Maruah diri adalah perhiasan paling berharga buat seorang wanita. Namun sayangnya, maruah itu semakin lama semakin terhakis dek arus zaman. Tanpa sedar, ada yang membiarkan diri terjebak dalam pergaulan bebas, berpakaian tanpa batas, malah ada yang seakan hilang rasa malu atas nama kebebasan.

Hakikatnya, maruah bukan sekadar soal penampilan, tetapi cerminan kehormatan dan harga diri seorang wanita beriman.

Allah SWT telah mengabadikan kisah gadis Madyan dalam al-Quran sebagai teladan buat semua muslimah. Mereka menjaga kehormatan, tidak keluar tanpa keperluan, serta memiliki sifat malu yang tinggi.

Inilah ciri wanita mulia yang sepatutnya menjadi contoh, di saat dunia hari ini semakin melunturkan nilai malu dan maruah dalam diri wanita Islam.

Kisah gadis Madyan dalam surah al Qasas

Perkara ini dikongsi Dr Ahmad Sanusi Azmi yang juga Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam satu perkongsian di media sosial beliau.

Kemuliaan para wanita terletak pada kesungguhan mereka menjaga kehormatan dan maruah dirinya. Allah menampilkan contoh yang terbaik dalam al-Quran tentang kisah anak gadis di Madyan.

Ketika lari keluar daripada kezaliman Firaun, Allah menggambarkan bagaimana Nabi Musa bertemu dengan dua orang gadis di Madyan. al-Quran menerangkan beberapa ciri yang ditampilkan oleh kedua anak gadis tersebut ketika mereka berusaha untuk mendapatkan air buat binatang ternakan mereka. Perkara ini direkodkan dalam surah al-Qasas ayat 22 hingga 26.

Ads

Menurut Sheikh al-Sabuni, kedua anak gadis ini amat memelihara kehormatan mereka dengan menjaga batasan pergaulan. Mereka mengasingkan diri mereka daripada bersesak dan percampuran yang terbuka sehingga keadaan mereka ini disedari oleh Nabi Musa. Perkara ini dipaparkan dalam al-Quran ketika babak anak gadis ini menunggu giliran mereka mengambil air.

Menurut al-Sa’di, Allah juga menggambarkan bagaimana anak gadis seharusnya hanya keluar rumah atas keperluan. Perkara ini digambarkan apabila anak gadis tersebut menerangkan kepada Nabi Musa bahawa mereka harus menguruskan urusan gembala mereka kerana ayah mereka telah terlalu tua.

Kata anak gadis tersebut seperti yang dinukilkan dalam al-Quran:

لَا نَسْقِي حَتَّى يُصْدِرَ الرِّعَاءُ وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ

Ads

“Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya “.

Apa yang paling jelas sekali adalah, kedua anak gadis tersebut digambarkan sebagai memiliki sifat malu yang tinggi. Perkara ini ditampilkan secara spesifik apabila Allah menerangkan perlakuan mereka ketika berjalan dengan lafaz “mereka datang berjalan dalam keadaan malu-malu.

Firman Allah:

فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاءٍ

Ads

“Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu…”

Begitulah kisah ringkas di dalam Surah al-Qasas yang membayangkan sifat wanita yang memiliki perwatakan yang baik serta berakhlak yg tinggi. (1) Mereka menjaga kehormatan serta batasan pergaulan, (2) mereka tidak keluar rumah melainkan dengan keperluan dan (3) mereka memiliki sifat malu yang tinggi.

Mereka tidak semudahnya mengajak lelaki untuk masuk ke rumah mereka, melayan lelaki dengan begitu mudah malah menjauhi segala ruang yang membawa kemurkaan kepada Allah. Semoga Allah memelihara para wanita semua.

Sumber:  Dr Ahmad Sanusi Azmi

Baca Lagi: Muslimah Elak Pakai Pakaian Syuhrah, Antaranya Dari Fabrik Satin. Walau Berjubah Tapi Tetap Menonjol

 

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI