
Peminat pakaian bundle di Malaysia mempunyai komuniti tersendiri. Mereka yang gemar ‘menyelam’ biasanya sanggup mencari pelbagai lubuk kedai pakaian terpakai untuk mendapatkan barangan berkualiti pada harga yang lebih murah.
Ada yang membeli pakaian bundle kerana mahu berjimat, manakala sebahagian yang lain pula memburu pakaian berjenama, barangan vintaj atau rekaan unik yang sukar ditemukan di kedai biasa.
Namun, terdapat kepercayaan dalam masyarakat bahawa seseorang perlu berhati-hati ketika membeli pakaian atau barangan terpakai. Ini kerana dikhuatiri barangan tersebut pernah dimiliki oleh individu yang telah meninggal dunia.
Lebih membimbangkan, ada yang mendakwa kononnya pakaian tersebut mungkin mempunyai ‘badi mayat’ atau masih dibayangi roh pemilik asalnya.
Persoalannya, adakah dakwaan ini benar menurut Islam atau sekadar kepercayaan mitos yang tidak mempunyai asas?
Umat Islam perlu memahami bahawa roh seseorang yang telah meninggal dunia berada di alam barzakh dan tidak kembali ke dunia sesuka hati.
BACA JUGA: Tular Isu Lelaki Berpakaian Seperti Wanita, Islam Tegah Perbuatan Menyerupai Jantina Lain
Oleh itu, tidak wujud istilah roh si mati melekat, menempel atau tinggal pada pakaian dan barangan yang pernah digunakannya ketika hidup di dunia.
Menurut penjelasan Jabatan Mufti Selangor, kepercayaan “saka” akan mengikut waris apabila mereka mengambil barangan si mati merupakan kepercayaan khurafat yang wajib dihindari kerana boleh merosakkan akidah.
Oleh itu, kepercayaan bahawa pakaian milik orang yang telah meninggal dunia boleh membawa nasib malang, gangguan atau perkara buruk merupakan kepercayaan tahayul dan khurafat yang tidak berasaskan dalil agama.
Sebagai umat Islam, kita wajib menjauhi kepercayaan sedemikian kerana ia boleh menjejaskan akidah sekiranya seseorang meyakini bahawa sesuatu barangan mempunyai kuasa tertentu untuk mendatangkan mudarat atau malang tanpa izin Allah SWT.
Apabila seseorang meninggal dunia, pakaian dan barangan yang ditinggalkannya menjadi sebahagian daripada harta pusaka.
Barangan tersebut perlu diuruskan oleh waris mengikut hukum dan pembahagian yang sepatutnya. Sekiranya waris bersetuju untuk menjual, menghadiahkan atau mendermakannya kepada pihak lain, maka barangan tersebut telah bertukar milik secara sah.
Ia tidak lagi dianggap sebagai milik si mati selepas diberikan kepada pemilik baharu.
Tindakan waris mendermakan pakaian dan barangan milik arwah juga merupakan satu amalan yang baik. Malah, pahala sedekah tersebut boleh diniatkan untuk si mati dengan harapan Allah SWT menerimanya.
Perkara utama yang perlu diberikan perhatian ketika membeli pakaian bundle bukanlah soal roh atau badi, sebaliknya aspek kebersihan dan kesucian pakaian tersebut.
Kita mungkin tidak mengetahui asal usul, cara penyimpanan atau keadaan pakaian itu sebelum dijual. Oleh itu, setiap pakaian terpakai yang dibeli perlulah dicuci dengan sempurna sebelum dipakai.
Basuh pakaian menggunakan air bersih dan bahan pencuci yang sesuai. Sekiranya material pakaian mengizinkan, ia juga boleh direndam atau dicuci mengikut suhu yang bersesuaian bagi menghilangkan bau, habuk, kotoran dan kuman.
Pastikan juga pakaian dibilas sehingga bersih dan tidak terdapat kesan najis yang jelas sebelum digunakan untuk beribadah.
Kesimpulannya, penjual dan pembeli pakaian bundle tidak perlu bimbang mengenai dakwaan badi mayat atau roh yang kononnya melekat pada pakaian orang yang telah meninggal dunia.
Kepercayaan tersebut hanyalah mitos yang tidak mempunyai asas dalam ajaran Islam.
Membeli pakaian terpakai juga bukanlah satu kesalahan. Malah, amalan ini boleh membantu seseorang berjimat, mengelakkan pembaziran dan menghargai barangan yang masih berada dalam keadaan baik.
Apa yang penting, pastikan pakaian tersebut diperoleh melalui urusan jual beli yang sah, dibersihkan dengan sempurna dan tidak disertai kepercayaan yang boleh merosakkan akidah.
Jauhilah segala bentuk tahayul dan khurafat agar kehidupan sentiasa berada dalam keberkatan serta perlindungan Allah SWT.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok