
Saban tahun, sambutan Maulidur Rasul diraikan dengan penuh meriah. Di sesetengah tempat, masyarakat berkumpul dan berarak sambil mengalunkan selawat sebagai tanda kecintaan dan kerinduan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Namun, apabila perarakan selesai, alunan selawat terhenti dan lampu dewan kembali terpadam, pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri, apa yang tinggal dalam kehidupan kita selepas sambutan itu berakhir?
Adakah kecintaan kepada Rasulullah SAW hanya terasa ketika Maulidur Rasul atau benar-benar diterjemahkan dalam kehidupan kita sepanjang tahun?
Hakikatnya, Maulidur Rasul bukan sekadar tentang perarakan atau sambutan yang dilakukan setahun sekali. Lebih besar daripada itu, ia seharusnya menjadi ruang untuk kita bermuhasabah sejauh mana ajaran dan akhlak Rasulullah SAW telah membentuk kehidupan kita sebagai seorang Muslim.
Apabila berbicara mengenai Rasulullah SAW, kita sering mengaitkannya dengan sunnah Baginda.
BACA JUGA: Mengaku Cinta Rasulullah SAW, Tapi Sejauh Mana Kita Mengikuti Akhlak Baginda?
Namun, meneladani sunnah bukan sekadar melakukan sesuatu kerana ia pernah dilakukan oleh Nabi SAW. Kita juga perlu memahami nilai dan akhlak yang terkandung di sebaliknya seperti kasih sayang, amanah, sabar, empati dan sikap menghormati orang lain.
Nilai-nilai inilah yang perlu diterjemahkan dalam kehidupan moden.
Sebagai contoh, sikap bertimbang rasa boleh bermula dengan perkara yang sangat mudah seperti menjaga kebersihan tempat awam dan tidak membuang sampah merata-rata.
Perbuatan kecil seperti membuang sampah ke tempat yang betul mungkin kelihatan remeh, tetapi ia mencerminkan rasa tanggungjawab dan empati terhadap manusia lain serta alam sekitar.
Akhlak yang baik juga tidak sepatutnya terhenti apabila kita berada di alam maya.
Dalam dunia media sosial hari ini, begitu mudah untuk seseorang berkongsi sesuatu, meninggalkan komen atau menyebarkan maklumat mengenai orang lain.
Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita perlu menjaga tutur kata termasuk ketika menaip di sebalik skrin.
Elakkan menyebarkan aib, meninggalkan komen yang menghina atau menjatuhkan maruah orang lain serta menceroboh privasi seseorang semata-mata kerana mahu mendapatkan perhatian.
Sebelum berkongsi sesuatu, tanyakan kepada diri adakah perkara ini membawa manfaat atau sebenarnya boleh menyakiti orang lain?
Kecintaan kepada Rasulullah SAW juga boleh diterjemahkan melalui cara kita menjalankan amanah dalam kehidupan seharian.
Datang tepat pada waktunya, menunaikan janji, menyelesaikan tanggungjawab dengan baik dan tidak mengambil kesempatan terhadap orang lain merupakan antara perkara kecil yang menunjukkan nilai amanah dalam diri.
Sunnah tidak seharusnya dilihat hanya dalam konteks ibadah tertentu. Akhlak yang baik dalam pekerjaan, keluarga dan kehidupan bermasyarakat juga merupakan antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh seorang Muslim.
Cinta kepada Nabi SAW turut dibuktikan melalui cara kita melayan manusia di sekeliling, terutama mereka yang memerlukan bantuan atau mempunyai pandangan yang berbeza daripada kita.
Dalam kehidupan hari ini, ia boleh bermula dengan membantu rakan sekerja yang sedang berdepan kesukaran, mengambil berat tentang jiran atau memberikan pertolongan kepada seseorang tanpa terlebih dahulu melihat latar belakangnya.
Jika terlibat dalam perselisihan pula, belajarlah mengawal emosi. Tidak semua perbezaan perlu berakhir dengan pertengkaran atau kata-kata yang menyakitkan.
Daripada Anas RA, Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini mengajar kita bahawa kebaikan yang kita mahukan untuk diri sendiri seharusnya turut kita inginkan untuk orang lain.
Jadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai titik permulaan untuk memperbaiki diri, bukan sekadar satu acara yang datang dan pergi setiap tahun. Tidak perlu menunggu perubahan yang besar.
Pilih satu perkara kecil untuk diamalkan secara konsisten. Mungkin kita mahu lebih menjaga tutur kata, berhenti meninggalkan komen negatif di media sosial, lebih menepati masa, membantu orang lain atau membiasakan diri bersedekah.
Nabi Muhammad SAW pernah menyebut bahawa amalan yang paling baik adalah berterusan. Daripada Aisyah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda,
Maksudnya: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun ia sedikit.”
Riwayat Muslim (1780)
Perubahan kecil yang dilakukan secara istiqamah boleh memberi kesan yang jauh lebih besar berbanding semangat yang hanya hadir pada waktu tertentu.
Berselawat dan menyertai sambutan Maulidur Rasul adalah antara cara kita menzahirkan rasa cinta dan rindu kepada Rasulullah SAW. Namun, kecintaan itu perlu diteruskan selepas sambutan berakhir dengan berusaha meneladani akhlak serta mengikuti ajaran Baginda dalam kehidupan.
Biarlah Maulidur Rasul menjadi titik muhasabah untuk kita berubah menjadi manusia yang lebih baik bukan untuk sehari, tetapi sepanjang kehidupan.
Kerana Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah rahmat untuk seluruh alam, maka biarlah kehadiran kita juga membawa kebaikan kepada manusia dan persekitaran di sekeliling.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok

sekarang ya?

