
Pasti ada antara kita yang pernah berada dalam situasi apabila menerima jemputan ke sesuatu majlis, lalu menjawab, “Insya-Allah saya datang,” sedangkan pada masa yang sama kita sudah tahu yang kita mempunyai urusan atau kekangan lain pada hari tersebut.
Persoalannya, betulkah tindakan mengucapkan “Insya-Allah” sedangkan kita sebenarnya sudah tahu kita tidak dapat menghadiri majlis berkenaan?
Sebelum itu, kita perlu memahami maksud lafaz Insya-Allah, iaitu “jika diizinkan Allah”. Lafaz ini diucapkan sebagai tanda tawakal kepada Allah SWT setelah seseorang mempunyai azam dan niat untuk melakukan sesuatu.
BACA JUGA: Berjimat Itu Bagus, Tapi Jangan Sampai Kedekut Dengan Diri Sendiri
Justeru, lafaz Insya-Allah bukanlah ‘tiket selamat’ untuk menolak jemputan secara halus atau mengelakkan diri daripada memberikan jawapan yang jujur.
Jika sejak awal kita sudah mengetahui bahawa kita tidak dapat hadir tetapi masih mengatakan “Insya-Allah saya datang”, perbuatan tersebut boleh membawa kepada sikap tidak jujur dan memungkiri janji.
Menerusi perkongsian video di YouTube oleh pendakwah Indonesia, Buya Yahya, beliau menjelaskan bahawa seseorang yang sengaja berbohong dengan menggunakan lafaz Insya-Allah seolah-olah sedang mempermainkan kalimah tersebut. Perbuatan sebegini tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Muslim.
Allah SWT turut memberi peringatan dalam Surah As-Saff ayat 2 hingga 3 mengenai perbuatan berkata sesuatu tetapi tidak melaksanakannya.
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! (2)
Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. (3)”
Selain itu, sikap berjanji tetapi sengaja dimungkiri juga merupakan antara ciri yang dikaitkan dengan sifat munafik.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Ciri-ciri orang munafik itu tiga. Apabila dia bercakap dia berdusta, apabila dia berjanji dia memungkiri janji dan apabila dia diberikan amanah dia mengkhianatinya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bayangkan apabila kita mengatakan “Insya-Allah” kepada seseorang yang menjemput kita, ucapan itu mungkin memberi harapan kepada tuan rumah bahawa kita benar-benar akan hadir.
Apabila kita tidak muncul tanpa sebarang penjelasan, ia bukan sahaja boleh mengecewakan tuan rumah, malah berpotensi menjejaskan hubungan sesama manusia.
Dalam sesetengah keadaan, tuan rumah mungkin turut menyediakan makanan atau keperluan berdasarkan jumlah tetamu yang dijangka hadir.
Jika ramai memberikan harapan untuk hadir tetapi akhirnya tidak datang, makanan yang disediakan mungkin berlebihan dan membawa kepada pembaziran.
Oleh itu, sekiranya kita sememangnya tahu tidak dapat menghadiri sesuatu majlis, sebaiknya berterus terang sejak awal.
Tolaklah jemputan dengan cara yang baik dan sopan. Ucapkan terima kasih kerana mereka sudi menjemput, kemudian jelaskan bahawa kita mempunyai urusan atau kekangan yang menyebabkan kita tidak dapat hadir.
Kita juga boleh memohon maaf serta mendoakan agar majlis tersebut berjalan dengan lancar. Jika bersesuaian, bolehlah berikan hadiah sebagai tanda ingatan dan penghargaan kepada individu yang menjemput.
Kesimpulannya, setiap Muslim dituntut untuk berlaku jujur dalam percakapan dan perbuatan. Lafaz Insya-Allah adalah lafaz yang mulia dan membawa maksud pergantungan kepada ketentuan Allah SWT.
Janganlah menggunakan nama Allah sebagai alasan untuk menutup ketidakjujuran atau mengelakkan diri daripada memberikan jawapan yang sebenar. Jika tahu tidak dapat hadir, lebih baik nyatakan dengan baik sejak awal agar tidak memberikan harapan palsu kepada orang lain.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok