
Setiap kali tiba musim raya, anak-anak kecil antara yang paling gembira apabila menerima duit raya daripada saudara-mara dan kenalan. Kebiasaannya, duit raya ini akan disimpan oleh ibu bapa sebagai simpanan anak untuk kegunaan mereka pada masa hadapan.
Namun dalam keadaan tertentu, ada juga ibu bapa yang menggunakan duit raya anak untuk perbelanjaan harian atau keperluan keluarga.
Persoalannya, adakah tindakan ini dibolehkan dalam Islam atau ia termasuk dalam perbuatan mengambil harta anak secara batil?
Secara umumnya, duit raya atau apa-apa pemberian yang diberikan kepada anak-anak, termasuk wang, emas atau barang berharga dikira sebagai hadiah kepada mereka. Walaupun anak itu masih kecil dan belum baligh, harta tersebut tetap menjadi hak milik mereka.
BACA JUGA: Anak Istimewa Bukan Beban, Tetapi Amanah Allah Buat Ibu Bapa Yang Terpilih
Dalam keadaan ini, ibu bapa hanyalah berperanan sebagai pemegang amanah. Mereka boleh menyimpan dan menguruskan harta tersebut bagi pihak anak sehingga anak mencapai usia matang, tetapi tidak boleh menggunakannya sesuka hati tanpa sebab yang dibenarkan syarak.
Menurut perkongsian penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus dalam sebuah video di Facebook, harta ibu bapa adalah milik ibu bapa, manakala harta anak-anak pula adalah milik anak-anak sendiri.
“Ibu bapa ambil harta anak dan simpan boleh, tetapi ambil dan belanja tanpa izin tidak boleh,” jelasnya.
Malah, bagi anak kecil yang belum baligh, keizinan mereka juga tidak dianggap sah dari sudut hukum kerana mereka belum cukup matang untuk membuat keputusan berkaitan harta.
Bagaimanapun, hukum menggunakan duit simpanan atau duit raya anak boleh berbeza mengikut keadaan.
Jika duit tersebut digunakan untuk keperluan anak itu sendiri seperti pendidikan, rawatan atau perkara yang memberi manfaat kepada anak, maka hukumnya adalah harus.
Ini kerana wang tersebut tetap digunakan untuk kepentingan pemiliknya, iaitu anak tersebut.
Jika ibu bapa sebenarnya berkemampuan, tetapi sengaja menggunakan duit anak untuk keperluan diri sendiri atau perkara yang tidak berkaitan dengan anak, maka perbuatan ini tidak dibenarkan.
Dalam keadaan ini, ia boleh jatuh kepada hukum haram kerana menggunakan harta milik anak tanpa hak.
Bagi ibu bapa yang benar-benar miskin, terdesak atau berada dalam keadaan darurat untuk meneruskan kelangsungan hidup, penggunaan duit anak boleh menjadi harus, namun hanya sekadar keperluan.
Ia tidak boleh digunakan secara berlebihan atau dijadikan kebiasaan sehingga mengabaikan hak anak.
Menurut pandangan majoriti ulama dalam mazhab Syafie, Hanafi dan Maliki, seorang ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja.
Pandangan ini bersandarkan kepada prinsip bahawa harta seseorang tidak boleh diambil dengan sewenang-wenangnya. Antara hadis yang menjadi sandaran ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan kamu adalah haram ke atas kamu sebagaimana kemuliaan harimu ini, di negerimu ini.”
Riwayat at-Tirmizi
Kesimpulannya, anak-anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa. Duit raya atau harta yang diberikan kepada mereka bukanlah tabung kecemasan peribadi yang boleh digunakan sesuka hati.
Cara terbaik untuk menguruskan duit raya anak-anak adalah dengan menyimpannya di tempat yang lebih selamat seperti Tabung Haji, SSPN, ASB atau akaun simpanan khas atas nama anak. Dengan cara ini, ibu bapa tidak mudah tergoda untuk menggunakan wang tersebut bagi tujuan lain.
Rezeki anak tetap hak anak, manakala rezeki ibu bapa datang melalui usaha dan tanggungjawab mereka sendiri. Jangan sampai keberkatan rumah tangga terjejas hanya kerana tidak menjaga sempadan harta anak.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok