
Hukum solat atas kerusi siap ada tempat sujud? Persoalan ini diajukan kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam ruangan soal jawab di portal tersebut
Ia berikutan tersebar satu video di laman TikTok tentang kerusi khas untuk solat yang siap dengan tempat sujud.
Dalam hal ini menurut penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan perlu difahami terlebih dahulu bahawa menurut mazhab al-Syafi’i, sekiranya seseorang masih mampu sujud di atas sesuatu seperti bantal atau kerusi dengan syarat kedudukan punggungnya lebih tinggi daripada kepalanya (al-tankīs) maka dia wajib melakukannya.
Namun, jika keadaan sujud tersebut tidak menepati bentuk sujud yang sebenar, seperti apabila kepala berada lebih tinggi daripada punggung, maka dia tidak dituntut untuk melakukannya.
Perkara ini telah dijelaskan oleh Imam Ibrahim al-Baijuri:
فإن أمكنه السجود على نحو وسادة يضعها تحت جبهته مع التنكيس لزمه لحصول هيئة السجود بذلك وإن كان بلا تنكيس لم يلزمه السجود عليها لفوات هيئة السجود بل يكفيه ما أمكنه من الانحناء
Maksudnya: “Sekiranya seseorang itu mampu sujud di atas sesuatu seperti bantal yang diletakkan di bawah dahinya berserta tankīs maka wajib dia melakukannya kerana ia dapat menghasilkan bentuk sujud. Namun sekiranya demikian itu berlaku tanpa mendapat tankīs, maka tidak wajib sujud di atas bantal kerana bentuk sujud tidak sempurna. Sebaliknya memadai baginya menundukkan sekadar yang termampu[4].”
Tidak menepati bentuk sujud sebenar
Jika diteliti video tersebut dapat dilihat bahawa tempat sujud pada kerusi tersebut berada lebih tinggi daripada tempat duduk. Oleh itu, tidak diwajibkan untuk sujud di atas kerusi sedemikian kerana ia tidak menepati bentuk sujud yang sebenar. Malah, Imam Ibn Hajar al-Haitami menyifatkan sujud dalam keadaan seperti ini sebagai satu perbuatan yang sia-sia[5].
Kesimpulannya, tidak wajib untuk menunaikan solat di atas kerusi yang dilengkapi dengan tempat sujud. Hal ini kerana,kerusi yang ditunjukkan dalam gambar tersebut, bahagian tempat duduknya berada lebih rendah daripada tempat sujud.
Keadaan ini tidak menepati bentuk sujud yang sebenar yang dalam istilah Arab disebut sebagai al-tankīs iaitu kepala berada lebih rendah daripada punggung ketika sujud.
Selain itu, saiz kerusi yang besar seperti itu juga berpotensi mengganggu keselesaan dan kelancaran solat berjemaah, terutamanya dalam ruang solat yang terhad.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Baca Lagi: Had Sujud Ketika Solat Atas Kerusi
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI