
Kesibukan bekerja kadangkala membuatkan seseorang berasa terlalu penat hingga terdetik rasa mahu berputus asa.
Bangun pagi pun terasa berat, dada sesak memikirkan, “Aku kena pergi kerja lagi ke hari ini?” sedangkan hati sudah hilang semangat untuk meneruskan rutin harian.
Keadaan inilah yang sering disebut sebagai burnout di tempat kerja. Seseorang mula merasa tiada motivasi, hilang tenaga dan melihat beban kerja seolah-olah tidak berpenghujung.
Penting untuk difahami, ia bukanlah tanda seseorang itu malas, sebaliknya satu keadaan emosi dan mental yang benar-benar boleh berlaku dalam dunia pekerjaan.
Persoalannya, adakah Islam menyuruh kita terus bersabar sehingga mengabaikan kesihatan mental sendiri?
Hakikatnya, bersabar dalam Islam bukan bermaksud mendiamkan diri, memendam segala-galanya atau membiarkan diri terus menderita tanpa ikhtiar.
BACA JUGA: Rumah Bersepah Boleh Undang Tekanan Jiwa, Ini Kesan Hoarding Disorder Dalam Islam
Islam mengajar umatnya supaya sabar dalam menghadapi ujian, namun pada masa sama tetap berusaha mencari jalan keluar dan penyelesaian.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Sajadah, ayat 24:
Maksudnya: “Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka bersabar. Dan mereka pula meyakini ayat-ayat Kami.”
Ayat ini menunjukkan bahawa sabar adalah kekuatan jiwa dalam menegakkan kebenaran dan menghadapi ujian, bukan alasan untuk membiarkan diri terus tenggelam dalam tekanan.
Dalam soal pekerjaan, kita tetap perlu melaksanakan amanah dengan sebaiknya kerana kerja juga merupakan satu ibadah, selain jalan untuk mencari rezeki yang halal.
Namun begitu, dalam melalui saat-saat burnout, kita juga perlu menjaga diri dan kembali menguatkan hati dengan mendekatkan diri kepada Allah. Berikut beberapa amalan yang boleh dilakukan:
- Berehat apabila terlalu penat
Rehat bukan tanda lemah, sebaliknya satu keperluan. Ambillah masa untuk tidur seketika atau menenangkan diri dengan niat untuk memulihkan tenaga kerana Allah SWT. Malah, Rasulullah SAW sendiri mengamalkan tidur siang atau qailullah.
Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya Tuhanmu ada hak ke atasmu, dirimu ada hak ke atasmu, dan isterimu ada hak ke atasmu. Maka tunaikanlah hak bagi setiap yang berhak.”
(HR al-Bukhari)
Hadis ini mengingatkan bahawa diri kita juga mempunyai hak yang wajib dipelihara.
- Tunaikan solat sunat
Ketika hati terasa kusut dan jiwa terlalu penat, kembalilah kepada solat. Solat bukan sekadar kewajipan, tetapi juga tempat rehat bagi hati yang lelah.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda kepada Bilal RA:
“Rehatkan kami dengan solat, wahai Bilal.”
(HR Abu Dawud)
Jelas di sini bahawa sejak zaman Rasulullah SAW lagi, solat menjadi sumber ketenangan dan kerehatan jiwa.
- Amalkan zikir penenang hati
Antara zikir yang sangat baik diamalkan ketika hati terasa sempit ialah doa Nabi Yunus AS:
“Laa ilaaha illa anta subhaanaka inni kuntu minaz-zolimin.”
Maksudnya: “Tiada Tuhan melainkan Engkau. Maha Suci Engkau. Sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan orang yang zalim.”
Apabila hati terasa sesak, lazimkan zikir ini di bibir. Insya-Allah, ia membantu menenangkan jiwa, mendekatkan hati kepada Allah dan menjadi amalan harian yang penuh pahala.
Kesimpulannya, burnout boleh jadi satu ujian yang mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.
Ia bukan semata-mata beban, bahkan mungkin tanda kasih sayang Allah supaya kita kembali melihat semula keadaan diri, memperbaiki hubungan dengan-Nya dan menjaga amanah terhadap tubuh serta emosi yang dipinjamkan.
Firman Allah SWT:
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…”
(Surah al-Baqarah, ayat 286)
Jadi, jika sedang lelah dengan tuntutan kerja, jangan rasa bersalah untuk berehat, dapatkan sokongan dan memperbanyakkan ibadah. Sabar itu perlu, tetapi menjaga diri juga adalah sebahagian daripada amanah.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?






