
Setiap insan pasti tidak lari daripada melakukan dosa. Namun, bagaimana hati kita merespon kepada dosa itu adalah tanda ukuran iman.
Rasulullah SAW pernah bersabda;
“Kebaikan ialah akhlak yang baik, manakala dosa ialah sesuatu yang membuatkan hatimu gelisah dan engkau tidak suka jika ia dilihat oleh orang lain.” (Riwayat Muslim).
Hadis ini mengingatkan kita bahawa fitrah seorang Mukmin akan berasa resah dan tidak tenteram apabila melakukan kesalahan, walau sekecil mana pun.
Namun, ada yang hairan melihat manusia yang bergelumang dalam maksiat seolah-olah hidup mereka bahagia. Mereka ketawa, bergembira, malah berbangga dengan dosa yang dilakukan.
Hakikatnya, ketenangan itu hanya pada zahir. Hati mereka sebenarnya penuh dengan titik-titik hitam hingga menjadi keras. Ia sebagaimana firman Allah SWT;
كَلَّا ۖ بَلْ ۜ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِم مَّا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Maksudnya: Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan. Surah al-Mutaffifin (14)
Hati keras dan hitam, tak rasa bersalah
Imam al-Nawawi menjelaskan, hati yang gelisah apabila berbuat dosa adalah petanda ia masih hidup dan lembut. Tetapi hati yang sudah keras, tidak lagi merasa bersalah, bahkan berbangga dengan maksiat, menunjukkan kegelapan telah menutupi cahaya iman.
Ibn Kathir turut menegaskan, manusia seperti ini nampak diberi nikmat pada zahir, harta, pakaian dan tempat tinggal tetapi dada mereka tetap sempit, hati mereka tetap gundah.
Allah SWT juga menegaskan dalam Surah Taha ayat 124: “Barangsiapa berpaling daripada mengingati-Ku, maka baginya kehidupan yang sempit.”
Inilah tanda bahawa ketenangan hakiki bukan pada banyaknya harta atau riangnya gelak ketawa, tetapi pada hati yang dekat dengan Allah.
Seorang Mukmin melihat dosa seperti gunung besar yang seolah-olah akan menimpa dirinya. Sebaliknya, orang yang derhaka menganggap dosa seperti lalat kecil di hujung hidungnya. Inilah perbezaan antara hati yang lembut dengan hati yang telah hitam dek noda.
Maka, jangan tertipu dengan sandiwara dunia. Jika dosa membuat hati resah, segeralah bertaubat dan kembali kepada Allah. Jangan tunggu hingga maut tiba lalu menyesal meminta satu peluang lagi. Kerana pada saat itu, penyesalan sudah tidak berguna lagi.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?


