
Dunia Formula 1 (F1) bukan sekadar tentang kelajuan jentera, persaingan sengit di litar dan kemewahan paddock.
Di sebalik imej itu, ada kalanya hati nurani kemanusiaan seorang atlet besar terpanggil untuk melihat sendiri penderitaan di luar sana.
BACA JUGA:Haji Ahmad De La Temala Cipta Sejarah Gelar Juara Dunia Memanah
Baru-baru ini, pelumba legenda yang juga juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, sekali lagi membuktikan bahawa jiwanya turut berpihak kepada mereka yang tertindas.
Hanya dua hari selepas aksi perlumbaan Grand Prix Sao Paulo di Brazil, Hamilton didapati mengambil masa untuk terbang ke Mesir demi meninjau sendiri operasi bantuan kemanusiaan di sempadan Rafah, Gaza.
Tiba di El Arish, wilayah Sinai Utara, Lewis Hamilton disambut oleh Gabenor tempatan, Khaled Megawer.
Menurut laporan, pelumba kelahiran Britain itu dibawa melawat pintu sempadan Rafah serta pusat penyimpanan barangan milik Bulan Sabit Merah Mesir untuk melihat dengan lebih dekat bagaimana proses penyediaan dan pengagihan bekalan bantuan diuruskan sebelum disalurkan ke dalam wilayah yang terjejas teruk itu.
Ini bukanlah kali pertama beliau turun padang menyantuni isu kemanusiaan sejagat.
Disember lalu, beliau pernah mengadakan lawatan ke Jordan bersama Bulan Sabit Merah Britain bagi menemui pasukan sukarelawan yang menyiapkan bekalan untuk Gaza, di samping melawat hospital yang merawat kanak-kanak mangsa pemindahan.
Malah, Lewis Hamilton sebelum ini turut tidak mengehadkan suaranya apabila secara terbuka menuntut keadilan dan keamanan sejagat, termasuk ketika ditanya mengenai konflik global di Rwanda dan isu pembebasan Palestin, Sudan serta Syria.
Tindakan murni Hamilton ini pastinya menyentuh hati ramai pihak.
Di saat namanya terus mekar di litar perlumbaan dunia, keberaniannya menggunakan platform selebriti untuk memperjuangkan isu kemanusiaan membuktikan bahawa nilai perikemanusiaan itu jauh lebih besar nilainya daripada sebarang trofi kejuaraan.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok

sekarang ya?

