Kekeluargaan

Suami Tetap Wajib Beri Nafkah Walaupun Isteri Bekerja. Jangan Ambil Mudah Hal Ini

Share

Dalam suasana ekonomi hari ini, ramai pasangan suami isteri sama-sama keluar bekerja bagi menampung kos sara hidup dan komitmen keluarga. Tidak dinafikan, dengan pelbagai tanggungan yang perlu dipenuhi, adakalanya sukar untuk hanya satu pihak sahaja mencari rezeki.

Namun, timbul persoalan dalam rumah tangga, apabila isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, adakah suami masih wajib memberikan nafkah kepadanya?

Hakikatnya, para suami perlu cakna bahawa selepas mendirikan rumah tangga, memberikan nafkah kepada isteri dan keluarga adalah tanggungjawab mutlak seorang suami. Ia bukan pilihan, bukan juga bergantung kepada sama ada isteri bekerja atau tidak.

Kewajipan ini jelas disebut dalam firman Allah SWT melalui Surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud:

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan. 

Ayat ini menunjukkan bahawa seorang suami atau bapa bertanggungjawab menyediakan makan, pakaian dan keperluan keluarga mengikut kemampuan serta secara makruf.

Perlu difahami bahawa semua pendapatan yang diperoleh oleh isteri adalah hak sepenuhnya milik isteri. Walaupun gaji isteri lebih tinggi daripada suami, suami tetap tidak mempunyai hak ke atas pendapatan tersebut melainkan dengan keizinan isteri.

Sekiranya isteri berkemampuan dan memilih untuk membantu dalam urusan rumah tangga seperti membeli barang dapur, membayar bil rumah atau menanggung sebahagian perbelanjaan keluarga, ia dikira sebagai ihsan, sedekah dan bantuan daripada isteri untuk meringankan beban suami.

Namun begitu, ia tetap bukan kewajipan yang mesti dipikul oleh isteri.

BACA JUGA: Kesan Darah Haid Masih Ada Pada Pakaian Selepas Dicuci, Sahkah Dibawa Solat?

Selagi mana suami mengizinkan isteri keluar bekerja dan mencari rezeki, kewajipan suami untuk memberi nafkah tetap tidak gugur. Status isteri sebagai wanita bekerjaya bukan alasan untuk suami melepaskan tanggungjawab tersebut.

Menurut

portal Jabatan Mufti Negeri Selangor, nafkah tidak semestinya mewah atau berlebihan. Ia hendaklah diberikan mengikut kemampuan suami, mencukupi keperluan isteri dan keluarga, serta disertai dengan rasa tanggungjawab.

Antara bentuk nafkah yang menjadi tanggungjawab suami termasuklah makan minum, pakaian, tempat tinggal, keperluan asas dan perkara yang munasabah mengikut keadaan keluarga masing-masing.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keadaan tertentu yang boleh menyebabkan nafkah isteri gugur. Antaranya apabila isteri

nusyuz, iaitu ingkar terhadap ketaatan yang diwajibkan kepada suami menurut syarak.

Selain itu, nafkah juga boleh terjejas sekiranya isteri keluar bekerja tanpa izin suami. Namun, sekiranya suami sendiri telah memberikan keizinan kepada isteri untuk bekerja, maka kewajipan memberi nafkah tetap berjalan seperti biasa.

Sebab itu, dalam rumah tangga, komunikasi dan persefahaman amat penting. Suami dan isteri perlu berbincang dengan baik tentang kewangan, perbelanjaan serta tanggungjawab masing-masing.

Sikap toleransi sangat diperlukan dalam perkahwinan. Suami jangan sesekali mengambil kesempatan atas pendapatan isteri sehingga culas atau sengaja mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah.

Pada masa yang sama, isteri juga perlu memahami kemampuan suami. Jangan meminta sesuatu secara berlebihan sehingga membebankan suami di luar kemampuannya.

Perkahwinan dalam Islam dibina atas dasar tanggungjawab, kasih sayang dan saling membantu, bukan atas sikap mengambil kesempatan antara satu sama lain.

Memberi nafkah bukan sekadar menyerahkan wang belanja. Ia adalah amanah, ibadah dan tanggungjawab besar yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak. Suami yang melaksanakan tanggungjawab ini dengan ikhlas bukan sahaja menjaga keharmonian rumah tangga, bahkan sedang menunaikan perintah agama yang sangat mulia.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah