Ramai yang bekerja sebagai pemandu E hailing pada hari ini. Tuntutan tugas yang sentiasa berada di atas jalan ada masanya menyebabkan mereka ‘terlepas solat’ atau solat di waktu.
Dalam hal ini bolehkah seorang pemandu E Hailing mengqasarkan solat mereka setiap hari memandangkan jumlah jarak yang ditempuhi biasanya melebihi dua marhalah.
Persoalan ini dijawab oleh Mufti Wilayah Persekutuan melalu portalnya.
Hukum pemandu E Hailing qasar solat setiap hari
Pemandu kereta yang sering melakukan pemusafiran harus mengqasarkan solat jika memenuhi syarat-syarat qasar seperti melebihi jarak 81km dari tempat kediamannya dan keluar dari kawasan perumahan atau kampungnya.
Namun sebaiknya bagi mereka yang sering melakukan pemusafiran melebihi jarak 81km untuk melakukan solat dengan sempurna.
Keringanan memendekkan solat
Allah SWT memberikan keringanan kepada hambanya dalam melaksanakan ibadah solat dengan diberi keinginan untuk mengqasarkan solat. Keringanan ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmannya:
Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.”
Ads
Keringanan untuk memendekkan solat ini diberikan untuk mereka yang memenuhi syarat-syaratnya. Antara syarat-syarat untuk melakukan qasar dalam mazhab syafi’i ialah perjalanan mestilah melebihi jarak qasar iaitu 81km dan keluar dari kawasan kampung atau perumahannya.
Jika perjalanan tersebut kurang dari 81km atau tidak keluar dari kawasan tempat tinggalnya maka dia tidak boleh mengqasarkan solatnya. Walau bagaimanapun jika dia seorang yang sentiasa melakukan perjalanan yang jauh pada hampir setiap hari sebaiknya dia melakukan solat dengan sempurna dan tidak mengqasarkan solat. Perkara ini dinyatakan dalam kitab I’anah al-Talibin:
Ads
ومن يديم السفر مطلقا كالساعي فإن الإتمام أفضل له، خروجا من خلاف من أوجبه، كالإمام أحمد رضي الله عنه.
Maksudnya: “Siapa yang sentiasa melakukan pemusafiran seperti pemandu maka yang afdal baginya ialah melakukan solat dengan sempurna untuk keluar dari khilaf sebahagian ulama yang mewajibkannya seperti Imam Ahmad RA[1].”
Kesimpulannya pemandu kereta yang sering melakukan pemusafiran harus mengqasarkan solat jika memenuhi syarat-syarat qasar seperti melebihi jarak 81km dari tempat kediamannya dan keluar dari kawasan perumahan atau kampungnya. Namun sebaiknya bagi mereka yang sering melakukan pemusafiran melebihi jarak 81km untuk melakukan solat dengan sempurna.
Pakaian terkena najis kemudian dibasuh dalam mesin basuh, timbul persoalan adakah pakaian ini benar-benar suci dan boleh digunakan untuk solat. Ini kerana ada yang mempertikaikan bahawa kesemua pakaian di dalam mesin basuh tersebut adalah najis.
Hal ini telah menarik perhatian ramai termasuk Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil yang telah mengupas isu ini.
Antara syarat untuk membasuh pakaian yang bernajis dengan air yang kurang dari dua kolah, iaitu air mutlak mestilah bersifat mendatangi pada najis, iaitu air itu mestilah dicurahkan pada tempat bernajis tidak kira dari arah mana sekali pun.
Jika air itu tidak bersifat mendatangi pada najis maka hukum menghilang najis itu tidak dikira sah menurut syarak, maka pakaian itu kekal bernajis. Fakta ini ada disebut di dalam kitab-kitab fiqh, antara kitab Taqrirat Sadidah:
أن يكون الماء واردا عير مورد، أي يرد الماء على النجاسة لا العكس.
Maksudnya: “Air itu hendaklah mendatangi bukan ia didatangi, iaitu air mendatangi ke atas najis bukan sebaliknya”.
Sebagai contoh jika ingin membasuh sesuatu pakaian yang bernajis hendaklah tempat bernajis itu mestilah ditadah di bawah air paip yang mengalir bukan pakaian itu direndam ke dalam bekas yang menakungkan air kurang dua kolah. Ini kerana air di bawah kapasiti dua kolah tidak mempunyai kekuatan untuk menolak najis, maka yang mendatangi air itu mestilah mengalir keluar bersama najis yang dihilangkan.
Jika pakaian bernajis direndam di dalam air yang kurang dari dua kolah maka penyucian pakaian itu tidak sah kerana air rendaman itu sudah menjadi mutanajjis maka ia sama sekali tidak menyucikan pakaian itu dari najis, melainkan pakaian itu dibilas sekali lagi dengan air mutlak, maka pakaian itu dikira suci.
Berkenaan mencuci pakaian yang bernajis dengan menggunakan mesin basuh automatik pada hakikatnya ia tidak menimbulkan masalah dalam proses menyucikan pakaian yang bernajis. Perkara ini disebut oleh al-‘Allamah al-Habib Hasan bin Ahmad al-Kaf di dalam karangan beliau “Taqrirat Sadidah”:
ومن ذلك مسألة إلقاء الملابس في الغسالات الحديثة فإن كانت الغسالة من النوع الألي (الأتوماتيكي) فلا ضرر بالإتفاق لأنها تقوم بإزالة النجاسة ثم بإمرار ماء طهور على الملابس وأما إن كانت من النوع العادي فبعد الغسيل وإزالة الأوصاف تكون النجاسة حكمية فلا بد بعد ذلك من إمرار ماء طهور على الملابس وذلك ما يسمى بمرحلة التصفية أو التطهير ولا بد أن يكون الماء واردا في هذه المرحلة بأن توضع الملابس أولا ثم يصب فوقها الماء.
Maksudnya: “Dari masalah itu, mencampakkan pakaian ke dalam mesin basuh moden, jika mesin basuh itu dalam kategori berteknologi tinggi (automatik) maka tiada mudarat menurut persepakatan ulama.
Ini kerana ia menghilangkan najis (pada pakaian) kemudian dibilas dengan air yang suci lagi menyucikan pada pakaian itu. Manakala jika mesin itu dari jenis biasa (bukan automatik), maka selepas basuh dan menghilangkan sifat-sifat (najis), maka najis (pada pakaian) diketogarikan najis hukmi (yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar).
Oleh itu mesti dibilas dengan air yang suci lagi menyucikan selepas itu pada pakaian, ini dinamakan sebagai peringkat penyucian di mana air mestilah bersifat mendatangi pada peringkat ini dengan meletakkan pakaian terlebih dahulu kemudian dicurah air ke atasnya”.
Tidak dinafikan bahawa air dicurahkan di atas pakaian, namun selepas itu air yang berada di dalam mesin akan bertakung. Meskipun air itu bertakung di dalam mesin, ia tidak semestinya mutanajjis (bernajis).
Ini disebabkan jika air tersebut bila berpisah dari pakaian dan masih tidak berubah sifatnya (tidak berubah dengan kesan najis) dan tidak bertambah beratnya (disebabkan najis) maka air itu dikira sebagai masih suci dan hukumnya sama seperti air mustamal (suci tetapi tidak menyucikan).
Dengan ini air yang masih bertakung bersama-bersama pakaian itu tidak dikira menajiskan pakaian yang direndam selagimana air itu tidak berubah sifat kerana najis. Fakta ini banyak disebut di dalam kitab-kitab fiqh Shafi’ie antaranya ‘I’anah al-Tolibin’:
وحاصله أنه إذا ورد الماء على المحل النجس ولم ينفصل عنه فهو طاهر مطهر. فإن انفصل عنه، ولم يتغير ولم يزد وزنه بعد اعتبار ما يأخذه المحل، وطهر المحل، فهو طاهر غير مطهر.
Maksudnya: “Kesimpulannya jika air mendatangi pada tempat bernajis dan ia belum terpisah darinya maka hukum air itu suci dan menyucikan. Jika air terpisah darinya dan tidak berubah sifatnya(bau, warna atau rasa) dan ia tidak bertambah beratnya selepas menghilangkan najis dari tempatnya dan tempat itu menjadi suci, maka air itu kekal suci tetapi tidak menyucikan”.
Namun jika pakaian itu bernajis dengan najis jelas kelihatan dengan mata kasar atau jelas bau najisnya dan apabila air curahan itu berubah sifat selepas berpisah dari pakaian, maka pakaian itu mestilah dibilas paling kurang sekali sama ada melalui mesin basuh atau luar mesin sehinggalah tempat bernajis itu hilang najisnya dan air curahan yang berpisah darinya tidak berubah sifat dan tidak bertambah beratnya disebabkan najis. Ini kerana air yang berpisah masih lagi berubah sifatnya masih diketogarikan sebagai mutanajjis iaitu tidak sah untuk menyucikan pakaian.
Jika objek (‘ain) najis wujud pada pakaian seperti ketulan najis atau tompokan najis yang tebal maka hendaklah dibuang dahulu dari pakaian sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh untuk mengelakkan kesan perubahan sifat yang ketara pada air curahan itu.
Meskipun pakaian bernajis itu dibasuh dengan air sabun di dalam mesin basuh iaitu bukan kategori air mutlak yang mana ia masih tidak sah sebagai bahan menyucikan pakaian bernajis. Namun dengan teknologi canggih pada zaman kini yang mana pakaian yang dibasuh dengan sabun akan dibilas beberapa kali dengan air mutlak dalam mesin basuh, maka proses ini tidak syak lagi dapat menyucikan pakaian yang bernajis. Menurut mazhab Hanafi, air mutlak yang berubah sifatnya dengan bahan lain seperti sabun maka ia tetap suci dan menyucikan. Sesungguhnya khilaf antara ulama merupakan rahmat untuk umat.
Jelas fakta-fakta yang disebut bahawa mencuci pakaian yang bernajis melalui mesin basuh yang berteknologi moden dan canggih tetap menyucikan pakaian tersebut tanpa ragu-ragu. Proses ini perlu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kaedah fiqh seperti mana yang dinyatakan di atas.
Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Tular di media sosial bahasa seorang guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan (PJK) yang jelas agak emosi kerana pelajar tidak memasuki kelas PDPR diajarnya. Mungkin kerana terlalu marah, guru yang tidak dinyatakan mengajar di sekolah mana ini memaklumkan tidak akan menghalalkan ilmuPJK termasuk tasawur pernah diajarnya kepada kumpulan pelajar berkenaan walau pelajar itu dilihat sudah meminta maaf bagi pihak kawan-kawannya.
Dalam kita selalu diajar tentang istilah guru menghalalkan ilmu ini, wujud pertanyaan adakah benar wujudnya ISTILAH HALALKAN ILMU ini sudah menjadi percakapan biasa bagi kebanyakan dari kita. Sebahagian kita sangat takut jika tidak lulus dalam peperiksaan kerana ilmu tidak berkat dan sebagainya bila guru mengucapkan sedemikian. Bekas Mufti WP yang kini merupakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Al Bakri pernah mengulas isu ini di page Pejabat Mufti pada 22 Oktober 2018. Kita tidak mahu kerana emosi membawa kepada salah faham dalam agama sedangkan mungkin tidak diajar.
Bolehkah seorang guru tidak menghalalkan ilmu kepada pelajarnya kerana pelajarnya melakukan kesalahan terhadap guru tersebut? Adakah tindakan tidak menghalalkan ilmu sesuatu tindakan yang wajar?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.
Islam amat menghargai ilmu. Tambahan pula, menuntut ilmu merupakan satu kewajipan bagi setiap umat Islam. Sebagaimana yang di sabdakan oleh Nabi SAW:
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Maksudnya: “Menuntut ilmu adalah satu kewajipan ke atas setiap Muslim” Riwayat Ibnu Majah (224)
Dengan ilmu manusia akan menerima banyak kelebihan bahkan ia merupakan kayu ukur dalam kehidupan manusia bagi menentukan sama ada perkara tersebut baik ataupun buruk. Misalnya, ketika temuduga pekerjaan, latarbelakang pendidikan merupakan diantara kelayakan utama yang akan disemak oleh majikan sebelum diterima untuk bekerja. Ini selari dengan firman Allah SWT memberi jaminan kepada orang yang berilmu di angkatkan darjatnya.
Maksudnya: “Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. (Surah Al-Mujadalah:11)
Proses penyampaian ilmu merupakan tugas sinonim bagi seorang guru. Bahkan dalam menuntut ilmu, penuntut disarankan untuk berguru kerana ia merupakan jalan dan perantaraan yang terbaik untuk memperolehnya. Guru merupakan pendidik yang bertanggungjawab dalam memikul tugas mulia dan sentiasa diyakini sebagai orang yang memiliki ketinggian ilmu, akhlak dan tingkah laku.
Merujuk kepada soalan diajukan, tidak diketemui perbincangan yang khusus di kalangan ulama’ yang membahaskan konsep “tidak menghalalkan ilmu atau meminta untuk menghalalkan ilmu”.
Kami beranggapan guru yang mengucapkan “tidak menghalalkan ilmu kepada penuntut ilmu atas alasan melakukan kesalahan, ia merupakan satu terma ugutan bagi seorang guru terhadap anak muridnya supaya beradab dalam menuntut ilmu.
Begitu juga, konsep bagi anak murid meminta untuk menghalalkan ilmu daripada guru. Kami melihat kata-kata tersebut membawa erti tersirat yang menjelaskan ia sebagai satu adab tinggi bagi memperoleh keberkatan ketika menuntut ilmu disamping menghormati dan memuliakan gurunya.
Namun begitu, jika guru yang menyebut sedemikian di hadapan anak murid, maka hal tersebut tidaklah membawa kepada dosa jika diamalkan ilmu yang disampaikannya. Bahkan Imam Nasai’ sendiri pernah berlaku perselisihan bersama gurunya dan dihalau dari bertalaqi. Tetapi beliau tetap hadir bertalaqi walaupun tidak dapat melihatnya.
Kisah ini diceritakan oleh Imam Ibnu Athir di dalam kitabnya, beliau menceritakan tentang biografi Imam Nasai’ bersama gurunya Al-Haris bin Miskin. Apabila Imam Nasai’ meriwayatkan hadis daripada Al-Haris bin Miskin, beliau akan mengunakan perkataan “telah berkata Al-Haris bin Miskin dan aku mendengar” berbanding beliau menggunakan “telah berkata kepada kami atau telah mengkhabarkan kepada kami” seperti mana beliau menggunakan pada guru-gurunya yang lain.
Ini kerana, dikatakan bahawasanya Al-Haris dan Imam Nasai’ pernah berselisih faham sehingga menyebabkan beliau tidak dapat hadir lagi ke majlis gurunya itu. Bahkan beliau hanya bersembunyi pada satu sudut dan mendengar apa yang dibacakan oleh gurunya tanpa melihat. (Rujuk Jamik al-Husul fi al-Hadith al-Rasul, 1/196).
Beradab di hadapan guru adalah prinsip yang amat penting bagi seorang penuntut ilmu. Lihat bagaimana Ulama’ terdahulu ketika menuntut ilmu, mereka akan mempelajari adab sebelum mempelajari ilmu. Seperti Imam Al-Ghazali yang amat mementingkan adab dalam menuntut ilmu. Beliau telah mengkhususkan satu bab di dalam kitabnya, Ihya’ Ulum al-Din khusus untuk mempelajari adab bersama guru. Bahkan Sheikh Abdullah bin Mubarak pernah menyatakan:
طلبت الأدب ثلاثين سنة، وطلبت العلم عشرين سنة؛ كانوا يطلبون الأدب ثم العلم
"Aku mempelajari adab menuntut ilmu selama 30 tahun, kemudian baru mempelajari ilmu". (Rujuk Ghoyatul Nihayah fi Tobaqat al-Qira’, 1/446)
Bahkan telah tercatat melalui karangan Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya, Ihya’ ‘Ulum al-Din yang menukilkan kisah adab dan akhlak Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah terhadap gurunya Imam Al-Syafi’e. Diriwayatkan bahawa Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah mengatakan: “Tidaklah aku solat semenjak 40 tahun melainkan di dalam solatku, aku mendoakan untuk al-Imam Al-Syafi’e semoga Allah SWT merahmatinya”.
Kesimpulan daripada isu ini, kami menasihatkan bahawa dalam menyampaikan ilmu guru perlulah bijak menguruskan masalah dan seharusnya berlapang dada dalam menghadapi situasi anak murid yang melakukan kesalahan dan nakal. Begitu juga kepada anak murid, beradab di dalam menuntut ilmu merupakan perihal yang penting bagi mendapat keberkatan ilmu.
Tawadu’lah terhadap orang yang mengajarkan ilmu kerana mereka diibaratkan sebagai pahlawan. Dr. Hamka pernah menyatakan; guru adalah pahlawan yang sejati. Bukankah pahlawan tanah air, negarawan, pengarang, ahli pidato, orang penting atau berjawatan tinggi, dulunya pernah belajar di bangku sekolah dari serendah-rendahnya hingga setinggi-tingginya? Maka hargai insan yang bernama guru, kerana dia kamu dimuliakan. WallahuA’lam. Sumber : Al Khafi 862: Guru Tidak Menghalalkan Ilmu
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Malam Lailatul Qadar yang disebut juga malam seribu bulan sememangnya amat didambakan oleh jutaan manusia yang memahami pengertian Ramadhan. Semakin menghampiri ke penghujung, malam Lailatul Qadar ini selalu disebut sebagai 10 malam ganjil Ramadhan.
Bagaimana mahu memperolehnya bagi wanita yang datang haid? Adakah tiada peluang langsung? Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin di fbnya ada berkongsi ilmu apakah yang boleh dibuat oleh wanita dalam haid untuk bersama-sama memperoleh Lailatulqadar.
Dr MAZA: Ramai wanita bertanya saya, apakah yang patut dibuat oleh wanita haid agar tidak terlepas kelebihan Lailatul Qadar?
Jawapan ringkas saya secara pantas ialah, wanita yang haid tidak wajar terlepas dari kelebihan Lailatul Qadar. Menghidupkan Malam al-Qadar itu adalah dengan beribadah.
Wanita haid masih boleh beribadah sekalipun tidak boleh solat. Antara yang boleh mereka lakukan ialah;
“Doa itulah ibadah. (Kemudian Nabi s.a.w membaca firman ALLAH dari Surah al-Gahfir ayat 60) -maksudnya-“Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepadaKU nescaya AKU memustajabkan untuk kamu” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dll. Hadis sahih)
“Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun (dengan makna yang layak bagi keagunganNYA) setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikanNya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Lajnah Fatwa Arab Saudi juga mentarjihkan pendapat ini. Hujah dan alasan pihak yang membenarkan dilihat kukuh di segi dalil nas dan akal. Namun, majoriti ulama khususnya dari Mazhab Hanafi, Syafii dan Hanbali tidak membenarkan. Mereka juga mempunyai hujah dan alasan yang tersendiri. Kalangan mereka mengizinkan jika ada keperluan seperti untuk guru al-Quran dan pelajar yang memerlukan.
Bagi yang memilih pendapat yang membolehkan wanita haid membaca al-Quran, dia sewajarnya membaca dari ingatan atau dari HP atau apa skrin, tanpa menyentuh mashaf al-Quran. Adapun menyentuh mashaf al-Quran, kebanyakan ulama tidak membenarkan termasuk ulama yang membenarkan wanita haid membaca al-Quran juga tidak membenarkan mereka memegang mashaf.
Jadi jangan bersedih jika datang haid kerana wanita datang bulan juga boleh memperoleh keberkatan Ramadhan dan memperoleh Lailatul Qadar.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hukum ubat kuat menurut Ustaz Azhar Idrus adalah harus jika digunakan untuk tujuan kesihatan dan nafkah batin, dengan syarat produk halal, selamat serta tidak memudaratkan pengguna.