![WhatsApp Image 2019-01-29 at 3.52.01 PM](https://cdn.kashoorga.com/2019/01/WhatsApp-Image-2019-01-29-at-3.52.01-PM-696x441.jpeg)
Kehidupan yang berlandaskan Islam tentunya menjadikan kehidupan seseorang itu lebih tenang dan damai. Dalam hidup ini tiada seorang pun yang sepi daripada ujian. Cuma bentuk ujian yang menimpa itu berbeza atas seorang daripada seorang yang lain.Ada yang Allah berikan ujian kecil, ada pula ujiannya besar.
Perkongsian Ebit Lew tentang kisah seorang lelaki yang ditemui ketika mencuci kereta ini wajar dijadikan contoh dan pedoman. Berikut catatan Ebit Lew di laman Instagramnya.
Masa nak basuh kereta saya tengok seorang abang bawa kereta audi baru tengah duduk-duduk ada makcik jual kerepek datang. Dia bagi RM50 dan kata takperlah makcik. Saya nak 3 jer..sebenarnya 3 cuma Rm10…makcik tu kata terima kaseh nak. Terima kaseh..Alhamdulillah rezeki makcik..
Lepas tu saya duduk di sebelah abang tadi. Saja nak berbual. Dia tegur saya dan kata ini ustaz ebit lew ke? Ya Allah rezeki jumpa di sini. Dia peluk saya. Dalam hati, saya doa “Ya Allah dalam berjuta rahmat yang kau beri kepadanya berilah sedikit kepada saya”
Yer saya. Ya Allah tak sangka jumpa di sini. Saya cakap padanya tahniah pada abang. Allah sayang abang. Satu sebab sedekah pada makcik tadi dan keduanya kereta audi baru ini..masyaAllah.. Dia terus mencelah dan kata saya sebelum ni susah sangat.
DUNIA TAK DAPAT, AKHIRAT PUN MELEPAS
Semua yang saya buat semua tak jadi. Saya kerja siang malam dekat 5 tahun. Tapi rasa macam takde apa-apa tapi cuma dapat penat. Hutang pun banyak keliling pinggang. Dengan keluarga jadi jauh. Orang kata dunia tak dapat, keluarga hilang dan akhirat lagilah.
Sehinggalah Allah selamatkan saya. Saya belajar dari ustaz juga. Saya dah mula jaga solat Subuh di Masjid. Saya jaga solat. Saya rajin dengar ceramah agama. Saya dengar ceramah ustaz. Saya ternanti motivasi ustaz. Saya beli semua set buku ustaz. Teruskan berdakwah yer ustaz..
LEBIH HARGAI ISTERI DAN ANAK-ANAK
Paling besar kesan Allah bagi bila saya mula belajar baca hadis dalam rumahtangga saya bersama isteri dan anak-anak. Isteri saya mula solat. Mula pakai tudung. Saya semakin sayang dia ustaz. Rasa macam pengantin baru. Bila saya balik masjid rasa tak sabar nak jumpa isteri..kadang-kadang melompat masuk rumah. Tak sempat nak buat yang lain terus rasa nak peluk isteri…rasa rindu isteri.
Saya dah tak buang masa dengan hiburan dan kawan-kawan. Tak ke mana-kemana tu semua. Tak sangka rezeki kami mula melimpah ruah. Allah bukakan jalan. Tiada lagi rasa nak marah-marah. Tenteram rasa dalam rumah.
Allah sayang abang. Betul tu abang. Kita kejar akhirat, dunia kejar kita. Jadikan Allah sebagai maksud. Allah tujuan hidup. Allah sebagai cinta kita. Allah kekasih. Hargai bimbing keluarga-ebitlew
Sumber kredit: Instagram: Ebit Lew
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Cara-cara Padu Rasulullah Urus Perniagaan Sukses Dunia Akhirat
![Cara-cara Padu Rasulullah Urus Perniagaan Sukses Dunia Akhirat](https://cdn.kashoorga.com/2020/08/241127-17_59_570433.jpeg)
Perniagaan mencakupi 9/10 sumber rezeki. Satu-satunya cara padu jadikan perniagaan sukses ialah dengan meniru cara Rasulullah.
Rasulullah kita sendiri telah mula berniaga dari zaman kanan-kanak lagi apabila baginda membantu pakciknya iaitu Abu Talib berniaga barang dagangan ke Syam. Sepanjang mengikuti rombongan berdagang milik Saidatina r.a Khadijah, Rasulullah seringkali meraih kejayaan dalam misi dagangnya. Apakah rahsia baginda? Justeru itu, elok sangat kita melihat dan mempraktikkan apa sahaja cara yang dilakukan oleh Baginda untuk berjaya dalam perniagaan. Ia terbukti berkesan sehingga hari ini.
Tidak Berdebat Dalam Perniagaan
Percaya tak bahawa Rasulullah tidak akan dan tidak sesekali menyakiti hati ahli perniagaan lain. Cara ini diakui oleh mereka yang pernah berurusan dengan Baginda SAW sebelum diangkat menjadi rasul lagi.
Dalam satu peristiwa, seorang peniaga bernama Saib bin Ali Saib datang menemui Rasulullah SAW. Melihat Saib datang, Rasulullah berkata, “Mari, mari. Selamat datang saudara saya, dan rakan niaga saya yang tidak pernah bertengkar,” kata Rasulullah.
Saib membalas dengan berkata, “Kita tidak pernah bertengkar sebab tuan peniaga yang sentiasa lurus dan tepat dengan kiraan.”
Letak Harga Pokok Tawar Harga Yang Termampu
Pada zaman itu, semua peniaga Arab meletakkan harga paling maksimum kepada pembeli. Apa yang menakjubkan, baginda tidak amalkan cara tersebut. Baginda mempraktikkan cara jualan yang unik; lain daripada kebiasaan yang diamalkan peniaga Arab atau pun bukan Arab.
Rasulullah SAW menjual barang dagangan dengan menawarkan harga pokok dan meminta para pelanggan membayar ikut kemampuan. Jelas sekali Baginda sangat bertimbang rasa dan mengasihani sesama manusia. Cara ini menyebabkan ramai pelanggan gembira, berpuas hati dan tidak berasa tertipu sebagaimana biasa. Kesannya, barang dagangan Baginda sangat laris dan seringkali habis awal.
Murah Dengan Senyuman Dalam Perniagaan
Berniaga wajah perlu manis. Tidak semestinya tampan bergaya, memadai dengan sentiasa mengukirkan senyuman kepada pelanggan. Amalan rajin memberi senyuman ini menyebabkan ramai pelanggan selesa apabila berurusan dengan baginda.
Apatah lagi Allah SWT mengurniakan baginda wajah kacak dan tampan.Namun begitu, ketampanan adalah sebagai satu bonus. Jika kita suka sedekahkan senyuman kepada pelanggan, pastinya mereka berasa selesa berurusan kerana terserlah keindahan dan akhlak yang baik seorang peniaga.
Jujur Perlu Ada
Sikap jujur adalah akhlak yang terpuji dan ia amat penting dalam perniagaan.Baginda bersabda, “Peniaga yang dapat dipercayai dan beramanah, akan bersama para Nabi, orang-orang yang dapat dipercayai dan orang-orang yang mati syahid” (Riwayat Al-Imam At-Tarmizi).
Pada suatu hari, Rasulullah berjalan-jalan di kawasan pasar bandar Madinah. Baginda lalu di hadapan seorang peniaga yang menjual buah-buahan yang dilonggok-longgokkan.
Rasulullah memeriksa buah-buahan itu dengan memasukkan tangannya ke dalam satu longgokan. Kemudian Rasulullah menarik tangannya keluar dan menunjukkan jarinya yang basah kepada peniaga itu.
“Terkena hujan, tuan,” kata peniaga itu. “Mengapa saudara tidak letakkan buah-buahan yang basah itu di sebelah atas supaya orang dapat melihatnya ?” kata Rasulullah.
Kemudian Baginda berkata lagi, “Barang siapa menipu, dia bukan pengikut saya.”
![Cara-cara Padu Rasulullah Urus Perniagaan Sukses Dunia Akhirat](https://cdn.kashoorga.com/2020/08/241146-17_43_678587.jpeg)
Tidak Bersumpah Palsu
Rasulullah SAW sangat mengecam sebarang amalan perniagaan yang ada unsur penipuan atau tipu helah ditambah pula sanggup bersumpah palsu.
Baik Hati Dan Lemah Lembut
Baginda Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan sikap baik hati dan lemah lembut ketika menjalankan perniagaan.
Jabir telah meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: “Allah SWT mencucuri rahmat kepada orang yang berbuat baik ketika ia berjual, ketika ia membeli dan ketika ia membuat tuntutan.”
Perniagaan Tidak Kejar Harta Semata-mata
Rasulullah SAW bekerja keras mencari penghidupan yang halal. Selain untuk menyara kehidupan, Baginda sangat bekerja keras bagi menunjukkan komitmen tingginya kepada mana-mana orang kaya agar mereka yakin dan ingin mengeluarkan modal mereka untuk digunakan oleh Baginda sebagai modal membesarkan perniagaan.
Lancar Tutur Kata
Rasulullah SAW merupakan seorang yang mempunyai kebolehan dalam menyusun tutur kata. Tutur katanya lembut, lunak didengar, tidak pernah berbohong dan sentiasa jujur.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila Baginda mengendalikan perniagaan harta Khadijah, Baginda memperoleh keuntungan yang banyak.
Terdapat sebuah hadis yang menceritakan kefasihan Baginda yang telah diriwayatkan oleh Al-Tarmizi dari Syaidatina Aishah, bermaksud:
“Adalah Rasulullah berkata-kata dengan perkataan yang terang serta jelas lagi tegas, dapat difahami oleh setiap orang yang mendengarnya (duduk bersama Baginda)
Perniagaan Untung 100% Bersyarat
Ada pendapat sebahagian ulama mengatakan untung hanya boleh diambil sekitar 30% sahaja, namun kata-kata Rasulullah SAW lebih utama untuk kita jadikan pegangan.
Terdapat satu hadis sahih yang menceritakan, seorang sahabat Nabi membeli dua ekor kambing dengan 1 dinar. Kemudian, sahabat itu tadi menjual salah seekor kambing itu dengan harga 1 dinar.
Bermaksud, di tangannya ada seekor lagi kambing dan wang sejumlah 1 dinar. Sahabat itu datang kepada Rasulullah dan kemudian menyatakan apa yang telah beliau lakukan (menjual dengan cara begitu).
Rasulullah tidak berkata apa-apa melainkan mendoakan agar sahabatnya itu mendapat keberkatan dalam perniagaan yang dilakukannya.
Abu Daud meriwayatkan, Rasulullah ditanya mengapa tidak ditetapkan keuntungan maksimum (kawal kadar keuntungan). Lantas Rasulullah menyatakan, itu adalah satu ‘kezaliman’ untuk para pelanggan.
Daripada dua contoh di atas berasaskan dalil yang sahih, kita dapati tidak mengapa kita menaikkan keuntungan sesuatu jualan produk sehingga 100%.
Cuma yang dilarang adalah menyorokkan barangan keperluan asasi manusia pada ketika permintaan mendadak, dan dijual kembali apabila harganya dinaikkan.
Setelah membaca cara Rasulullah berniaga dan mengamalkannya, sudah tentu bukan sahaja usahawan tersebut beroleh pahala, tetapi juga mencipta kitaran niaga yang sihat dan berdaya saing.Peniaga sudah tentu tidak mahu dikecam dan didoakan yang buruk-buruk oleh pelanggan. Semoga berkat rezeki kita nanti.
Sumber artikel dan disunting semula: zakatpahang
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
‘Sebaiknya Guna Peluang Lakukan Ibadat Sungguh-Sungguh.’ Sedih, Trend Promote Produk Depan Kaabah Makin Menjadi-Jadi
![‘Sebaiknya Guna Peluang Lakukan Ibadat Sungguh-Sungguh.’ Sedih, Trend Promote Produk Depan Kaabah Makin Menjadi-Jadi](https://cdn.kashoorga.com/2022/11/490272.jpeg)
‘Sebaiknya guna peluang lakukan ibadat sungguh-sungguh.’ Sedih, trend promote produk depan kaabah makin menjadi-jadi.
Sebelum ini, tular di TikTok dengan sebuah video seorang jemaah umrah yang dikatakan berdoa di Tanah Suci Mekah agar dijodohkan dengan penyanyi K-pop.
Malah, kita juga pernah didedahkan dengan kelakuan tidak senonoh jemaah umrah lelaki dari Malaysia yang berpakaian seperti wanita dan juga yang perempuan menyerupai lelaki ketika mengerjakan ibadat umrah di Tanah Suci.
Artikel Berkaitan: ‘Doa Dijodohkan Dengan Ahli Kumpulan BTS Depan Kaabah.’ Jangan Bagi Alasan Minat, Jaga Adab Di Tanah Suci
Sebaiknya Guna Peluang
Terbaharu, segelintir ‘founder’ dan stokis produk dari negara kita pula tanpa segan-silu mengambil kesempatan mempromosikan barangan serta bisnes mereka di hadapan Kaabah. Perbuatan ini mula tular di media sosial.
Satu-persatu perkara buruk dilakukan jemaah kita bila berkesempatan ke Tanah Suci. Sebaiknya peluang yan ada digunakan sebaik mungkin untuk mengerjakan ibadat bukannya melakukan perkara yang bertentangan dengan agama.
Sesunguhnya menjadi perkara yang amat menyedihkan kerana walaupun pernah ditegur oleh agamawan dan netizen, trend berniaga di hadapan Kaabah ini didapati semakin parah.
Lakukan Ibadat Sungguh-Sungguh
Malah saban hari golongan ini dilihat semakin ramai berpusu-pusu datang mengerjakan umrah sambil bergaya dan bergambar bersama produk mereka untuk dijadikan content promosi.
Lebih menyedihkan, mereka kini didapati bukan sahaja berani membawa masuk kotak-kotak dan botol-botol produk kosmetik untuk dipamerkan di hadapan Kaabah, malah jajan dalam balang yang berperisa coklat dan ‘cheese’ pun ada!
Baca Di Sini:
Sedih, Trend Promote Produk Depan Kaabah
Lelaki ini, Kai Auburn, terpanggil untuk menegur perbuatan dan sikap melampau ini, kongsinya:
Pergi tanah suci untuk beribadat
Pergi tanah suci untuk promote produk
Yang pergi depan kaabah itu beribadat sajalah, bagi kami netizen ini saja fikir hal dunia. Esok mati tuhan tanya kau pergi umrah atau haji buat apa, tak akan kau nak pass suruh kita orang pula yang jawab.
Makin Menjadi-Jadi
Nak-nak yang buat produk sampah itu kan, kau sudahlah lama hendak menjawab nanti pasal kau baraikan muka beribu orang. Kita orang yang lama menunggu giliran ini jadi satu hal pula hendak kena tunggu kau jawab kenapa promote gambar depan kaabah.
Kau kalau hidup menyusahkan orang, takkan mati pun hendak menyusahkan orang lagi. Pergi Mekah bukan selalu, kau fokus ibadat sudahlah. Punya banyak benda boleh ditunggang, agama juga yang kau pilih.
Kashoorga: Supaya Allah ampunkan dosa-dosa mereka.
Sumber : Khai Auburn, ROTIKAYA
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ada Ganjaran Besar Menanti, Jika Amalkan Baca 2 Ayat Terakhir Dari Surah Al-Baqarah
![Ada Ganjaran Besar Menanti, Jika Amalkan Baca 2 Ayat Terakhir Dari Surah Al-Baqarah](https://cdn.kashoorga.com/2020/07/216368-03_31_695095.jpeg)
Soalan: Apakah maksud hadith ini?
Daripada Abu Mas’ud RA bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ البَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca dua ayat terakhir dari surah al-Baqarah pada waktu malam telah cukup baginya dengan keduanya.” [Riwayat al-Bukhari (5009)]
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Al-Quran merupakan sebuah kitab mukjizat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril AS. Di samping itu, di dalam al-Quran juga terkandung seribu satu rahsia bagi sesiapa yang mentadabburnya dan sentiasa melaziminya dengan membacanya. Selain itu, terdapat banyak kelebihan yang akan diperolehi bagi orang yang sentiasa membaca dan mengamalkan ayat-ayat suci al-Quran berdasarkan kepada nas yang sahih sama ada daripada al-Quran dan juga hadith Nabi SAW.
Berdasarkan soalan di atas, antara makna telah cukup baginya di dalam hadith di atas sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadith ini terbahagi kepada beberapa makna:
Telah cukup baginya qiyamullail (bangun di tengah malam untuk beribadah)
Telah cukup baginya untuk membaca al-Quran sama ada di dalam atau di luar solat.
Telah cukup baginya perkara-perkara yang melibatkan aqidah kerana ayat tersebut menceritakan tentang keimanan dan amalan secara umum.
Telah cukup baginya (terselamat) daripada segala keburukan.
Telah cukup baginya (terselamat) daripada keburukan syaitan
Telah menolak keduanya (ayat tersebut) daripada keburukan manusia dan jin.
Telah cukup baginya untuk mendapatkan kebaikan daripada keduanya.
Melihat kepada makna-makna di atas, Imam Ibn Hajar mengatakan boleh jadi yang dimaksudkan oleh hadith adalah semua yang telah disebutkan. [Lihat: Fath al-Bari, 9/56] Tambahan pula, Imam al-Nawawi berkata makna cukup baginya di dalam hadith di atas adalah cukup baginya mendirikan malam pada malam tersebut, cukup baginya (terpelihara) daripada keburukan syaitan serta daripada kebinasaan-kebinasaan dan boleh jadi ia membawa makna kesemuanya sekali. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 6/91-92]
Dua Ayat Terakhir Dari Surah al-Baqarah
Firman Allah SWT:
آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّـهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ ۚ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ ﴿٢٨٥﴾ لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ ﴿٢٨٦﴾
al-Baqarah: 285-286
Maksudnya: “Rasulullah telah beriman terhadap apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya dan juga orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan Rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain daripada kalangan rasul-rasulnya. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami dan kepada-Mu jualah tempat kembali. Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami. Oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”
Penutup
Kesimpulannya, terdapat banyak kelebihan yang akan diperolehi bagi orang yang membaca di waktu malam dua ayat yang terakhir dari surah al-Baqarah ini serta memahaminya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian mereka. Tambahan pula, hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan ini adalah bersumberkan daripada hadith yang sahih iaitu daripada kitab Sahih al-Bukhari yang merupakan kitab paling sahih selepas al-Quran. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan ahli al-Quran dan orang-orang yang sentiasa mencintai serta mengamalkan apa yang terdapat di dalam al-Quran. Amin.
Wallahua’lam
Artikel Berkaitan: Sendawa Tak Batalkan Solat, Tapi Hukumnya Jadi Makruh Kalau Hasilkan Bauan Ganggu Jemaah
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI