Setiap kali 17 Ramadan umat Islam di seluruh dunia pasti akan mengenangkan satu peristiwa yang amat penting dalam sirah Islam iaitu bermulanya penurunan al-Quran ke atas Rasulullah melalui perantaraan malaikat Jibril.
Ayat yang mula-mula sekali diturunkan adalah lima ayat pertama daripada surah Al-Alaq. Ketika itu Rasulullah berada di Gua Hira’. Sejak daripada peristiwa itu al-Quran diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah sebelum lengkap sepenuhnya pada 10 Hijrah.
Secara umumnya al-Quran mempunyai 114 surah dan 6,666 ayat. Namun begitu pendapat yang paling masyhur tentang jumlah ayat al-Quran adalah lebih daripada 6,200 ayat cuma bilangannya secara tepat berbeza antara satu ulama dengan ulama yang lain.
Dari segi susunan pula al-Quran dimulai dengan surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah an-Nas. Surah yang terpanjang pula adalah surah al-Baqarah (287 ayat) dan terpendek surah al-Kauthar (tiga ayat).
PETUNJUK BUAT UMAT MANUSIA
Penurunan al-Quran berlaku dalam dua bentuk iaitu secara sekali gus dan beransur-ansur. Bagaimanapun terdapat perselisihan pendapat tentang berapa kali berlakunya penurunan al-Quran secara sekali gus. Al-Suyuti dalam kitabnya ‘al-Itqan fi Ulum al-Quran’ berdasarkan tiga riwayat oleh Ibn Abbas, Hakim dan al-Nasaie hanya membahagikan kepada dua peringkat sahaja.
Pertama, al-Quran diturunkan sekali gus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah. Dari Baitul Izzah, al-Quran diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Jibril selama 23 tahun dan kemudian disampaikan kepada semua sahabat dan umat baginda.
Sesungguhnya terlalu banyak keistimewaan dan kelebihan yang terdapat dalam al-Quran. Kitab suci itu adalah petunjuk bagi semua umat manusia daripada segala kesesatan. Al-Quran juga menjadi penyuluh daripada sebarang kegelapan.
Ads
Malah kitab suci itu juga adalah pelengkap kepada kitab-kitab terdahulu yang pernah diturunkan kepada para nabi dan rasul sebelum Rasulullah seperti Zabur, Taurat serta Injil.
Bagaimanapun agak malang apabila keaslian kitab-kitab tersebut seperti Injil dirosakkan serta dicemar oleh pindaan yang dilakukan oleh manusia berkepentingan hingga wujud beberapa versi.
Berbanding al-Quran, kitab suci itu tidak pernah diubah walaupun satu titik huruf kerana Allah telah memberi jaminan untuk memeliharanya. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (Al-Hijr: 9)
HEBATNYA AL-QURAN
Keaslian al-Quran tetap terpelihara dan kekal sehingga akhirat meskipun penurunannya telah berlaku sejak lebih 1,400 tahun yang lalu. Inilah hebatnya al-Quran. Al-Quran adalah kalam Allah yang tiada tandingannya.
Dalam membicarakan tentang al-Quran kurang lengkap jika kitab suci itu tidak dikaitkan dengan kedatangan Ramadan. Selain berpuasa, umat Islam juga dituntut untuk memperbanyakkan membaca al-Quran. Bahkan ada di antara kita yang berusaha khatam 30 juz al-Quran dan itulah yang menjadi kebiasaan setiap kali kedatangan Ramadan sama ada secara bersendirian atau berkumpulan.
Ads
Tidak kurang juga masjid atau surau yang melantik imam-imam hafiz jemputan untuk memimpin solat tarawih sepanjang bulan ini. Tujuannya adalah agar mereka mengalunkan bacaan al-Quran lengkap 30 juzuk dalam solat tersebut.
Semuanya ini bertujuan membudayakan al-Quran pada sepanjang bulan Ramadan. Sejajar dengan firman Allah yang bermaksud; “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Al-Baqarah: 185)
Hakikatnya, inilah suasana yang berlaku sepanjang bulan Ramadan. Bagaimanapun keadaan yang serupa tidak berlaku sebaik sahaja Ramadan pergi meninggalkan kita. Sepatutnya dalam bulan-bulan yang lain juga al-Quran perlu sentiasa dibaca dan tidak boleh ditinggalkan.
Malangnya budaya itu tidak berterusan selepas Ramadan melabuhkan tirainya. Al-Quran hanya dibuka setahun sekali iaitu apabila tibanya Ramadan manakala dalam 11 bulan yang lain, kitab suci itu hanya disimpan rapi dalam almari. Justeru, marilah budaya ini diubah dengan menjadikan al-Quran sebagai teman paling rapat. Perubahan itu boleh dilakukan bermula Ramadan ini.
Ads
AL-QURAN AKAN TOLONG KITA
Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa al-Quran mampu menolong kita sebaik sahaja meninggalkan alam yang fana ini. Pada masa itu tiada apa yang dapat membantu kita kecuali amal ibadat yang dilakukan sepanjang hidup kita di dunia ini termasuk membaca al-Quran.
Cuba kita lihat corak kehidupan Rasulullah dan para sahabat. Asas kehidupan baginda dan para sahabat adalah al-Quran. Kitab suci itu bukan setakat dibaca malah segala pengajaran dan perintah yang terdapat di dalamnya dilaksanakan dengan penuh taat.
Dalam khutbah terakhir Rasulullah dalam haji wida, baginda ada berpesan:
“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al-Quran dan Sunnahku.”
Semoga kita sama-sama dapat menghayati dan mengambil iktibar dari peristiwa Nuzul Quran ini dan memperoleh keberkatan dariNya.
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hari ini tanggal 23 Oktober 2019 bersamaan jatuh pada hari Rabu dan Safar di bulan Islam. Ada yang mengatakan bahawa hari Rabu terakhir pada bulan Safar adalah hari diturunkan bala dan ada amalan tertentu untuk menghindarinya.
Persoalan yang dibangkitkan oleh seorang warganet di laman sosial twitter Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan beliau telah menjawab segala kemusykilan berkenaan.
Apakah benar dakwaan berkenaan dan bagaimana pula dengan amalan yang dilakukan untuk menghindari bala yang datang nanti?
Ini jawapan dari Mufti Wilayah dalam menjelaskan persoalan berkenaan.
Soalan : Adakah amalan mandi safar digalakkan kerana disebut di dalam hadis berkaitan safar?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Mandi Safar adalah satu amalan turun menurun masyarakat Melayu di mana diadakan temasya mandi-manda yang ada di adakan pada hari Rabu yang terakhir di dalam bulan Safar dengan tujuan menolak bala. Pada pagi tersebut orang ramai mandi di pantai atau sekurang-kurangnya minum air yang telah direndam kertas safar atau papan kecil yang ditulis kalimat suci. Air ini dikenal sebagai air safar.
Berdasarkan soalan dan penjelasan ringkas mengenai Mandi Safar, kami telah menerima satu pesanan ringkas melalui aplikasi whatsapp yang mengatakan bahawa amalan mandi safar disebut di dalam hadis Nabi SAW. Kami menukilkan semula terjemahan hadis yang dihantar kepada kami.Ianya berbunyi seperti berikut:
“Tidak ada penularan penyakit (dengan sendirinya),tidak ada thiyarah (sempena baik atau buruk),tidak ada kesialan (malang) kerana burung dan tidak ada kesialan (bala bencana) pada bulan safar”(Hadis riwayat Bukhari r.a, Muslim, Abu Daud dan Ahmad r.a).
Individu yang menghantar keratan terjemahan hadis ini kepada kami mendakwa bahawa inilah dalil pengharusan mandi safar yang bertujuan menolak bala dan sial.Benarkah dakwaan ini?
PENJELASAN MENGENAI HADIS
Setelah dicari dan diteliti, lafaz matan yang dimaksudkan ada asal-usulnya. Lafaz tersebut berbunyi daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ
Maksudnya:”Tidak ada penyaki yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”
Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.
Di dalam lafaz yang lain menyebut: Daripada Jabir bin Abdullah r.anhuma bahawa Rasulullah bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ صَفَرَ وَلَا غُوْلَ
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak ada kesialan dalam bulan safar bahkan tidak ada Ghul(Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia).”[1]
Riwayat Muslim (2222),Ibnu Hibban (6128) di dalam Sohihnya,Ahmad (15103) di dalam Musnad
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak kesialan dalam bulan safar dan tiada ramalan bintang bulan dengan hujan.”
Riwayat Ahmad (9165) di dalam Musnad,Ibn Hibban (6133) di dalam sohihnya
Hadis ini diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat melalui jalur sanad yang berbeza antaranya:
1. Abu Hurairah
2. Ibnu ‘Abbas
3. Jabir Bin ‘Abdullah
4. Ibnu Mas’ud
Secara ringkasnya, hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sohih mereka.Bahkan ianya juga diriwayatkan juga jaguh-jaguh ahli hadis semisal Imam Ahmad, Abu Daud dan ramai lagi. Di dalam kesemua jalur sanad hadis ini, terkandung perkataan safar. Dengan wujudnya hadis ini di dalam kitab hadis yang muktabar seperti Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim tidak syak lagi bahawa hadis ini adalah hadis yang sahih. Namun yang menjadi permasalahan di sini adalah adakah hadis ini menunjukkan adanya keharusan melakukan amalan mandi safar dengan hanya berdalilkan wujudnya perkataan safar di dalam hadis ini?
MAKSUD SAFAR(صفر)
Menurut Ibnu Manzur (w.711 H) صَفَرَ bermaksud penyakit di dalam perut yang menyebabkan orang yang mengalaminya kuning mukanya. Perkataan ini juga membawa maksud ular yang suka mematuk. Ianya juga membawa maksud lapar.
Rujuk Lisan al-Arabi(8/250)
Safar juga adalah bulan kedua di dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram.
Secara asasnya,untuk memahami satu perkataan yang terdapat di dalam hadis selain dari merujuk makna dari segi bahasa,perlu juga untuk merujuk pandangan para ulama yang muktabar untuk mendapatkan gambaran yang sebenar tentang apa yang disabdakan oleh Nabi SAW. Di sini kami kumpulkan pandangan dan syarahan para ulama berkenaan hadis ini:
Ibnu Hajar al-Asqalani (w.852 H) menyebut:
“Ia adalah penyakit yang menyakitkan perut.Abu ‘Ubaidah Ma’mar bin al-Muthanna menyebut di dalam kitab Gharib al-Hadith daripada Yunus bin ‘Ubaid Al-Jarami.Beliau bertanya kepada Ru’bah bin al-‘Ajjaj tentang makna safar.Beliau menjawab :”Bangsa Arab Jahiliyyah mempercayai bahawa ia adalah cacing yang berada di dalam perut manusia dan ia lebih merebak dari penyakit kulit.Kerana inilah Nabi menyebut tentang tiadanya safar di mana mereka mempercayai bahawa ia lebih berbahaya dari penyakit kulit.Inilah pandangan yang dipegang oleh Imam al-Bukhari kerana ianya dikaitkan dengan ayat tidak ada penyebaran penyakit.”
Beliau (Ibnu Hajar) menyebut lagi :Apa yang dimaksudkan dengan penafian bahawa tiadanya safar adalah menolak kepercayaan orang arab jahiliyyah yang beranggapan bahawa ianya boleh membunuh jika ia menimpa manusia.Akan tetapi,Syarak menolak kepercayaan ini kerana kematian tidak akan berlaku jika ajal belum tiba.”
Rujuk Fath al-bari Syarh Sahih al-Bukhari(3/285)
Kata Imam al-Nawawi (w.676 H) :
“Sabda Nabi SAW ‘Tidak ada safar’ ada dua tafsiran : Tafsiran yang pertama bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan berperang.Inilah yang dilakukan oleh Bangsa Arab Jahiliyyah.Ini adalah pendapat Malik dan Abu ‘Ubaidah.Tafsiran yang kedua,yang dimaksudkan dengan safar adalah binatang yang wujud di dalam perut iaitu ulat.Arab Jahiliyyah percaya bahawa di dalam perut ada satu binatang yang berlegar ketika lapar.Berkemungkinan ianya boleh membunuh tuan punya perut.Mereka mengatakan bahawa ianya lebih teruk dan berjangkit berbanding penyakit kulit.Inilah tafsiran yang betul.Pandangan ini telah dikemukakan oleh al-Mutarrif,Ibnu Wahbin,Ibnu Habib,Abu ‘Ubaid dan sebahagian besar para ulama.Pandangan ini juga disebutkan oleh Imam Muslim yang dinukilkan daripada Jabir salah seorang perawi hadis ini.”
Rujuk al-Minhaj Syarh Sohih Muslim (13/379)
Imam al-Qurtubi (w.656 H) berkata :
“Safar adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan untuk berperang. Inilah yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar. Inilah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah. Dikatakan bahawa maksud safar adalah ulat yang ada di dalam perut manusia yang berlegar ketika lapar. Arab jahiliyyah melihat bahawa ia lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Mereka mendendangkan syair yang berbunyi[2]:
لا يَتَأَرّى لمِاَ فِي القِدْرِ يَرْقُبهُ # وَلاَ يَعُضُّ على شٌرْسُوفِهِ الصَفَرُ
Maksudnya:”Dia tidak bercanggahan dengan apa yang telah ditakdirkan untuknya. Tidak pula kerana tulang sum-sumnya digigit oleh ulat.”
Inilah pandangan Mutarrif, Ibnu Wahbin, Ibnu Habib dan inilah juga pandangan yang dipilih oleh Abu‘Ubaidah.”
Rujuk al-Mufhim li ma asykala min talkhis kitabi Muslim (5/622)
Kata Imam Abdul Rauf al-Munawi (w.1031 H) :
“Tidak ada safar bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram berperang dan juga bermaksud penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain mengikut kepercayaan Arab Jahiliyyah. al-Baidhawi berkata: Ia ditafsirkan sebagai satu penafian kepada kepercayaan yang mengatakan bahawa bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya fitnah.”
“Bangsa Arab Jahiliyyah mendakwa bahawa di dalam perut ada satu ular yang dipanggil safar. Ianya menyakitkan ketika datangnya lapar dan ia juga boleh menjangkiti orang lain.Islam menolak kepercayaan ini. Ada pandangan yang mengatakan bahawa ia adalah an-nasi’ iaitu menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan untuk berperang. Ianya dilakukan ketika zaman Jahiliyyah. Perbuatan ini telah diharamkan oleh Islam.”
Kata al-Qadhi Iyadh (w.544 H) : “Ada dua pandangan berkenaan maksud perkataan Safar. Yang pertama adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram untuk berperang. Dan inilah yang yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah.Pandangan ini adalah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah.Perkataan yang kedua mengatakan bahawa safar adalah penyakit yang boleh berjangkit kepada orang lain.”
Rujuk Kitab al-Mu’lim syarh Sohih Muslim (7/71)
Syaraful haq ‘Azim al-Abbadi (w.1329 H) ketika beliau mensyarahkan hadis ini menyebut:
“Ketika mana Nabi SAW menyebut tidak ada safar ianya bermaksud Nabi SAW menafikan kepercayaan yang mengatakan bahawa adanya penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain dan adanya ular yang menyakiti manusia ketika mana dia lapar. Arab Jahiliyyah menagatakan bahawa ianya lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Ia juga bermaksud bulan Safar. Di mana Arab Jahiliyyah menyangka akan berlakunya perkara buruk apabila tibanya bulan Safar.”
Rujuk ‘Aun al-Ma’bud syarh Sunan Abi Daud (10/407)
Kata Nuruddin al-Sindi (w.1138):
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang.Ianya adalah bentuk tegahan terhadap perbuatan tersebut.”
Al-Qastalani(w.923 H) ketika mensyarahkan hadis ini, beliau menyebut:
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram. Disebutkan di dalam Sunan Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid Bahawa Arab Jahiliyyah menganggap akan berlakunya perkara yang buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menyangka bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya pelbagai fitnah.”
“Ahli ilmu mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan safar adalah bulan Safar kemudian mereka berselisih dalam mentafsirkan maksud hadis tersebut.”
Pertama: Maksud hadis tersebut adalah menafikan apa yang dilakukan oleh masyarakat Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar.Ini adalah pandangan Malik.
Kedua: Masyarakat Arab Jahiliyyah menganggap bahawa akan berlaku perkara buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial. Maka Nabi SAW menolak kepercayaan demikian. Pandangan ini dinukilkan oleh Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid al-Makhuli.
Pandangan yang kedua ini adalah pandangan yang paling hampir maknanya. Kebanyakan orang-orang yang jahil menyangka bahawa akan berlakunya perkara buruk di bulan lalu mereka mencelanya. Ada di antara mereka yang melarang untuk berkelana pada bulan Safar. Dan ini adalah jenis yang sama dengan perbuatan Thiyarah yang dilarang.”
Rujuk Lataif al-Ma’arif fi ma li mawasim min al-Wazaif (m/s 135-136)
Kesemua ini adalah pandangan para ulama berkenaan sabda Nabi SAW iaitu ‘tidak ada safar’. Banyak lagi ulasan ulama berkenaan perkataan ini dan kesemuanya memberikan pandangan yang hampir sama seperti yang kami nukilkan. Dapat kita simpulkan dari pandangan-pandangan ini bahawa yang dimaksudkan oleh safar itu adalah satu kepercayaan masyarakat arab Jahiliyyah yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam lalu datang Nabi SAW menolak kesemua kepercayaan tersebut. Melalui tafsiran-tafsiran ini,dapat kita fahami bahawa tiada satu pun petunjuk yang menunjukkan bahawa perkataan لا صَفَرَ itu merujuk kepada amalan mandi safar bahkan ianya tiada kena mengena dengan amalan syirik tersebut. Kalaupun ianya merujuk kepada mandi safar (walaupun tafsiran ini tidak diterima dan tiada tafsiran para ulama yang menyebut sedemikian rupa) ianya didahului dengan huruf لا النافِيَة (La yang memberi makna menafikan sesuatu). Justeru ia memberi makna larangan bukan galakan.
PENUTUP
Justeru itu, dapat kita fahami bahawa safar yang dimaksudkan dalam hadis adalah kepercayaan karut yang dianuti oleh masyarakat Arab Jahiliyyah yang dilarang oleh Nabi SAW untuk mempercayainya. Antaranya adalah mereka mempercayai bahawa apabila tibanya bulan Safar,akan berlakulah perkara buruk. Kepercayaan ini hampir serupa dengan kepercayaan orang melayu di dalam amalan mandi safar di mana mereka melakukan upacara tersebut untuk menolak bala dan musibah dan ianya dilakukan hanya pada bulan Safar.
Tidakkah ia memberi isyarat bahawa adanya kepercayaan bahawa bulan itu adalah bulan sial dan musibah sepertimana yang dipercayai oleh masyarakat arab Jahiliyyah. Ini adalah satu perbuatan yang ditegah Nabi SAW. Ditambah pula dengan amalan karut marut yang mengiringi temasya mandi safar ini.
Oleh itu, kami mengesyorkan agar tolaklah bala dengan doa. Seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi SAW di dalam kebanyakan hadis. Antaranya adalah doa yang sentiasa kita ulangi di dalam solat Subuh:
وَقِنِيْ شَرَّ مَا قَضَيتَ
Maksudnya:”lindungi dan jauhkanlah aku dari kejahatan yang telah Engkau tetapkan.”
Riwayat al-Nasaie (1725),Abu Daud (1214) di dalam al-Sunan,al-Baihaqi (427) di dalam Sunan al-Sughra,Ibnu Hibban ( 950) di dalam Sohihnya,Ahmad (1625) di dalam Musnad
Wallahu’alam
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Siapa tidak kenal dengan Ustaz Ebit Lew, seorang pendakwah yang ‘datang’ dengan ‘pakej dakwah’ yang lembut dan berhemah ketika menyampaikan sesi dakwahnya. Menjadikan sosial media seperti Instagram dan Facebook miliknya sebagai medium untuk menyampaikan dakwah, Ustaz Ebit Lew turun padang untuk menjalankan ‘street dakwah.’
Antara yang dikongsi oleh Ustaz Ebit Lew ialah usahanya mendekati golongan gelandangan. Tidak menggunakan cara langsung atau ‘straight forward,’ Ustaz Ebit Lew lebih memilih untuk menerapkan pendekatan cara ‘halus’ bagi menarik golongan ini dalam usaha mendekati golongan ini secara ‘berhemah’ dalam usaha menyampaikan dakwahnya.
Berikut perkongsian Ebit Lew cuba memujuk seorang gelandangan untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Kegigihan Ebit Lew amat dikagumi.
Sebak sangat semalam 12 tengah malam bila terjumpa abang Zul ini. Dah 3 minggu dia tak boleh bangun langsung sakit terlantar di tepi simen ini. Ada seorang kawannya di jalanan yang tolong bawa makanan untuknya.
PUJUK KE HOSPITAL
Kami cuba pujuknya tapi katanya nak mati di situ sahaja. Tak mau pergi hospital. Suaranya perlahan keluar. Saya kata padanya abang duduk mana. Abang banyak sebut nama Allah. Dia Maha Kaya sebut dan puji diam. Saya ajar kalimah dan doa-doa. Dia menangis. Yer ustaz,terima kaseh yer nasihat saya. Dia ikut doa saya ajar padanya.
Abang jomlah ke hospital. Dia bisik tak mahu. Harry Zulkifli call hospital minta ambulan. Tapi sebaik ambulan sampai mereka tanya abang tadi. Dia menolak untuk pergi hospital. Ambulan kata takleh ambil jika dia tak nak kecuali keluarga berkeras. Tapi tiada keluarga. Nanti salah katanya..
Saya cuba pegang dan pujuk tapi tak berjaya. Sebab dah 1 pagi. InsyaAllah pagi ini cuba bantu. Semoga Allah mudahkan semuanya.
Begitulah perjalanan dakwah ini ia buat hati saya meronta sedih dan berat. Tak tahu nak buat apa. Satu hari nanti kita dah tua. Ujian beza-beza menimpa..-ebitlew
Kebiasaannya amalan mandi bunga sering dilakukan untuk membuang bala, menaikkan semangat serta mempercepatkan jodoh. Mungkin atas alasan ini maka ada yang mempraktikkan mandi bunga sebagai ikhtiar untuk mendapat jodoh.
Mengikut ajaran agama Islam, ia dikatakan boleh memesongkan akidah seseorang. Namun begitu dari segi saintifik, ia dilihat sebagai sesuatu yang baik. Menurut Dato’ Dr Haji Mohd Fadzilah Kamsah, mandi bunga dapat menaikkan seri wajah kerana badan manusia kembali segar disebabkan oleh khasiat yang terdapat di dalam bunga yang digunakan terserap ke dalam tubuh badan.
Sebenarnya mandi bunga tanpa berniat yang boleh memesongkan diri daripada ajaran agama membawa banyak faedah. Seperti yang kita ketahui bahawa bunga dikatakan sebagai penyerap tenaga matahari yang terbaik. Secara tidak langsung kebaikannya akan ‘ditempiaskan’ kepada pengamal mandi bunga.
Boleh sahaja mandi bunga tetapi janganlah kita berjumpa dengan orang yang mengamalkan ritual lalu meminta dia memandikan kita. Sebaliknya kita boleh sahaja mandi sendiri dengan niat untuk mendapat manfaat kesihatan daripada unsur-unsur kebaikan yang ada pada bunga-bungaan tersebut.
Jangan sesekali mandi bunga dengan niat untuk cepat jodoh kerana dikhuatiri boleh terpesong niat tersebut sehingga menjadi syirik. Percaya kepada kuasa seseorang sehingga meminta orang itu memandikan kita dengan air bunga boleh menjadi khurafat.
Islam telah menganjurkan kita untuk berusaha memudahkan jodoh dengan cara berdoa, solat istikharah dan solat hajat. Itulah yang sebaiknya.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hong Leong Islamic Bank memperkenalkan halatuju baharu berasaskan prinsip Syariah, memfokuskan pengurusan kekayaan holistik dan nilai berteraskan amanah. Ketahui lima tonggak utama dan inisiatif terkini HLISB.