
Sebagai manusia, kita pasti akan berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara. Namun dalam kehidupan ini, tidak semua yang kita inginkan akan diperoleh seperti yang diharapkan.
Ada masanya kita sudah berusaha sehabis baik, sudah berdoa tanpa henti, sudah merancang dengan teliti, tetapi hasil yang datang tetap tidak seperti yang diimpikan. Lalu hati mula terasa sempit, dada menjadi sesak dan timbul rasa kecewa terhadap takdir yang telah ditentukan.
Namun sebagai seorang Muslim, kita perlu belajar satu perkara penting dalam hidup iaitu seni berdamai dengan takdir.
Berdamai dengan takdir bukan bermaksud menyerah kalah, tetapi mengakui bahawa di sebalik setiap ketetapan Allah SWT, pasti ada hikmah yang mungkin belum mampu kita fahami saat ini.
BACA JUGA: Puasa, Autophagy Dan Harapan Melawan Penyakit, Benarkah Tubuh ‘Memakan’ Sel Kanser?
Cuba renungkan, mengapa kadangkala kita sukar menerima takdir yang telah ditetapkan?
Mungkin kerana kita melihat sesuatu kegagalan itu sebagai “garis penamat” mengikut acuan sendiri, sedangkan Allah sedang menyusun sesuatu mengikut acuan-Nya yang jauh lebih sempurna.
Keadaan menjadi semakin berat apabila kita mula membandingkan kehidupan sendiri dengan kehidupan orang lain.
Kita melihat orang lain lebih cepat berjaya, lebih mudah memperoleh apa yang diinginkan, sedangkan kita masih diuji dengan penantian, kehilangan atau kegagalan. Dari situlah hati mula mempersoalkan aturan hidup ini.
Hakikatnya, Islam tidak pernah melarang kita daripada berasa sedih. Sedih itu fitrah manusia.
Bahkan Rasulullah SAW sendiri pernah melalui tahun kesedihan apabila Baginda kehilangan dua insan yang sangat disayangi, iaitu Saidatina Khadijah RA dan Abu Talib, pada tahun ke-10 kenabian dalam jarak masa yang dekat.
Namun kesedihan tidak seharusnya menjauhkan kita daripada Allah. Sebaliknya, ia perlu menjadi jalan untuk kita kembali lebih dekat kepada-Nya.
Cuba gantikan persoalan, “Kenapa aku?” dengan “Apa yang Allah mahu aku belajar daripada ujian ini?” Soalan ini mungkin nampak ringkas, tetapi ia mampu mengubah cara kita melihat takdir.
Daripada terus tenggelam dalam kecewa, kita mula mencari hikmah, pengajaran dan kekuatan di sebalik apa yang berlaku.
Percayalah, setiap yang Allah tetapkan pasti ada sebabnya. Segala usaha yang telah kita lakukan tidak pernah sia-sia di sisi-Nya.
Tugas kita adalah terus berusaha, berdoa dan bertawakal, bukan terlalu bergantung pada hasil semata-mata.
Reda dan terima takdir Allah bukan bermaksud kita hanya duduk diam tanpa melakukan apa-apa.
Reda adalah ketenangan hati selepas segala usaha, doa dan ikhtiar telah dipanjangkan. Ia adalah keadaan di mana hati mampu berkata, “Ya Allah, aku telah berusaha. Jika ini yang terbaik menurut-Mu, maka tenangkanlah hatiku untuk menerimanya.”
Sebagai umat Islam, kita wajib meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Allah SWT. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 216:
Maksudnya: “Kamu diwajibkan berperang, sedangkan peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan Allah jualah Yang mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
Ayat ini mengingatkan kita bahawa ilmu manusia sangat terbatas. Ada perkara yang kita sangka buruk, tetapi sebenarnya itulah jalan kepada kebaikan.
Ada pula perkara yang kita terlalu inginkan, tetapi jika diberikan, mungkin ia menjadi mudarat kepada diri kita.
Apabila kita belajar berdamai dengan takdir, jiwa akan menjadi lebih tenang. Kita tidak lagi terlalu dibebani kebimbangan melampau tentang masa depan.
Kita mula sedar bahawa kehidupan ini berada dalam genggaman Allah, bukan semata-mata dalam perancangan manusia.
Setiap kali kita reda melepaskan sesuatu yang kita mahukan kerana Allah, yakinlah bahawa Allah mampu menggantikannya dengan sesuatu yang lebih kita perlukan.
Mungkin bukan dalam bentuk yang sama, bukan pada waktu yang kita mahu, tetapi pasti pada masa yang paling tepat menurut-Nya.
Ingatlah, hidup ini bukan medan perlumbaan tentang siapa yang berjaya lebih cepat. Hidup ini adalah perjalanan panjang menuju Allah. Ada yang diuji dengan kehilangan, ada yang diuji dengan penantian, ada yang diuji dengan kegagalan, dan ada juga yang diuji dengan kejayaan.
Apa pun bentuk takdir yang sedang kita lalui, tetaplah bersangka baik kepada Allah. Teruskan usaha, kuatkan doa dan tenangkan hati dengan keyakinan bahawa setiap ketetapan-Nya tidak pernah sia-sia.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.