Bertuah seorang juru teknik di sebuah kilang di Ayer Keroh Melaka ini. Meskipun sebelah tangannya kudung namun tunangnya masih mahu meneruskan perkahwinan walau pun dia sudah ‘tidak sempurna’ lagi. Malah lelaki bernama Azahari Senin, 30 ini rasa cukup bersyukur kerana tunangnya dapat menerima kekurangan pada dirinya itu.
Ujian dan kekurangan pada diri Azahari itu dapat diterima tunang yang kini isterinya, Mastura Zainon,30. Pasangan ini disatukan dalam sebuah majlis pernikahan di Masjid Pengkalan Minyak, Ayer Molek di Melaka.
Azahari berkata dia mengikat tali pertunangan pada Ogos tahun lalu namun terpaksa berdepan dengan dugaan berat dua bulan kemudiannya. Dia telah ditimpa kemalangan di tempat kerja sehingga tangan kirinya hancur dan terpaksa dipotong akibat tersepit dalam mesin percetakan.
TETAP SETIA
“Saya pernah beritahu isteri yang ketika itu masih tunangan saya supaya dia tinggalkan saya selepas saya kemalangan yang hampir meragut dua belah tangan. Saya beritahu dia, aku tak boleh teruskan dengan kau lagi dengan keadaan aku macam ini.
Ads
“Tapi sangkaan dia akan tinggalkan saya itu meleset apabila dia terus cekal menunggu saya di Jabatan Kecemasan Hospital Melaka, menunggu saya di wad walaupun saya hampir putus harapan,”kata Azahari.
Azahari berkata, sejak itu dia menanam semangat positif menganggap kedua-dua tangannya masih normal seperti insan lain dan tidak mahu ada pihak yang memandang rendah apa lagi menganggapnya sebagai orang kurang upaya (OKU) yang kurang berkemampuan.
“Tangan kiri saya hancur teruk manakala tangan kanan pula sempat doktor selamatkan namun fungsinya kurang sempurna dan ketika majlis pernikahan berlangsung, saya masih berada dalam tempoh cuti sakit. Bagi saya meskipun majlis pernikahan kami serba ringkas namun meriah dengan usikan ahli keluarga dan kawan-kawan,”katanya.
Ads
PILIHAN TEPAT
Sementara itu Mastura yang juga seorang jurujual berkata, lelaki yang dikenalinya ketika bekerja di hotel kira-kira tiga tahun yang lalu itu diyakini mampu menyempurnakan kehidupannya.
“Saya kenal dia (Azahari) ketika dalam fizikal yang sempurna dan cinta saya masih sama walaupun dia kini kudung tangan kiri. Tak kan waktu sempurna saya nak bersama dia apabila tak sempurna saya tinggalkan.
Ads
“Semua ini ada hikmah dan saya berkeras mahu bersamanya ketika dia dan keluarganya minta pertunangan kami diputuskan. Ibu bapa dan adik beradik saya pula sentiasa menyokong saya,”kata Mastura.
Menurut Mastura lagi, dia tetap meneruskan majlis pernikahan tersebut meskipun disarankan ahli keluarga mertuanya untuk menangguhkan pernikahan mereka. Jodoh mereka kuat. Cinta mereka suci. Sesungguhnya Allah sudah takdirkan mereka hidup bersama sebagai suami isteri.
Di doakan agar rumah tangga yang dibina oleh pasangan ini kekal hingga ke syurga. Aamiin.
Sumber kredit: Sinar Harian dan Facebook Azahari Senin dan Mastura Zainon
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Menutur sabar itu mudah, tetapi tidak semudah itu ia mampu melunturkan perasaan gundah dan negatif seseorang pada situasi yang dihadapinya terutama kepada yang masih buntu penyelesaian.
Bukan mudah untuk bersabar dan jauh lebih sukar untuk mempertahankan kesabaran. Jika dapat melepasi tahap sabar, maka sabar itu boleh menjadi penawar paling mujarab dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi.
Dalam rumah tangga, syurga seorang isteri bergantung kepada reda suaminya. Namun dugaan paling besar buat seorang wanita ialah bersabar.
Jadi seorang isteri, hal yang amat kritikal bagi kita ialah suami. Kita – makhluk Allah yang sarat dengan emosi dan kadang terlalu menuruti kata hati, lalu memang satu hal yang menakutkan kalau ada kata-kata dan tindak tanduk kita yang melukai hati suami – sengaja atau tidak sengaja.
Rasulullah S.A.W sebut dengan jelas tentang perangai orang perempuan – saat berdepan dengan satu saja pun keburukan suami, si isteri boleh lupa dengan kebaikan suaminya yang lain. Perangai inilah yang paling banyak menjerumuskan perempuan ke neraka. Allah. betapa ngerinya!
Jadi seorang isteri, banyak-banyakkanlah minta maaf dari suami. Mungkin ada terkurang layanan kita, terkasar bahasa kita, terlajak berprasangka, tercerita tentang aibnya pada sesiapa.
RENDAHKAN HATI MEMOHON MAAF
Allah ya Allah, rendahkan hati kita untuk merayu kemaafan darinya. Jangan kita hanya nampak kelemahan dia tapi kita lupa kelemahan kita. Jangan kita sibuk besar-besarkan kesilapannya tapi kita pandang kecil kesilapan kita.
Pandang muka suami kita, siapa pun dia, itulah yang Allah dah pilihkan sebagai jodoh kita. Itulah lorong nikmat, itulah juga lorong ujian Allah buat kita.
Semua buruk baik dia boleh jadi asbab kebaikan untuk kita. Mungkin untuk tundukkan ego kita. Mungkin untuk Allah beri pahala melalui sabar kita. Mungkin untuk latih kita berdikari dan keluarkan potensi diri. Ada sebabnya. Pasti ada sebabnya!
Minta Allah jaga rumahtangga kita. Kalau ada hal tentangnya yang kita tidak suka, banyakkan berdoa pada Allah. Kita tidak boleh ubah suami kita, tapi Allah boleh. Minta dari Allah. Jaga hubungan kita dengan Allah agar mudah kita minta Allah jaga rumahtangga kita.
Masya-Allah, indahnya kesudahan hidup seorang isteri andai dia mati dalam keadaan mendapat redha seorang suami. Indahnya janji Allah bahawa isteri yang diredhai suaminya boleh masuk syurga dari mana-mana pintu yang disukainya. Indah sangat, kawan-kawan! Tidak teringin ke kita untuk mendapatkannya?
NIAT JADI ISTERI YANG TERBAIK
Hari ini, ayuh simpan niat untuk jadi isteri yang lebih baik daripada semalam. Simpan hasrat untuk cuba dan kemudian cuba. Allah pandang usaha kita. Allah pasti beri ganjaran walau pun pada sekecil-kecil usaha kita. Inshaa-Allah.
Ayuh tutup aurat kita serapat mungkin agar kita bakal menjadi ketua bidadari untuk suami kita di syurga kelak. Lindungi walau sehelai rambut. Litupi walau hanya tapak kaki yang kita rasa hanya berada di bawah tapi ia yang bakal menentukan ke syurga kah kita.
Ya Allah,
Jadikanlah isteri yang membaca ingatan ini sebagai isteri menyejukkan hati suami mereka ya Allah. Aamiin. Sumber kredit: Majlis Ilmu
WEBINAR JODOH 💖: SUAMI KIRIMAN ILAHI
✨Jom Sis semua yang masih single terutamanya sejenis yang pemalu! Kita belajar ilmu menjemput jodoh💘
Dengan ilmu menjemput jodoh, Sis akan..
✅ Tak tertanya-tanya lagi “Dimana atau ada ke bakal imamku❓❓” 🤷🏽♀
✅ Jelas ✨ dan yakin 💪🏻 dengan langkah-langkah mudah ikhtiar mencari jodoh 💘 (Tip: Islam itu Mudah dan Indah)
✅ Akan dijauhi heartbreak 💔 dan lelaki yang tak serius 👻
Yang sudah berstatus ‘Dimiliki’, ambillah manfaat ilmu ini untuk memudahkan dan percepatkan lagi jodoh Sis 💞
Hangat dan viral minggu ini kisah perkahwinan kedua Pendakwah Bebas, Dai’ Farhan dengan seorang ibu tunggal yang mempunyai lapan orang anak.
Kalau diikutkan hukum, perkahwinan kedua Da’i Farhan ini memang sah hukumnya di sisi Islam, cuma yang menjadi kemarahan warganet apabila beliau dikatakan menceraikan isteri pertama yang sedang mengandung dengan alasan nusyuz.
Kisah perkahwinan Da’i ini yang dikatakan mengahwini ibu tunggal digelar ‘wanita Kaabah’ ini memang sangat viral hinggakan ada kata-kata dari pendakwah ini dijadikan troll dalam kalangan warganet.
Biarpun menerima kecaman sangat hebat di media sosial, bagi pendakwah yang menjadi Juara Da’i Pendakwah Milenia 2014, anjuran TV3 ini, beliau menerima setiap dugaan itu dengan berlapang dada. Malah menganggap jodoh itu adalah aturan yang telah ditetapkan oleh Allah padanya.
Dalam satu temubual secara langsung di Program Bual Bicara Mingguan Wanita, Da’i Farhan sangat positif menerima segala kecaman dilemparkan padanya.
Dengan wajah yang tenang disulami senyuman serta kata-kata lembut, beliau menceritakan detik perkenalan bersama isteri tercinta.
Menurut Da’i Farhan, setiap bulan memang dia akan membawa jemaah untuk menunaikan umrah. Kehidupannya juga sangat berkait dengan tanah suci. Jadi pertemuan dengan isterinya ini juga berlaku di Tanah Suci.
“Ramai yang bertanya sebelum itu, tetapi hati belum terbuka. Maknanya di sisi Allah ini tiada jodoh. Kalau betul saya nak menggatal, boleh pilih sesiapa sahaja untuk dijadikan isteri.
“Tetapi untuk kali ni Allah kenalkan isteri saya ini di Tanah Suci, di sisi Kaabah. Perkenalan kami bermula di Mekah dan setelah sebulan saling mengenali, barulah mengambil keputusan untuk berkahwin juga di Tanah Suci Mekah.
“Bagi saya aturan Allah ini cukup indah. Keindahan itulah yang buat saya terima walaupun menerima kecaman dari pelbagai pihak. Bagi saya senang, biarlah kita harapkan pandangan serta kasih sayang Allah pada diri kita,” ujarnya yang turut memberitahu keinginannya untuk berkahwin lagi kepada keluarga, terutama isterinya.
Tambahnya untuk membuat ibadah seperti berkahwin ini nombor satu adalah kejujuran. Memang ada keluarga yang terima dan ada juga yang menentang.
Malah isterinya juga turut mengambil masa dan istiqamah sebelum ambil keputusan menerima apa yang akan dilakukannya.
“Dari Tanah Suci lagi saya suda fikir betul-betul keputusan untuk berkahwin lagi. Kita nak buat benda baik kenapa nak takut dan tak perlu sorok-sorok.
“Pada mulanya isteri menerima, tetapi bila ada pihak lain yang membat keputusan menyebabkan segala yang dirancang habis porak peranda.
“Saya juga sebelum ambil keputusan ini, merujuk pada pihak tertentu. Oleh kerana kerap ke Mekah, jadi ada beberapa orang guru yang saya dapatkan pandangan sebaiknya sebelum menikahi isteri sekarang,” jelasnya lagi yang mengakui kehidupannya kini cukup bahagia.
Bagi Da’i Farhan juga ada hikmah tertentu bila seseorang itu menikahi janda atau ibu tunggal.
Beliau juga merujuk kepada Sirah Nabi Muhammad SAW yang menikahi isteri-isteri Baginda yang juga janda kecuali Saidatina Aisyah r.a.
Menurut Farhan lagi, Nabi memilih janda kerana ingin memberikan kebahagiaan kepada wanita yang telah kehilangan suami dan anak-anak yang kehilangan ayah.
Jika sebelum ini anak-anak tidak mendapat belaian kasih sayang seorang ayah dan mereka sudahpun mendapatnya.
Menurutnya, lapan orang anak-anak tirinya begitu ‘welcome’ dirinya dalam kehidupan mereka. Ternyata mereka juga boleh menerima kehadiran ‘papa’ baru dalam kehidupan mereka.
“Buat masa sekarang, apa yang saya ingin nasihatkan agar jangan ada pihak di luar sana mengambil kesempatan. Jangan api-apikan dan menuang minyak atas kejadian yang berlaku.
“Sebenarnya segalanya nampak mudah dipermulaan tetapi mungkin ini takdir yang telah ditentukan olehNya kepada saya. Jadi saya reda. Fitnah ini ibarat angin ribut yang menerbangkan dosa-dosa saya,” ujarnya sebelum mengakhiri temu bual berkenaan.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Sebut sahaja poligami pastinya ia seperti ‘nightmare’ kepada wanita-wanita di luar sana. Bimbang dimadukan ada wanita yang meletakkan syarat agar bakal suami mereka tidak boleh berpoligami.
Namun apakah hukum jika seorang isteri meletakkan syarat dalam perkahwinan bahawa suaminya tidak boleh berpoligami? Adakah syarat ini sah disisi syarak, dan perlukah suami mematuhinya?
Berikut ulasan Mufti Wilayah Persekutuan.
Para ulama telah membahaskan isu ini dalam karangan-karangan mereka, dan kami bawakan sebahagian nukilan pandangan mereka:
Pertama: Mazhab Hanafi
Menurut Akmal al-Din al-Babarti, syarat seumpama ini adalah fasid, kerana ia berbentuk larangan ke atas perkara yang diharuskan syara’, namun ia tidak membatalkan nikah. Jika suami mematuhi syarat itu, maka isteri perlu diberikan mahar musamma, dan jika syarat itu tidak dipatuhi, isteri perlu diberikan mahar mitsil. (Rujuk Al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 3/350) Menurut Imam al-Sarakhsi pula, syarat sebegini tidak perlu dituruti oleh suami. (Rujuk Al-Mabsuth, 19/120)
Kedua: Mazhab Maliki
Menurut Imam Malik, syarat seumpama ini adalah batil, namun nikah itu tetap sah. Beliau menukilkan pandangan Sa’id ibn Musayyib menyatakan perkahwinan seumpama ini adalah sah dan diharuskan. Namun menurut satu atsar yang diriwayatkan oleh Al-Laith ibn Sa’ad dimana pada zaman Umar al-Khattab, seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita yang mensyaratkannya agar tidak membawanya keluar dari negeri asalnya. Umar apabila mendengar hal ini, telah mengangkat syarat itu dari lelaki tersebut, dan perkahwinan itu tidak dibatalkan. (Rujuk Al-Mudawwanah, 2/131)
Menurut Khalil ibn Ishaq al-Jundi, syarat-syarat yang dikenakakan oleh isteri untuk bernikah seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa mengikuti peperangan dan tidak tidak boleh dibawa keluar daripada rumah dan seumpamanya adalah makruh, dan Imam Malik berkata beliau telah meminta para hakim untuk melarang orang ramai daripada terlibat dengan syarat-syarat seumpama itu. (Rujuk Al-Taudhih fi Syarh Mukhtasar Ibn al-Hajib, 4/181)
Ketiga: Mazhab Syafie
Menurut para fuqaha’ mazhab Syafi’e iaitu Imam al-Nawawi, Ibn Hajar al-Haitami, Imam Khathib al-Syarbini dan Syeikh Zakariyya al-Ansari, syarat jenis ini dihukum sebagai fasid dan ia turut menyebabkan mahar menjadi fasid, namun ia tidak membatalkan akad nikah itu sendiri. (Rujuk Raudhah al-Talibin, 7/265; Tuhfah al-Muhtaj, 7/312 dan 387; Mughni al-Muhtaj, 4/377 dan Al-Ghurar al-Bahiyyah, 4/186)
Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji juga ada disebut bahawa syarat seumpama ini adalah bercanggah dengan tuntutan nikah itu sendiri, tapi ia tidak menafikan tujuan asasi nikah iaitu menghalalkan persetubuhan. Syarat seperti ini ialah fasid, namun nikah itu tetap sah. (Rujuk Al-Fiqh al-Manhaji, 4/83-83)
Keempat: Mazhab Hanbali
Menurut Ibn Qudamah, syarat nikah terbahagi kepada tiga, salah satunya ialah yang wajib dipenuhi oleh suami, yang berkait dengan maslahah terhadap dirinya sendiri, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa bermusafir dan tidak dibawa menemani ke peperangan. Jika syarat ini tidak dipenuhi, isteri berhak untuk menuntut fasakh. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Umar Al-Khattab, Sa’ad bin Abi Waqqas, Mu’awiyah, Amru bin Al-‘Aas R.Anhum, Syuraih, Umar bin Abdul Aziz, Thawus dan Al-Auza’ie. Menurut beliau lagi, ini merupakan pandangan para sahabat dan beliau tidak dapati sebarang sanggahan daripada para sahabat lain pada permasalahan ini, maka ia menjadi ijma’.
Selain itu, sabda Nabi SAW juga:
الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ
Maksudnya: Kaum Muslimin itu terikat dengan janji-janji mereka. Sunan Tirmidzi (1352) dan Sunan Abu Daud (3594)
Dakwaan bahawa syarat seperti ini mengharamkan yang halal juga tidak tepat, kerana syarat itu hanya berbentuk pilihan kepada isteri untuk menuntut fasakh daripada suami, jika syaratnya itu tidak dipatuhi. Namun demikian, tidak diharuskan jika syarat itu menghendaki bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada, kerana terdapat larangan yang jelas dalam hadis:
Maksudnya: Janganlah seorang wanita meminta bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada dan merampas haknya. Berkahwinlah (walaupun tanpa menetapkan syarat demikian), sesungguhnya dia akan memperoleh apa yang Allah SWT telah tetapkan kepadanya. Sahih Muslim (1408)(Rujuk Al-Mughni, 7/93-94)
Imam al-Mardawi pula menganggapnya sebagai satu syarat yang sah dan perlu dipatuhi, dan jika suami melanggar syarat ini, isteri berhak untuk memohon fasakh.
Syeikhul Islam ibn Taimiyyah juga pernah ditanya soalan ini, dan beliau menyebut bahawa syarat tersebut adalah sah, dan suami perlu mematuhinya. Antara dalil beliau ialah kata-kata Umar al-Khattab yang dihadapkan dengan satu kes melibatkan suami isteri yang telah bersetuju sewaktu akad supaya suami tidak berpoligami, beliau mengesahkan syarat tersebut dan berkata:
مَقَاطِعُ الْحُقُوقِ عِنْدَ الشُّرُوطِ
Maksudnya: Pemutus-pemutus hak itu bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan. (Rujuk Al-Fatawa al-Kubra, 3/90)
Mengikut satu qaul Imam Ahmad yang diterima jumhur fuqaha’ mazhab Hanbali, mematuhi syarat ini hukumnya sunat, dan isteri berhak menuntut fasakh jika suami tidak mematuhinya. Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pula memilih pandangan yang mewajibkannya, dan ia adalah pendapat yang lebih sahih.
Namun demikian, jika isteri itu reda dengan pelanggaran syarat yang dilakukan oleh suami, isteri tidak berhak lagi untuk menuntut fasakh. Namun kedua-dua suami dan isteri tidak boleh mensyaratkan agar kedua-duanya tidak boleh berkahwin lagi setelah mereka bercerai atau salah seorang daripada mereka meninggal dunia.
Namun jika syarat seumpama ini ditetapkan setelah berlaku akad, maka syarat itu tidak lagi perlu dipatuhi. Namun kata Ibn Rajab, syarat itu tetap wajib dipatuhi meskipun ia ditetapkan setelah akad nikah, dan inilah pandangan yang azhar dalam mazhab Hanbali. (Rujuk Syarh Zad al-Mustaqni’, 20/60-62)
KESIMPULAN
Tuntasnya, kami mentarjihkan pandangan yang mengharuskan syarat yang dikemukakan isteri sebelum akad agar suami tidak boleh berpoligami, dan para suami hendaklah mematuhi persetujuan yang telah ditetapkan bersama isteri, demi memelihara keutuhan rumah tangga yang harmoni.
Namun dalam masa yang sama, syarat-syarat yang diletakkan manusia bukanlah hukum Allah SWT yang tidak boleh dipinda dan diubah. Sikap toleransi dan berlapang dada mestilah diutamakan, dan dalam banyak keadaan, perbincangan hati ke hati pastinya akan menatijahkan hasil yang positif. Maka, meskipun isteri memiliki hak untuk menuntut fasakh jika suami tidak mematuhi syarat yang ditetapkan, pertimbangan yang rasional dan pemikiran matang haruslah digunakan dalam membuat sebarang keputusan.
Kami akhiri dengan doa seperti yang diajar oleh Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)
Dalam kesibukan kehidupan seharian yang sering menuntut tenaga fizikal dan emosi, waktu sebelum tidur menjadi detik paling sesuai untuk seorang Muslim kembali menenangkan jiwa...