Cara Bersihkan Duit Rasuah, Boleh Kah Beri Untuk Bina Masjid

Share

Soalan

Jika seseorang itu menerima duit dari rasuah, bagaimana caranya untuk dia membersihkan duit rasuah tersebut? Bolehkah duit rasuah itu digunakan untuk kegunaan pembinaan Masjid atau Madrasah?

Jawapan

Merujuk kepada persoalan saudara berkenaan wang rasuah, berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain seperti berikut:

Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

i. Diserah kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;

ii. Diserah kepada golongan fakir miskin atau;

iii. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.

Sumber: muftiselangor.gov.my

IKLAN