi, anak yang sering dipukul atau ditampar boleh membesar dalam ketakutan. Pengalaman tersebut berpotensi meninggalkan trauma yang terbawa-bawa sehingga dewasa.

Mereka juga mungkin berasa jauh, kecewa atau menyimpan dendam terhadap ibu bapa. Lebih membimbangkan, anak boleh meniru perbuatan tersebut dan menganggap kekerasan sebagai cara biasa untuk menyelesaikan masalah.

Imam al-Nawawi turut menjelaskan bahawa memukul muka adalah dilarang kerana bahagian tersebut bersifat lembut dan menjadi tempat terletaknya kecantikan serta anggota yang sangat berharga.

Kecederaan pada muka juga mudah dilihat dan sukar disembunyikan. Oleh sebab itu, memukul bahagian muka boleh menyebabkan kecacatan, merosakkan rupa serta meninggalkan kesan yang berpanjangan.

Rasulullah SAW telah menunjukkan kaedah mendidik yang berteraskan kasih sayang, kelembutan dan ketegasan yang sesuai.

1. Mengutamakan Kelembutan

Rasulullah SAW tidak menggunakan kekerasan untuk mendidik ahli keluarga baginda. Malah, baginda tidak pernah memukul wanita atau anak kecil dengan tangannya.

Kelembutan bukan bermaksud ibu bapa membiarkan anak melakukan kesalahan, sebaliknya menegur dengan cara yang tidak menjatuhkan maruah mereka.

2. Bersikap Tegas Pada Tempatnya

Ketegasan tetap diperlukan dalam mendidik anak. Namun, ia perlu dilakukan dengan terkawal dan bukan ketika ibu bapa sedang dikuasai kemarahan.

Hukuman fizikal yang ringan hanya dibenarkan dalam keadaan tertentu dan sebagai pilihan terakhir, bukannya untuk melepaskan geram.

Ia juga tidak boleh mengenai muka, mencederakan, meninggalkan kesan atau dilakukan secara berlebihan. Antaranya seperti panduan mendidik anak berusia 10 tahun yang masih enggan menunaikan solat setelah dinasihati dan dibimbing.

Langkah Praktikal Menegur Anak Tanpa Kekerasan

Ibu bapa juga boleh mengamalkan beberapa langkah berikut ketika berhadapan dengan anak yang meragam atau melakukan kesalahan.

Bertenang Sebelum Bertindak

Apabila emosi sedang memuncak, berhenti seketika dan tarik nafas dengan tenang. Elakkan terus menegur atau menghukum anak ketika sedang marah kerana tindakan ketika emosi tidak stabil boleh membawa kepada penyesalan.

Selepas kembali tenang, barulah berbincang dan menegur anak dengan penuh hikmah.

Berkomunikasi Pada Aras Mata

Ketika menegur anak, rendahkan tubuh supaya kedudukan mata ibu bapa sama paras dengan mata mereka.

Pandangan mata yang tenang dan nada suara yang terkawal boleh membantu anak berasa lebih selamat serta memahami teguran yang diberikan.

Berikan Hukuman Yang Mendidik

Daripada mengenakan hukuman fizikal, ibu bapa boleh memberikan tugasan yang bersesuaian seperti mengemas permainan, mencuci pinggan, menyusun buku atau membantu melakukan kerja rumah.

Kaedah ini bukan sahaja memberikan pengajaran, malah dapat mendidik anak supaya lebih bertanggungjawab dan berdikari.

Kesimpulannya, ibu bapa perlu sentiasa mengingati bahawa anak-anak merupakan amanah daripada Allah SWT.

Jangan jadikan anak sebagai tempat untuk melepaskan tekanan kerja, kemarahan atau masalah yang sedang dihadapi.

Mendidik anak dengan kesabaran, kasih sayang dan mengikut panduan sunnah bukan sahaja dapat membentuk hubungan kekeluargaan yang lebih harmoni, malah membantu melahirkan generasi yang tinggi akhlak, penyayang dan menghormati orang lain.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah