Kerohanian

Jangan Biarkan Penunggang Agama Jauhkan Anda Daripada Allah, Kenali Bahaya Spiritual Gaslighting

Share

Dalam hidup, ada luka yang datang bukan sekadar daripada kata-kata kasar atau pengkhianatan, tetapi daripada ayat agama yang digunakan untuk membungkam perasaan dan menutup kesalahan sendiri.

Lebih menyedihkan, mangsa akhirnya bukan saja terluka, malah mula mempersoalkan diri sendiri. Adakah aku yang terlalu sensitif? Adakah aku yang kurang iman? Adakah semua ini salah aku? 

Inilah antara kesan paling bahaya apabila agama dijadikan alat manipulasi, sedangkan Islam datang sebagai rahmat, bukan penindasan.

Bayangkan saat anda disakiti, dikasari atau dikhianati, lalu apabila anda meminta penjelasan, pihak yang menyakiti itu berkata, “Mungkin Allah nak uji awak sebab awak kurang berdoa,” atau “Kalau hati awak bersih, awak takkan rasa sesakit ini.”

Inilah yang dinamakan sebagai spiritual gaslighting, iaitu satu bentuk manipulasi mental dan emosi dengan menggunakan ayat-ayat agama serta kerohanian untuk menutup kesalahan sendiri. 

Keadaan ini menjadi lebih parah apabila mangsa akhirnya hilang keyakinan terhadap perasaan sendiri, lalu merasakan dirinya yang berdosa, sedangkan dia sebenarnya sedang dizalimi.

BACA JUGA: Kesedihan Yang Menguji, Antara Ujian, Didikan dan Hikmah Dari-Nya

Hakikatnya, Islam memang mengajar umatnya supaya sentiasa bermuhasabah diri apabila melakukan kesilapan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hasyr ayat 18:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”

Namun, muhasabah itu sepatutnya menjadi cermin untuk melihat kelemahan diri sendiri, bukannya senjata untuk mendiamkan orang lain atas kesalahan yang kita lakukan.

Antara ayat yang sering digunakan dalam spiritual gaslighting ini adalah: 

“Sabar itu indah”
Benar, sabar itu indah dan sangat dituntut dalam Islam. Namun, sabar bukan bererti membiarkan diri terus dipijak, dizalimi atau dipermainkan. Rasulullah SAW juga mengajar umatnya untuk mencegah kemungkaran, bukan sekadar berdiam diri tanpa sebarang usaha mempertahankan hak.

“Hati awak tak bersih”
Inilah antara ayat yang paling menyakitkan. Ia membuatkan seseorang merasa dirinya tidak cukup baik, tidak cukup beriman, malah terus menyalahkan diri sendiri. Sedangkan hakikatnya, jika sesuatu perbuatan itu salah, maka ia tetap salah di sisi agama walau dibungkus dengan kata-kata yang nampak “soleh”.

“Awak wajib maafkan”
Memaafkan memang amalan mulia yang sangat digalakkan dalam Islam. Tetapi, tiada siapa berhak memaksa mangsa untuk terus memaafkan hanya demi melepaskan pihak yang bersalah daripada rasa tanggungjawab. Memaafkan itu satu proses. Ia tidak boleh dipaksa, apatah lagi di bawah tekanan emosi.

Hakikat yang perlu difahami, Islam bukan agama yang menzalimi. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.”


Riwayat Malik (31)

Hadis ini cukup jelas menunjukkan bahawa Islam menolak segala bentuk kemudaratan terhadap orang lain. Menyakiti seseorang, apatah lagi sehingga terganggu emosi dan mentalnya, bukanlah akhlak yang diajar agama.

Sebab itu, adab perlu menjadi asas dalam menuntut ilmu dan beragama. 

Tiada gunanya seseorang itu kelihatan tinggi ilmunya, petah bercakap soal agama, tetapi gagal menjaga hati dan maruah orang lain. 

Jika seseorang menyakiti orang lain, kemudian menggunakan nama Allah untuk mempertahankan dirinya, maka disitulah letaknya kepincangan dalam memahami agama.

Rasulullah SAW sendiri terkenal dengan sifat lemah lembut Baginda. 

Baginda berbuat ihsan bukan sahaja kepada isteri-isteri Baginda, malah kepada para sahabat, masyarakat sekeliling bahkan juga kepada haiwan. 

Akhlak Baginda menjadi bukti bahawa semakin dekat seseorang kepada agama, semakin halus adab dan belas kasihannya.

Tanda-tanda anda mungkin sedang menjadi mangsa spiritual gaslighting:

Takut untuk menegur
Anda takut menegur kesalahan kerana bimbang akan “dijatuhkan” dengan hujah agama.

Merasa diri jahat
Apabila anda bersuara atau marah kerana disakiti, anda pula rasa seolah-olah anda manusia yang buruk.

Kesalahan ditutup dengan nama Tuhan
Apabila seseorang berbuat salah tetapi cuba melindunginya dengan menggunakan nama Allah atau ayat agama, itu petanda anda sedang dimanipulasi.

Oleh itu, jadilah Muslim yang bijak dalam menjaga batas diri. Anda boleh terus bermuhasabah dan memperbaiki diri, tetapi jangan sampai membiarkan orang lain memperalatkan agama untuk menekan jiwa anda. 

Healing yang sebenar ialah proses yang mendekatkan hati kepada Allah dan menghadirkan ketenangan, bukan yang menambah luka serta tekanan.

Jangan sesekali biarkan penunggang agama menjauhkan anda daripada Tuhan. Ingatlah, Allah SWT Maha Adil. Dia mengetahui siapa yang menzalimi dan siapa yang dizalimi.

Andai anda berada dalam persekitaran yang toksik seperti ini, tidak salah untuk menjauhkan diri dan mencari suasana yang lebih sihat untuk jiwa anda. 

Jalan menuju syurga bukan dibina di atas penderitaan mental yang disengajakan, tetapi atas usaha ikhlas untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan penuh kasih, adab dan ketenangan.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok 

Related Post
Published by
Balqis Qadisah