Lumrah hidup berumahtangga menghadapi ujian dan dugaan. Dalam hidup berumah tangga, salah satu kuncinya adalah saling memenuhi hak dan menunaikan kewajipan masing-masing.
Ketentuan itu berlaku untuk kedua pasangan, bukan hanya suami kepada isteri, tetapi juga sebaliknya, isteri kepada suami.
Bagaimana nak hidup menjadi suami isteri di akhir zaman?
1. Belajar agama. Maksudnya belajar agama itu belajar mengenal, cinta dan takutkan Tuhan. Mulakan dengan belajar kembali dan betulkan sembahyang kita.
Ads
2. Bertaubat atas dosa-dosa lalu. Yang menjarakkan hubungan kita sebagai suami isteri itu, bukan sebab tak faham pasangan kita. Tapi semuanya kerana dosa. Lebih banyak dosa, lebih dan lebih teruk hubungan suami isteri itu sebenarnya.
3. Banyakkan buat baik. Tak perlu tunggu pasangan buat baik. Tak perlu tanya pasangan saya dah beri, apa awak bagi? Tugas kita sebagai hamba yang memberi. Bukan asyik meminta.
Ads
Semoga Tuhan menjaga kita dari segala keburukan akhir zaman.
Sungguh, Takut dan ngerinya menjadi suami isteri hari ini.
Moga Tuhan terus memegang hati dan menguatkan jiwa untuk hidup dalam rumahtangga.
Setiap pasangan yang melangkah ke alam perkahwinan, terutama suami perlu memastikan tanggungjawab dilaksanakan sebaiknya dengan menyediakan segala keperluan buat isteri tercinta.
Namun permulaan kepada sebuah hubungan berumah tangga itu pastinya sukar. Dengan komitmen yang pelbagai pastinya sedikit sebanyak setiap pasangan akan menghadapi masalah kewangan.
Seperti perkongsian seorang pengguna akaun di laman sosial Facebook, Mohd Fadhli Salleh yang menceritakan pengorbanan dilakukan mereka suami isteri di awal perkahwinan.
Menurut Mohd Fadhli, gajinya 10 tahun dulu sangat kecil berbanding isterinya yang memiliki segulung ijazah.
Namun itu bukanlah alasan untuknya melupakan tanggungjawab dengan memberikan duit nafkah kepada isterinya. Bukan itu sahaja, isteri tersayang juga turut meminta izin darinya sebelum membeli apa-apa barangan yang dihajatinya.
Baca perkongsiannya yang cukup menyentuh hati ini dan memberi pengajaran bahawa hidup berumahtangga itu memang saling memerlukan satu sama lain.
Sebaik lafaz akad nikah disahkan 10 tahun lalu, terus aku semat dalam hati bahawa aku kini punya amanah dan tanggungjawab besar.
Masa tu gaji kecil sahaja. Gaji diploma. Puan isteri pula gaji lebih besar. Dia degree.
Namun itu tak bermakna tanggungjawab nafkah itu aku boleh abaikan. Nafkah ini dihukumkan wajib oleh Tuhan. Bukan Perdana Menteri yang tetapkan, bukan juga hakim majistret.
Maka sejak bulan pertama perkahwinan, semuanya aku tanggung. Baik dari segi sewa rumah, belanja dapur (sebahagian), belanja hospital, pakaian, bil-bil, bahkan bil telefon peribadi dia pun aku yang bayarkan.
Jika puan isteri aku berkenan nak beli apa-apa, dia akan minta izin aku untuk beli. Biasanya dia beli sendirilah. Aku cuma bagi untuk raya. Bonus raya biasanya memang aku tak sempat rasa. Semuanya aku bagi kat dia untuk pakaiannya.
Aku punya cukuplah mana yang ada. Namun biasanya puan isteri akan hadiahkan aku baju juga untuk beraya. Kalau tak, padan baju Melayu je lah. Hihi.
Tempoh 10 tahun ini, tidak pernah sekali puan isteri aku bayar apa jua bil. Duit barang dapur pertama kali aku beri padanya cuma RM50 sahaja.
“Ini sahaja abang mampu beri untuk barang dapur. Selebihnya awak topup la ya. Nanti ada rezeki lebih, abang tambah lagi.”
“Tak apa la bang. Barang dapur tu biar saya yang urus semua,” balas puan isteri 10 tahun lepas.
“Tak boleh. Ini kewajipan abang. Wajib pada seorang suami memberi nafkah ni. Walau sedikit, sekurangnya ada. Lepas dah depan Tuhan abang nak menjawab kelak,” ujarku padanya.
Puan isteri hanya mengangguk sahaja. Waktu tu, setiap kali gaji, lepas bayar segala benda baki gaji sekitar RM600 sahaja.
Dengan baki itulah aku nak survive makan minum, minyak kereta, anak-anak nak aiskrim ke, mainan ke, keluar jalan-jalan hujung minggu ke. Memang sesak yakmat.
Kadang anak minta nak beli itu ini pun aku terpaksa menolak. Dalam dada punya la rasa loser tak mampu tunaikan kehendak anak-anak ni.
Namun perangai aku, walau terdesak, walau kesempitan, aku tak pernah minta duit dengan isteri.
Aku rela berhutang dengan kawan-kawan dari minta duit isteri. Rela makan berhutang kat kantin dari minta duit isteri. Sejenis ego seorang suami.
Dulu-dulu, lepas tengah bulan biasanya puan isteri akan intai-intai dompet aku waktu aku tidur. Dia tengok tinggal RM2-RM3 dalam tu, dia letak senyap-senyap RM10-RM20.
Dia tahu dah, harapkan aku minta memang takkan sesekali. Jadi gitu la cara dia bantu aku. Masukkan dalam dompet waktu aku tidur.
Esoknya pergi kerja, tengok-tengok dalam wallet ada lebih 20 ringgit. Padahal sebelum tidur ada 3 ringgit je. Terharu betul masa tu.
La ni, bila aku agak lega, bila boleh bernafas dengan agak teratur, sesekali aku akan bawa kereta puan isteri keluar. Bukan nak bawa sangat sebenarnya, aku lebih selesa naik motor ke mana-mana.
Cuma aku nak tengok minyak kereta. Kalau minyak bawah setengah, memang aku bawa ke stesen minyak dan isi penuh. Topup Touch n Go kereta pula tak pernah bakinya bawah RM50.
Biar puan isteri aku tak perlu fikir apa dah kalau pegang stereng kereta. Bawalah ke mana, minyak ada, Smart Tag dengan Touch n Go pun tersedia.
Setiap tahun ada kenaikan gaji, maka duit dapur puan isteri turut sama bertambah. Dari RM50, kini dah jadi 10x ganda.
Dan sesekali, sebelum aku tidur aku letak duit atas meja untuk kegunaan dia. Duit bulanan tak pernah miss, namun ini sebagai hadiah.
Dia bersiap nak keluar kerja, tengok ada nota ringkas dan duit belanja pula. Siapa tak seronok dapat hadiah ye tak?
Gitulah hidup ini. Ada masa kita sesak, ada masa kita lega. Masa sesak tu, orang terdekat juga yang bantu. Maka bila lega, kita pula bantu dan gembirakan mereka.
Bila ada rezeki lebih, bukan bermaksud kita kalut nak cari yang lain. Sebaliknya Tuhan kirim rezeki lebih pada kita supaya kita layan orang yang setia bersama kita saat sukar dan susah dengan lebih baik.
Bila ada rezeki lebih, gembirakan ibubapa dan isteri dahulu, baru kita bantu orang lain. Itu yang sebaiknya.
Kerana tiada orang lebih ikhlas dengan kita melebihi ibubapa dan keluarga kita sendiri.
Itulah dia.
#MFS – Family man –
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Dalam sebuah rumah tangga, tentunya suami menjadi pemimpin ke arah membentuk rumah tangga yang bahagia. Maka sebab itulah suami perlu menjalankan peranan mereka sebagai seorang ketua. Ibarat seorang nakhoda yang mengemudi sebuah kapal, maka sudah tentulah besar tanggungjawab yang harus dipikul.
Kepimpinan suami dalam rumah tangga membentuk imej seorang isteri.
Bila suami lemah lembut, insyaAllah, isteri pun akan lemah lembut. Sekeras mana wanita, kalau dilayan dengan kelembutan dan kesopanan, pasti akan merubahnya.
Ibaratnya seperti batu disiram air, lama-lama akan lekuk juga. Ibarat kerak nasi direndam air, lama-lama akan lembut juga.
Suami soleh perlulah bijak menangani makhluk beremosi bernama isteri. Bila wanita menjadi bakal ibu, dia bukan sahaja mengandungkan bayi tetapi juga menjadi bayi.
Bila wanita menjadi ibu, suami bukan hanya ada anak-anak, tetapi isteri juga bertukar sensitif seperti anak kecil.
SABAR DIDIK ISTERI
Matanglah dalam menyantuni emosi isteri. Memahaminya bukan mudah, tetapi tetaplah teguh mencintai dan sabar dalam mendidik.
Ikutlah seperti pesan Nabi SAW, didiklah wanita dan nasihatilah ia seperti tulang rusuk yang bengkok, terlalu keras akan mematahkannya. Maka, santunilah dan berlemah lembutlah, tetapi tetap tegas mentarbiyahnya dalam hal agama & akhirat.
Jangan sesekali memukul isteri dengan perbuatan mahupun dengan kata-kata kasar, menghina, memaki, mencarut.. ia akan menjadikan hatinya keras dan membuatkan dia mungkin takut, tetapi sudah hilang hormat. Bahkan.. jika kamu memukul wanita, kamu sebenarnya bukanlah lelaki. Rasulullah tak pernah memukul wanita. Malah memuliakannya.
MUDAHKAN ISTERI
Isteri yang rasa disayangi, dihormati, dipercayai oleh suaminya akan mudah dibentuk, akan menjadi lebih kuat, tabah dan reda.. akan menyenangkan hati si suami juga akhirnya.
Sesungguhnya, jadilah suami yang memudahkan isteri untuk menjadi solehah, kerana solehahnya isteri itu, hanya suami yang soleh boleh menilainya..
Sumber kredit: FB: Intan Dzulkefli
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Jangan tersilap, rezeki bukan hanya diukur pada tahap kewangan seseorang. Ramai masyarakat yang kurang peka dengan konsep sebenar tentang rezeki. Sesebuah rumah tangga akan menjadi lebih sempurna apabila dikurniakan rezeki yang tidak putus-putus. Apatah lagi jika suami isteri istiqamah melaksanakan amalan yang menjemput rezeki.
Jika suami isteri nak murah rezeki, ini LIMA perkara yang mereka kena buat selalu.
1. Makan sama-sama. Ini yang kita kena buat selalu. Lagi-lagi pasangan yang suami isteri bekerja. Masa yang ada cuma masa balik daripada kerja dan dua-dua dah penat.
Balik dengan emosi. Balik dengan masalah tempat kerja dan kerja yang tidak selesai. Apa pun berlaku, cari masa untuk makan bersama. Walau pun cuma makan biskut kering bersama. Huhu.
Kalau tak larat nak masak lepas balik kerja, ajaklah pasangan keluar makan di luar. Itu pun dah ada waktu makan bersama.
2. Layani anak-anak dengan penuh kemesraan. Bila dah ramai anak, biasalah ragam mereka juga berbagai-bagai. Seorang macam ini, seorang macam itu. Yang pertama ajak main, yang kedua ajak makan, yang paling kecil ajak tidur. Serentak semuanya. Kahkah.
Ini normal. Santuni anak-anak elok-elok. Banyakkan bercakap dengan mereka. Bagi logik supaya mereka belajar untuk berfikir.
“Adik tu dah lama jaga, lama juga dia main tadi. Adik dah penat tu bagi ayah tidurkan adik dulu ya. Abang Ngah baru bangun tidur ada tenaga banyak lagi. Pergi tolong mak sekejap. Adik tidur nanti ayah tolong abang Ngah buat kerja tu.”
Kena sangat-sangat sabar. Mereka tak tahu apa lagi.
3. Beri panggilan yang baik untuk suami dan isteri. Dalam situasi apa sekali pun, tenang atau pun konflik. Kemesraan panggilan kena kekalkan.
Dan bila isteri panggil, suami jawablah elok-elok. Pandang muka isteri dan senyum. Hah, begitu.
4. Beri isteri duit belanja sekali pun isteri ada pekerjaan dan ada gaji sendiri. Benar zaman ini zaman suami isteri bekerja. Suami ada pendapatan, isteri juga sama. Banyak juga berlaku gaji isteri lebih besar.
Tak kesah hal itu, ambil berkat beri isteri sedikit duit belanja. Sekali pun cuma RM10.
Yang isteri bila dapat duit daripada suami ucapkan terima kasih. Ambil cara elok dan senyum juga. Iya sama, sekali pun cuma RM10. Huhu.
5. Selalu tenangkan hati pasangan ketika resah. Seorang suami pasti faham dan tahu emosi isteri yang sedang resah. Begitu juga bagi seorang isteri.
Rupa kerut dahi yang mencantumkan kening suami itu pasti dia tahu sebab apa. Punyalah hebat isteri ini. Maka, tenangkan. Ajak bersembang dan mungkin berjalan.
RAHSIA RAPATKAN HUBUNGAN SUAMI ISTERI
Kalian, semua ini adalah perkara yang merapatkan lagi kasih sayang antara suami isteri. Dan memang itulah rahsianya. Kalau kalian nak rumah tangga kalian murah rezeki, kena tingkatkan kasih sayang antara tonggak utama rumah tangga itu.
Suami dan isteri kena sangat menzahirkan kasih sayang. Maka dengan itu rezeki akan datang sebanyak-banyaknya.
Namun ingat juga ya, rezeki bukan soal duit semata-mata. Anak yang baik, mertua yang memahami, jiran yang selalu membantu, kereta yang tak pernah rosak, dapat solat jemaah sama-sama, makan yang tak pernah putus dan paling tidak masih dapat melihat suami dan isteri itu hidup bersama juga adalah rezeki.
Sumber kredit: FB: Firdaus Mokhtar
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?