
Menghormati dan taat kepada ibu bapa adalah kewajiban yang wajib dipatuhi oleh setiap anak. Malah, derhaka kepada ibu bapa termasuk dalam dosa besar, lebih-lebih lagi jika melibatkan ibu yang telah mengandung dan melahirkan anak dengan penuh susah payah.
Kedudukan ibu dalam Islam sangat tinggi. Kewajiban berbuat baik kepada ibu bahkan didahulukan berbanding bapa, sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?” Maka Rasulullah SAW menjawab: “Ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.” Riwayat Muslim (2548)
Namun dalam kehidupan, ada juga anak yang diuji dengan sikap ibu bapa sendiri.
BACA JUGA: Tekanan Hidup Buat Jiwa Gundah, Ini Cara Tenangkan Hati Mengikut Islam
Ada ibu yang suka bercakap buruk tentang anak kepada orang lain sehingga membuatkan si anak berasa kecil hati dan terluka. Persoalannya, apakah yang perlu dilakukan dalam keadaan sebegini?
Menurut perkongsian Ustaz Azhar Idrus ketika menjawab soalan berkaitan perkara ini dalam satu video di YouTube, anak-anak sepatutnya tidak kecil hati terhadap ibu bapa.

Jika terasa hati, cubalah pujuk hati dan bersabar. Ini kerana sebesar mana pun kesilapan mereka, merekalah insan yang melahir dan membesarkan kita di dunia ini.
“Itulah ibu yang melahirkan kita,” kata beliau.
Dalam pada masa yang sama, bukan bermakna anak hanya perlu berdiam diri tanpa sebarang usaha.
Antara perkara yang boleh dilakukan ialah menegur ibu bapa dengan cara yang baik dan penuh adab. Ini kerana dalam Islam, agama itu adalah nasihat. Teguran boleh dibuat dengan lembut, sopan dan tidak meninggikan suara.
Anak boleh mengingatkan ibu bapa bahawa Allah SWT tidak menyukai perbuatan memburuk-burukkan orang lain, apatah lagi jika ia membawa kepada fitnah.

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nur ayat 11, ketika menceritakan tentang golongan yang menyebarkan fitnah terhadap Saidatina Aisyah RA:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar.” (Surah An-Nur: 11)
Ketika menegur, jagalah tutur kata dan pilih waktu yang sesuai. Jangan sesekali membalas dengan kata-kata kasar atau menunjukkan reaksi yang boleh mengundang pergaduhan yang lebih besar.
Adab seorang anak tetap perlu dipelihara walaupun hatinya sedang terluka.
Jika teguran tidak mengubah keadaan, maka jalan terbaik adalah bersabar.
Bukan mudah untuk memendam rasa, namun sabar itu adalah sebahagian daripada kekuatan orang beriman.
Selepas itu, iringilah dengan doa agar Allah SWT melembutkan hati ibu bapa, memberi mereka petunjuk dan memperbaiki hubungan dalam keluarga.
Sesungguhnya hati manusia berada dalam genggaman Allah. Sehitam mana pun hati seseorang, Allah mampu membolak-balikkannya menjadi lembut dengan izin-Nya.
Ujian dengan ibu bapa sendiri sememangnya berat, apatah lagi apabila hati terguris oleh kata-kata mereka.
Namun sebagai anak, kita tetap dituntut untuk menjaga adab, tidak membalas keburukan dengan keburukan, sebaliknya memilih jalan nasihat, sabar dan doa.
Mudah-mudahan kesabaran itu menjadi asbab turunnya rahmat Allah dalam keluarga, lalu hubungan yang renggang kembali pulih dan hati yang keras kembali lembut.
Jangan pernah berhenti berdoa kerana doa seorang anak yang ikhlas mampu menjadi jalan perubahan yang tidak disangka-sangka.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







