Berita

Boleh Ke Baca Al-Quran Tanpa Menutup Aurat? Ini Hukumnya

Share

Apabila berada bersendirian di rumah, ada wanita yang memilih untuk membaca al-Quran tanpa memakai tudung atau menutup aurat dengan sempurna.

Namun, timbul persoalan sama ada bacaan tersebut sah, masih memperoleh pahala atau wanita berkenaan dianggap berdosa kerana tidak menutup aurat ketika membaca kitab suci itu.

Secara umumnya, hukum membaca al-Quran tanpa menutup aurat adalah harus. Hal ini kerana tiada nas atau dalil yang menetapkan bahawa seseorang wajib menutup aurat sebagai syarat sah untuk membaca al-Quran.

Syarat seperti berwuduk dan berada dalam keadaan suci daripada hadas besar pula berkaitan dengan hukum serta adab menyentuh mushaf.

BACA JUGA: Dengar Bacaan Al Quran Sahaja Pun Dapat Rahmat

Menutup aurat bukanlah syarat sah bacaan al-Quran. Oleh itu, bacaan seseorang wanita itu tetap sah dan masih memperoleh pahala walaupun membaca al-Quran tanpa bertudung ketika bersendirian.

Walaupun hukumnya harus, umat Islam perlu memahami bahawa al-Quran merupakan kitab suci dan kalam Allah SWT yang wajib dimuliakan.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hajj, ayat 32 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya perbuatan itu lahir daripada ketakwaan hati.”

Justeru, memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat ketika membaca al-Quran merupakan salah satu bentuk penghormatan terhadap kalam Allah SWT.

Perbuatan itu juga boleh menjadi tanda ketakwaan dan kesungguhan seseorang dalam menjaga adab ketika berinteraksi dengan kitab suci.

Menurut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, menutup aurat dengan sempurna merupakan antara adab yang dituntut ketika membaca al-Quran.

Pandangan tersebut turut dinyatakan oleh beberapa ulama, antaranya Dr. Nuh ‘Ali Salman, yang menekankan kepentingan menjaga kesopanan dan kemuliaan ketika membaca al-Quran.

Al-Hakim al-Tirmidzi dalam kitab Nawadir al-Usul pula menyebut bahawa seseorang hendaklah berpakaian dengan baik ketika membaca al-Quran, sebagaimana seseorang bersiap untuk bertemu seorang raja.

Beliau turut meriwayatkan bahawa Abul ‘Aliyah akan mengenakan serban dan pakaian yang indah serta menghadap kiblat setiap kali ingin membaca al-Quran.

Kisah ini menunjukkan betapa tingginya kedudukan al-Quran dalam kehidupan para ulama terdahulu sehingga mereka sangat menitikberatkan adab, penampilan dan kesediaan diri ketika membacanya.

Kesimpulannya, wanita yang membaca al-Quran tanpa bertudung ketika bersendirian tidak berdosa. Bacaannya tetap sah dan pahala membaca al-Quran tetap diperoleh.

Jangan jadikan alasan belum memakai tudung, belum bersedia atau tidak berpakaian lengkap sebagai penghalang untuk membaca al-Quran.

Namun, sekiranya berkemampuan, usahakanlah untuk menutup aurat, memakai pakaian yang sopan dan menjaga adab ketika membaca al-Quran. Ia bukan syarat sah bacaan, tetapi merupakan tanda penghormatan terhadap kalam Allah SWT.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah