Gaya Hidup

Wanita Boleh Solat Jumaat Ketika Musafir, Ini Hukumnya Yang Ramai Tak Tahu

Share

Apabila bermusafir bersama keluarga terutama pada hari Jumaat, pasti ada ahli keluarga lelaki seperti ayah, suami atau abang yang akan berhenti di mana-mana masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Walaupun solat Jumaat tidak diwajibkan ke atas orang yang bermusafir, tidak menjadi masalah jika mereka memilih untuk tetap menunaikannya. 

Namun, bagaimana pula dengan kaum wanita yang turut sama dalam perjalanan? Perlukah hanya menunggu di dalam kereta, atau bolehkah untuk turut serta solat Jumaat berjemaah di masjid?

BACA JUGA: Hukum Peniaga Wanita Buat Urus Niaga Dengan Pembeli Lelaki Selepas Azan Jumaat

Menurut penjelasan portal Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, hukum asal wanita menunaikan solat Jumaat adalah tidak wajib, tetapi sah.

Ini bermakna wanita tidak berdosa jika tidak menunaikan solat Jumaat. Namun, jika sesebuah masjid menyediakan ruang solat khas untuk wanita, maka sah hukumnya bagi wanita untuk turut serta menunaikan solat Jumaat secara berjemaah.

Sama seperti lelaki, apabila seseorang wanita telah menunaikan solat Jumaat, maka gugurlah kewajipan menunaikan solat Zuhur. Ini kerana solat Jumaat yang dikerjakan itu telah menggantikan solat Zuhur.

Secara umumnya, wanita lebih afdal menunaikan solat di rumah. Namun, jika wanita tersebut berada dalam perjalanan, ingin mendengar khutbah, menuntut ilmu atau memudahkan urusan musafir, maka dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid, khususnya jika kemudahan untuk jemaah wanita disediakan.

Solat Jumaat Boleh Dijamak Dengan Asar

Sesungguhnya Islam adalah agama yang mudah dan tidak membebankan. Ketika bermusafir, wanita juga boleh menjamakkan solat Jumaat dengan solat Asar secara jamak takdim.

Ini kerana solat Jumaat telah mengambil tempat solat Zuhur. Maka, hukum jamak tetap terpakai sebagaimana solat Zuhur yang dijamakkan dengan Asar ketika bermusafir.

Cara pelaksanaannya adalah seperti berikut:

  1. Berniat solat Jumaat sebagai makmum.
  2. Mendengar khutbah Jumaat.
  3. Menunaikan solat Jumaat dua rakaat mengikut imam seperti biasa.
  4. Selepas selesai solat Jumaat, bangun semula untuk menunaikan solat Asar dua rakaat secara jamak takdim.

Dengan cara ini, perjalanan dapat diteruskan tanpa perlu berhenti lagi di tempat lain untuk menunaikan solat Asar.

Walaupun Islam membenarkan wanita menunaikan solat Jumaat, beberapa perkara tetap perlu diberi perhatian, terutama bagi wanita yang sudah berkeluarga.

Antaranya, dapatkan keizinan suami atau penjaga terlebih dahulu. Selain itu, jagalah penampilan ketika ke masjid. Elakkan memakai wangi-wangian yang berlebihan sehingga boleh menarik perhatian jemaah lelaki.

Wanita juga perlu berpakaian sopan, menutup aurat dengan sempurna dan tidak bertabarruj. Pastikan juga masjid yang disinggahi menyediakan ruang solat khas untuk wanita.

Jika masjid tersebut tidak mempunyai ruang yang sesuai untuk wanita, maka lebih baik menunaikan solat Zuhur seperti biasa selepas jemaah lelaki selesai menunaikan solat Jumaat.

Kesimpulannya, jangan berasa pelik jika melihat wanita turut serta dalam jemaah solat Jumaat di masjid. Hukumnya sah dan ia termasuk kemudahan yang diberikan oleh Islam.

Jadi selepas ini, jika bermusafir pada hari Jumaat, kaum wanita tidak perlu hanya menunggu di dalam kereta. 

Jika keadaan mengizinkan, ruang solat wanita disediakan dan adab ke masjid dijaga, boleh sama-sama mengimarahkan masjid, mendengar khutbah dan memudahkan perjalanan dengan menjamakkan solat.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah