Hari Jumaat merupakan hari yang mulia di sisi umat Islam. Terdapat banyak hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan yang ada padanya. Di antaranya, apa yang boleh kami nyatakan adalah:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الصَّلَاةُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُنَّ، مَا لَمْ تُغْشَ الْكَبَائِرُ

Maksudnya: “Solat lima waktu, Jumaat kepada Jumaat berikutnya merupakan kaffarah (penghapus dosa) di antara keduanya selagimana tidak melakukan dosa besar.” [Riwayat Muslim (233)]

Waktu mustajab berdoa pada hari Jumaat

Malah pada hari Jumaat juga terdapat satu waktu yang mustajab berdoa. Ia berdasarkan satu hadis yang sahih berkaitannya. Hadith tersebut diriwayatkan oleh imam al-Bukhari dan juga imam Muslim di dalam sahihnya dengan lafaz yang sedikit berbeza:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ سَاعَةٌ، لاَ يُوَافِقُهَا مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ

Maksudnya: “Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada Allah SWT, pasti Allah SWT akan memperkenankan permintaanya itu”. [Riwayat al-Bukhari (6400)]

Melihat kepada hadith di atas, kita memahami bahawa Allah SWT telah meletakkan satu tempoh masa yang sangat istimewa pada hari Jumaat iaitu setiap permintaan hamba-hambanya akan dikabulkan pada waktu tersebut.

Dalam memahami hadis ini ada beberapa pendapat ulamak tentang masanya.

IKLAN
1. Waktu ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesai solat.

Daripada Abu Musa al-Asy’ari bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda apabila beliau ditanya oleh Ibn Umar tentang waktu yang mustajab tersebut:

أَسَمِعْتَ أَبَاكَ يُحَدِّثُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَأْنِ سَاعَةِ الْجُمُعَةِ شَيْئًا؟ قَالَ: نَعَمْ سَمِعْتُهُ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الْإِمَامُ إِلَى أَنْ تُقْضَى الصَّلَاةُ”.

Maksudnya: Adakah kamu pernah mendengar ayahmu meriwayatkan hadith daripada Rasulullah SW berkenaan satu waktu (mustajab) pada hari Jumaat?”. “Ya, aku pernah mendengarnya”. Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Ia adalah di antara duduknya imam sehingga selesainya solat didirikan”. [Riwayat Muslim (853)]

Pendapat ini juga mempunyai beberapa lagi hadith yang menyokong pendapat bahawa waktu mustajab tersebut adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesainya solat.

2. Waktu selepas asar

Hujah bagi orang yang berpegang dengan pendapat ini adalah berdasarkan riwayat imam Ahmad:
Daripada Abu Sa’id dan Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ فِي الْجُمُعَةِ سَاعَةً لَا يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ فِيهَا خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ، وَهِيَ بَعْدَ الْعَصْرِ

IKLAN

Maksudnya: “Sesungguhnya terdapat satu waktu pada hari Jumaat apabila seorang hamba muslim meminta kepada Allah SWT akan perkara kebaikan pada waktu tersebut melainkan Allah SWT akan memberinya apa yang yang dimintanya itu, waktu tersebut adalah selepas asar”. [Riwayat Ahmad, (7688)] [Hadith ini adalah sahih dengan syawahidnya dan sanad hadith ini adalah dhaif menurut Syeikh Syuaib al-Arnaouth]

Daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يَوْمُ الْجُمُعَةِ اثْنَتَا عَشْرَةَ سَاعَةً، لَا يُوجَدُ فِيهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللَّهَ شَيْئًا إِلَّا آتَاهُ إِيَّاهُ، فَالْتَمِسُوهَا آخِرَ سَاعَةٍ بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: “Hari Jumaat mempunyai 12 jam, padanya terdapat satu waktu yang mana tidak ada seorang hamba yang meminta sesuatu kepada Allah SWT melainkan Allah SWT akan memberikan apa yang dimintanya itu kepadanya. Maka carilah waktu tersebut pada akhir waktu selepas asar ”. [Riwayat al-Nasa’ie, (1389)] [Hadith ini dinilai sahih oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Nataij al-Afkar, 2/436]

Dalam pada itu terdapat beberapa lagi hadith yang menunjukkan bahawa waktu yang mustajab pada hari Jumaat tersebut adalah selepas daripada asar.

IKLAN

Tambahan pula, diriwayatkan Said bin Jubair daripada Ibn Abbas RA telah berkata: Waktu yang dimaksudkan pada hari Jumaat adalah antara solat asar sehingga terbenam matahari. Adapun Said bin Jubair apabila beliau menunaikan solat asar, beliau tidak akan bercakap dengan sesiapa sehingga terbenamnya matahari. Ini adalah pendapat sebahagian besar salaf dan pada pendapat ini mempunyai hadith yang banyak berbanding pendapat-pendapat yang lain. [Lihat: Zad al-Ma’ad, 377/1]

Pendapat yang dipilih

Setelah melihat perbahasan dan dalil-dalil yang dikemukan maka kami cenderung untuk memilih pendapat yang kedua iaitu waktu yang mustajab pada hari Jumaat adalah selepas asar sehinggalah terbenamnya matahari.

Ini kerana, dalil-dalil yang dikemukan oleh pihak ini lebih banyak dan kuat. Selain itu juga, amalan para sahabat dan salaf juga menunjukkan bahawa mereka amat mementingkan waktu ini sepertimana yang dilakukan oleh Said bin Jubair RA.

Sumber: MuftiWP

 

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI