Ubah suai meter elektrik untuk kurangkan bil, apa hukumnya? Bil elektrik yang semakin tinggi memang terasa membebankan. Disebabkan itu ramai yang mengambil menjimatkan penggunaan tenaga sebagai langkah penjimatan tapi tak kurang juga ada yang melakukan perkara berbeza.
Sebagai contoh membuat pengubahsuaian meter termasuklah meletakkan magnet dan sebagainya demi mengurangkan bil elektrik. Dalam hal ini apakah hukumnya?
Hukumnya haram
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam Irsyad Hukum Siri Ke-876, Hukum Mengubah Suai Meter Elektrik, perbuatan sebegini dilihat sebagai salah satu helah untuk menipu dan hukumnya adalah haram.
Dalam penjelasannya, mengubah suai meter elektrik adalah perbuatan yang bertentangan dengan syariat Islam. Hal ini kerana ia bertujuan memperoleh sesebuah harta dengan cara yang salah iaitu tanpa keizinan daripada pemilik harta berkenaan malah mencabuli undang-undang setempat.
Secara umumnya, terdapat larangan dalam al-Quran ke atas orang beriman daripada memakan atau mengambil harta orang lain secara batil. Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah :188)
Ads
Di samping itu, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَن غشَّنا فليس منَّا والمكرُ والخداعُ في النَّارِ
Ads
Maksudnya: ‘Sesiapa yang melakukan penipuan maka dia bukanlah termasuk dalam kalangan kami. Balasan yang menimpa ke atas golongan yang melakukan tipu daya dan muslihat adalah ditempatkan dalam neraka.” (Riwayat Ibn Hibban)
Secara kesimpulannya sama ada memasang magnet atau mengubah suai meter elektrik bagi menjimatkan bil elektrik hukumnya adalah haram.
Perkahwinan paksa di zaman moden ini amat jarang terjadi. Namun ia masih berlaku berikutan campur tangan orang tua yang menganggap anak-anak wajib patuh arahan mereka walaupun mereka sudah dewasa dan berdikari.
Tidak mahu menjadi anak derhaka, dilema yang dihadapi sang anak memang cukup besar. Antara hasrat orang tua dan diri sendiri.
Bagaimanapun Islam ada menggariskan hukum dan panduan bagaimana hal ini dapat diuruskan dengan baik. Kita ikuti penjelasan ustaz Dr. Syed Shahridzan berkenaan hal ini.
SOALAN:
Assalamualaikum ustaz. Saya ada kemusykilan tentang perkahwinan. Cerita begini ayah saya berkenan dengan seorang pemuda yang selalu ikut jemaah dakwah.
Jadi ayah saya merancang untuk jodohkan saya dengan dia tapi saya tak setuju, antara sebab kerjayanya dan pendapatannya yang jauh lebih rendah dari saya dan beliau tidak ada pendapatan tetap.
Setahu saya seorang ayah ada kuasa paksa anak perempuannya berkahwin walaupun tanpa kerelaannya.
Soalan saya benarkah situasi saya sekarang ayah saya boleh paksa saya berkahwin dengan lelaki itu walaupun saya tak mahu?
JAWAPAN: Menurut majoriti ulama termasuk mazhab Syafi’ie berpendapat wujudnya pensyariatan wali mujbir dalam perihal nikah kahwin.
Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji mengenai maksud wali mujbir: وولاية الإجبار ثابتة للأب، والجد أبي الأب فقط، ولا ولاية إجبار لغيرهما .وولاية الإجبار إنما تكون في تزويج البنت البكر، صغيرة كانت أو كبيرة، عاقلة أو مجنونة .فلأبيها ـ وكذلك لجدها أبي أبيها ـ أن يزوِّجها بغير إذنها ورضاها.
Maksudnya: “Wali mujbir ialah bapa dan datuk sebelah bapa sahaja dan tiada wali mujbir selain dari kedua-duanya. Wali mujbir hanya mengahwinkan anak dara sama ada kanak-kanak atau dewasa dan berakal atau gila.
Bapa dan datuk sebelah bapa boleh mengahwinkan anak atau cucu perempuannya tanpa izinnya dan kerelaannya.”
Namun begitu bapa tidak memiliki kuasa Ijbar(paksa) anak gadisnya (bukan janda) berkahwin secara mutlak kerana ia tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetap oleh ahli-ahli fiqh.
Ini bermakna si bapa tidak boleh sewenang-wenang memaksa anak gadisnya berkahwin dengan lelaki pilihannya melainkan menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Syarat-syarat sah wali mujbir seperti berikut(rujuk: al-Fiqh al-Manhaji): i. Tidak terdapat permusuhan yang nyata antara wali dan perempuan yang diwalikannya. ii. Bakal suami yang dipilih mestilah sekufu. iii. Bakal suami berkeupayaan menyerahkan mas kahwin dengan segera.
Berdasarkan kenyataan di atas, si bapa menginginkan anak gadisnya berkahwin seorang lelaki yang lebih rendah kedudukan kerjayanya. Dalam bab munakahat(nikah kahwin) ada perbincangan khusus mengenai ‘kafa’ah’ atau ‘kufu’(kedudukan setara) dalam perkahwinan.
Maksud kafa’ah atau kufu’ iaitu kedudukan atau martabat yang sama tinggi antara suami dan isteri. Sebagai contoh wanita yang kaya hendaklah dikahwinkan dengan lelaki yang kaya juga.
Jika seorang perempuan dikahwinkan dengan lelaki miskin maka si wanita berhak memohon agar hakim memfasakhkan pernikahan tersebut. Ia juga hak si wali untuk menuntut fasakh pernikahan anak gadisnya jika berkahwin dengan lelaki tidak sekufu.
Secara ringkas, kafa’ah menurut majoriti ulama terbahagi dalam beberapa bahagian, iaitu: (1) Agama/Akhlak (2) Nasab/keturunan (3) Merdeka (4) Kerjaya (5) Harta/kekayaan.
Manakala mazhab Maliki membahagikan kepada 2, iaitu agama dan keadaan yang selamat dari aib dan kecacatan. (Rujuk: al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh)
Kafa’ah dalam perkahwinan bukanlah untuk membeza-bezakan kedudukan antara manusia, sedangkan semulia-mulia manusia di sisi Allah adalah mereka yang bertakwa, tidak kiralah apa pun keturunan, kerjaya mahupun harta benda.
Tetapi hikmah kafa’ah berperanan untuk menjaga keharmonian rumah tangga agar si isteri benar-benar menghormati dan menyanjungi suaminya.
Jika seorang dikahwinkan dengan lelaki yang tidak setaraf dengannya maka dikhuatiri si isteri tidak menghormati suaminya dan ditakuti lebih teruk yang bakal berlaku seperti menghina, memandang rendah suami, nusyuz dan seumpamanya.
Berbalik kepada soalan di atas, adakah bapa saudari berhak untuk memaksa saudari berkahwin dengan lelaki pilihannya? Jawapan yang boleh saya berikan menurut mazhab Syafi’ie ialah tidak boleh.
Ini kerana si bapa tidak memenuhi syarat yang kedua (rujuk point 2) yang mana lelaki tersebut kedudukannya tidak setara atau tidak sekufu’ dengan saudari dari sudut kerjaya.
Apa yang perlu diingat juga permasalahan kafa’ah bukanlah salah satu syarat sahnya pernikahan. Ia hanya melibatkan kesinambungan sesuatu perkahwinan yang mana jika si wanita atau wali tidak redha dengan lelaki yang tidak sekufu’ maka salah seorang berhak meminta fasakh dari pihak hakim.
Namun jika kedua-duanya redha ia tidak menjadi masalah, malah nikah tetap sah dan diteruskan.
Manakala dari sudut adab dan akhlak seorang anak wajib bersikap baik dan lunak terhadap bapanya dalam apa situasi sekali pun.
Meskipun saudari tidak bersetuju dengan lelaki pilihan bapa, disarankan agar bawa berbincang dengan penuh hikmah sehingga menemui kata sepakat.
Jika tidak berjaya, cuba jalan lain iaitu meminta bantuan orang tengah yang dihormati dan dipercayai oleh bapa saudari agar berperanan memujuk dan menasihati si bapa. Apa yang lebih penting redha Allah bergantung kepada redha ibu dan bapa.
Ramai di kalangan kita mengambil mudah untuk mandi telanjang tanpa memakai kain sebagai alas badan. Alasannya lebih selesa dan tiada orang melihat. Apakah hukumnya mandi telanjang dan melihat aurat sendiri. Berdasarkan Irsyad Al Fatwa #179, Mufi Wilayah memberikan penjelasan berkaitan hukum bertelanjang dan melihat aurat sendiri.
Jawapan :-
بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله
Aurat lelaki bila apabila berada berseorangan adalah qubul dan duburnya. Manakala wanita aurat mereka ketika berseorangan adalah antara pusat dan lutut. Walaupun dalam keadaan berseorangan, seseorang itu tidak boleh bertelanjang atau membuka auratnya tanpa ada sebarang keperluan atau hajat.
Termaktub dalam Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (24/176):
“Seperti mana wajib untuk menutup aurat daripada pandangan manusia, maka wajib juga menutup aurat ke atas seseorang yang bersendirian, yakni ketika berada di tempat yang sunyi daripada pandangan manusia. Para ulama yang berpendapat dengan hukum wajib ini adalah ulama mazhab Hanafi mengikut pendapat yang sahih, ulama Syafiiyyah dan Hanabilah. Manakala berkata ulama mazhab Maliki: “Sunat hukumnya menutup aurat sendiri ketika bersunyian, menutup ini adalah dituntut sebagai sikap malu kepada Allah Taala dan para malaikat-Nya.” Mereka yang berpendapat wajib pula berkata: “Sesungguhnya diwajibkan menutup aurat (walaupun ketika bersendirian) itu berdasarkan arahan untuk menutup aurat itu bersifat mutlak, dan juga kerana Allah Taala itu lebih layak seseorang itu malu terhadap-Nya, seperti hadis Bahz bin Hakim daripada ayahnya, daripada atuknya, berkata: Aku bertanya: “Wahai Utusan Allah! Aurat kami ini siapa yang boleh lihat dan siapa yang perlu kami awasi?” Sabda Rasulullah SAW: “Peliharalah aurat kamu, melainkan daripada isterimu atau hamba sahayamu.” Sahabat itu bertanya lagi: “Jika lelaki ketika bersama dengan lelaki?” Baginda menjawab: “Jika engkau mampu agar tidak dilihat aurat oleh seorang pun, maka hendaklah engkau lakukan.” Sahabat itu bertanya lagi: “Jika seorang lelaki itu bersendirian?” Sabda baginda: “Maka Allah lebih berhak untuk seseorang itu malu terhadap-Nya.” Justeru menutup aurat ketika bersendirian itu adalah dituntut melainkan jika terdapat hajat, seperti mandi, menyejukkan badan dan seumpamanya.
NABI MUSA AS MANDI DALAM KEADAAN TIDAK BERPAKAIAN DI TEMPAT YANG JAUH DARIPADA ORANG RAMAI
Rasulullah SAW bersabda:- Mafhumnya, “Dahulu Bani Israel mandi telanjang, mereka saling melihat satu sama lain. Sementara Nabi Musa alayhissalam mandi seorang diri. Orang-orang Bani Israel berkata : ’Demi Allah, tidak ada yang mencegah Musa mandi bersama kita kecuali kerana dia mengidap penyaki aadar.’ Suatu ketika Nabi Musa pergi mandi, baginda meletakkan pakaiannya di atas batu, lalu batu itu membawa lari pakaiannya. Maka Musa pun mengejarnya (batu itu), seraya berkata : ‘Hai batu, pakaianku!’. Akhirnya, orang-orang Bani Israel pun melihat Musa. Lalu mereka berkata : ‘Demi Allah, ternyata Musa tidak mengidap penyakit apa pun.’ Musa berjaya mengambil pakaiannya, lalu memukul batu tersebut dengan satu pukulan. Abu Hurairah berkata : “Demi Allah, bekas (pukulan) Nabi Musa pada batu itu sama dengan pukulan enam atau tujuh batu”. HR al-Bukhari Ibn al-Batthal mengatakan dalam syarah Sahih al-Bukhari jilid 1 halaman 392:
“ Adapun mandian yang dilakukan Bani Israel dalam keadaan telanjang dengan melihat di antara satu dengan yang lain, maka ia menunjukkan mereka menderhakai Musa pada perkara tersebut, tidak mengikut sunnahnya kerana baginda mandi sekira-kira tiada orang yang melihat kepada baginda dan mencari kawasan yang tiada orang. Padahal wajib mereka mengikutnya pada perbuatan tersebut. Walaupun perbuatan mereka mandi telanjang ketika berseorangan di bawah pengetahuan Musa dan dia memperakuinya. Namun tidak wajib kita mengikutinya kerana dalam syariat kita hendaklah menutup aurat daripada ditonjolkan aurat pada mata-mata manusia. Ia adalah fardhu ke atas kita. Manakala menutupnya (aurat) dalam keadaan berseorangan adalah baik bukan wajib”.
NABI AYUB AS MANDI TANPA SEURAT BENANG
Sabda Nabi SAW: Mafhumnya, “Sewaktu Nabi Ayyub alayhissalam mandi dalam keadaan telanjang, tiba-tiba jatuhlah di depannya seekor belalang emas. Ayyub pun segera hendak mengambil kainnya, maka baginda pun dipanggil oleh Tuhannya, “Wahai Ayyub, bukankah engkau telah cukup kaya hingga tidak memerlukan lagi barang (belalang emas) yang kau lihat itu?” Ujur Ayyab, “Benar wahai Tuhanku, tetapi aku tidak boleh mengabaikan keberkatan pemberianMu.” HR al-Bukhari
Ibn al-Muhallab berkata : “ Dalam hadith Musa dan Ayub adalah dalil keharusan bertelanjang ketika berseorangan untuk tujuan mandi dan sebagainya , sekira-kira tenteram daripada mata-mata manusia kerana Ayub dan Musa adalah antara manusia yang diperintahkan kita agar mengikut petunjuk mereka” lihat Syarah Sahih al-Bukhari karangan ibn al-Batthal. Dalil keharusan di atas adalah berdasarkan syarak umat sebelum kita (بشرع من قبلنا).
Ibn Hajar mengatakan : “Kesimpulannya, hukum sesiapa yang mandi tanpa sebenang urat (telanjang) sekiranya dia berada di tempat yang tersembunyi dan tidak dilihat oleh sesiapapun yang diharamkan ke atasnya melihat aurat orang tersebut, maka halal baginya untuk melakukannya. Tetapi yang afdhal adalah menutup auratnya kerana segan atau malu dengan Allah taala. Jika dia mandi sekira-kira dapat dilihat oleh seseorang maka haram orang tersebut melihat auratnya dan wajib ke atasnya menutup auratnya daripada orang tersebut secara ijmak sebagaimana diriwayatkan”. Lihat dalam Mirqaat al-Mafatih Syarah li Misykaat al-Masabiih, jilid 2 halaman 368. Imam al-Nawawi dalm kitabnya al-Majmu`, jilid 2 halaman 197:
“ Inilah mazhab kita (harus mandi telanjang). Dan Qadhi ^Iyadh menukilkan daripada mejoriti ulama tentang keharusan mandi dalam keadaan telanjang ketika berseorangan”. Antara adab yang perlu dijaga oleh seorang yang ingin mandi tanpa sebenang urat pun adalah sebagaimana disarankan oleh sebahagian fuqaha: “ Sesiapa yang mandi tanpa sebarang pakaian (telanjang) disunatkan ketika menanggalkan pakaian mengucapkan “ Dengan nama Allah, tiada yang berhak disembah melainkannya” kerana ia mampu menutup seseorang daripada terkena panahan mata-mata jin”. Perkara ini disebut oleh al-Dimyathi dalam kitabnya I`anah al-Talibin, jilid 1 halaman 97.
Kesimpulan:- Berdasarkan keterengan di atas jelaslah bahawa membuka aurat dalam keadaan berseorangan adalah :
والله أعلم وأحكم
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Ramai beranggapan media sosial hari ini adalah medium utama untuk berjaya. Ini kerana melalui perkongsian gambar dan kisah-kisah menarik, kita mampu mengumpul pengikut yang ramai sekaligus diiktiraf sebagai “orang dikenali” dan mampu buat duit melalui marketing dilakukan.
Namun di sebalik keterujaan berkongsi di media sosial, ada sesuatu harus kita ingat agar tidak menjadi PELOPOR KEPADA DOSA melalui apa yang kita kongsikan.
Hal ini disebut sebagai dosa jariyah.
Apakah dosa jariyah? Dosa jariyah merupakan segala bentuk perbuatan yang melanggar hukum, aturan, dan syariat yang telah Allah Subhanahu wa ta’ala dan Rasul-Nya tetapkan untuk seluruh manusia dengan kecenderungan untuk tidak melakukannya. Dialah orang yang mempelopori, mencetuskan kepada perbuatan maksiat atau dosa.
“Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang mati dan Kami menuliskan apa yang telah mereka kerjakan dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan. Dan segala sesuatu Kami kumpulkan dalam kitab Induk yang nyata (Lauh Mahfuzh).” (QS Yasin: 12)
Dosa jariyah ini cukup ditakuti manusia kerana ia akan terus mengalir, sekalipun orang tersebut sudah meninggal dunia. Hal itu lantaran dosa jariyah akan tetap ditulis sebagai catatan dosa kepada orang tersebut sekalipun dia tidak lagi mengerjakan perbuatan maksiatnya.
Kerana itulah, kita diingatkan betapa bahayanya dosa jariyah ini. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassallam mengingatkan umatnya agar berhati-hati dengan apa yang dikongsi atau dicetuskan dan jangan sampai terjebak melakukan dosa yang satu ini.
Di antara sumber dosa jariyah yang dinyatakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, adalah perbuatan mencetuskan maksiat kepada masyarakat.
Di antara dosa-dosa jariyah tersebut adalah menyebarkan maklumat yang menyesatkan, menghairahkan yang menyesatkan kepada masyarakat.
Mempelopori perbuatan maksiat
Memelopori dalam erti katanya, menjadi orang pertama melakukan perbuatan maksiat di hadapan orang lain dan kemudian hal itu diikuti oleh ramai orang. Meskipun dirinya tidak mengajak orang lain mengikut perbuatannya itu.
Dalam hadis dari Jarir bin Abdillah radhiyallahu anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassallam bersabda:
“Siapa yang mempelopori satu kebiasaan yang buruk dalam Islam, maka dia mendapatkan dosa keburukan itu, dan dosa setiap orang yang melakukan keburukan itu kerana keburukan dilakukannya, tanpa dikurangi sedikitpun dosa mereka.” (HR Muslim)
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?