Membesarkan anak-anak dalam dunia hari ini bukanlah tugas yang mudah. Ia memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan kawalan emosi yang tinggi daripada ibu bapa.
Namun, apabila terlalu mengikut perasaan, ada ibu bapa yang bertindak melayangkan tangan kepada anak yang meragam atau melakukan kesalahan dengan alasan mahu mendidik mereka.
Niat untuk mendidik mungkin betul, tetapi cara yang digunakan boleh bertentangan dengan panduan syarak.
Islam melarang seseorang memukul atau menampar bahagian muka, sama ada terhadap anak-anak mahupun individu lain.
Hal ini kerana muka merupakan anggota tubuh yang Allah SWT muliakan. Perbuatan menampar muka bukan sahaja boleh mencederakan, malah mengandungi unsur penghinaan serta merendahkan maruah seseorang.
Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu memukul, maka jauhilah muka.” Riwayat Ahmad (7323)
Selain larangan dari sudut syarak, tamparan pada muka juga boleh memberi kesan terhadap kesihatan fizikal. Muka mempunyai urat saraf serta pancaindera yang sensitif seperti mata, telinga dan hidung.
Tamparan yang kuat dikhuatiri boleh menyebabkan kecederaan, menjejaskan pendengaran, penglihatan atau fungsi deria yang lain.
Ads
Dari sudut psikologi, anak yang sering dipukul atau ditampar boleh membesar dalam ketakutan. Pengalaman tersebut berpotensi meninggalkan trauma yang terbawa-bawa sehingga dewasa.
Mereka juga mungkin berasa jauh, kecewa atau menyimpan dendam terhadap ibu bapa. Lebih membimbangkan, anak boleh meniru perbuatan tersebut dan menganggap kekerasan sebagai cara biasa untuk menyelesaikan masalah.
Imam al-Nawawi turut menjelaskan bahawa memukul muka adalah dilarang kerana bahagian tersebut bersifat lembut dan menjadi tempat terletaknya kecantikan serta anggota yang sangat berharga.
Kecederaan pada muka juga mudah dilihat dan sukar disembunyikan. Oleh sebab itu, memukul bahagian muka boleh menyebabkan kecacatan, merosakkan rupa serta meninggalkan kesan yang berpanjangan.
Rasulullah SAW telah menunjukkan kaedah mendidik yang berteraskan kasih sayang, kelembutan dan ketegasan yang sesuai.
1. Mengutamakan Kelembutan
Rasulullah SAW tidak menggunakan kekerasan untuk mendidik ahli keluarga baginda. Malah, baginda tidak pernah memukul wanita atau anak kecil dengan tangannya.
Ads
Kelembutan bukan bermaksud ibu bapa membiarkan anak melakukan kesalahan, sebaliknya menegur dengan cara yang tidak menjatuhkan maruah mereka.
2. Bersikap Tegas Pada Tempatnya
Ketegasan tetap diperlukan dalam mendidik anak. Namun, ia perlu dilakukan dengan terkawal dan bukan ketika ibu bapa sedang dikuasai kemarahan.
Hukuman fizikal yang ringan hanya dibenarkan dalam keadaan tertentu dan sebagai pilihan terakhir, bukannya untuk melepaskan geram.
Ia juga tidak boleh mengenai muka, mencederakan, meninggalkan kesan atau dilakukan secara berlebihan. Antaranya seperti panduan mendidik anak berusia 10 tahun yang masih enggan menunaikan solat setelah dinasihati dan dibimbing.
Langkah Praktikal Menegur Anak Tanpa Kekerasan
Ibu bapa juga boleh mengamalkan beberapa langkah berikut ketika berhadapan dengan anak yang meragam atau melakukan kesalahan.
Bertenang Sebelum Bertindak
Apabila emosi sedang memuncak, berhenti seketika dan tarik nafas dengan tenang. Elakkan terus menegur atau menghukum anak ketika sedang marah kerana tindakan ketika emosi tidak stabil boleh membawa kepada penyesalan.
Ads
Selepas kembali tenang, barulah berbincang dan menegur anak dengan penuh hikmah.
Ketika menegur anak, rendahkan tubuh supaya kedudukan mata ibu bapa sama paras dengan mata mereka.
Pandangan mata yang tenang dan nada suara yang terkawal boleh membantu anak berasa lebih selamat serta memahami teguran yang diberikan.
Berikan Hukuman Yang Mendidik
Daripada mengenakan hukuman fizikal, ibu bapa boleh memberikan tugasan yang bersesuaian seperti mengemas permainan, mencuci pinggan, menyusun buku atau membantu melakukan kerja rumah.
Kaedah ini bukan sahaja memberikan pengajaran, malah dapat mendidik anak supaya lebih bertanggungjawab dan berdikari.
Kesimpulannya, ibu bapa perlu sentiasa mengingati bahawa anak-anak merupakan amanah daripada Allah SWT.
Jangan jadikan anak sebagai tempat untuk melepaskan tekanan kerja, kemarahan atau masalah yang sedang dihadapi.
Mendidik anak dengan kesabaran, kasih sayang dan mengikut panduan sunnah bukan sahaja dapat membentuk hubungan kekeluargaan yang lebih harmoni, malah membantu melahirkan generasi yang tinggi akhlak, penyayang dan menghormati orang lain.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Masih ingatkah lagi tentang kisah seorang wanita yang bersedekah cuma RM14. Kuasa Allah akhirnya dibalas tunai hingga RM14,290. Dalam ketidakcukupan wang, dia masih mahu memberi walaupun dia sendiri tidak cukup dan amat memerlukan. Apa yang mengejutkan, Allah ‘beri’ yang lebih banyak dan lebih baik kepada wanita ini.
Wanita ini berhajat ingin menunaikan umrah tetapi tidak cukup wang namun apa yang terjadi begitu mengejutkan. Berikut diimbas kisah wanita ini.
“Sedekah cuma RM14…Kuasa Allah akhirnya dibalas tunai hingga RM14,290!”
Subhanallah!
Allahuakbar!
Wahai Allah, jadikanlah cerita ini asbab hidayah buat diriku dan umat ini.
“Kita tadahkan tangan dan panjatkan doa, meminta kepada pemilik segala-galaNya. Pasti tidak akan sesekali sia-sia. Bahkan, semua itu ada nilainya di sisi Allah SWT.”
Petang itu, saya ke masjid. Duduk beriktikaf sambil termenung sendirian. Memikir, merenung nasib diri. Sudah beberapa hari jatuh sakit (demam aje pun) tapi masih belum kebah. Bahang kepanasan masih terasa hingga ke pelupuk mata. Hidung berair dan tersumbat. Selesema. Sesekali, bila nak bernafas terasa seolah-olah dah tinggal nyawa-nyawa ikan. Tiap kali bersin, mulalah imaginasi tahap tinggi. Risau andainya jantung terus berhenti. Tettttttttt…..Mulalah rasa takut nak mati. Baru nak ingat Tuhan.
Saya pandang skrin telefon. Wallpaper saya agak serabut dipenuhi angka-angka. Sengaja saya jadikan poster Umrah Ramadhan sebagai wallpaper supaya setiap kali ‘log in’ telefon, dapat mengingatkan diri saya bahawasanya tarikh berangkat umrah dah semakin hampir. Mata saya tertumpu pada bahagian kanan di sudut bawah sekali.
Harga pakej 41hari Ramadhan Syawal: RM14,290.00 Tarikh berlepas: 03 Mei 2019.
IMBAS KEMBALI
Segala-galanya bermula apabila saya secara tidak sengaja ‘terhadir’ ke kursus ejen umrah Syarikat Harmony Excellence Holidays Sdn Bhd. Niat asalnya cuma nak teman seorang sahabat FB. Itupun tak pernah bersua muka. Tunggu punya tunggu, sahabat saya ini terpaksa datang lewat atas alasan tertentu. Nak tak nak, terpaksa juga saya masuk belajar. Sesi awal kursus, saya kerapkali dijadikan ‘bahan eksperimen’ ustaz. Dahlah saya terpaksa duduk meja hadapan sekali, diri pula langsung tak bersedia apa-apa. Mekah dan Madinah pun belum pernah sampai. Tup tup, asyik kena jawab soalan.
Cerita tentang jarak hotel, nombor pintu sekian sekian, King Abdul Aziz…King apa lagi, saya pun tak tahu. Terkebil-kebil mata pura-pura faham. Teringat saya saat Ustaz Naemi bertanyakan tentang nama masjid yang berkubah hijau di Madinah..suka hati saya jawab Masjid Quba’. Main tembak aje. Nak jawab masjid Assobirin AU5 kang…nampak tak ‘international’ pula. Malu Ya Rabbi. Hakikatnya, memang Assobirin aje yang saya tahu. Memang kubah hijau pun! (Jawapannya: Masjid Nabawi)
TAKDIR ATAU ALLAH?
Sepanjang kursus, biarpun saya sering dijadikan ‘bahan’, namun hati saya begitu tersentuh dan terkesan dengan kata-kata Ustaz Naemi, salah seorang Mutawwif Harmony.
Teringat lagi dialog di antara kami berdua.
Ustaz: Macammana awak boleh datang sini?
Me: Takdir bawa saya ke sini.
Ustaz: Siapa yang cipta takdir?
Me: Allah.
Ustaz: Siapa yang gerakkan takdir?
Me: Allah.
Ustaz: Jadi, awak ada disini sebab takdir ke sebab Allah?
Me: Sebab Allah.
Ustaz: Allah tak pilih semua orang. Allah cuma pilih dan jemput orang yang istimewa aje. Dan bila Allah dah jemput, jalan ceritanya pandai-pandailah Allah nak reka. Logik Allah tak setanding logik manusia.
Lebih kurang begitu bunyinya.
Fuhhh….
Hati terus berbunga-bunga. Terasa diri begitu istimewa. Pasti Allah yang ‘jemput’ saya datang hari ni. Terus saya tanamkan azam untuk jadi tetamu Allah dan nak berdakwah agar ramai lagi mereka di luar sana yang berkemampuan agar bersegera pergi menunaikan Umrah/Haji. Jangan tangguh-tangguh lagi. Rugi.
MULA BERDAKWAH…
Sejak peristiwa itu, saya mula menulis di fb berkaitan umrah. Dakwah dan dakwah. Sehinggalah pada suatu hari, saya menulis berkaitan 6 Tips Dipilih Menjadi Tetamu Teristimewa Allah (Olahan semula daripada tips Uncle Hashim). Ramai juga yang ‘share’. Saat itu, terdetik rasa bersalah di hati. Saya dakwahkan orang sedangkan saya sendiri pun tak amalkan tips tersebut. Dalam 6 tips tersebut, ada satu tips yang saya belum buat iaitu beranikan diri untuk bayar deposit (sebagai komitmen untuk pergi umrah). Bila saya kerap menulis berkaitan umrah, ada suatu saat..saya terkesan dengan dakwah sendiri. Waktu itu, saya mula menangis. Menangis sepenuh hati. Sebelum ini, ada azam nak pergi umrah tapi taklah sekuat azam sekarang ini. Rasa diri jahil, hina, berdosa dan segala macam. Kata orang, nak berubah jadi baik kena istiqamah 40hari dekati Allah. Saya bertekad untuk umrah 41hari ramadhan syawal dengan harga pakej RM14,290. Errrr…korang rasa, saya mampu ke nak bayar??? Lols ?
DEPOSIT ATAU SEDEKAH?
Nak dijadikan cerita, bulan tersebut saya dah pasang niat untuk bersedekah RM1K untuk umrah fakir miskin. Pada masa yang sama, timbul niat nak bayar deposit umrah. (Sepatutnya deposit perlu cukupkan RM1K). Sekali lagi, serba salah saya dibuatnya. Nak bersedekah atau nak bayar deposit umrah?
Mujur ada sahabat-sahabat baik yang sering mendengar dan sudi memberi pandangan di saat saya keliru dalam membuat keputusan Nur FatihahAwang Amalina Huraiyah Siti Nurhanim Musminah Binti Mustain Nur Aisyah Amira Nordin.
Soalan mereka mudah. Yang mana datang dulu? Niat bersedekah atau niat umrah? Akhirnya, saya berkeputusan untuk sedekahkan RM1K buat fakir miskin. Manakala, untuk deposit umrah saya cuma mampu bayar RM429 sebagai deposit permulaan. Ambil pakej RM14,290 sedangkan bayar deposit cuma RM429. Korang rasa, tak ke segan? Muka ni dah macam siput sedut nak sembunyi dalam cengkerang. Disedut-sedut pun taknak keluar. Umpama ditabur-tabur garam, biarlah mati dalam cengkerang. Malu nak tunjuk muka lagi. Sehinggakan sahabat yang menemani saya berkata, “lepasni aku taknak teman hang lagi. Malu oiii malu. Mana nak letak muka ni. Beriya ambil pakej paling mahal. Acah-acah orang berduit. Padahal..wassalam..” ?
Januari…
Februari…
Mac…
Saya pulang ke kampung. Bercuti. Dalam masa yang sama, saya ke UTC untuk renew passport antarabangsa. Disebabkan passport asal tertinggal di KL, terpaksalah saya declare passport hilang semata-mata nak minta mak abah ‘selawatkan’ passport saya.
“Mak, abah.. tolong pegang passport ni dan selawatkan sikit. Biar boleh ‘terbang’ Ramadhan nanti. Nak pergi umrah 41hari ni!”
Pinta saya.
Biarpun wajah mereka separuh redha, nak tak nak mereka turuti juga. Dah tahu dah perangai anak mereka yang seorang ni, selagi tak layan, selagi itulah dipaksa-paksa. Huhu.
OK OK..SAMBUNG SEMULA CERITA IKTIKAF DI MASJID TADI..
Siang-siang begini, saya berani beriktikaf seorang diri. Lain pula di malam hari, dengar cicak bunyi cot cot cot pun saya terus cabut lari. Penakut Ya Rabbi. Heh!
Agak lama berdoa..bermuhasabah diri… Saya tinggalkan masjid dengan satu harapan.
“Ya Allah, hamba nak tinggalkan sekejap dunia ini selama 41 hari. Betul ni, tak tipu. Please..please..”
SEDAPNYA AIR KELAPA…
Selesai beriktikaf, saya menuju ke sebuah gerai di tepi jalan. Di sebelah saya kelihatan seorang lelaki berjanggut, berkopiah dan berjubah kelabu. Saya pandang pakcik tersebut. Banyaknya air kelapa yang dia beli!
Pakcik tersebut menghulurkan beberapa keping wang kertas kepada si penjual. Sambil-sambil tu, dia menyeluk semula poketnya. Seluk kanan, seluk kiri. Seluk lagi. Meraba-raba. Tercari-cari.
“Kejap ya, lagi RM14. Mana saya letak duit.”
Kata si pakcik tadi.
Gelisah. Seluk lagi kanan dan kiri.
Saya sekadar menunggu dan memerhati. Si penjual hanya tegak berdiri. Si pakcik tadi pula sibuk menyeluk poket sana sini.
Melihat situasi tersebut, saya akhirnya menyeluk poket baju. Mencapai duit yang ada. Allahu…tepat pula ada RM14! Saya hulurkan buat si penjual.
“Tak apa, pakcik. Saya bayarkan, ya.”
Pakcik tadi sekadar mengucapkan terima kasih dan mengambil bungkusan air dibawa ke kereta.
Saya seluk kembali poket baju dan seluar. Ya Allah…duit dah tak ada. Macammana nak beli air? Terus saya cancel order. Muka tersengih nak cover malu.
“Tak apa, kak. Lain kali saya beli. Duit habis pula.”
Tetiba, dipanggil pakcik tadi dari tempat parkir keretanya.
Pakcik: Awak kenal Cikgu Nor Hashim?
Me: Cikgu Hashim mana, ya?
Pakcik: Harmony.
Me: Oh, Uncle Hashim umrah tu..kenal.
Pakcik: Tolong serahkan dokumen ni pada dia. (Sambil dihulurnya sampul)
Me: Pakcik siapa, ya?
Pakcik: Tak apa, serah aje. Dia kenal.
Belum sempat saya respon apa-apa, dihulurnya sampul ke tangan saya. Dalam keadaan yang serba salah, terpaksalah saya ambil juga.
Dan pakcik terus berlalu pergi….
EPISOD DUIT BERSEPAH…
Saya ‘Whatsapp’ Uncle Hashim dan katanya tiada sesiapa di Office. Dah satu hal pula saya terpaksa bawa pulang ‘amanah’ orang ke Jannah.
Di Jannah, pada mulanya situasi tenang dan damai. Sehinggalah seorang sahabat meluahkan..
“Macammana orang tu boleh tahu hang kenal Uncle?”
“Kalau dokumen tu penting..Macammana dia boleh serahkan dokumen sesuka hati je di tepi jalan?”
“Dia tak takut ke kalau-kalau pembawa sampul ni tak amanah?”
“Hang senang-senang terima sampul orang tak dikenali. Entah-entah dadah!”
?????
Waktu itu, semua dah mula kecoh. Dalam kekalutan, sempat lagi kami berteka-teka.
Masih ingat lagi kisah tular di media sosial pada 18 Mac 2019 yang lalu?
Wang kertas beserta nota misteri yang menjadi salah satu asbab saya menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Sedekahnya cuma RM14. Tanpa diduga, Allah Yang Maha Kaya membalasnya sehingga RM14,290 secara tunai!
Moga kisah saya ini menjadi asbab kebaikan dan hidayah buat kita semu
Alhamdulillah.
12 Jun 2019.
Saya kini kembali ke Tanah Air dengan selamat dan jayanya. Mengutip ibrah dan hikmah di setiap langkah perjalanan berpuluh ribu kilometer jauhnya!
Seakan-akan tidak percaya, saya sudahpun selesai mengerjakan umrah di Tanah Suci. Bermusafir sebulan lebih lamanya. Menyambut dan meraikan Ramadhan yang penuh berkah dan Syawal yang mulia di bumi para Anbiya’.
Subhanallah!
Sebuah pengembaraan yang benar-benar berharga!
“Ya Allah, terima kasih kerana sudi mengundang saya sebagai tetamu teristimewaMu!”
Terkenang kembali saat hari pertama menjejakkan kaki di Madinah Al-Munawwarah. Saya tercari-cari dimana letaknya masjid istimewa berkubah hijau. Kehadiran saya disambut dengan bacaan surah Ar-Rahman oleh imam Masjid Nabawi ketika solat maghrib berjemaah.
‘Maka, nikmat apa lagi yang kau dustakan?’
Sebak dan syahdu mula dirasai disegenap pelusuk hati.
Sebenarnya, jemaah Harmony tiba di Madinah lebih awal. Sebelum subuh dah selamat sampai. Tetapi, disebabkan saya masih lagi kurang arif selok-belok jalan, maka saya hanya solat di dalam bilik hotel. Nak acah-acah terlebih pandai pun, nanti tersesat tak tahu jalan pulang. Menangis pula di tengah jalan. Tak pasal-pasal kena sekeh kepala dengan mutawwif kang!
Madinah dikenali sebagai Bandar Bercahaya. Istimewanya Madinah, disinilah bersemadinya jasad seorang insan teragung. Padanya ada cinta dan rindu. Padanya ada syafaat sebagai penyelamat umat akhir zaman. Dialah Nabi kita, Muhammad SAW.
“Assalamualaika Ya Rasulullah.”
“Ya Rasul, aku umatmu datang kepadamu. Dengan cinta dan rindu.”
Saya ke sini sebagai jemaah biasa. Ya, jemaah biasa seperti korang. Nak dijadikan cerita, saya diizinkan Allah bertemu dengan seorang jemaah warga emas.
Jemaah ini, jemaah Harmony. Entah dimana silap dia berkata-kata, secara tiba-tiba kakinya sakit dan tidak mampu berjalan. Disebabkan saya punya pengalaman menyantuni warga emas, maka, secara tidak langsung, saya cuba praktikkan pengalaman itu untuk menyantuninya pula disini.
Jemaah ini namanya Mak Ity. Usianya sudah mencecah 70-an. Buat Mak Ity, anggaplah ini semua sebagai CO..BA..AN..
Sebagai jemaah yang masih muda berbanding jemaah lain, saya relakan diri berkhidmat sehabis baik untuknya. Tanpa sebarang bayaran apatah lagi mengharapkan balasan.
Bertitik-tolak dari sini, perlahan-lahan Allah hadirkan ilham demi ilham untuk terus berkhidmat bakti di dua Tanah Suci barakah ini.
Maka, disinilah bermulanya kembara umrah seorang anak muda.
Kawan-kawan,
Pergi umrah bukanlah bermakna kita cuma perlu berulang-alik ke Masjid Nabawi dan Masjidil Haram untuk solat semata-mata. Bukan juga hanya sekadar duduk berdoa memandang kaabah sambil menitiskan air mata. Tidak. Tidak sama sekali!
Terdetik saya di dalam hati..
“Kebiasaannya, orang yang datang ke Mekah dan Madinah, mereka akan ‘shopping’ hadiah untuk dibawa pulang ke Malaysia. Apa kata, kali ini saya yang hadiahkan sesuatu buat kedua-dua Tanah Suci sebelum kaki melangkah pergi?”
Ya!
Hadiahkan sesuatu yang berharga dan istimewa!
Nak buat sesuatu, pasti memerlukan kos dan tenaga. Dari segi tenaga, barangkali saya masih mampu. Tapi, nak harapkan ‘kos’ saya seorang, manalah saya mampu. Duit riyal pun cuma ada beberapa keping aje.
Pun begitu, saya percaya, niat yang baik pasti Allah mudahkan.
Berurusan dengan hati, Insyaallah bantuan Allah itu pasti!
Nah, saya kongsikan beberapa cara yang korang boleh lakukan sebagai tanda ‘hadiah’ buat Mekah dan Madinah sepanjang keberadaan korang disini!
Jadikan diri korang betul-betul bermanfaat di Tanah Suci!
Cara-caranya tak susah pun. Tak percaya, cuba korang baca ni:
1. Jadilah PA tak bertauliah kepada Mutawwif yang kachak!
Untuk jemaah Harmony, kami ada suatu group whatsapp khas buat para jemaah. Disinilah tempat kami berkongsi segala permasalahan atau info-info terkini. Sebagai jemaah muda, kau bantulah war-warkan info buat jemaah lain. Andai ada jemaah yang sakit, kau ringankanlah kaki untuk menziarahi jemaah di bilik. Bantulah sekadar yang mampu sebelum mutawwif datang menghulurkan bantuan lanjut.
Rindu barisan mutawwif kachak saya:
Ustaz Hussaini Jamaludin ?
Ustaz Saufi Hakim ?
Ustaz Hisham Elias ?
2. Bantu khidmat untuk jemaah warga emas.
Kejar pahala ibadah sendiri itu bagus. Tapi, lebih bagus kau kejar rahmat Allah. Andai ada jemaah yang perlu dipimpin atau dibantu untuk ke masjid, kau bawalah mereka bersama-sama biarpun akhirnya kau cuma mampu solat di perkarangan masjid. Berdua lebih baik. Apatah lagi berdua bersama membantu orang yang lemah ataupun sakit. Rahmat Allah ini luas. Sekali kau dapat rahmat Allah, kau dapat segala-galanya. Kau jangan takut!
3. Aktifkan Facebook.
Kau aktifkan Facebook. Minta anak-anak jemaah warga emas untuk add/follow FB kau. Selalulah menulis sambil berkongsi kisah kau beserta para jemaah di sana. Sekurang-kurangnya, terubat rindu hati anak-anak mereka di Malaysia.
4. Jadilah jurukamera!
Rata-rata jemaah umrah ini, mereka terdiri daripada golongan berusia. Tak pandai nak tangkap gambar. Tak pandai nak berselfie bagai. Kau jadilah jurukamera mereka. Ambil gambar banyak-banyak sebagai kenangan. Hantarlah kepada anak-anak mereka. Percayalah, mereka pasti akan menangis syukur sambil mengucapkan jutaan terima kasih!
5. Hadiahkan badal umrah buat mereka yang tersayang!
Jadilah anak yang baik, cucu yang baik, ahli keluarga yang baik, sahabat yang baik dan hamba Allah yang baik. Apa kata kau hadiahkan badal umrah buat mereka yang sakit mahupun yang telah pergi buat selama-lamanya. Barangkali, mereka terdiri daripada ahli keluarga, sahabat sekolah, jiran-jiran mahupun ahli keluarga rakan-rakan fb kau yang telahpun meninggal dunia. Boleh jadi, sepanjang hayat mereka, mereka tidak berkesempatan menunaikan haji/umrah. Hadiahkan pada mereka. Rasai betapa nikmatnya erti pengorbanan. Kau cubalah!
6. Ku kirim doa, kau baca di sana.
Kau jangan salah faham. Antara seorang hamba dengan Tuhan, tidak pernah ada perantaraan. Selalu orang ke Tanah Suci, akan ada kiriman doa. Kiriman doa ini, anggaplah sebagai doa seorang sahabat yang turut mendoakan sahabatnya di Tanah Suci penuh barakah. Awak berdoa di Malaysia, saya berdoa di hadapan Kaabah. Moga doa yang baik itu Allah makbulkan.
Bab-bab doa ni, pengasas Harmony sendiri, Tuan Haji Nor Hashim paling suka. Sampai dua salinan kertas tebal dia suruh saya habiskan baca. Huhuhu. Kau followlah dia. Dia artis scottish terkenal! (Dalam hati: Emoji ketawa dalam tangisan ???)
7. Buat FB Live!
Fb live ini, tujuannya bukanlah untuk syok sendiri. Kau kongsilah ilmu yang bermanfaat. Moga yang menontonnya serba sedikit terjentik hatinya untuk ke Tanah Suci. Moga sekecil-kecil usaha dakwah ini dipandang Allah Yang Maha Besar.
8. Buka tabung kasih sayang
Biarpun jasad kau cuma seorang di sana, tapi kau bawalah sekali ‘kasih sayang’ rakyat Malaysia. Buka dana sekecil-kecil RM1. Macammana nak buka dana? Tulis aje di facebook. War-warkan tentang niat dan hasrat kau nak bersedekah di sana. Insyaallah, nanti pasti Allah akan hadirkan tangan-tangan baik yang sudi seiring dan sejalan selaras dengan niat kau. Percayalah!
Bila kau dah ada dana, kau pecahkan kepada beberapa bahagian. Antaranya:
– Beli coklat dan raikan kanak-kanak di perkarangan masjid. – Beli kerusi lipat dan kerusi roda untuk kegunaan jemaah. Sebelum pulang ke Malaysia, kau wakaflah untuk kegunaan hotel di tempat kau menginap ataupun di masjid. – Wakaf Al-Quran – Beli sejadah serbaguna untuk kegunaan jemaah yang ingin beriktikaf di masjid. Selesai guna, wakafkan di masjid. – Sedekahkan serendah-rendah sehari 1 riyal buat tukang cuci masjid. – Sedekahkan makanan dan minuman untuk iftar, qiam dan sahur terutamanya buat jemaah gelandangan. – Sedekahkan air zamzam dari bilik ke bilik. Air zamzam kan percuma. Bekasnya aje kau perlu beli untuk isi. – Raikan jemaah dengan sambutan lebaran. Hulurkan mereka sedikit duit raya sebagai tanda ingatan. Yang baki tu, kau belilah serba sedikit makanan yang kena dengan selera tekak Malaysia ketika Syawal menjelang.
Kawan-kawan,
Kebanyakan manusia mempunyai mata. Tapi, tidak semestinya kita melihat dari sisi yang sama. Perbezaan pendapat itu mesti ada. Kalau tidak, bosanlah dunia.
Ini umrah cara saya. Umrah seorang anak muda!
Jika kau rasa ianya baik, kau boleh cuba!
Nurull Azliza Nordin,
Melihat keadaan dunia hari ini.
Maka, kita yang mana?
Ramai selebriti mengerjakan umrah pada tahun ini termasuklah Saharul Ridzwan. Menunaikan ibadah umrah bersama isterinya, Deena Emir dan anak mereka, Muhammad Luth Ali. Melalui laman Instagram Saharul mahupun Deena, masing-masing berkongsi potret ketika menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah.
Namun apa yang menarik perhatian ialah gelagat anak mereka dengan pakaian ihram. Sesiapa yang melihat pasti akan geram dengan dengan wajah comel Ali. Bertuahnya Ali, dalam usia yang masih ‘hijau’ telah berpeluang menjejakkan kasi ke bumi Makkah.
Berikut beberapa gambar yang dikongsikan oleh Saharul dan juga Deena di laman Instagram mereka.
Bagus sebenarnya mendidik anak-anak mengenal ajaran agama Islam sejak mereka masih kecil lagi. Kata pepatah, melentur buluh, biarlah daripada rebungnya. Semoga Ali membesar menjadi seorang anak yang soleh dan berbakti kepada kedua ibu bapanya.
Sumber kredit: @Saharul Ridzwan dan Deena Emir
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Kehadiran anak-anak kecil di masjid sering menjadi perdebatan dalam kalangan jemaah. Ada yang meminta mereka berdiri di saf belakang kerana bimbang kedudukan kanak-kanak di celah saf orang dewasa boleh menyebabkan saf terputus.
Akibatnya, anak-anak dikumpulkan bersama-sama di bahagian belakang tanpa pengawasan ibu bapa. Keadaan ini sebenarnya boleh meningkatkan kecenderungan mereka untuk bermain, berlari dan membuat bising sehingga mengganggu jemaah lain yang sedang beribadah.
Namun, benarkah kehadiran kanak-kanak dalam saf boleh memutuskan saf dan menjejaskan syarat sah solat berjemaah?
Dari sudut hukum fiqh, kanak-kanak yang telah mencapai usia mumayyiz, iaitu mampu membezakan perkara baik dan buruk serta memahami arahan, boleh berdiri bersama orang dewasa dalam saf.
Kehadiran mereka tidak memutuskan saf dan solat berjemaah tetap sah.
Malah dari sudut praktikal, meletakkan anak-anak di belakang tanpa pengawasan boleh menyebabkan suasana masjid menjadi lebih bising. Apabila mereka berada berdekatan ibu atau bapa, tingkah laku mereka lebih mudah dipantau dan dikawal.
Membawa anak-anak ke masjid juga merupakan satu amalan yang baik, terutama dengan tujuan mendidik mereka supaya mencintai masjid serta membiasakan diri dengan solat berjemaah.
Atas dasar pendidikan dan bimbingan, para ulama membenarkan anak-anak berdiri di sebelah ibu bapa agar mereka dapat dipantau sepanjang solat.
Sebelum membawa anak ke masjid, ibu bapa perlu memberikan penerangan lebih awal tentang adab yang mesti dijaga.
Pesan kepada mereka supaya tidak berlari, bercakap kuat, bermain atau mengganggu jemaah lain. Arahan yang diberikan secara konsisten akan membantu anak memahami bahawa masjid ialah tempat untuk beribadah dan perlu dihormati.
Ibu bapa juga boleh menggunakan teknik ‘kepung anak’ dengan meletakkan mereka di antara ibu atau bapa dengan seorang lagi jemaah dewasa.
Anak juga boleh ditempatkan di bahagian hujung saf, berhampiran dinding atau tiang supaya mereka tidak mudah berlari keluar atau bergerak meninggalkan saf.
Bagi anak yang masih kecil dan belum mumayyiz, ibu bapa boleh menyediakan sejadah sendiri untuk mereka.
Mainan kecil yang tidak berbunyi atau buku aktiviti ringkas juga boleh dibawa bagi membantu mereka duduk dengan tenang. Namun, pastikan barangan tersebut tidak mengganggu ruang dan kekhusyukan jemaah lain.
Ibu bapa juga perlu bersedia untuk membawa anak keluar seketika sekiranya mereka menangis, meragam atau terlalu sukar dikawal.
Bagi ibu bapa yang baru mahu membiasakan anak ke masjid, pilih waktu solat yang lebih pendek seperti Maghrib atau Subuh.
Elakkan terus membawa mereka menghadiri solat atau program yang mengambil masa panjang seperti solat tarawih, kuliah atau ceramah selama sejam sekiranya mereka masih belum terbiasa.
Latihan secara berperingkat dapat membantu anak memahami rutin dan adab berada di masjid tanpa membuatkan mereka berasa tertekan atau bosan.
Selepas selesai solat, berikan pujian sekiranya anak berjaya menjaga tingkah laku dengan baik.
Ibu bapa juga boleh memberi ganjaran kecil seperti membelikan aiskrim atau makanan kegemaran sebagai tanda penghargaan. Namun, jelaskan bahawa ganjaran tersebut diberikan kerana mereka telah menunjukkan adab yang baik ketika berada di masjid.
Kaedah ini boleh membentuk pengalaman yang positif dalam diri anak-anak dan membuatkan mereka lebih teruja untuk kembali ke masjid.
Jemaah juga perlu lebih terbuka dan memberikan ruang kepada ibu bapa yang sedang mendidik anak-anak mencintai masjid.
Elakkan memberikan jelingan tajam, teguran kasar atau membuatkan ibu bapa berasa malu apabila anak mereka melakukan kesilapan kecil. Sebaliknya, tegurlah dengan penuh hikmah dan bantu mewujudkan suasana yang mesra keluarga.
Dalam masa yang sama, ibu bapa tidak seharusnya membiarkan anak-anak bebas berlari dan bermain tanpa kawalan.
Kehadiran mereka perlu disertai dengan persediaan, pemantauan serta pendidikan yang berterusan.
Jangan serik membawa anak-anak ke masjid. Datanglah dengan persediaan dan ajarkan mereka adab sejak kecil. Masjid bukan hanya untuk orang dewasa, tetapi juga tempat anak-anak belajar mengenal ibadah, membina disiplin dan mencintai rumah Allah.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Anak berlainan jantina memandikan jenazah ibu bapa sering menjadi persoalan. Ketahui hukum sebenar menurut Islam, pandangan ulama mazhab al-Syafi'i serta peranan anak dalam menguruskan jenazah.