Kebanyakan suami sangat mengambil berat tentang nafkah batin. Keadaan ini menyebabkan ada sesetengah isteri yang begitu prihatin tentang kepuasan suami ketika melakukan hubungan intim apatah lagi jika mereka sudah beberapa kali bersalin.
Malah ada isteri yang sampai ke peringkat mahu melakukan rawatan “laser vaginal tightening” untuk mengetatkan faraj demi kepuasan suami. Dalam hal ini adakah ia dibenarkan oleh syarak?
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, rawatan Rawatan “laser vaginal tightening” (mengetatkan otot-otot faraj yang longgar) melibatkan proses mengubahsuai ciptaan-Nya.
Mengubah ciptaan Allah SWT bermaksud mengubah fitrah yang ditetapkan pada makhluk-Nya; sama ada daripada sudut agama atau penciptaan-Nya. Ini berdasarkan dalil- dalil berikut:
Maksudnya : Tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia atas fitrah itu,Tidaklah patut ada sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu. Surah al-Rum (30)
Hukum berdasarkan tujuan
Oleh itu, solusi hukum berdasarkan tujuan serta keadaan -keadaan berikut :
Ads
Harus – bagi tujuan merawat penyakit (daruriyyat) atau kecacatan akibat kesan kemalangan agar dapat mengembalikan semula bentuk asal serta memulihkan fungsinya.
Haram – bagi tujuan kosmetik (tahsiniyyat) semata-mata mahupun meningkatkan kepuasan seks pasangan.
Ads
Larangan tersebut atas faktor -faktor berikut :
Kelonggaran faraj merupakan proses semula jadi yang berlaku akibat penuaan, atau kekerapan bersalin, maka ia termasuk dalam mengubah ciptaan-Nya.
Ancaman fitnah kerana melibatkan pendedahan aurat yang bukan bertujuan keperluan perubatan.
Justeru, perkara yang perlu dipertimbangkan dalam penentuan hukum adalah niat melakukan “laser vaginal tightening” sama ada ia bertujuan kosmetik semata-mata atau atas dasar maslahat daruriyyat atau hajiyyat.
Hal ini kerana, rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaan-Nya hanya boleh diterima pada situasi keperluan mendesak (daruriyyat) dan bukan semata-mata untuk kecantikan serta kepuasan nafsu.
‘Sebelum makan, baca doa ini dulu.’ Berhati-hati bila terima makanan orang, sekali terkena merana badan. Percaya atau tidak dalam dunia serba moden ini masih ada lagi yang amalkan sihir.
Kata orang sihir melalui makanan sukar diubati kerana makanan telah menjadi sebati dan menjadi darah daging. Oleh sebab itu diingatkan berhati-hati menerima makanan daripada orang seperti yang dikongsikan Syarifah Fatiha Karim ini.
Mohon berhati-hati bila menerima makanan orang!
Sedih sampai ke hari ini, saya adik kepada arwah yang meninggal kerana disantau kawan baik sendiri. Dek kerana cemburu dan iri hati! Kecewa sangat sebab mereka tidak ubah seperti adik beradik!
Arwah baik orangnya, sampaikan dia tidak kisah berkongsi apa sahaja dengan kawan-kawan dia. Malah tunang dia pun dia suruh tolong ambilkan kawan dia balik kerja dan lain-lain. Punya baik sampai orang lain jatuh hati dekat tunang dia!
Kisah bermula bila arwah beritahu hendak kahwin. Kawan baik dia mula berperangai pelik. Kadang macam-macam cara untuk bagi arwah cemburu pada tunang dia.
Tapi arwah cakap, “Kalau Razif dengan engkau Fina, aku tak akan cemburu! Kau kawan baik aku.” Razif adalah tunang arwah.
Bermulalah episod makanan! Hari-hari si Fina ini bagi makanan dekat kakak. Setiap kali rehat waktu kerja, Fina datang office kakak hantar makanan!
Memang baik gila, macam mana kakak tak syak dia apa-apa. Sebab dia nampak baik, tapi satu hari akak terjumpa paku karat dalam makanan.
Dari situ kakak mula sakit, sampailah perut dia membesar macam orang mengandung! Razif tetap setia, malah dialah yang bawa kakak berubat walaupun Si Fina itu fitnah kakak bersekedudukan dan bunting anak luar nikah.
Akhirnya jumpa seorang ustaz dan berjaya keluarkan segala benda dalam badan kakak dan jumpa macam-macam benda bawah rumah. Tapi sayang, kakak meninggal kerana terseksa. Sampai sekarang kami tak dapat lupakan apa yang berlaku pada kakak.
Fina? Entah hilang ke mana, Abang Razif sekarang sudah jadi suami saya kerana wasiat kakak, minta aku berkahwin dengan Abang Razif. Sekarang kami dikurniakan seorang anak bernama Syarifah Fatimah (nama arwah kakak).
Aku harap cerita aku ini boleh dijadikan tauladan! Share supaya kita semua lebih berhati-hati.
Oh ya, dalam pada itu, ustaz yang ubatkan kakak ajar kami doa ni dan saya amalkan takut juga kalau-kalau ada yang dengki dan busuk hati buat benda yang sama pada makanan kami :
(Bismillahil Lazi La Yadhurru Ma’as Mihi Shai Un Fil Ardhi Wala Fis Sama I Wahuwas Sami Ul Alim)
Ertinya: Dengan Nama Allah yang tidak akan memberi mudarat bersama nama-Nya sesuatu apa pun di langit dan di bumi dan Dialah yang Maha Mendengar dan Maha Melihat.
Sesiapa yang membaca doa ini apa-apa pun tidak akan dapat memberi mudarat padanya (Sunan Abu Dawud, al-Tirmidhi, IBn Majah dan Musnad Ahmad).
Bab poligami memang sensitif bagi wanita, namun ia amat digemari lelaki. Isu ini melibatkan soal hati. Walaupun Islam mengenakan syarat ketat mengharuskan poligami, namun wanita tidak yakin akan jaminan yang suami mampu berlaku adil setelah berkahwin lain.
Tidak hairanlah jika ada bakal isteri meletakkan syarat tidak mahu suami berpoligami. Kita ikuti penjelasan panjang Mufti Wilayah Persekutuan akan hal ini.
Assalamualaikum. Apakah hukum jika seorang isteri meletakkan syarat dalam perkahwinan bahawa suaminya tidak boleh berpoligami?
Adakah syarat ini sah disisi syarak, dan perlukah suami mematuhinya?
Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Para ulama telah membahaskan isu ini dalam karangan-karangan mereka, dan kami bawakan sebahagian nukilan pandangan mereka:
Menurut Akmal al-Din al-Babarti, syarat seumpama ini adalah fasid, kerana ia berbentuk larangan ke atas perkara yang diharuskan syara’, namun ia tidak membatalkan nikah. Jika suami mematuhi syarat itu, maka isteri perlu diberikan mahar musamma, dan jika syarat itu tidak dipatuhi, isteri perlu diberikan mahar mitsil. Menurut Imam al-Sarakhsi pula, syarat sebegini tidak perlu dituruti oleh suami.
Menurut Imam Malik, syarat seumpama ini adalah batil, namun nikah itu tetap sah. Beliau menukilkan pandangan Sa’id ibn Musayyib menyatakan perkahwinan seumpama ini adalah sah dan diharuskan.
Namun menurut satu atsar yang diriwayatkan oleh Al-Laith ibn Sa’ad dimana pada zaman Umar al-Khattab, seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita yang mensyaratkannya agar tidak membawanya keluar dari negeri asalnya. Umar apabila mendengar hal ini, telah mengangkat syarat itu dari lelaki tersebut, dan perkahwinan itu tidak dibatalkan.
Menurut Khalil ibn Ishaq al-Jundi, syarat-syarat yang dikenakan oleh isteri untuk bernikah seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa mengikuti peperangan dan tidak tidak boleh dibawa keluar daripada rumah dan seumpamanya adalah makruh, dan Imam Malik berkata beliau telah meminta para hakim untuk melarang orang ramai daripada terlibat dengan syarat-syarat seumpama itu.
Menurut para fuqaha’ mazhab Syafi’e iaitu Imam al-Nawawi, Ibn Hajar al-Haitami, Imam Khathib al-Syarbini dan Syeikh Zakariyya al-Ansari, syarat jenis ini dihukum sebagai fasid dan ia turut menyebabkan mahar menjadi fasid, namun ia tidak membatalkan akad nikah itu sendiri.
Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji juga ada disebut bahawa syarat seumpama ini adalah bercanggah dengan tuntutan nikah itu sendiri, tapi ia tidak menafikan tujuan asasi nikah iaitu menghalalkan persetubuhan. Syarat seperti ini ialah fasid, namun nikah itu tetap sah.
Menurut Ibn Qudamah, syarat nikah terbahagi kepada tiga, salah satunya ialah yang wajib dipenuhi oleh suami, yang berkait dengan maslahah terhadap dirinya sendiri, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa bermusafir dan tidak dibawa menemani ke peperangan.
Jika syarat ini tidak dipenuhi, isteri berhak untuk menuntut fasakh. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Umar Al-Khattab, Sa’ad bin Abi Waqqas, Mu’awiyah, Amru bin Al-‘Aas R.Anhum, Syuraih, Umar bin Abdul Aziz, Thawus dan Al-Auza’ie.
Menurut beliau lagi, ini merupakan pandangan para sahabat dan beliau tidak dapati sebarang sanggahan daripada para sahabat lain pada permasalahan ini, maka ia menjadi ijma’.
Selain itu, sabda Nabi SAW juga: الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ
Maksudnya: Kaum Muslimin itu terikat dengan janji-janji mereka. Sunan Tirmidzi (1352) dan Sunan Abu Daud (3594)
Dakwaan bahawa syarat seperti ini mengharamkan yang halal juga tidak tepat, kerana syarat itu hanya berbentuk pilihan kepada isteri untuk menuntut fasakh daripada suami, jika syaratnya itu tidak dipatuhi.
Namun demikian, tidak diharuskan jika syarat itu menghendaki bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada, kerana terdapat larangan yang jelas dalam hadith:
“Janganlah seorang wanita meminta bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada dan merampas haknya. Berkahwinlah (walaupun tanpa menetapkan syarat demikian), sesungguhnya dia akan memperoleh apa yang Allah SWT telah tetapkan kepadanya” Sahih Muslim (1408)
Imam al-Mardawi pula menganggapnya sebagai satu syarat yang sah dan perlu dipatuhi, dan jika suami melanggar syarat ini, isteri berhak untuk memohon fasakh. Syeikhul Islam ibn Taimiyyah juga pernah ditanya soalan ini, dan beliau menyebut bahawa syarat tersebut adalah sah, dan suami perlu mematuhinya.
Antara dalil beliau ialah kata-kata Umar al-Khattab yang dihadapkan dengan satu kes melibatkan suami isteri yang telah bersetuju sewaktu akad supaya suami tidak berpoligami, beliau mengesahkan syarat tersebut dan berkata: Pemutus-pemutus hak itu bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
Mengikut satu qaul Imam Ahmad yang diterima jumhur fuqaha’ mazhab Hanbali, mematuhi syarat ini hukumnya sunat, dan isteri berhak menuntut fasakh jika suami tidak mematuhinya.
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pula memilih pandangan yang mewajibkannya, dan ia adalah pendapat yang lebih sahih.
Namun demikian, jika isteri itu redha dengan pelanggaran syarat yang dilakukan oleh suami contohnya poligami ini, isteri tidak berhak lagi untuk menuntut fasakh.
Namun kedua-dua suami dan isteri tidak boleh mensyaratkan agar kedua-duanya tidak boleh berkahwin lagi setelah mereka bercerai atau salah seorang daripada mereka meninggal dunia.
Namun jika syarat seumpama ini ditetapkan setelah berlaku akad, maka syarat itu tidak lagi perlu dipatuhi. Namun kata Ibn Rajab, syarat itu tetap wajib dipatuhi meskipun ia ditetapkan setelah akad nikah, dan inilah pandangan yang azhar dalam mazhab Hanbali.
Perbahasan Pandangan Ulama dan Tarjih Imam Ibn Rusyd sewaktu memberi komentar tentang isu ini menulis: Para ulama’ berbeza pandangan pada hukum mematuhi syarat seumpama ini, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh membawa isteri pergi berperang atau berpindah dari negerinya.
Manakala menurut al-Auza’ie dan Ibn Syubrumah, isteri berhak mengenakan syarat itu dan suami mestilah mematuhinya. Ibn Shihab juga menyatakan para ulama berpegang pada pendapat ini. Qaul mereka ini diriwayatkan daripada Ali dan Umar R.A. Adapun faktor perbezaan pandangan mereka ialah kerana percanggahan antara nas umum dan nas khusus. Nas umum ialah hadith daripada ‘Aisyah r.a:
Sesiapa yang mengenakan syarat yang tidak terdapat dalam al-Qur’an maka ia bathil, meskipun dia mengenakan seratus syarat sekalipun. Syarat Allah lebih benar dan dipercayai. Riwayat al-Bukhari (2155)
Manakala nas khusus pula ialah hadith daripada ‘Uqbah bin Amir: Sesungguhnya syarat yang lebih berhak untuk dipatuhi dan ditunaikan ialah syarat yang menghalalkan hubungan kelamin (syarat perkahwinan). Riwayat Muslim (1418)
Kedua-dua hadith ini adalah sahih, namun yang lebih masyhur dalam kalangan usuliyyun ialah mendahulukan nas khusus ke atas yang umum, dan dalam kes ini, wajib untuk mematuhi syarat yang telah dipersetujui bersama isteri.” (Rujuk Bidayah al-Mujtahid, 3/81-82)
Kesimpulan Tuntasnya, kami mentarjihkan pandangan yang mengharuskan syarat yang dikemukakan isteri sebelum akad agar suami tidak boleh berpoligami, dan para suami hendaklah mematuhi persetujuan yang telah ditetapkan bersama isteri, demi memelihara keutuhan rumah tangga yang harmoni.
Namun dalam masa yang sama, syarat-syarat yang diletakkan manusia bukanlah hukum Allah SWT yang tidak boleh dipinda dan diubah. Sikap toleransi dan berlapang dada mestilah diutamakan, dan dalam banyak keadaan, perbincangan hati ke hati pastinya akan menatijahkan hasil yang positif.
Maka, meskipun isteri memiliki hak untuk menuntut fasakh jika suami tidak mematuhi syarat yang ditetapkan, pertimbangan yang rasional dan pemikiran matang haruslah digunakan dalam membuat sebarang keputusan.
Kami akhiri dengan doa seperti yang diajar oleh Allah SWT:
“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)
Dunia ini bukan saja dihuni oleh manusia tetapi juga semua makhluk ciptaan Allah. Ia termasuklah tumbuh-tumbuhan, gunung ganang, jin dan apa juga makhluk yang diciptakan.
Jika manusia itu dijadikan dari tanah, jin dijadikan dari api. Kisah makhluk bernama jin ini ada dinyatakan dalam surah Al-Jinn.
Surah Al-Jinn ialah surah ke-72 dalam al-Quran. Surah ini tergolong surah Makkiyah dan terdiri atas 28 ayat. Dinamakan "al-Jinn" yang bererti "Jin" diambil dari kata "al-Jinn" yang terdapat pada ayat pertama surah ini. Pada ayat tersebut dan ayat-ayat berikutnya diterangkan bahawa jin sebagai makhluk halus telah mendengar pembacaan Al Quran dan mereka mengikuti ajaran Al Quran tersebut.
Kalau manusia itu meninggal dunia, bagaimana dengan jin. Adakah sama seperti manusia? Ikuti penjelasan dari pejabat Mufti Wilayah bagaimana jin mati.
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Pada asasnya, setiap makhluk akan mati dan binasa. Allah SWT berfirman:
Maksudnya: Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa: (26) Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan: Surah al-Rahman (26-27)
Ibn Kathir berkata: Allah SWT memberitahu bahawa seluruh penghuni bumi akan pergi dan mati secara keseluruhan. Demikian juga halnya dengan penghuni langit, kecuali yang dikehendaki oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/110)
Menjawab persoalan di atas, jin juga adalah daripada makluk yang mengalami kematian sepertimana matinya manusia. Antara dalilnya adalah berdasarkan umum firman Allah SWT:
Maksudnya: Mereka (yang ingkar derhaka seperti itu) ialah orang-orang yang tetap menerima hukuman (azab) bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka – dari kalangan jin dan manusia; kerana sesungguhnya mereka telah menyebabkan diri mereka menjadi orang-orang yang rugi. Surah al-Ahqaf (18)
Imam al-Alusi berkata: “Berdalilkan firman Allah SWT “ (bersama-sama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka), maka jin juga mati daripada satu kurun kepada satu kurun sepertimana manusia.” (Lihat Ruh al-Ma’ani, 21/26)
Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Ayat di atas menjadi dalil bahawa jin juga mati.” (Lihat al-Fatawa al-Hadithiyyah, hlm. 155)
Begitu juga umum firman Allah SWT:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ
Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati.” Surah Ali Imran (185)
Manakala dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW menyebut dalam salah satu doa Baginda:
Maksudnya: “Aku berlindung dengan kemuliaan-Mu yang tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Zat yang tidak akan mati. Manakala jin dan manusia akan mati.” Riwayat al-Bukhari (7383) dan Muslim (2717)
Kami katakan secara nyata dan jelas bahawa jin dan manusia pasti mati sepertimana disebut dalam nas ini.
Al-Tabrizi berkata: “Khusus disebut jin dan manusia kerana kedua-duanya ditaklifkan dan disampaikan dakwah kepada mereka.” (Lihat Mir’at al-Mafatih, 18/336)
Namun begitu, dalam golongan jin terdapat jin yang dinamakan dengan Iblis. Menurut ulama’, kematian Iblis ditangguh sehingga apa yang disebut “hari yang ditentukan waktunya.” Hal ini dirakamkan dalam firman Allah SWT:
Maksudnya: Iblis berkata:" Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangitkan (hari kiamat)". Allah berfirman: "Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh. "Hingga ke hari – masa yang termaklum". Surah al-Hijr (36-38)
Dalam mentafsirkan “إِلَىٰ يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ” (Hingga ke hari – masa yang termaklum) disebut bahawa ia adalah ketikamana tiupan sangkakala kali pertama. (Lihat Tafsir al-Jalalain, 4/339; al-Muharrar al-Wajiz oleh Ibn Atiyyah, 2/444; al-Wajiz fi Tafsir Kitab al-Aziz oleh al-Wahidi, 4/242)
Imam al-Baidawi berkata: Maksud firman Allah SWT hingga ke hari yang ditentukan waktunya adalah ajal kamu yang telah ditetapkan di sisi Allah SWT. Menurut majoriti ulama ialah ketika seluruh umat manusia sudah binasa, iaitu ketika sangkakala pertama ditiupkan. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 3/370)
Imam al-Alusi berkata: Firman Allah SWT “إِلَىٰ يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ” (Hingga ke hari – masa yang termaklum), khilaf pada penggunaan kalimah tersebut, yang masyhurnya adalah hari tiupan sangkakala yang pertama bukannya pada hari kebangkitan makhluk kerana hari kebangkitan itu bukannya hari kematian. Tetapi sebahagian mereka ada yang membenarkan untuk maksud iaitu hari kebangkitan bukannya pada hari tiupan sangkakala yang pertama, dan tidak semestinya syaitan itu tidak mati, boleh jadi syaitan itu mati pada hari pertama kemudian dalam masa yang sama ia dibangkitkan bersama makhluk-makhluk lain. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 8/91)
Maksudnya: Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing). Surah al-Zumar (68)
Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan ayat di atas berkata: Ibn Abbas R.Anhuma menyebut bahawa dimaksudkan dengan tiupan sangkakala pertama iaitu ketikamana matinya semua makhluk. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 10/27)
Kesimpulan
Jin juga akan mengalami kematian sepertimana manusia menghadapi mati. Hal ini jelas berdasarkan nas dan dalil-dalil yang telah dikemukakan.
Namun, terkecuali bagi Iblis, maka kematiannya adalah ketika berlakunya tiupan sangkakala pertama. Maka pada ketika itulah, Iblis akan menemui kematian bersama kesemua makhluk yang lain.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ilmu dan kefahaman dalam mengamalkan setiap titah perintah-Nya. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?