
Ledakan dunia media sosial hari ini menjadikan kita lebih mudah berinteraksi antara satu sama lain.
Bukan sekadar berkongsi cerita, gambar atau video, malah banyak perkara boleh dilakukan secara digital termasuk menghantar hadiah atau gift kepada orang lain.
Antara platform yang popular ialah TikTok, khususnya melalui fungsi siaran langsung atau live.
Melalui siaran langsung ini, pencipta kandungan boleh berinteraksi dengan pengikut mereka, berkongsi ilmu atau sekadar berkongsi aktiviti semasa.
Dalam masa yang sama, penonton pula boleh menghantar gift sebagai tanda penghargaan atau sokongan kepada pemilik akaun tersebut.
Malah, ramai peniaga hari ini turut menggunakan TikTok Live sebagai medium perniagaan untuk menjual produk secara digital.
BACA JUGA: Trend GRWM Di TikTok, Sekadar Suka-Suka Atau Bentuk Tabarruj Moden?
Namun begitu, timbul persoalan dalam kalangan masyarakat, adakah pendapatan yang diperoleh daripada gift TikTok ini dikira sebagai pendapatan yang sah?
Apakah hukumnya dari sudut Islam? Dan adakah ia termasuk dalam rezeki yang berkat?
Menurut penceramah bebas melalui video YouTube beliau, Ustaz Azhar Idrus, Islam sememangnya menggalakkan seseorang memberi hadiah kepada orang lain kerana ia boleh mengeratkan hubungan silaturahim dan menumbuhkan kasih sayang.
Hal ini bertepatan dengan sebuah hadis iaitu:
Maksudnya: “Hendaklah kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai.”
Hadis riwayat al-Bukhari
Dalam konteks hari ini, hadiah tidak semestinya dalam bentuk barangan fizikal sahaja.
Ia juga boleh hadir dalam bentuk wang, sokongan digital atau pemberian melalui platform media sosial, selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat.
Justeru, hukum memberi dan menerima gift di TikTok adalah harus dan dibenarkan dalam Islam, sekiranya ia diberikan secara sukarela sebagai tanda penghargaan kepada pencipta kandungan.
Sebagai contoh, seseorang penonton menyukai perkongsian resipi mudah, ilmu agama atau kandungan bermanfaat yang dikongsi oleh seorang pencipta kandungan. Lalu, dia menghantar
gift sebagai tanda terima kasih.Dalam keadaan ini, pemberian tersebut boleh dianggap sebagai hadiah.
Namun, ada beberapa perkara penting yang perlu dijaga. Pemberian itu mestilah dibuat dengan rela hati, bukan kerana paksaan.
Pencipta kandungan pula sebaiknya tidak meminta-minta secara berlebihan sehingga menimbulkan rasa tidak selesa kepada penonton.
Selain itu, kandungan yang disiarkan juga hendaklah tidak melanggar batas syariat. Jika gift diperoleh daripada kandungan yang baik, bermanfaat dan tidak mengandungi unsur maksiat, maka hasil pendapatan tersebut adalah halal.
Sebaliknya, jika kandungan yang disiarkan mengandungi perkara haram, mengajak kepada maksiat atau memperdaya orang ramai, maka pendapatan yang datang daripadanya perlu diberi perhatian serius kerana ia boleh menjejaskan keberkatan rezeki.
Dalam menerima pemberian pula, adab sebagai seorang Muslim tetap perlu dijaga.
Penerima hendaklah bersyukur, tidak riak dan menggunakan rezeki tersebut ke arah perkara yang baik.
Platform media sosial juga sepatutnya dimanfaatkan untuk menyebarkan ilmu, kebaikan dan perkara yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Kesimpulannya, menerima gift di TikTok boleh dianggap sebagai salah satu bentuk pemberian hadiah dalam dunia moden.
Ia dibenarkan selagi mana pemberian tersebut dibuat secara sukarela, kandungan yang dipaparkan tidak bercanggah dengan syariat dan pendapatan yang diterima digunakan pada jalan yang baik.
Namun, para pencipta kandungan diingatkan agar tidak menjadikan budaya meminta-minta sebagai kebiasaan.
Cukuplah berkongsi sesuatu yang bermanfaat, dan biarkan orang memberi dengan hati yang terbuka. Rezeki yang datang dengan cara baik, insya-Allah lebih tenang dan berkat.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.