
Ledakan video di media sosial hari ini secara tidak langsung telah membuka mata masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan mental.
Isu yang sebelum ini jarang dibincangkan secara terbuka, kini semakin mendapat perhatian. Ramai mula sedar bahawa masalah kesihatan mental bukan perkara kecil dan perlu ditangani dengan baik.
Namun dalam masa yang sama, wujud satu trend yang agak membimbangkan. Ada dalam kalangan masyarakat yang pada asalnya sihat, tetapi selepas menonton video berkaitan simptom-simptom masalah mental di media sosial, terus membuat andaian bahawa mereka juga mengalami penyakit yang sama.
Kesedaran terhadap penyakit mental sememangnya baik. Namun, melabel diri sendiri sebagai penghidap sesuatu penyakit tanpa pengesahan pakar bukanlah langkah yang tepat. Ia bukan sahaja boleh membahayakan kesihatan, malah boleh membawa kepada salah faham terhadap keadaan diri sendiri.
BACA JUGA: Tekanan Hidup Buat Jiwa Gundah, Ini Cara Tenangkan Hati Mengikut Islam
Dalam Islam, mengagak-agak penyakit sendiri tanpa ilmu bukanlah sesuatu yang digalakkan. Islam mengajar umatnya supaya merujuk kepada orang yang berilmu dan ahli dalam sesuatu bidang.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya, ayat 7:
Maksudnya: “Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka; maka bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”
Dalam konteks kesihatan mental, orang yang berpengetahuan ialah doktor pakar psikiatri, pegawai perubatan atau kaunselor bertauliah. Media sosial bukanlah doktor, dan kandungan di internet tidak boleh dijadikan penentu mutlak terhadap keadaan emosi atau kesihatan seseorang.
Malah, dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ketika menciptakan penyakit, diciptakan juga penawar. Maka berubatlah kamu.”
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa Islam mengajar kita supaya berikhtiar mendapatkan rawatan. Berjumpa pakar bukan bermaksud kurang tawakal kepada Allah, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada usaha dan tawakal yang sebenar.
Apabila seseorang melakukan self-diagnose tanpa mendapatkan pandangan pakar, beberapa kesan buruk boleh berlaku. Antaranya ialah salah rawatan dan membuat sangkaan melulu terhadap diri sendiri.
Salah rawatan boleh berlaku apabila seseorang mengambil ubat-ubatan, suplemen atau rawatan tertentu hanya berdasarkan bacaan di internet atau nasihat tidak bertauliah. Lebih membimbangkan, tindakan ini boleh memberi kesan buruk kepada tubuh badan seperti kerosakan buah pinggang atau komplikasi kesihatan yang lain.
Selain itu, sangkaan melulu juga boleh membuatkan seseorang berasa terlalu takut, cemas atau putus asa. Sedangkan apa yang dialami mungkin hanyalah fasa sedih, tekanan hidup biasa atau keletihan emosi yang boleh dipulihkan melalui perubahan gaya hidup, sokongan keluarga, rehat yang cukup dan bantuan profesional jika perlu.
Tidak dinafikan, luka di tangan mungkin nampak berdarah, tetapi luka di hati tidak semua orang tahu. Sebab itu penting untuk kita peka terhadap keadaan diri sendiri. Namun, kepekaan itu perlu disusuli dengan tindakan yang betul, bukan sekadar membuat andaian sendiri.
Jika anda merasakan diri mempunyai simptom masalah kesihatan mental, jangan takut untuk mendapatkan bantuan. Berjumpalah dengan pihak yang sepatutnya seperti doktor, pakar psikiatri atau kaunselor bertauliah. Langkah awal ini boleh membantu mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.
Kesimpulannya, jangan mudah mendiagnosis diri sendiri hanya kerana melihat video di media sosial. Jadikan kesedaran tentang kesihatan mental sebagai dorongan untuk mendapatkan ilmu dan rawatan yang betul. Tubuh, akal dan emosi adalah amanah Allah SWT yang perlu dijaga dengan sebaik-baiknya.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







