Jika ada antara kita yang bujang, tidak bertemu jodoh dan tidak berkahwin semasa hayat di dunia, InsyaAllah di syurga nanti, Allah akan anugerahkan kita pasangan masing-masing.
Semasa itu, tidak akan ada perasaan tidak mahu berkahwin. Sesungguhnya syurga adalah tempat paling indah yang tak dapat digambarkan kehebatannya.
Ingin bertemu pasangan anda yang tampan atau cantik kelak? Kita baca ulasan ustaz Azhar Idrus berkenaan hal ini.
SOALAN:
Berkenaan kenyataan ustaz di dalam syurga tidak ada hidup membujang saya mohon ustaz sebutkan dalilnya untuk menambahkan pengetahuan saya.
Terima kasih.
JAWAPAN:
Di dalam syurga disediakan segala perkara yang disuka oleh hati manusia dan dicita-citakan di dalam hidup dunia seperti tempat tinggal yang mewah, kenderaan yang bagus, makanan yang lazat dan termasuk juga pasangan untuk bergembira.
IKLAN
Maka dari kerana itulah setiap ahli syurga akan mempunyai pasangan iaitu bersuami isteri. Walaupun ketika di dunia dia tidak berkahwin sehingga meninggal dunia.
Ertinya: “Dan di dalam syurga itu segala yang diinginkan oleh nafsu dan perkara yang cantik dipandang segala mata dan kamu sekelian di dalam syurga itu nanti berkekalan.”(Az-Zukhruf : 71)
IKLAN
Di antara perkara yang sangat diinginkan oleh nafsu itu ialah mempunyai pasangan maka siapa yang mati dalam keadaan bujang akan mempunyai suami atau isteri di dalam syurga.
Ulama telah sepakat atas sesungguhnya di dalam syurga nanti tidak akan ada orang yang bujang tidak mempunyai pasangan sekalipun mungkin di dalam dunia ada orang yang tidak mahu berkahwin namun di dalam syurga tidak akan ada lagi perasaan tidak ingin berkahwin tersebut.
Maka jika di dunia lelaki itu mati dalam keadaan bujang nanti dia akan beristeri di dalam syurga dan jika perempuan mati dalam keadaan bujang nanti dia akan bersuami di dalam syurga.
Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah SAW bersabda :
إِنَّ أَوَّلَ زُمْرَةٍ تَدْخُلُ الْجَنَّةَ عَلَى صُورَةِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ وَالَّتِى تَلِيهَا عَلَى أَضْوَإِ كَوْكَبٍ دُرِّىٍّ فِى السَّمَاءِ لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ زَوْجَتَانِ اثْنَتَانِ يُرَى مُخُّ سُوقِهِمَا مِنْ وَرَاءِ اللَّحْمِ وَمَا فِى الْجَنَّةِ أَعْزَبُ
Ertinya : “Sungguhnya orang yang awal masuk ke dalam syurga ialah atas rupa bulan purnama dan yang mengiringinya pula atas rupa seperti bintang yang sangat terang sinarnya di langit. Bagi setiap ahli syurga dari mereka itu dua isteri yang mana dapat dilihat dari belakang daging akan sumsum dua betisnya dan tiadalah di dalam syurga itu orang yang bujang.”
Hadis di atas telah diriwayatkan oleh Imam Muslim dan ada juga dikeluarkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnad dan Ibnu Hibban di dalam Sahih Ibnu Hibban dan At-Tabarani di dalam Mu’jam Al-Awsath.
Siapa sedang mencari calon suami? Apa kriteria anda? Ramai kata cinta itu buta; tiada kriteria khusus untuk dijadikan suami atau isteri, janji suka, terus kata Ya! Namun dalam Islam, tidak ada istilah cinta buta kerana ada banyak kriteria yang telah digariskan sebagai panduan sebelum wanita terima lamaran dan sebaliknya.
Khas untuk topik kali ini, kita cuba rungkai apakah kriteria calon suami yang ideal buat wanita. Tak adalah pilih sekadar sedap mata memandang atau menggunakan tagline ‘Tak Handsome Tak Apa Janji Kaya’ semata-mata.
Ramai lelaki yang baik di dunia ini, namun perlu ada kriteria tertentu yang diredhai Allah. Sebagai wanita sudah tentu kita mahukan suami yang mampu menjadi ketua keluarga bagi membimbing kita dan anak-anak ke syurga.
Kita akan bersama dengannya seumur hidup bukan sebulan dua. Dengan kata lain, kriteria bakal suami perlu diperhalusi sehabis baik supaya tak menyesal di kemudian hari. Kita lihat kriteria yang dianjurkan Islam.
Kriteria paling utama dalam list ialah dia beragama Islam. Sudah jelas bahawa sebagai Muslimah, wajib mencari atau menerima calon suami beragama Islam. Jika bertemu jodoh dengan bukan Islam, maka berikan dia masa mendalami ilmu agama dan memeluk Islam sebelum berkahwin.
Sebagaimana firman Allah: “…Janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik (dengan wanita-wanita mu’min) sebelum mereka beriman. Sesungguhnya budak yang mu’min lebih baik daripada orang musyrik walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke surga dan ampunan dengan izin-Nya…” (Q.S. Al-Baqarah: 221).
Ini jelas menunjukkan bahawa, lelaki muslim itu lebih baik daripada lelaki musyrik walaupun anda amat menyukai dan menyayanginya.
Taat Ajaran Agama (Soleh)
Si dia perlulah taat dengan ajaran atau perintah agama. Sebagaimana dijelaskan dalam salah satu hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda,
“Bila datang seorang laki-laki yang kamu redha agama dan akhlaknya, hendaklah kamu nikahkan dia, karena kalau engkau tidak mau menikahkannya, nescaya akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang meluas.” (H.R. Tirmidzi dan Ahmad).
Kesimpulannya, seorang wanita elok dinikahkan dengan lelaki soleh dan baik akhlaknya. Tentunya yang dimaksud taat beragama di sini ialah menjalankan perintah dan menjauhi larangan Allah SWT dan RasulNya, di samping baik perilakunya.
Tidak pernah meninggalkan solat fardhu dan rajin tunaikan solat sunat, kriteria yang perlu ada dalam list
Takut Maksiat
Carilah lelaki yang takut kepada kemaksiatan. Sebagai ketua keluarga, suami bertanggung jawab menjauhkan keluarganya dari segala macam dosa dan hal-hal yang menghapus amal ibadah sehingga terhindar dari seksa api neraka.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam Al-Qur’an: “Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu dari seksa api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah atas perintah Allah kepada mereka dan selalu taat pada apa yang diperintahkan.” (Q.S. At-Tahriim: 6)
Miliki Semangat Jihad
Maksud jihad di sini bukanlah suka pergi berperang, tetapi lebih kepada bagaimana dia akan mempertahankan agama Islam dan juga keluarganya. Jadi, pilihlah suami yang sekiranya sanggup melakukan itu.
Mampu membimbing anda (wanita) agar terus teguh berada di jalan Islam serta mampu terus dengan semangat menjalani perintah Allah SWT dan RasulNya serta menjauhi laranganNya.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam Al-Qur’an: “Orang-orang yang beriman dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terkait dengan apa yang dikerjakannya.” (Q.S. Ath-Thuur: 21)
Dilahirkan Dari Keluarga Yang Baik
Carilah calon suami dari keluarga dan nasab yang baik. Baik yang dimaksudkan ialah dilihat dari nilai agama dan akhlaknya.
Lelaki yang baik biasanya berasal dari keluarga yang baik juga. Bahkan tidak hanya itu, tetapi juga berasal dari lingkungan masyarakat yang baik, kerana keluarga yang baik biasanya bergaul dan berkumpul dengan lingkungan masyarakat yang baik pula.
Taat Kepada Orang Tuanya
Anak yang baik, taat kepada orang tua, pastinya juga taat kepada ajaran agama.
Sebagaimana dijelaskan dalam hadis Nabi Muhammad SAW: “Dari Ibnu Umar RA, ujarnya: “Rasulullah SAW bersabda: “Berbaktilah kepada orang tua kalian, nescaya kelak anak-anak kalian berbakti kepada kalian; dan periharalah kehormatan (isteri-isteri orang), nescaya kehormatan isteri-isteri kalian terpelihara.” (H.R. Thabarani, adapun ini adalah hadis Hasan).
Anak yang berbakti kepada orang tua memperoleh jaminan untuk mendapatkan keselamatan kelak berupa syurga.
Jadi, pilihlah suami yang berbakti kepada orang tuanya kerana dia sudah pasti mendapatkan keselamatan kelak berupa syurga.
Sedemikian sehingga nanti anda (wanita) juga akan dibimbingnya agar mendapatkan keselamatan berupa syurga pula, Insya Allah.
Bekerja
Hal ini sangat penting kerana ia berkait rapat dengan menampung kehidupan berkeluarga. Setelah bernikah, pasangan tidak wajar bergantung harap kepada orang tua. Dia seharusnya mampu berdikari. Berdikari agar boleh memberi nafkah kepada keluarga.
Perkara ini ada disebut dalam hadis: “Hai golongan pemuda, barangsiapa diantara kamu ada yang mampu (untuk membelanja) perkahwin, hendaklah dia berkahwin, karena kahwin itu akan lebih menjaga pandangan dan akan lebih memelihara kemaluan; dan barangsiapa belum mampu berkahwin, hendaklah ia berpuasa, kerana puasa itu ibarat mengawal nafsu.” (H.R. Ahmad, Bukhari dan Muslim).
Kesimpulannya, lelaki yang sesuai sebagai calon suami ialah yang mampu berkahwin. Dalam erti kata lain, dia mampu mencari nafkah dan berdikari.
Pengetahuan Agama Setara Atau Lebih Tinggi Daripada Isteri
Cari calon suami yang ada pengetahuan agama setara atau lebih baik daripada isteri. Pastikan bakal suami memiliki pemahaman agama lebih baik daripada isteri.
Hal ini disebabkan rumah tangga yang baik harus dibangunkan dengan asas agama yang kuat.
Suami merupakan imam dalam keluarga yang sudah jelas tugasnya untuk membimbing keluarganya. Hal ini tidak dapat ditawar-tawar lagi, suami adalah imam dalam keluarga.
Ada Sifat Pemimpin
Calon suami haruslah ada jiwa pemimpin. Sebagaimana sudah digariskan oleh Allah SWT, bahawa seorang lelaki adalah pemimpin di dunia ini.
Tentunya tidak hanya di dunia saja, tetapi sekurang-kurangnya dapat memimpin keluarga sendiri, mencari nafkah dan melindungi ahli keluarga. Dia juga mampu membuat keputusan tepat untuk kesejahteraan keluarganya.
Bertanggungjawab
Si dia ada sifat tanggungjawab tinggi. Sebagai contoh, rajin berusaha mencari nafkah keluarga bukannya nanti mengharapkan gaji isteri untuk menanggung segala perbelanjaan rumahtangga.
Walaupun isteri bekerja dan bergaji besar itu bukan alasan untuk dia berpeluk tubuh.
Adil
Selain berani membuat keputusan. Calon suami hendaklah seorang yang berlaku adil atas setiap keputusan yang diambil.
Suami yang adil tidak akan menzalimi isteri dan anak-anaknya demi keharmonian keluarga.
Berkeperibadian Lembut
Lembut bukan bererti lembik ya. Bakal suami yang ada kriteria ini adalah seorang yang berjiwa lembut.
Tahu bagaimana hendak memujuk hati isteri, pandai mengawal emosi sendiri sehingga tidak mudah marah, jauh sekali bersikap kasar kepada isteri dan anak-anak.
Dermawan
Calon suami dermawan akan sentiasa memberikan kehidupan berkeluarga yang berkualiti. Segala keperluan isteri dan anak-anak dipenuhi.
Suami yang tidak berkira dalam soal wang, masa dan tenaga kerana lelaki seperti ini sangat mengutamakan kebajikan isteri dan anak-anaknya.
Tidak perlu cari calon yang kaya raya kerana kekayaan bukan ukuran untuk menjadi pemurah.
Berketurunan dan Subur
Rasulullah sangat bangga dengan umatnya yang ramai di akhirat kelak. Oleh itu Islam menganjurkan agar wanita mencari calon suami yang bukan sahaja sihat syahwatnya, tetapi juga sukakan zuriat yang ramai (menambah keturunan) baik.
Kashoorga: Memang bukan kerja mudah nak temui calon lelaki yang mempunyai semua kriteria dinyatakan, namun seboleh mungkin cari yang memiliki kebanyakan ciri yang dinyatakan demi kesejahteraan diri dan rumahtangga yang dibina.
Salah satu menu makanan yang sangat menambat selera adalah ikan percik. Kalau boleh setiap hari mahu menyediakan hidangan ini untuk berbuka puasa.
Malah hidangan percik ini juga sangat popular untuk mereka yang tinggal di Pantai Timur dan wajib ada setiap kali berbuka.
Perkongsian dalam Facebook Afy Al Habibi memberitahu cara membuat ikan percik proses bermula dari perapan hinggalah kuahnya.
Cikgu pilih untuk berkongsi semula resepi ikan percik warisan keluarga cikgu. Cikgu rasa rugi pula kalau tak tunjuk langkah masak satu persatu. Sebab cikgu tengok bulan puasa kali ini makin ramai yang cari balik resepi cikgu sayang ni.
Cikgu buat ikan percik tu betul-betul duduk bersila berguru depan mak. Resepi yang sememangnya turun temurun dari emak. Tak ada rahsia yang disembunyikan. Cikgu belajar masa balik kampung dua tahun lepas. Haa. Dari proses perap ikan, buat kuah sehinggalah siap sepenuhnya.
Kalau nak buat ayam percik ada cara berbeza. Nanti cikgu kongsi lagi lain kali.
Yang pasti kawan yang sudah cuba resepi ini mereka suka sangat. Cikgu lebih suka percik warna merah dari putih. Bezanya satu sahaja. Boleh baca dekat gambar di bawah.
Musim bulan puasa bazar di Kelantan memang tersohorlah menu percik ni. Jadi puasa dalam tempoh pkp sekarang bolehlah kawan cikgu cuba buat sendiri.
Ikut sahaja semua langkah cikgu bagi.
Mesti menjadi dengan sedapnya. Boleh follow cikgu untuk resepi lengkap yang lain.
Terima kasih emak kongsi resepi paling enak!
Semoga bermanfaat.
Ini Cara Membuatnya:
Ikan Kembung 5 ekor ( basuh bersih dan kelar ikan)
– 2 batang serai – 5 ulas bawang putih – 1 inci halia – 1 1/2 inci kunyit hidup ( Semua bahan di hiris nipis)
Masukkan dalam tabung pengisar. Tambahkan 3/4 sudu besar garam dan 1 sudu kecil serbuk perasa Hilal atau jenama lain. Kisar hingga lumat.
Lumur rata bahan kisar pada ikan. Perap selama 20 minit.
Bahan untuk kuah percik
– 5 biji bawang merah saiz syiling 20 sen
– 2 ulas bawang putih
– 1/2 hiris nipis halia
– Secubit belacan
– 1/2 sudu besar serbuk ketumbar (disangai dan dikisar halus)
Kisar semua bahan hingga lumat.
Masukkan bahan kisar dalam periuk.
Tambahkan sekali 6 senduk santan segera.
( Beli dekat pasar. Pekat asli daripada buah kelapa)
Tambahkan 1 senduk air kosong.
Masukkan 1 1/2 sudu besar cili kisar ( kisar sendiri)
Guna cili kering saiz paling besar. Tak pedas. Warna pun merah cantik.
Nak buat warna percik putih maka tak perlulah letak cili kisar. Itu bezanya. Pada warna sahaja.
Letak periuk atas dapur. Buka api perlahan. Perahkan sehiris limau nipis.
Masukkan 2 1/2 sudu besar gula, 1/2 sudu besar garam dan secubit serbuk perasa Hilal atau jenama lain
* kuantiti rasa terpulang kepada citarasa sendiri/ masukkan sedikit demi sedikit untuk lebih selamat. Kacau kuah dengan api sederhana besar.
Tutup api setelah kuah berbuih mendidih. Siap untuk kuah percik lazat tak terkata.
Bakar ikan di atas bara api. Jangan bakar hingga kering garing supaya isinya kekal juicy.
Sendukkan kuah percik tadi dan ratakan atas badan ikan. Salutkan dua kali untuk hasil yang cantik.
Masa ni memang tak tahan bau kuah yang disalai sekaili atas bara api. Nikmat yang tak dapat diucapkan. Haa
Pelan Imunisasi COVID–19 Kebangsaan yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi menggalakkan rakyat mendapatkan suntikan vaksin bagi membendung penularan wabak COVID-19 semakin rancak mendapat sambutan dari orang ramai. Ini terbukti apabila vaksin jenis AstraZeneca yang dilancarkan baru ini mendapat sambutan di mana sejuta vaksin habis ditempah dalam tempoh 1 jam.
Namun timbul isu bila masa ditetapkan tepat untuk menerima suntikan dibuat pada waktu solat khususnya waktu agak pendek seperti Maghrib. Penolong Ketua Mufti di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahrizdan Ben Agil mengulas isu ini dan budaya solat di tepi jalan yang banyak dibuat di negara Arab dan Eropah. Baca perkongsian darinya dipetik dari fbnya.
1) Ada kalangan rakyat Malaysia yang dapat jadual penggiliran vaksin jam 7.30 malam. Masa ini diketahui umum adalah waktu solat Maghrib. Jadi ada yang bertanya boleh atau tidak solat jamak ta’khir sebab takut tak sempat untuk solat maghrib.
2) Ada hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: وجعلت لي الأرض مسجدا وطهورا, yang bermaksud, “…dan bumi ini dijadikan untukku tempat sujud dan alat bersuci(tayammum)”.
3) Para ulama menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan antara kelebihan² yang Allah kurniakan kepada Rasulullah ﷺ dan umatnya, iaitu mereka boleh solat di mana² sahaja di atas muka bumi Allah, asalkan tempat itu suci dari najis. Sedangkan umat² terdahulu tidak boleh mendirikan solat di tempat sebarangan.
4) Jawapan saya, tiada keperluan solat jamak di sini kerana alasan belum cukup kukuh untuk membenarkannya. Para ulama tidak bermudah² meletakkan syarat solat jamak bukan dalam situasi musafir, apatah lagi untuk mereka yang masih berkesempatan untuk mendirikan solat pada waktunya.
5) Pilihan di tangan kita semua, kita boleh solat di mana² hanya tinggal bawa sejadah atau seumpamanya. Kalau tanpa sejadah sekali pun sebenarnya tiada masalah asalkan tempat itu suci dari najis. Ini kerana hukum asal sesuatu tempat itu adalah suci melainkan terdapat bukti kukuh bahawa ia kawasan bernajis.
6) Banyak sekali hadis yang menunjukkan Nabi ﷺ solat di atas tanah tanpa lapik dan ada sahabat RA ternampak Baginda ﷺ mengusap dahinya untuk buang pasir yang melekat. Bahkan ada sebilangan sahabat terlihat tanah basah melekat di dahi Baginda ﷺ yang mulia kerana sujud di atas tanah yang basah ketika hujan turun di Madinah.
7) Oleh itu, solat tidak semestinya didirikan di musolla, surau dan masjid. Ada banyak hadis yang membuktikan Rasulullah ﷺ solat di merata tempat selain dari masjid dan musolla. Oleh itu, tidak sepatutnya alasan “tiada surau” menjadi penghalang untuk kita untuk melaksanakan tanggungjawab kita terhadap Allah.
8)) Masa atau waktu juga tidak boleh dijadikan alasan. Allah ta’ala telah menetapkan setiap solat fardu itu yang telah ditetapkan waktunya. Jika tidak dapat dilaksanakan awal, boleh dilaksanakan waktu pertengahan dan penghujungnya asalkan tidak keluar dari waktu solat.
9) Ada hadis yang diriwayat oleh Imam Muslim bahawa Rasulullah ﷺ pernah mendirikan solat di penghujung waktu solat (waktu solat hampir tamat) untuk mengajar seorang sahabat tentang waktu solat. Fuqaha menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan fleksibiliti mendirikan solat pada waktunya yang ditetapkan.
10) Apa-apa pun lihat pada keadaan dan kesesuaian, bahkan anda boleh membuat agakan waktu yang untuk mendirikan solat. Mungkin dijangkakan selepas tamat proses vaksinasi anda masih ada waktu untuk mengerjakan solat Maghrib. Ada sahabat saya cerita bahawa dia dirikan solat di tepi kerusi menunggu giliran pengambilan vaksin. Dia kata tak ada masalah, ok je, sempat je nak solat di situ dan tiada siapa yang kacau.
11) Perlu diingat, Rasulullah ﷺ memberi contoh yang wajar kita ikuti dari segala sudut kehidupan, apatah lagi urusan ibadah. Nabi ﷺ amat menitik beratkan solat didirikan pada waktunya. Baginda ﷺ tidak menjamakkan solat melainkan dalam situasi tertentu sahaja. Oleh itu bagi saya, tidak wajar kita bermudah² dalam ibadah.
12) Saya faham, budaya solat tepi jalan bukan satu kebiasaan orang² kita di tanahair. Mungkin ramai yang segan. Sampai bila kita nak segan, masa nilah kita nak membiasakan budaya yang baik dan menunjukkan Islam agama yang mudah dan tidak membebankan penganutnya untuk beribadah. Ikut pengalaman saya, budaya solat di jalanan satu perkara yang biasa di negara² Arab dan negara² Eropah. In Syaa Allah boleh amalkan dan tak perlu rasa segan. Masa inilah ia perlu dibudayakan.