
Hukum Ulang Baca Ayat 58 Surah Yasin 3 Kali Untuk Makbulkan Doa. Ketika bacaan Yasin ada dalam kalangan kita yang mengulang ayat 58 ( iaitu bacaan سَلَامٌ قَوْلًا مِّن رَّبٍّ رَّحِيمٍ) dari surah ini sebanyak tiga kali atau bilangan ganjil sebelum meneruskan ayat seterusnya.
Amalan mengulang ayat ini bertujuan agar diperkenankan atau dimakbulkan segala hajat dan permintaan.
Namun begitu ada juga yang tertanya akan hukum amalan ini, apakah ia benar dan disebut dalam hadis?
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui portalnya menjawab persoalan ini.
Adat dan amalan masyarakat Melayu
Surah Yasin digelar sebagai hati al-Quran dan sesiapa yang membacanya akan diberi ganjaran pahala seperti membaca al-Quran sebanyak sepuluh kali. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas RA bahawa Nabi SAW bersabda :
إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ قَلْبًا وَقَلْبُ الْقُرْآنِ يس وَمَنْ قَرَأَ يس كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِقِرَاءَتِهَا قِرَاءَةَ الْقُرْآنِ عَشْرَ مَرَّاتٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu mempunyai hati, dan hati bagi al-Quran adalah surah Yasin. Sesiapa yang membaca surah Yasin, Allah SWT akan menulis pahala baginya seumpama membaca al-Quran sebanyak sepuluh kali.” (Riwayat al-Tirmizi)
Terdapat adat dan amalan masyarakat melayu di sesetengah tempat membaca surah Yasin dan apabila sampai pada ayat ke-58 iaitu (سَلَامٌ قَوْلًا مِّن رَّبٍّ رَّحِيمٍ) akan diulangi sebanyak 3 atau 7 kali dan berdoa kepada Allah SWT.
Sunat mengulang ayat al Quran
Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sunat seseorang itu mengulang-ulang sesuatu ayat al-Quran untuk bertadabbur dan seumpamanya.
Perbuatan ini diamalkan oleh golongan para sahabat Nabi SAW dan juga golong salafussaleh.[1] Ibn Mas’ud pernah beramal dengan mengulang ayat (رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا).[2] Imam al-suyuti juga berpendapat harus mengulang-ulang sesuatu ayat sebagaimana Nabi SAW pernah mengulang-ulang satu ayat ketika solat.[3] Hal ini sepertimana yang disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zar al-Ghifari katanya:
قَامَ النَّبِيُّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ بِآيَةٍ حَتَّى أَصْبَحَ يُرَدِّدُهَا
Maksudnya : “Rasulullah S.A.W pernah berdiri di dalam solat dengan membaca satu ayat yang baginda mengulang-ulangnya sehingga pagi” (Riwayat Ibn Majah)
Selain itu, terdapat saranan daripada Nabi SAW ketika memohon sesuatu hajat dengan menjadikan al-Quran sebagai perantaraan agar Allah SWT menunaikan segala permintaan dan hajat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin Hussain RA, katanya aku mendengar Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فَلْيَسْأَلِ اللَّهَ بِهِ فَإِنَّهُ سَيَجِيءُ أَقْوَامٌ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ يَسْأَلُونَ بِهِ النَّاسَ
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca al-Quran, maka hendaklah ia meminta kepada Allah dengannya. Sesungguhnya sesuatu kaum akan datang, apabila mereka membaca al-Quran kemudian mereka akan meminta-minta kepada manusia” (Riwayat Al-Tirmizi)
Kesimpulannya, amalan membaca surah Yasin dengan mengulang ayat 58 sebanyak tiga atau tujuh kali apabila sampai pada ayat tersebut adalah dibolehkan bahkan sunat mengulang-ulang ayat al-Quran terutamanya bagi tujuan bertadabbur.
Selain itu juga, turut digalakkan untuk berdoa dan meminta sebarang hajat kepada Allah SWT dengan menggunakan ayat al-Quran sebagai perantaraan agar doa dan hajat diperkenan oleh-Nya.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Baca: Letak Surah Yasin Bawah Bantal Untuk Elak Gangguan Jin & Syaitan, Haram Hukumnya!
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?





