
Perkembangan dunia digital hari ini membuka banyak peluang pekerjaan baharu. Antaranya ialah penghasilan kandungan, pemasaran digital serta perniagaan atas talian yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Disebabkan itu, media sosial kini dipenuhi dengan pelbagai video review, sama ada melibatkan makanan, produk kecantikan, barangan rumah mahupun gajet. Namun, di sebalik lambakan kandungan tersebut, timbul satu persoalan penting, “adakah setiap review yang dibuat benar-benar jujur?”.
Dalam Islam, kejujuran dan integriti bukan sekadar nilai tambahan dalam pekerjaan, sebaliknya ia menjadi asas penting dalam mencari rezeki yang diberkati.
Lebih-lebih lagi apabila seseorang itu menerima bayaran untuk mempromosikan sesuatu produk atau perkhidmatan.
Kita wajar mencontohi Rasulullah SAW yang terkenal dengan sifat al-Amin, iaitu seorang yang sangat jujur dan dipercayai.
Sejak usia muda, baginda telah terlibat dalam dunia perniagaan dengan mengikuti bapa saudaranya berdagang ke Syam.
Disebabkan kejujuran dan kredibiliti baginda, Rasulullah SAW diberi kepercayaan untuk membawa dan mengurus barangan milik Saidatina Khadijah RA yang bernilai tinggi.
Kepercayaan itu tidak hadir dalam sehari. Ia dibina melalui akhlak, amanah dan kejujuran yang baginda tunjukkan sepanjang baginda berdagang.
Inilah nilai besar yang sepatutnya menjadi panduan kepada sesiapa sahaja yang bekerja, termasuk mereka yang bergelar content creator atau pempengaruh media sosial.
Hakikatnya, membuat review berbayar bukanlah sesuatu yang salah. Namun, ia boleh menjadi ujian apabila seseorang mula melebih-lebihkan sesuatu produk hanya kerana telah menerima bayaran.
Lebih membimbangkan jika review tersebut dilakukan tanpa mengambil kira kualiti sebenar produk, lalu memberi gambaran palsu kepada pengguna.
Menurut penceramah bebas merangkap pakar kelestarian MyFundAction Ustzah Nabihah Zakaria, beliau menyatakan bahawa jika seseorang mendapat produk yang tidak sama seperti skrip review yang diperoleh, ia merupakan suatu ujian.
“Kita perlu kuatkan kesabaran untuk menahan tekanan yang dihadapi,” tambahnya lagi.
Jika makanan itu sebenarnya terlalu masin, katakanlah ia masin. Jika produk itu mempunyai kelemahan, nyatakan dengan berhemah. Jika video yang dihasilkan ialah kandungan berbayar, jelaskan secara telus bahawa ia adalah review berbayar (paid review).
Ketelusan seperti ini bukan sahaja menjaga kepercayaan pengikut, malah menunjukkan integriti diri.
BACA JUGA: Buy Now Pay Later (BNPL), Adakah Konsep Ini Benar-benar Patuh Syariah?
Perlu diingat, testimoni palsu boleh memberi kesan buruk kepada pengguna. Jika pengguna terpengaruh dengan ulasan yang tidak benar lalu mengalami kerugian atau mudarat, dibimbangi dosa dan kesannya kembali kepada mereka yang menyampaikan
review tersebut.Apa yang lebih penting, pendapatan yang diperoleh daripada kerja seperti ini akan menjadi darah daging.
Justeru, setiap sen yang diterima perlulah datang daripada usaha yang bersih, jujur dan diberkati.
Kejujuran mungkin mengundang kritikan, tetapi ia akan membina kepercayaan jangka panjang.
Akhirnya, keberkatan dalam bekerja bukan hanya diukur melalui jumlah bayaran yang diterima, tetapi sejauh mana amanah dijaga.
Walaupun dunia hari ini bergerak secara digital, prinsip mencari rezeki halal dan diberkati tetap tidak berubah.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok