Boleh Ke Lelaki Dan Wanita Bukan Mahram Tinggal Serumah Di Homestay? Ini Penjelasannya

Share

Hari ini, semakin ramai yang berkongsi di media sosial tentang majlis perpisahan yang diadakan di homestay atau villa dengan penginapan lelaki dan wanita dalam satu rumah.

Alasannya, mereka datang beramai-ramai, tidak tidur sebilik dan tidak melakukan perkara yang melampaui batas. Tujuannya sekadar mahu meraikan hari-hari terakhir bersama sebelum membawa haluan masing-masing serta mencipta kenangan.

Namun begitu, situasi sebegini tetap perlu diberi perhatian khususnya apabila melibatkan batas pergaulan antara lelaki dan wanita bukan mahram.

BACA JUGA: Ketahui Siapa Bukan Mahram Dalam Keluarga Supaya Kita Tak Bersalam & Jaga Batasan Aurat

Lebih membimbangkan apabila perkongsian sebegini menjadi semakin biasa di media sosial sehingga boleh menimbulkan persepsi bahawa tinggal bersama di sebuah homestay antara lelaki dan wanita bukan mahram adalah perkara biasa, selagi dilakukan secara berkumpulan.

Sedangkan persoalannya bukan sekadar sama ada mereka tidur sebilik atau tidak.

Sepanjang berada di bawah satu bumbung, mereka mungkin menggunakan ruang tamu, dapur dan kawasan rekreasi yang sama. Jika villa tersebut mempunyai kolam renang, isu pergaulan bebas serta penjagaan aurat turut perlu diberi perhatian.

Dalam suasana santai bersama rakan-rakan, batas yang pada awalnya mahu dijaga juga boleh menjadi semakin longgar tanpa disedari.

Menurut penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum lelaki dan wanita bukan mahram tinggal serumah perlu dilihat kepada keadaan dan kemungkinan berlakunya khalwat serta pelanggaran batas syarak.

Jika berada secara beramai-ramai dalam tempoh tertentu sehingga tidak berlaku khalwat, ia tidak semestinya dihukum haram secara mutlak. Namun, kewajipan menjaga adab pergaulan, aurat dan batas antara lelaki serta wanita tetap perlu dipatuhi.

Sebab itu, langkah pencegahan adalah lebih baik daripada membiarkan keadaan yang boleh membuka ruang kepada perkara tidak sepatutnya.

Rasulullah SAW turut mengingatkan umat Islam agar berhati-hati terhadap fitnah dunia dan godaan yang boleh berlaku dalam hubungan antara lelaki dan wanita.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Berhati-hatilah dengan dunia dan berhati-hatilah dengan (fitnah) wanita. Sesungguhnya fitnah terawal yang berlaku pada golongan Bani Israil adalah pada wanita.” Riwayat Muslim (2742)

Nasihat ini bukan bertujuan merendahkan kaum wanita tetapi sebagai peringatan supaya setiap Muslim berhati-hati dalam menjaga batas pergaulan dan mengelakkan diri daripada keadaan yang boleh membawa kepada fitnah.

Tidak salah mahu meraikan perpisahan atau mencipta kenangan bersama rakan-rakan. Namun, kenangan indah tidak semestinya perlu dicipta dengan semua lelaki dan wanita tinggal dalam sebuah rumah yang sama.

Sebagai pilihan yang lebih baik, kumpulan lelaki dan wanita boleh menempah penginapan berasingan atau sekadar mengadakan makan malam dan perjumpaan di restoran tanpa perlu bermalam bersama.

Apa yang lebih penting, setiap kegembiraan yang diraikan biarlah tidak mengorbankan prinsip agama, maruah diri dan batas yang telah ditetapkan oleh syarak.

Kenangan manis akan menjadi lebih bermakna apabila ia dicipta dengan cara yang membawa ketenangan hati dan keberkatan daripada Allah SWT.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah