Sambut tahun baru mungkin sudah menjadi acara tahunan bagi sesetengah daripada kita. Malah untuk sambutan tahun baru 2025 ada yang sudah membuat perancangan lokasi untuk meraikannya.
Namun dari segi agama adakah perkara ini dibenarkan. Tambahan pula bila melihat acara sambutan ini turut ada pergaulan bebas dan hiburan yang melalaikan.
Sambut tahun baru mengikut pendapat ulama
Ulama telah membahaskan secara lengkap mengenai hukum sambutan tahun baru ini. Terdapat dua pendapat mengenai sambutan ini, iaitu:
1. Haram Menyambutnya
Sambutan tahun baru kebiasaannya akan disekalikan dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh golongan bukan Islam.
Alasannya untuk berseronok dan meraikan seperti konsert nyanyian, pakaian yang mendedahkan aurat dan hidangan yang haram seperti arak.
Oleh itu, sebahagian ulama seperti Al-Imam Al-Sani’ani RA mengharamkan kerana sambutan tahun baru diibaratkan seperti meniru sambutan golongan bukan Islam.
Ads
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah tergolong darinya.”
Malah, dalam Islam, sambutan tahun baru yang sebenarnya ialah pada awal Muharram dan Baginda SAW dilihat berdoa pada waktu ini bagi meraikan tahun baru umat Islam.
Tiada dalil dan riwayat yang sahih berkenaan sambutan tahun baru selain daripada tahun baru Islam.
Sebahagian ulama lain seperti daripada Mazhab Syafi’e menghukumkan harus dalam sambutannya dan mengucapkan ‘selamat tahun baru’ sama ada kepada orang Islam mahupun bukan Islam.
Jika terdapat majlis sambutan tahun baru, dibenarkan juga menghadirinya selagi majlis tersebut tidak bercampur dengan perkara yang haram seperti hiburan yang melampau, hidangan yang haram dan pembaziran.
Mereka berpendapat demikian kerana penerimaan terhadap kalendar moden (Masihi) merupakan penggunaan yang digunakan pada masa kini secara meluas dalam kehidupan seharian.
Ads
Tidak seperti sejarah terdahulu yang mengaitkan kalendar Masihi ini dengan agama. Kini, masyarakat menggunakannya sebagai adat semata-mata dan tiada kena-mengena dengan agama lain.
Kesimpulan
Oleh itu selagi perkara dan sambutan itu tidak mendorong atau bercampur dengan perkara yang haram dan melanggar syara’, maka tiada masalah untuk menyambut dan mengucapkan tahun baru.
Tidak menjadi kesalahan untuk menghadiri undangan sambutan tahun baru, tetapi perlu diingat akan garis panduan yang telah ditetapkan Islam seperti tidak menyambut di rumah agama lain (gereja atau kuil), tiada unsur maksiat dan pembaziran.
Adalah lebih baik untuk menyambut tahun baru dengan muhasabah kembali diri dan apa yang telah berlaku sepanjang tahun sekali gus memperbaharui azam tahun baru dengan berusaha ke arah yang lebih baik.
Hari ini hari ke tiga umat Islam meraikan Syawal dan ketika ini ada yang sudah memulakan puasa enam di bulan Syawal. Dalam menjalani ibadah ini kerap kali ditanya bolehkah digabungkan niat puasa enam digabungkan sekali dengan puasa qada. Semoga penjelasan dari Mufti Wilayah Persekutuan ini menjawab persoalan ramai.
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah:183)
Berbuka Puasa Di Bulan Ramadhan Tanpa Ada Sebarang Keuzuran
Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadhakannya serta merta selepas tamatnya Ramadhan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qadha.
Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadhan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qadha kerana qada waktu puasa qadha adalah muwassa` (luas).
Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut: “ (Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat syawwal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqada Ramadhan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.”(Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, hlm. 128)
Isu Menggabungkan Dua Ibadat Dengan Satu Niat
Masalah ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadat dengan menggunakan satu niat) hukumnya :
Persoalannya, adakah berpuasa dengan niat qadha Bulan Ramadhan dan niat puasa 6 pada bulan syawal yang digabungkan sah keduanya? Atau salah satu sahaja sah? Jika dibuat secara ithlaq (Umum) berhasil keduanya atau salah satu sahaja?
Gabung Niat Puasa Qadha Ramadhan Dan Puasa 6Syawal
Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qadha Ramadhan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala: “Jika seseorang berpuasa pada Bulan Syawal untuk qadha bagi puasa Ramadhan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya. Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal…tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja.
Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadhan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadhan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadhan dan qadha di bulan Syawal, adakah berhasil qadha puasa Ramadhan dan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal, ada ke tidak dalam masalah ini sebarang nukilan?
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menjawab: “Bahawa berhasil puasa qadha Ramadhannya walaupun dia gabung niat puasa qadha Ramadhannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).”(Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)
Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.”(Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)
Sebahagian ulama menyebut sah seseorang itu melakukan qadha puasa bulan Ramadhan bersama puasa sunat enam Syawal dan terhasil pahala puasa sunat yang dilakukan di dalam bulan Syawal tersebut. Hal ini kerana diqiyaskan dengan seseorang yang memasuki masjid kemudian solat 2 rakaat fardu atau solat sunat rawatib (mengiringi solat fardu) maka terhasil sekali baginya pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid kerana ia melakukan solat berkenaan sebelum ia duduk.
Imam Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullahu Taala berkata: “Terhasil pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid dengan melakukan solat fardhu atau sunat yang lainnya, sama ada diniatkan atau tidak solat sunat Tahiyyatul Masjid tersebut. Hal ini berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim : “Apabila masuk salah seorang dari kamu ke dalam masjid hendaklah ia solat dua rakaat sebelum ia duduk” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain.(Rujuk Kitab Hasyiah al-Bujairimi 1/280)
Begitu juga nas yang hampir serupa dikatakan Syeikh Islam Zakaria Al-Ansori Rahimahullahu Taala: Terhasilnya solat sunat dua rakaat atau lebih (yang dimaksudkan dengan adalah hasilnya pahala solat walaupun bersama dengannya solat fardhu atau solat sunat yang lain) sama ada diniatkan sekali ataupun tidak. Ia berdasarkan hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim Rahimahumahullahu Taala “ Apabila masuk seseorang daripada kamu ke dalam masjid maka janganlah ia duduk sehingga ia solat dua rakaat”. ” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain (Rujuk Kitab Fathul Wahab Syarah Manhajul Tullab 1/67)
Imam ar-Ramli Rahimahullahu Taala telah berkata: “Dan sekiranya berpuasa pada bulan syawal, puasa qadha, nazar atau selain daripada keduanya atau seumpama dengannya, seperti berpuasa pada hari A^syura maka telah dapat pahala puasa sunat itu baginya, seperti yang telah difatwakan oleh bapanya (bapa kepada Imam ar-Ramli), begitu juga oleh al-Barizi, al-Asfahuni, A—Nasyizi, al-Faqih Ali Soleh al-Hadrami dan selainnya tetapi ia tidaklah mendapat pahala yang sempurna ke atas yang dituntut.” Begitulah sama hukumnya puasa Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawal. (Rujuk kitab Nihayah al-Muhtaaj, 3/208-209)
Imam as-Suyuti Rahimahullahu Taala berkata : “Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah, maka al-Barizi telah memberi fatwa bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa) maka masalah tersebut mengikut masalah solat tahiyyah Masjid. ”(Rujuk kitab Ashbah Wan Nazoir, hlm. 61)
Dalam Syarah al-Tanbih karangan al-Hafiz al-Suyuti Rahimahullahu Taala, daripada fatawa al-Baarizi Rahimahullahu Taala, beliau mengatakan : Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah terhasih keduanya (sah keduanya), begitu juga jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa). Tetapi al-Isnawi menyebut perkara ini tertolak dan qiyas yang dilakukan tidak sah dalam menggambarkan perkongsian satu daripada keduanya. Disisinya apa yang terhasil adalah yang fardhu sahaja dalam gambaran ithlaq”
Walupun begitu, perlulah diambil perhatian, maksud terhasilnya pahala puasa sunat enam Syawal apabila dimasukkan sekali dengan puasa fardhu adalah pahala semata-mata pahala sunat bukannya pahala yang sempurna
Kesimpulan
Kesimpulannya, mengikut pendapat yang muktamad, afdhal seseorang itu menjadikan puasa qadha berasingan dengan puasa 6 pada bulan syawal. Namun begitu, menyatukan puasa qadha dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif. Namun begitu, menyegerakan qadha puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Semoga kita termasuk bersama-sama dengan orang bertaqwa.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Setiap kali ke zoo, kita pasti akan tertarik melihat burung kecil ini. Dengan kakinya agak pendek dan jalannya menegak, ramai yang sukakan kecomelan penguin ini. Tapi tahukah bahawa dagingnya boleh dimakan oleh umat Islam.
Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Seri Zulkifli Mohamed Al-Bakri dalam perkongsian ilmu di Maktabah Al Bakrinya berkongsi bahawa daging binatang ini boleh dimakan kerana ia termasuk dalam kategori burung air.
Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum memakan daging penguin? Terima kasih.
Jawapan:-
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Maksudnya:“Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”[1]
Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan haiwan-haiwan yang telah dihalalkan untuk mereka mengambilnya (yakni makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, jual beli yang diharamkan atau perkara-perkara yang seumpamanya. Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk (yakni kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus.[2]
Definisi penguin dan habitatnya
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, penguin ialah sejenis burung laut di Antartika yang berwarna hitam putih, berkaki pendek, menggunakan sayapnya untuk berenang, dan berjalan tegak lurus di darat.[3] Penguin membentuk order penguin, Sphenisciformes, dan famili Spheniscidae. Ia termasuk dalam sekumpulan burung akuatik yang tidak dapat terbang.[4]
Penguin ialah burung luar biasa yang berdiri tegak di atas kakinya yang pendek dan berjalan tergedek-gedek dengan gaya yang kekok dan menggelikan hati. Penguin tidak boleh terbang tetapi pandai berenang. Penguin tinggal di separuh bahagian di dunia selatan. Beberapa jenis penguin, termasuk penguin Adelie dan penguin Maharaja tinggal di atas ais Antartika. Yang lain-lain terdapat jauh di utara di kawasan yang menerima arus laut yang sejuk dari kawasan Antartika.
Semua penguin mempunyai bulu pendek dan tebal pada badannya yang pendek dan gempal. Bulunya putih di perut dan hitam atau hitam kebiru-biruan di belakang. Sesetengah penguin mempunyai jambul daripada bulu panjang di sisi kepalanya dan tompok-tompok berwarna cerah pada lehernya yang pendek dan lebar. Penguin hilang keupayaan untuk terbang berjuta-juta tahun dahulu. Sayapnya bertukar menjadi sayap sirip yang berfungsi sebagai dayung dalam air. Sayap sirip ini serta kaki renang, menjadikan penguin pandai berenang dan menyelam. Bulunya yang pendek dan lebat menjadi bulu kalis air. Lapisan lemak yang tebal memanaskan penguin semasa dalam air sejuk.
Penguin memakan ikan. Ia menghabiskan sebahagian besar hidupnya dalam air, tetapi bertelur dan membela anaknya di atas darat atau di ais. Semasa di darat, ia membuat sarang dalam koloni yang dikenali sebagai rookery. Sesuatu rookery mungkin mengandungi sehingga sejuta penguin.[5]
Hukum memakan penguin
Pada asasnya, ulama mazhab Syafi‘i berpendapat, semua jenis burung air adalah halal untuk dimakan kecuali burung bangau — kerana terdapat perbezaan pendapat mengenainya — sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al-Rafi‘i.[6] Tambahan lagi Imam al-Ghazali ada menyebutkan bahawa semua burung air itu hukumnya adalah harus untuk dimakan dan begitu juga seluruh haiwan air yang lain kecuali haiwan yang ada bandingannya dengan haiwan di darat yang haram kerana dalam hal ini terdapat dua pendapat mengenainya — iaitu sama ada halal atau haram.[7] Penjelasan mengenai burung bangau bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #325 Memakan Burung Bangau.[8]
Justeru, begitulah juga hukumnya ke atas daging penguin iaitu halal dimakan kerana ia adalah sebagaimana hukum burung-burung air yang lain. Begitu juga, penguin tidak termasuk dalam kategori burung yang mempunyai kuku kuat dan boleh melukakan sebagaimana yang dilarang oleh Nabi SAW. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.”[9]
Kesimpulannya Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa daging penguin halal untuk dimakan kerana penguin termasuk dalam kategori burung air. Selain itu, ia juga tidak termasuk dalam kategori burung yang mempunyai kuku yang kuat dan boleh melukakan. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen. Wallahua‘lam.
Hari Arafah merupakan hari yang kesembilan dalam bulan Zulhijjah. Jemaah haji akan melakukan wukuf di padang Arafah pada ketika itu.
Umat Islam digalakkan untuk berpuasa pada hari tersebut kerana terdapat ganjaran yang besar bagi orang yang menunaikannya.
Ganjaran yang dimaksudkan ialah pengampunan dosa oleh Allah SWT bagi setahun sebelum dan selepasnya. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah:
Bermaksud: Puasa hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun selepasnya. Riwayat Muslim (1162)
Dalam hal ini timbul pula persoalan apakah hukumnya berpuasa pada hari Arafah saja sedangkan tidak melakukan puasa sunat Zulhijjah sebelum hari wukuf sebagaimana yang digalakkan.
Menjawab persoalan ini menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, seseorang yang ingin berpuasa pada hari Arafah tidak wajib berpuasa pada lapan hari sebelum hari Arafah memandangkan hadis yang meriwayatkan tentang kelebihan berpuasa pada hari tersebut tidak mensyaratkan agar berpuasa pada hari yang sebelumnya.
Malah terdapat hadis yang menyebut berkenaan bahawa Nabi SAW tidak berpuasa pada hari-hari sebelum hari Arafah. Hadis ini diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha:
Bermaksud: Aku tidak melihat Rasulullah SAW berpuasa pada sepuluh hari Zulhijah. Riwayat Muslim (1176)
Bahkan terdapat hadis lain yang menyatakan bahawa Nabi SAW pernah meninggalkan beberapa hari sebelum hari Arafah dan berpuasa pada sebahagian hari yang lain.
Secara kesimpulannya seseorang yang ingin berpuasa pada hari Arafah tidak wajib berpuasa pada lapan hari sebelum hari Arafah memandangkan hadis yang diriwayatkan berkenaan kelebihan berpuasa pada hari tersebut tidak mensyaratkan agar berpuasa pada hari yang sebelumnya.
Oleh itu, seseorang itu boleh berpuasa pada hari Arafah dan memilih untuk berpuasa pada keseluruhan hari sebelumnya atau berpuasa pada sebahagian daripada hari-hari tersebut.
Ketahui bahagian lembu makruh dimakan menurut Islam termasuk pundi hempedu, testis, kelenjar dan pundi kencing. Fahami hukum, dalil serta kepentingannya ketika menguruskan daging korban Aidiladha.