
Ainul Mardhiah, bayi perempuan penghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’ yang kini dirawat di sebuah hospital kanak-kanak di London masih mampu tersenyum di sebalik kesakitan dialaminya.
Menerusi perkongsian di Facebook, bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, memuat naik klip video berdurasi sembilan saat memaparkan Ainul Mardhiah tersenyum sebaik disapa kakitangan hospital berkenaan.
https://www.facebook.com/ahmadsafiuddinahmadrazak/videos/2510242235666286/
Menerusi video yang dimuat naik dengan status tertulis ‘khas untuk yang nak tengok Ainul’, kakitangan hospital berkenaan dilihat bertanya khabar kepada bayi terbabit ketika sedang melakukan pemeriksaan ke atasnya.
Ainul Mardhiah kemudian tersenyum sebaik dipegang kakitangan hospital itu sebelum kedengaran suara seorang lagi wanita dipercayai doktor turut bertanyakan keadaan bayi terbabit.

1. Dr Fahja (anaesthetist, UK)
2. Dr Najmiah (anaesthetist, UK)
3. Dr Amalina ( General Surgeon, UK )
4. Prof Faridah ( Lecturer, UK )
5. Dr Jaseem ( anaesthetist, Malaysia )
6. Dr Guna ( anaesthetist, Malaysia )
7. Dr Ruhaiza ( Malaysia )
Siapa sangka, Ainul boleh ada doktor-doktor hebat seramai ini tulis Ahmad Safiuddin
Catatan Ahmad Safiuddin di Facebooknya juga begitu meruntun jiwa.
Ainul Mardhiah,
Kamu lebih kuat dari mama dan walid!
Bila kami fikirkan dan renungkan perjalanan ainul selama ini, penuh perit getir dan semuanya melibat risiko kehilangan nyawa.
But ya, she’s still alive alhamdulillah!
Ainul adalah pejuang! Kehadiran Ainul di atas dunia ini menggoncang bumi sehinggakan ramai orang berbuat ihsan dan baik kepadanya.
Kami yakin, ada sesuatu yang Allah nak tunjukkan kepada kami dan kita semua.
Allah sedang menzahirkan zatNya. Allah nak tunjuk yang DIA mampu buat apa yang hambaNya tidak akan pernah mampu.
Percaya lah anak, bila kamu selamat tiba di sini dengan perjalanan yang sangat panjang dan berisiko, walid dengan mama bertambah yakin bahawa kamu sememangnya anak yang kuat.
Kamu lebih kuat dari mama dan walid, wahai anak.
Rehat lah dalam katil kamu anak, Bantuan Allah pasti akan tiba tidak lama lagi.
Sumber kredit: Ahmad Safiuddin
VIDEO KASHOORGA:
Lelaki Ini Kongsi Bagaimana Cara Mudah Masuk Ke Hijr Ismail, Siap Boleh Makan Pizza

Nabi SAW bersabda barang siapa solat di Hijir Ismail adalah sama seolah-olah dia bersolat di dalam Kaabah sebab ia adalah sebahagian daripada Kaabah. Sebenarnya di Makkah, semua tempat mustajab berdoa. Namun jika ada peluang, pergilah ke Hijir Ismail kerana ia adalah antara tempat yang paling mustajab untuk berdoa.
Ikuti catatan Bijen Mohd di laman Facebooknya tentang pengalamannya ketika di Hijr Ismail.
Makan Pizza Di Hijr Ismail
Melampau sangatkan tajuknya? Haha! Tapi inilah tip paling excited yang saya nak kongsi, berkelah di dalam Hijr Ismail. Dalam post semalam saya ada cerita yang kebiasaannya kami akan beriktikaf di masjid sampai langit dah cerah barulah kami akan meneruskan aktiviti pagi yang seterusnya.
Ada satu hari tu lepas habis tawaf sunat di Mezzanine, isteri teringin sangat nak turun bawah. Sejujurnya bila datang berkeluarga ni, seboleh mungkin saya akan elak dari bersesak-sesak di bawah. Hanya turun di dataran ketika tawaf untuk umrah saja.
Tapi pada hari tu, saya layankan saja kehendak beliau. Mengidam ibu mengandung ni bukan boleh kira. Bila dah sampai di bawah, kami pun melepak-lepak di pinggiran sambil Aisya dan Nu’man sambung makan.
Saya pula ambil peluang melewati binaan Kaabah dari dekat. Tengah dok round-round tu, nampak macam ada peluang keemasan untuk kami. Saya cepat-cepat panggil isteri dan ambil anak-anak ajak merapati Kaabah.
Waktu tu dalam jam 8.42 pagi. (Inilah pentingnya ambil gambar, ada log timestamp. Hehe!) Di Kaabah tengah buat turnaround maintenance. Biasalah! Kan sekarang Makkah dilanda belalang dan cengkerik, eh! Jadi kerja menyah binatang yang melepak di kelambu Kaabah pun dilakukan. Oleh sebab itu Hijr Ismail dikosongkan.
Mungkin masyarakat yang sedang bertawaf ketika itu masih belum arif dengan SOP pembersihan, saya tengok tak ramai yang standby di pintu masuk Hijr Ismail. Atau, mereka standby di tempat yang salah. Heh!
MENYUSUP MASUK KE DALAM HIJR ISMAIL
Berbekalkan sedikit pengalaman yang ada, saya membawa isteri dan anak-anak menyusup ke tempat standby yang sepatutnya. Alhamdulillah, segala perjalanan dipermudahkan.
Bila saja kerja turnaround selesai dan pagar dibuka, saya terus memberi arahan kepada isteri untuk bergerak masuk ke dalam Hijr Ismail dan mengambil posisi bahagian kiri paling belakang. Ini posisi selamat! Berhimpit jugalah nak masuk tapi mengikut pengalaman, inilah yang paling mudah pernah saya rasai. Lalu berjayalah kami berempat berada di dalam Hijr Ismail pada pagi itu. Tak pernah disangka-sangka isteri.
Baik, sekarang apa nak buat di situ? Biasanya memang tak ada ruang nak solat pun sesampainya di situ. Relaks, tenang anak muda. Hijr Ismail tak lari ke mana. Duduk atau berdiri je di situ dulu sambil ambil nafas, berdoa, tangkap gambar atau apa-apa saja yang patut.
Percayalah, sekejap lagi adalah tu ruang untuk bersolat. Bergilir-gilirlah dengan isteri. Dah habis solat, berdoalah lama mana pun nak doa sambil jaga anak pula. Bagi chance orang lain pula nak solat.
Dah tak tahu nak buat apa (sebab susah nak keluar), makanlah pizza lebih malam tadi yang dibawa bekal dalam beg. Hahah! Slice pizza bubuh dalam resealable bag IKEA. Senang nak usung kehulu-kehilir. Ini penting supaya anak-anak tak lapar dan meragam.
JALAN MERAPATI KAABAH
Nak tak nak kena keluar juga. Jadi pandai-pandailah cari jalan keluar. Nescaya nak keluar lagi payah dari nak masuk tadi. Jalan keluar yang paling mudah sebenarnya adalah dengan merapati Kaabah dan mengesot keluar perlahan-lahan. Tapi nak rapat ke Kaabah berempat memang payah.
Cuma nak khabor bila dah berjaya keluar tu, jalan saja merapati Kaabah menuju ke rukun Yamani. InsyaAllah berpeluang besar memegang Kaabah dan seterusnya menyentuh rukun Yamani.
Selesai mengusap rukun Yamani, segeralah keluar dari arus pusingan tawaf tu untuk mengambil nyawa yang seterusnya. Tenang dan kenanglah nikmat Tuhan yang baru dicurahkan kepada kita. Jangan pula duk kalut nak try Hajarul Aswad dari situ. Sabar, ada teknik lain.
Sumber kredit: Bijen Mohd
Subhanallah, Guru Mengaji Ini Meninggal Lepas Mengajar. Ketika Hayatnya Tak Boleh Berpisah Dengan Al-Quran!

Saat kematian itu boleh datang mengejut tanpa ada tanda sedikit pun. Dan ia sudah menjadi takdir Allah yang tidak boleh kita sangkal.
Sebelum ini seorang Imam rebah ketika sedang imamkan solat di sebuah masjid. Dan semalam pula seorang guru agama menemui PenciptaNya sebaik selesai mengajar mengaji di Masjid Wadihana Mergong Alor Setar.
Dalam laporan Sinar Harian, Allahyarham Abdullah@Abdullah Sirajuddin Ahmad, 74 tahun dari Kampung Teluk Kechai dipercayai rebah di ruang mengajar masjid itu kira-kira jam 11 pagi sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Menurut anaknya, Syeikh Zainul Mukhtar, 45 tahun, bapanya keluar dari rumah mereka kira-kira jam 9 pagi untuk ke masjid bagi mengajar al-Quran seperti kebiasaannya sejak Mac lalu.
Namun dia dikejutkan dengan panggilan ibunya memaklumlan yang bapanya pengsan sebelum dimaklumkan sudah meninggal dunia ketika dia pergi ke sana.
“Seorang anak murid ayah dikenali sebagai Harun memaklumkan arwah ayah meninggal dunia dengan sangat mudah sebaik sahaja rebah dari tempat duduknya.
“Arwah ayah merupakan qari al-Quran negeri Kedah satu ketika dulu malah masih aktif memberi tunjuk ajar berkaitan al-Quran di beberapa masjid sekitar Alor Setar selepas bersara,” kata Syeikh Zainul.

Tambahnya lagi, bapa merupakan seorang bekas penghulu ini memang memiliki penyakit kencing manis dan darah tinggi namun tidak pernah mengadu sakit dada atau penat sebelum ini.
“Kematian bapa saya menjadi tular dan arwah dijemput dalam keadaan baik, di rumah beliau sentiasa dengan al-Quran, jika tidak mengajar beliau akan membaca al-Quran.
“Boleh dikatakan hidupnya hanya dengan kitab suci itu, dia juga ramai kawan dan anak murid, arwah sering berpesan supaya menjaga pertuturan dan menjaga adab dengan orang ramai.
“Selepas ini kami anak-anak pasti merindui alunan bacaan al-Quran beliau, namun Allah lebih sayangkan bapa dan kami reda dengan pemergiannya“ katanya kepada Berita Harian.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 6 petang kelmarin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Charuk Kudong, Pendang.
“Abah Tak Selalu Ada, Tapi Allah Sentiasa Ada…” Abah Kena Jadi BFF Anak Perempuan Sebelum Hatinya Diambil Orang Lain

Tidak dinafikan baik anak lelaki atau perempuan mereka dilihat lebih rapat dengan ibunya berbanding si ayah. Ini kerana segala permintaan mereka biasanya akan dilayan sepenuhnya oleh kaum ibu.
Tetapi sebenarnya dalam dunia yang semakin mencabar ini, anak perempuan dinasihatkan menjadikan kaum bapa sebagai rakan BFF mereka.
Mereka sebenarnya boleh berkongsi apa jua masalah atau kisah peribadi dengan ayah yang dianggap hero. Sebelum si anak mengenali lelaki lain, Lebih baik dia mengenali sifat sebenar lelaki daripada insan yang bergelar bapa.
Maklumlah ketika anak sedang meningkat remaja ini, emosi mereka boleh berubah-rubah. Jadi jangan biarkan orang lain menjadi orang tengah (kawan lelaki) sebagai tempat melepaskan segala bebanan ditanggung.

Seperti perkongsian seorang ayah ini, Ammar Kamilin yang tersedar beta tak mudahnya mendapatkan momen berdua bersama anak perempuannya. Malah untuk membolehkan anak itu berkongsi cerita dengan si ayah tanpa didengar oleh adik beradik lain.
Sibuknya Ayah, Tak Sempat Bercakap Dengan Anak Perempuan
“Dia macam ada masalah dengan ayah dia. Ayah dia terlalu sibuk, sampai tak sempat bercakap dengan dia.
Mula-mula dia tak kisah sangat. Dia faham, ayah dia bekerja untuk sara keluarga. Tapi, lama-lama dia macam kecil hati, sebab dengan abang dan kakak dia, ok je ayah dia layan. Dengan adik-adik dia pun ok.” Panjang lebar dia bercerita.
“Tapi, pelajaran dia di sekolah, elok kan. Tak silap abah, ‘Top 5’ lagi.”
“Itulah. Pelajaran dia masih ok. Tapi, itu tahun lepas. Kebelakangan ni, dia macam banyak berkhayal dan tiba-tiba menangis. Risau juga, takut dia ‘stress’ dan ‘effect’ pelajaran dia.”
Abah hanya mengangguk-angguk. Mengenangkan karakter rakan perempuan yang dia diceritakan.
Abah memang biasa dengan kebanyakan rakan-rakan dia. Hampir satu kelas pernah bersembang dan bergurau mesra dengan abah.
Kebiasaan, semasa mengambil dia di depan sekolah, sempat juga menyapa mereka dan mengambil hati dengan soalan-soalan bertanya khabar.
Ada antara mereka pernah datang ke rumah untuk buat tugasan sekolah dan belajar bersama.
Rakan yang diceritakan ini pernah bertandang ke rumah. Sudah pasti, perasaannya lebih berat apabila terkenang ujian yang sedang dilalui anak remaja ini.
Abah tidak pasti apa yang difikirkan oleh bapa-bapa sehingga ada antara mereka ‘terlepas pandang’ perasaan anak remaja perempuan.
Ini ‘Alarm’ Untuk Ayah Agar Kekal Di Sisi Anak Remaja Perempuan
Dalam kes anak ini, dia berada di ranking tengah dalam susunan adik beradik. Dia memiliki kakak dan abang yang hampir dewasa, juga memiliki adik-adik kecil di bawahnya.
Abang dan kakak sudah boleh membawa diri, walaupun tidak dipeduli si ayah. Adik-adik masih dijaga dan dikawal oleh ibu.
Lalu dia yang di tengah-tengah, seperti terabai. Masih di peringkat awal remaja, tetapi dibiar keseorangan berdikari. Saya tidak mendabik dada, konon bapa sempurna. Ada masa terlupa juga.
Apabila cerita begini diceritakan oleh anak, ia seperti ‘alarm’ yang mengingatkan diri sendiri supaya kekal berada di sisi anak remaja, terutamanya perempuan.
Walaupun, umumnya, mereka lebih rapat dengan ibu, tetapi ada sisi seorang bapa yang masih mereka perlukan (bagi yang punya bapa).
Para bapa, tanya diri, bila kali terakhir kita benar-benar memperuntukkan masa khusus untuk anak remaja perempuan? Tanpa ada abang, kakak, atau adik-adik bersama mereka.
Mereka perlukan masa ‘berkualiti’ bersama kita. Mereka tidak akan berbincang isu-isu ‘dewasa’ sekiranya wujud terlalu ramai gangguan di sekeliling mereka.
Macam anak remaja perempuan saya, dia cukup tidak selesa apabila mahu mengadu sikit, adik-adik terlopong mendengar bersama-sama di sebelah abahnya. Dia terus ‘turn off’. Di rumah, memang ruang itu hampir tiada.
Lalu, dia memilih untuk banyak diam. Yang ruginya, saya sebagai bapa. Tempoh paling kritikal perkembangan seorang remaja, tidak dapat dikongsi bersama.
Tetapi, Allah ilhamkan ruang yang saya tidak nampak sebelum ini sebagai ‘sesi berdua berkualiti’ bersama dia. Waktu pergi dan balik sekolah setiap hari di dalam kereta. Hanya itu waktu kami boleh bercakap berdua sesuka hati tanpa didengari sesiapa.
Jika sebelumnya, waktu itu dia isi dengan tidur selenanya. Sekarang, seboleh mungkin saya isi dengan aktiviti yang menghalang dia tidur.
Waktu itulah, saya mendapat pelbagai cerita dari sudut pandang seorang remaja perempuan. Saya boleh kata, bukan mudah mengumpan mereka membuka mulut. Kita perlu dapatkan ‘kepercayaan’.
Bagaimana?
Pastikan, waimma satu patah perkataan yang mereka sebut, tidak disampaikan pada orang lain. Sekali mereka terdengar kita ‘tercerita’, kepercayaan akan hilang. Membina semula kepercayaan, perlukan usaha berkali ganda.
(cerita rakan tadi, dicerita atas keizinan)
Anak Ini Semakin Dewasa
Sesekali dia tertidur semasa saya memandu, saya renung wajah anak perempuan remaja ini.
Dia makin dewasa. Budak kecil yang saya letak dalam bakul motor dan bawa meronda waktu petang, sudah ‘tiada’. Budak kecil yang meradang jika saya sorokkan bantal busuknya sudah ‘tiada’. Budak kecil yang memeluk kaki saya dan minta didukung, sudah ‘tiada’.
Budak kecil yang setiap hari menyanyi riang lagu ‘Barney and friends’ dan memeluk saya sebagai Barney, sudah ‘tiada’.
Tahu-tahu, stereng kereta basah disebabkan tangan yang mengesat airmata terus hinggap padanya. Begitu saya hiba, kerana, Budak kecil yang setiap masa dulu, sebelum tidur mahu abah bacakan kisah-kisah Nabi dalam Al-Quran, sudah tidak perlukan abah untuk memeluk dia sebelum tidur.
Dia sudah remaja. Menuju dewasa. Semuanya telah lepas.
Yang tinggal, kenangan. Sedang saya hiba, Kepalanya menunjal-nunjal batang gear manual kereta Myvi yang sedang bergerak.
‘Hai anak. Abah tahu nak tukar gear. Tak perlu tanduk gear abah ni.’
Saya tersenyum dalam leleh airmata. Menolak perlahan kepalanya ke tingkap.
Penat sangat agaknya. Dia bukan tak perlukan abah.
Cuma, keperluannya sudah berbeza.
Dia sudah tak perlu didukung, tetapi dia mahu seorang abah yang mendorong. Dia tak perlu pencerita, tetapi dia mahukan seseorang untuk bercerita. Dia tak perlu bantal busuk, tetapi dia perlukan seseorang yang boleh menenangkan dia dalam sukar, sama seperti fungsi bantal busuk pada dirinya dulu.
Bapa. Ini bukan cerita anak saya saja.
Cerita anak remaja kita jua.

Usahakan ‘5C’ Pada Anak Remaja Perempuan
1. Cakap
Bapa kena selalu bercakap dengan anak perempuan. Jangan biarkan sehari berlalu dalam hidup kita tanpa sepatah perkataan untuk dia. Dia perlu tahu, dia masih ada tempat dalam hidup ayahnya. Dia perlu rasa ‘visible’ di mata ayahnya.
Anak perempuan yang sunyi dari suara ayahnya, cenderung mencari suara lelaki lain untuk mengisi kekosongan itu.
Mahukah begitu, wahai ayah?
2. Cakna
Bapa perlu ambil tahu, apa keperluan anak perempuan. Terutama apabila mereka baligh. Mereka sudah mula mempunyai hormon yang dirembes mengikut kitaran. Dia akan berperangai saling tak tumpah seperti ibunya. Haruslah, mereka sedang menuju dewasa. Jadi, emosi mereka, bapa perlu cakna (ambil tahu).
3. Calm
Bapa perlu sentiasa tenang dalam menangani anak perempuan. Tunjukkan pada mereka, kemampuan kita mengawal emosi, barulah mereka dapat meniru yang baik daripada kita.
Ada masa kita betul, ada masa mereka juga mungkin betul.
Elakkan panas baran tak tentu hala. Maki sesedap rasa. Mereka akan takut dan menjauhkan diri.
Tahu kan, statistik menunjukkan ramai lelaki di rumah orang-orang tua? Elakkan daripada puncanya kerana perangai kita yang mudah ‘naik hantu’.
4. Ceria
Bapa perlu menunjukkan sisi ceria seorang ayah. Ayah perlu dilihat ‘jinak’ oleh anak perempuan supaya mudah didekati. Tiada siapa yang berani dengan ayah yang bengis 24 jam.
Kalau pun tidak pandai berhumor, tunjukkan kita mampu ketawa. Kalau mampu ‘gila-gila remaja’, itu lebih mereka suka, kerana kita ‘match’ dengan mereka.
Ya, perkara serius, kita perlu kekal serius.
Bercanda mengikut kesesuaian ya.
5. Cinta
Ini yang terpenting bagi saya, tetapi diletakkan terakhir supaya tidak dilupakan.
Bawa anak remaja perempuan mencintai Allah. Cari ruang menjadi imam untuk mereka. Ambil peluang bercerita kisah-kisah perempuan baik dalam sirah Islam.
Sentiasa ingatkan mereka, “Abah tidak selalu ada, tetapi Allah sentiasa ada dan dekat dengan kita. Mengadu dan meminta pada Dia. ”
Satu lagi abah,
Dalam masa sama, usah berhenti menunjukkan kasih sayang pada anak perempuan. Peluk dan cium mereka. Elakkan mereka kekok memeluk kita dek kerana lama tidak menyentuh mereka.
Dia, anak kita.
Budak kecil yang kita buatkan susu dan tukar pampersnya. Masih budak yang sama, cuma dia sedang mendewasa.
Jauh dalam hatinya, kita kekal abah dia.
Sampai bila-bila.
Sumber/Foto : Ammar Kamilin, Bahu untuk anak perempuan bersandar.