
Ramai lelaki zaman sekarang gemar memakai aksesori seperti jam tangan, cincin, rantai atau gelang yang kelihatan eksklusif.
Antara pilihan yang sering menjadi perhatian ialah aksesori berwarna emas, sama ada diperbuat daripada stainless steel, besi atau logam lain yang hanya menyerupai warna emas.
Persoalannya, adakah lelaki Islam dibenarkan memakai jam tangan atau perhiasan yang berwarna emas tetapi bukan diperbuat daripada emas tulen?
BACA JUGA: Hukum Mendoakan Keburukan Orang Yang Menzalimi Kita
Dalam Islam, lelaki jelas diharamkan memakai emas tulen atau zat emas sebagai perhiasan. Larangan ini berdasarkan hadis daripada Saidina Ali bin Abi Talib RA, bahawa Rasulullah SAW mengambil sutera dan memegangnya dengan tangan kanan, serta emas di tangan kiri, lalu bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW mengambil sutera dan memegangnya dengan tangan kanannya, dan emas di tangan kirinya, kemudian bersabda: Sesungguhnya dua benda ini haram ke atas umatku yang lelaki. (Hadis riwayat Imam Ahmad (935) dalam Musnad-nya)
Larangan ini merujuk kepada emas sebagai logam atau zat emas itu sendiri. Emas juga dianggap sebagai perhiasan yang khusus untuk wanita, selain larangan ini bertujuan mengelakkan unsur tasyabbuh dan sifat berlebih-lebihan dalam berhias bagi lelaki.
Jika jam tangan, cincin atau aksesori tersebut hanya berwarna emas tetapi tidak mengandungi emas tulen, maka hukumnya adalah harus dipakai oleh lelaki.
Ini kerana larangan dalam hadis merujuk kepada zat emas, bukannya warna emas. Sama seperti sutera tiruan atau kain sintetik yang menyerupai sutera, ia tidak termasuk dalam larangan sutera tulen untuk lelaki.
Contohnya, seorang lelaki memakai jam tangan stainless steel yang hanya dicat atau diwarnakan seperti emas, tanpa sebarang kandungan emas sebenar.
Dalam keadaan ini, pemakaiannya tidak termasuk dalam hukum haram memakai emas.
Berbeza pula jika aksesori tersebut disadur atau disalut dengan emas sebenar. Menurut
penjelasan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, sekiranya emas itu boleh dileburkan, dipisahkan dan dikesan beratnya, maka hukumnya tetap haram bagi lelaki.Jika saduran emas terlalu nipis sehingga apabila dileburkan emasnya hilang dan tidak boleh dipisahkan, terdapat khilaf dalam kalangan ulama. Namun pandangan yang lebih berhati-hati tetap melarangnya bagi mengelakkan syubhah.
Bagaimanapun, jika emas tersebut hanya berada pada bahagian kecil yang bukan bertujuan sebagai perhiasan luar, seperti komponen telefon, cip elektronik atau bahagian dalaman jam pintar, maka ia diharuskan kerana bukan digunakan untuk berhias.
Walaupun memakai jam atau aksesori berwarna emas tiruan adalah harus, sebahagian ulama berpandangan ia boleh menjadi makruh dalam keadaan tertentu.
Antara sebabnya ialah ia boleh menimbulkan fitnah atau salah faham. Orang ramai mungkin menyangka aksesori tersebut adalah emas tulen, lalu menimbulkan prasangka buruk terhadap pemakainya.
Selain itu, seorang Muslim digalakkan menjaga maruah diri dan menjauhkan diri daripada perkara yang boleh menjadi bualan masyarakat, apatah lagi jika ia menyerupai sesuatu yang jelas dilarang.
Kesimpulannya, lelaki haram memakai emas tulen atau sesuatu yang mengandungi zat emas sebagai perhiasan. Namun warna emas semata-mata tidaklah haram selagi ia tidak mengandungi emas sebenar.
Jika sekadar stainless steel, besi atau logam lain yang dicat warna emas, hukumnya harus. Namun jika ia disadur dengan emas sebenar, terutama jika emas itu boleh dipisahkan dan dikesan, maka ia tetap haram bagi lelaki.
Bagi mengelakkan syubhah, fitnah dan rasa was-was, sebaiknya lelaki memilih aksesori dengan warna lain seperti silver, hitam, kelabu atau warna neutral. Lebih baik menjauhi perkara yang meragukan demi menjaga ketenangan hati dan maruah diri sebagai seorang Muslim.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok