
Sejak kebelakangan ini ramai dalam kalangan generasi kini mula memilih untuk hidup dalam sebuah perkahwinan dengan konsep childfree.
Konsep ini merujuk kepada kehidupan tanpa anak dan semakin menjadi pilihan dalam kalangan pasangan muda yang telah berkahwin.
Menurut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, antara faktor yang mendorong kepada pilihan ini ialah faktor ekonomi, emosi, kerjaya, kesibukan bekerja serta keinginan untuk menikmati kebebasan hidup tanpa komitmen besar dalam membesarkan anak.
Hal ini menimbulkan kebimbangan dalam masyarakat kerana ia boleh memberi kesan jangka panjang bukan sahaja kepada negara, malah juga kepada struktur sosial global. Mufti Wilayah turut menjelaskan bahawa trend ini, jika berterusan, boleh memberi impak kepada pertumbuhan penduduk dan keseimbangan sosial pada masa hadapan.
Umum mengetahui bahawa keinginan untuk memiliki anak dalam perkahwinan adalah fitrah kehidupan bagi kebanyakan pasangan. Malah, Islam tidak mewajibkan setiap pasangan mempunyai anak, namun pada masa yang sama tidak melihat isu ini secara ringan kerana ia berkait rapat dengan tujuan perkahwinan dan maslahat institusi keluarga.
Melalui portal Mufti Wilayah Persekutuan, dijelaskan bahawa perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah SAW yang amat dituntut. Ia selaras dengan fitrah manusia, iaitu lelaki dan perempuan saling memerlukan untuk hidup berkasih sayang dalam batas yang ditetapkan syarak.
Menurut Imam al-Khadimi, salah satu daripada tujuan (maqasid) perkahwinan ialah untuk menjaga keturunan (hifz al-nasl) dan memperbanyakkan zuriat. Bahkan, ia termasuk dalam tujuan asal dan asas perkahwinan.
BACA JUGA: Leka Kejar Harta Dunia Jangan Sampai Lupa Akhirat
Pensyariatan pernikahan juga seiring dengan fitrah semula jadi manusia yang cenderung untuk memiliki zuriat. Dalam masa yang sama, kasih sayang terhadap anak-anak bukan sahaja menjadi satu ujian, malah menjadi wasilah untuk mengumpul bekalan menuju akhirat. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”
(Surah Ali Imran: 14)
Oleh itu, isu ini boleh dipertimbangkan melalui beberapa pandangan iaitu:
- Harus jika mempunyai anak boleh menyebabkan keuzuran atau kemudaratan, dengan syarat kaedah pencegahan kehamilan yang digunakan menepati syarak dan tidak memudaratkan.
- Makruh jika pasangan sengaja memilih untuk tidak mahu anak hanya kerana mahu bebas daripada tanggungjawab, sedangkan tiada alasan yang diiktiraf syarak.
- Haram pula hukumnya jika pasangan itu memilih untuk tidak mempunyai anak buat selama-lamanya hingga melakukan cara untuk menghilangkan kebolehan reproduksi (pemandulan kekal).

Kita tahu bahawa Islam amat menggalakkan umatnya untuk berkahwin dan membina keluarga. Maka, tiada salahnya jika rumah tangga turut diserikan dengan kehadiran anak-anak sebagai amanah dan anugerah daripada Allah SWT. Namun begitu, setiap pasangan juga perlu menilai kemampuan ekonomi, kesihatan dan keadaan isi rumah masing-masing dengan penuh hikmah serta berpandukan syarak.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?








