Kerohanian

Bersin Kuat Ketika Solat Berjemaah, Apa Hukumnya Dalam Islam?

Share

Bayangkan ketika sedang menunaikan solat berjemaah dengan tenang dan khusyuk, tiba-tiba kedengaran bunyi bersin yang terlalu kuat sehingga mengejutkan jemaah lain.

Bersin merupakan tindak balas semula jadi tubuh apabila rongga hidung mengalami gangguan atau ketidakselesaan. Ia sering berlaku secara spontan dan kadangkala sukar dikawal. 

Namun begitu, seseorang masih boleh berusaha memperlahankan bunyinya serta menutup mulut agar tidak mengganggu orang di sekeliling.

Islam sangat menitikberatkan adab, kebersihan dan keharmonian ketika beribadah. Oleh itu, umat Islam dianjurkan menjaga tingkah laku ketika berada di masjid, termasuklah ketika bersin dalam solat berjemaah.

Khusyuk merupakan antara perkara penting ketika menunaikan solat. Gangguan kecil seperti bunyi telefon, perbualan, pergerakan berlebihan atau bunyi bersin yang terlalu kuat boleh menghilangkan tumpuan jemaah lain.

Bagaimanapun, hukum seseorang yang bersin dengan kuat perlu dilihat berdasarkan keadaan dan niatnya.

Sekiranya bunyi bersin berlaku di luar kawalan kerana faktor kesihatan, usia atau seseorang tidak sempat menutup mulut, maka perkara tersebut dimaafkan. Dia tidak berdosa kerana bersin merupakan tindak balas semula jadi tubuh.

BACA JUGA: Tengah Solat Tiba-Tiba Azan Waktu Seterusnya: Teruskan Atau Batalkan?

Namun, seseorang boleh dianggap melakukan perkara yang kurang beradab sekiranya sengaja tidak memperlahankan bunyi bersin, sedangkan dia mampu melakukannya. Perbuatan tersebut boleh menjadi makruh apabila menyebabkan ketidakselesaan atau mengganggu kekhusyukan orang lain tanpa keperluan.

Sekiranya seseorang sengaja membuat bunyi bersin secara berlebihan dengan niat bergurau, menarik perhatian atau mengganggu jemaah lain, perbuatan itu boleh menjadi berdosa kerana mengganggu orang yang sedang beribadah.

Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh “kemudaratan hendaklah dihilangkan”.

Dalam konteks solat berjemaah, setiap individu bertanggungjawab menjaga ketenteraman dan keselesaan bersama, meskipun bersin adalah perkara lumrah yang tidak dapat dielakkan.

Berikut beberapa langkah yang boleh dilakukan apabila terasa hendak bersin ketika menunaikan solat:

1. Cuba Perlahankan Bunyi Bersin

Apabila terasa hendak bersin, cuba tundukkan sedikit kepala atau rapatkan dagu ke arah dada bagi membantu mengecilkan bunyinya.

Namun, pastikan dada tidak berpaling daripada arah kiblat. Elakkan juga daripada menahan bersin secara keterlaluan sehingga boleh memudaratkan diri.

2. Tutup Mulut Ketika Bersin

Tutup mulut dan hidung menggunakan tangan, sapu tangan atau hujung lengan baju.

Selain mengurangkan bunyi, tindakan ini juga dapat mengelakkan percikan air liur daripada terkena jemaah lain atau mencemarkan kawasan solat.

3. Mengucapkan Alhamdulillah

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Apabila salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah dia mengucapkan ‘Alhamdulillah’. Hendaklah saudara atau sahabatnya mengucapkan ‘Yarhamukallah’. Apabila diucapkan kepadanya ‘Yarhamukallah’, maka hendaklah dia menjawab, ‘Yahdikumullah wa yuslihu balakum’. (Riwayat al-Bukhari, hadis 6224)

Ketika berada di dalam solat, ucapan tersebut tidak seharusnya dilafazkan dengan kuat sehingga mengganggu jemaah lain. Cukup sekadar di dalam hati.

Sebahagian ulama menjelaskan bahawa orang yang bersin ketika solat boleh memuji Allah dengan suara yang perlahan atau sekadar di dalam hati. 

Jemaah lain pula tidak perlu menjawab dengan ucapan “Yarhamukallah” ketika sedang solat kerana ia merupakan ucapan yang ditujukan kepada manusia dan boleh menjejaskan solat jika dilakukan dengan sengaja.

Bersin merupakan fitrah manusia dan seseorang tidak seharusnya dipersalahkan apabila ia berlaku di luar kawalan.

Namun begitu, adab dan ketenteraman ketika beribadah perlu dipelihara. Setiap jemaah hendaklah berusaha mengawal bunyi, menutup mulut serta menjaga kebersihan agar tidak mengganggu orang lain.

Keselesaan ketika menunaikan solat berjemaah bukan hanya tanggungjawab imam atau pihak masjid, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama setiap individu yang hadir untuk beribadah.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah